Monday, March 24, 2008

Rekreasi

Rekreasi - erti kata mudah ialah "Rileks" "Bersenang-senang". Asalnya dari perkataan Inggeris "recreation" . Ini bermakna "Aktiviti-aktiviti yang mengisi kesenggangan masa seseorang individu yang memberikan ketenangan dan kepuasan.

Rekreasi ada Tiga Jenis - Rekreasi Darat, Rekreasi Udara dan Rekreasi Air.

Walau bagaimana pun kita akan tunpukan kepada hanya Rekreasi Darat sahaja. Rekreasi darat adalah merangkumi apa-apa saja aktiviti yang dilakukan di darat untuk rileks dan menikmati kepuasan melakukannya. Tetapi bukannya aktiviti yang tergolong di dalam sukan yang di iktiraf sebagai kategori sukan berprestasi tinggi oleh Suruhanjaya Sukan Malaysia.

Aktiviti-aktiviti rekreasi termasuklah Trekking (meredah hutan), Mendaki Gunung, Mendaki Tembok Tiruan, Mendaki Batu Semula Jadi, Compass Marching, Map Reading, Berkhemah, Memerhati Burung, Mengagumi/menyanjungi Bungaan dan Tumbuhan, Basikal Gunung, Motosikal Lasak dan sebagainya. Yang penting ialah segala aktiviti kategori di atas dan kita lakukan hanya untuk mengisi kesenggangan masa serta kita akan mendapat kepuasan bila kita melakukannya. Aktiviti ini mendorong kecergasan dan ketahanan mental dan fizikal. Lasak dan tahan cabaran.

Aktiviti-aktivit ini boleh dikatakan sebahagian besarnya adalah merbahaya dan lasak. Untuk melakukan aktiviti ini hendaklah dilakukan dengan kemahiran atau paling tidak dengan dibantu oleh orang-orang yang mahir dan pakar di dalam teknikal dan pelaksanaan. Mempunyai "Peralatan"
mencukupi pada tahap minima bagi bidang aktiviti yang dilakukan. Mempunyai tubuh badan yang sihat dan kemahuan yang kuat. Lakukan dengan tekun dan berhati-hati.

Dinasihatkan kepada sesiapa yang ingin bergiat di dalam bidang ini hendaklah mempunyai Insuran Perlindungan Nyawa dan Kecederaan. Jangan takut, itu hanyalah untuk peringatan sahaja.

Sekian.

*Kepada sesiapa di luar sana yang berpengetahuan lebih luas, adalah sangat dialu-alukan untuk mengutarakan komen-komen dan tokok tambah untuk dikongsi bersama demi kebaikan kita penggiat di dalam aktiviti ini.








Saturday, March 22, 2008

Siapakah Yang Memberikan Permit Untuk Guide Ke Gunung Stong Dan Ayam

Gunung Stong dan Gunung Ayam terletak di Kompleks Pergunungan Stong di Dabong, Kelantan. Setahu saya Kompleks Gunung-Gunung dan Hutan ini telah di"Wartakan menjadi Taman Negeri", dan sepatutnya dikawal selia oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Tapi walau bagaimana pun saya masih kabur bila enekmen ini dibuat.

Ramai Pencita Alam dan Penggemar rekreasi menghubungi saya mempertikaikan kuasa sekumpulan "Trekkers" dan "Guides" (kononnya) yang berkhemah di satu tempat di kaki gunung ini mewajibkan kepada semua yang akan ke Gunung Stong dan Ayam membayar atau dipaksa untuk mengupah kumpulan Guides ini untuk membawa mereka ke dua gunung berkenaan. Jadi satu persoalan di sini ialah "Siapakah yang memberikan lesen atau autoriti kepada kumpulan Guides ini dan apakah tugas hakiki mereka, sekiranya berlaku apa-apa kemalangan atau tersesat, siapa yang akan dipertanggung jawabkan? Adakah mereka ini dipertanggung jawabkan oleh mana jabatan kerajaan negeri untuk menjaga, memulihara dan memajukan gunung-gunung dan hutan di sini untuk destinasi pelancungan? Dan adakah mereka ini mempunyai apa-apa kelayakan yang diiktiraf oleh mana-mana agensi kerajaan yang dipertanggung jawabkan? Adakah mereka-mereka ini mewakili syarikat yang berdaftar dan mendapat kontrak memajukan kawasan ini dari mana agensi kerajaan"

Setahu saya mereka tidak membuat apa-apa pun untuk kebajikan gunung ini, pokok-pokok masih ditebang sewenang-wenangnya oleh pengunjung yang tidak tahu menghargai alam semula jadi, sampah berlonggok di setiap "campsite" dan bersepah di sepanjang "treck" ke gunung-gunung ini. Jadi kesimpulannya "kumpulan guides" ini hanyalah berperanan untuk mendapatkan duit bagi diri mereka sendiri sahaja.

Setahu saya pengasas kumpulan ini adalah arwah kawan saya Allahyarham Baharuddin yang telah mendapat kebenaran kontraktor balak di kaki gunung ini sekitar tahun lewat tahun 80an. Beliau membersihkan dan mendirikan beberapa "cabin" di satu tempat di permulaan Air Terjun Jelawang. Beliau telah namakan tempat ini dengan nama "Jelawang Junggle" . Tetapi semasa hayat Allahyarham, beliau tidak pernah memaksa untuk mengupahnya membawa mana-mana pendaki ke puncak gunung ini kecuali yang perlukan khidmat beliau. Allahyarham memang mahir di kawasan ini dan mempunyai sedikit sebanyak ilmu yang membabitkan hutan dan rimba.

Kepada pendaki yang sudah mahir dengan treck di kawasan ini boleh mendaki dengan bebas. Cuma untuk memberi penghormatan kepada beliau para pendaki biasanya akan singgah di camp jelawang junggle memaklumkan kepada beliau. Bila beliau meninggal dunia, dengar ceritanya tempat ini telah di ambil alih oleh anak beliau, tetapi sekarang telah diambil alih oleh orang lain pula.

Persoalannya sekarang bukan masalah bayaran, tetapi persoalannya siapakah mereka ini? Siapa yang memberi mereka autoriti dan lesen? Dan apakah tanggung jawab asas mereka? Bayaran bukan persoalan pokok sebab di mana-mana Taman Negara dan Negeri pun akan dikenakan bayaran. Tetapi semua Guides di Taman-Taman Negara dan Negeri ini adalah dilantik dan diiktiraf oleh pihak berkuasa Taman Negara dan mempunyai tugas khusus menjaga dan memulihara gunung (Flora dan Fauna) di samping bertanggung jawab kepada orang-orang yang dibawanya.

Saya cadangkan kepada semua persatuan-persatuan mendaki dan rekreasi daerah serta negeri untuk menghantar surat kepada Jabatan Hutan Negeri meminta penjelasan.

Sekian, untuk kebaikan bersama.




Thursday, March 20, 2008

Perkhemahan Statik Berkumpulan


Perkhemahan statik berkumpulan adalah khemah-khemah didirikan di tapak yang ditetapkan untuk beberapa waktu secara baramai-ramai. Contohnya kemping semasa mengikuti sesuatu kursus di tempat yang sama yang telah ditentukan penganjur kursus terlebih dahulu. Berkhemah sebegini anda perlukan beberapa perkara asas untuk keselesaan dan keselamatan (sila rujuk pada topik asas perkhemahan). Walau pun disebut perkhemahan, tetapi perkara pokok mestilah diambil kira iaitu "Keselesaan dan Keselamatan"

Setiap perkhemahan berkumpulan, ahli-ahli kumpulan hendaklah melantik/memilih seorang Ketua Perkhemahan. Dan Ketua Perkhemahan yang dipilih tadi hendaklah membahagikan ahli-ahli tadi kepada beberapa kumpulan kecil dan seterusnya setiap kumpulan kecil tadi melantik seorang Ketua Kumpulan.

Pada hirakinya adalah, Ketua Kumpulan akan bertanggung jawab terhadap kumpulan masing-masing dan Ketua Perkhemahan akan bertanggung jawab terhadap semua Ketua Kumpulan. Segala arahan dari Ketua Perkhemahan kepada ahli perkhemahan akan disalurkan melalui Ketua Kumpulan dan seterusnya Ketua Kumpulan akan menyampaikan arahan tadi kepada ahli kumpulannya. Ini akan memudah dan memberi keberkesanan komunikasi.

Bagi perkhemahan atau apa-apa saja aktivti luar, Peti Pertolongan Cemas mestilah disediakan dengan lengkap dan bekalan ubat dan peralatan kecemasan mencukupi.

Keselamatan :

Ketua Perkhemahan mesti kenal pasti tapak berada di dalam keadaan persekitaran yang selamat daripada ancaman binatang atau pun ancaman semula jadi contohnya banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang atau dahan runtuh. Lokasi pertemuan selepas waktu kecemasan juga hendaklah ditetapkan oleh Ketua Perkhemahan (sila rujuk artikal sebelum ini)

Ketua Perkhemahan akan berbincang dengan semua Ketua Kumpulan untuk memilih dan merancang Jadual Kawalan Malam. Kawalan Malam/Sentri perlu dilakukan bagi memantau dan menjaga keselamatan anggota perkhemahan dan juga harta yang ada. Kawalan biasanya dilakukan sekurang-kurang oleh dua orang pada setiap masa/sesi. Masa/sesi akan dibahagikan kepada dua jam setiap sesi bermula pada jam 12.00 malam sehingga 5.00 atau 6.00 pagi.

Keselesaan :

Ketua Perkhemahan hendaklah memilih tapak yang rata, tidak digenangi air, tidak bertunggul dan berbatu serta tidak terlalu terdedah kepada terik matahari.

Kemudahan:

Tapak perkhemahan mestilah tidak terlalu jauh dari jalan atau denai, dekat dengan punca air. Tandas hendaklah digali pada tempat yang sesuai, tidak terlalu jauh dari punca air/sungai dan juga tidak terlalu hampir dengan kawasan perkhemahan. Pastikan juga kawasan tandas selamat dari ancaman. Sediakan juga lubang sampah tetapi sampah yang susah untuk lupus hendaklah dibawa balik

Mendirikan khemah :

Sebelum mendirikan khemah, periksa dulu peralatan khemah dan kerusakan sekira ada. Kenal pasti talinya cukup atau tidak, pemacang cukup atau tidak. Sekiranya ada apa-apa yang berkurangan ambil tindakan untuk mengatasinya supaya khemah boleh didirikan dengan tegap dan kuat supaya bila berlaku hujan atau ribut, khemah tidak akan roboh.

Khemah-khemah hendaklah didirikan dalam bentuk bulatan atau barisan yang tersusun. Pintu khemah hendaklah menghadap antara satu sama lain. Pastikan tali khemah tidak menghalang laluan supaya bila berlaku kecemasan, dalam keadaan kelam kabut tali-tali khemah tidak dirempuh atau terlanggar. Pintu khemah hendaklah sentiasa bertutup dan zip untuk mengelak daripada binatang merayap dan penyengat memasuki khemah..

Setelah khemah dipasang, ruang untuk memasak dan makan hendaklah ditentukan pada tempat yang sesuai dan yang tidak terlalu hampir dengan khemah supaya percikan api dan sebagainya tidak merusakkan khemah.

Ampaian dan Gejet :

Seterusnya buat ampaian untuk menjemur kain dan baju. Seboleh-bolehnya jangan potong akar atau rotan. Gunakan tali yang dibawa
. Jangan jemur kain atau baju di atas khemah. Kalau perlukan gejet buatlah dari kayu mati. Elakkan dari momotong pokok.

Sempadan dan Laluan ke punca air :

Setelah semuanya siap, buatlah tanda sempadan bagi tapak perkhemahan tadi dengan menggunakan tali. Rentangkan tali mengelilingi tapak perkhemahan. Sekiranya ada orang lain yang berkhemah di kawasan yang sama, mereka akan tahu kawasan masing-masing. Tali hendaklah direntang menghala ke punca air/sungai untuk kemudahan pada waktu malam.

Peringatan :

Jangan pergi ke punca air/sungai berseorangan pada waktu senja dan malam. Bawalah teman sekurang-kurang seorang, dua orang adalah lebih baik.

Cara menggunakan Punca Air :

Sekiranya Punca Air adalah sungai atau alur hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagian.

Bahagian Satu :
Adalah bahagian yang paling Hulu. Bahagian ini hendaklah dikhaskan untuk tempat mengambil air minuman dan memasak sahaja.

Bahagian kedua :
Iaitu bahagian tengah. Bahagian ini adalah bahagian yang ke bawah sedikit dari bahagian hulu tadi. Bahagian ini hendaklah dikhaskan untuk mandi sahaja.

Bahagian ketiga :
Bahagian ini adalah bahagian paling Hilir dari kedua-dua bahagian tadi. Bahagian ini dikhaskan untuk membasuh pinggan mangkuk dan pakaian. Untuk membasuh kasut seboleh-bolehnya hendaklah di tempat yang paling hilir di bahagian ketiga ini.

Sekian.










Wednesday, March 19, 2008

Tips Pemilihan Beg dan Cara mengisi Barang Ke dalam Beg Galas


Bagi penggemar aktiviti trekking saya kongsikan sedikit tips bagaimana untuk mengisi barang dan bekalan ke dalam beg galas.

Kriteria memilih Beg Galas (saya tidak mahu memberikan jenama) tetapi pilihlah berdasarkan kriteria seperti di bawah :

1. Ringan dan tahan lasak
2. Selesa untuk dibawa - kebiasaannya berframe yang akan mengikut bentuk badan.
3. Kedudukan tali yang tidak menghalang pernafasan
4. Kalis air
5. Beg untuk trekking seeloknya mempunyai poket-poket untuk mengisi barang sampingan.
6. Beg yang tidak berpoket sesuai untuk mendaki

Cara mengisi barang :

Bahagikan beg kepada tiga bahagian :

Bahagian bawah sekali - Isikan dengan barang yang ringan
Bahagian tengah - Isikan dengan barang yang sederhana berat
Bahagian Atas - Isikan dengan barang yang paling berat
Di bahagian atas juga hendaklah diletakkan barang-barang yang akan sentiasa digunakan semasa trekking seperti tuala dan makanan ringan.

Sekiranya beg yang berpoket, isikan poket dengan botol minuman atau apa jua yang sentiasa perlu digunakan sepanjang masa trekking. Sekiranya ada lagi barang yang perlu dibawa, ikatlah sama ada di luar bahagian atas atau di bawah beg. Jangan dibiarkan barang bergayutan dan berayun. Hayunan barang diluar beg akan mengganggu momentum perjalanan dan akan menjadi beban yang membuat kita letih.

Untuk air minuman hendaklah gunakan botol yang tidak boleh pecah, kecil. dan sentiasa diisi penuh supaya tidak berkocak. Air yang berkocak juga boleh menjejaskan momentum.

Cara menyandang beg

Bahagian bawah beg hendaklah di paras atas punggung dan di bahagian atas pula jangan melebihi paras atas kepala.

Trekking Dan Ekspedisi - sambungan Pelaksanaan

Teknik

Memanaskan badan :

Sebelum memulakan perjalanan setiap anggota mesti melakukan renggangan otot dan memanaskan badan dengan kaedah yang betul.

Trekking di tanah rata :

Berjalan dalam jarak yang sesuai, jarak paling jauh adalah, kita mesti nampak orang di hadapan dan orang yang di belakang kita boleh nampak kita. Maknanya berjalan dalam jarak penglihatan. Ini adalah supaya kita tidak terpecah dari kumpulan dan hilang arah. Berjalanlah dengan rentak sendiri. memotong di dalam kumpulan dibenarkan.

Sekiranya ada halangan, kayu tumbang atau batu, hendaklah dilangkah untuk menjimatkan tenaga, Jangan melompat. Langkahlah dengan peka dan berhati-hati, mungkin ada ancaman di sebalik halangan tadi. Kemungkinan binatang bisa menunggu di sebalik kayu atau batu . Sekiranya perlu berpaut, pastikan dulu selamat. Tidak reput, tiada binatang menjalar atau penyengat. Sekiranya ada bahaya, beri amaran kepada anggota yang lain.

Jika terasa hendak buang air, elakkan dari trek. Beritahu rakan. Sekiranya berseorangan ketika itu, tinggalkan beg galas di atas trek supaya orang yang di belakang tahu yang kita ada di situ. Mereka kena tunggu sehingga kita selesai hajat. Jadi kita tidak akan tertinggal dari kumpulan.

Trekking di tempat curam :

Bila di tempat curam, sama ada mendaki atau menurun hendaklah berjalan dalam jarak yang selamat, berjalanlah dalam tiga meter atau lebih. Jarak ini perlu dikekalkan sepanjang pendakian atau menuruni kawasan curam. Dengan jarak sedemikian, Jika kita tergelincir atau jatuh kita tidak akan menghempap orang lain dan sebaliknya orang lain akan sempat membantu kita.

Mendakilah dengan langkah yang pendek dan jangan tergesa-gesa. Perhatikan laluan dengan teliti dan jalanlah dengan berhati-hati. Berikan amaran kepada anggota lain sekiranya ada bahaya, seperti batu jatuh atau dahan patah dan sebagainya. Minta pertolongan jika tidak mampu. Ukurlah kemampuan diri masing-masing. Seboleh-bolehnya elakkan dari menyusahkan orang lain.

Semasa menurun hendaklah juga mengikut peraturan di atas. Turun dengan membelakang sekiranya tempat terlalu curam dan bahaya. Cari tempat berpaut yang kukuh dan jangan cepat panik.

Trekking pada waktu malam :

Di waktu malam sekiranya boleh, elakkan trekking di kawasan yang curam dan bahaya. Pastikan setiap peserta membawa lampu suluh. Kalau malam terlalu gelap, berjalanlah dalam jarak yang boleh menyentuh orang yang di hadapan dan orang belakang boleh menyentuh kita. Jangan membisu, sentiasa berkomunikasi dengan orang yang di hadapan dan di belakang. Suluh di kaki sahaja, jangan suluh meliar sebab akan menarik perhatian binatang buas atau bisa, contohnya ada sejenis ular yang sukakan cahaya lampu. Pegang lampu hendaklah jauhkan sedikit dari pangkal.

Pakailah pakaian berwarna putih atau bersinar supaya senang dilihat. Sekiranya keletihan dan ingin berhenti rehat beritahu rakan yang lain supaya tidak bertembung antara satu sama lain dan kawan-kawan boleh menunggu. Sekira membuat unggun api semasa berehat, padamkan api sebelum meninggalkan tempat tersebut. Pastikan api betul-betul padam untuk mengelakkan berlaku kebakaran hutan.

Perkara Am

Semasa melakukan aktiviti trekking mestilah ada paling kurang seorang Trekker iaitu orang yang mengepalai dan mahir serta arif tentang selok belok setempat. Semasa berjalan Trekker tidak boleh dipotong. Tata cara dan kaedah trekking di atas hendaklah diamalkan pada setiap masa trekking. Berikan semangat kepada rakan yang bermasalah. Elakkan minum air terlalu banyak semasa trekking sebab akan membuat kita cepat letih.

Larangan :

1. Jagan berrmulut celupar atau bongkak.
2. Jangan menghina rakan
3. Jangan tergopoh gapah.
4. Jangan berehat di bawah pokok yang rimbun atau pokok mati
5. Jangan suluh meliar di waktu malam
6. Jangan bunag air di merata tempat atau di sarang serangga dan binatang
7. Jangan terlalu berani
8. Jangan ke punca air berseorangan
9. Jalan potong sebarang tumbuhan jika tidak perlu
10. Jangan buang sampah merata - "Bawa keluar apa yang dibawa masuk"

Sekian.

Tuesday, March 18, 2008

Trekking Dan Ekspedisi - sambungan

Perlaksanaan:

Bekalan makanan -

Untuk menjana tenaga, badan memerlukan Glukosa, Protin dan Fibre. Dan sudah tentulah makanan yang membuka selera juga penting untuk diambil kira. Jadi di dalam penyediaan bekalan makanan perkara-perkara di atas hendaklah diambil kira di samping penyediaan yang mudah dan ringkas. Sebaik-baik bekalan adalah bahan makanan di dalam tin. Tin tersebut pula hendaklah ringan dan kecil. Jangan bawa bekalan makanan dan minuman terlalu berlebihan kerana ianya akan menjadi beban. Jangan bawa bahan basah dan mudah busuk.

Taklimat Awal -

Ketua Ekspedisi mestilah mengumpul semua peserta dan memberikan "Taklimat Awal" kepada semua peserta sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pelaksanaan. Ini perlu untuk memberi masa secukupnya kepada peserta yang belum lengkap dari segi peralatan dan sebagainya melengkapkan diri. Taklimat Awal ini adalah satu perkara yang amat perlu diberikan kepada semua peserta tentang bagaimana ekspedisi akan disusun, perjalanan, bentuk muka bumi, keselamatan, peralatan dan cara *berpakaian. Di sini sepatutnya Ketua Ekspedisi menyerahkan "Check List Peralatan" untuk diteliti oleh semua peserta sekali lagi.

* Pakaian yang sesuai yang dimaksudkan adalah, pakaian yang selesa dipakai (bahan dari kapas), tidak ketat, lasak, menyerap peluh (Jeans) tidak digalakkan kerana walau pun lasak tetapi bila basah akan menghadkan pergerakan anggota badan. Pakaian penahan sejuk diperlukan pada waktu malam (biasanya di puncak gunung keadaan akan sejuk di waktu senja dan malam)

Taklimat sebelum memulakan perjalanan -

Perlu untuk membuat pemeriksaan terakhir kepada "Check List" serta pesanan atau arahan terakhir sebelum memulakan perjalanan/ekspedisi. Semua peserta mesti diberikan "Nombor Peribadi" sebagai identiti sepanjang masa ekspedisi berjalan. Pemberian Nombor Peribadi ini sangat perlu untuk keselamatan peserta. Semua peserta akan dikenal pasti dengan nombor ini dari mula ekspedisi sehingga tamat dan bersurai.

Taklimat Semasa Ekspedisi -

Taklimat juga perlu diberikan semasa ekspedisi berlangsung. Contohnya setiap kali memulakan perjalanan selepas berhenti rehat. Pada setiap kali berhenti rehat, untuk keselamatan, sebelum meneruskan semula perjalanan semua peserta mesti dihitung semula melalui "Nombor Peribadi" masing-masing yang telah diberikan.

Tata Cara Trekking -

1. Sebelum memulakan perjalanan/ekspedisi, Ketua Ekspedisi hendaklah melantik Ketua-Ketua Kumpulan, Satu atau dua orang yang membawa First Aid Kit, dua atau tiga orang Sweeper bergantung kepada jumlah peserta dan pertimbangan Ketua Ekspedisi.

2. Peserta-peserta akan dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan yang mengandungi paling ramai sepuluh anggota bagi satu kumpulan dan akan diketuai oleh seorang Ketua Kumpulan yang telah dilantik tadi. Ketua Kumpulan ini mestilah orang boleh menjadi Leader yang bertanggung jawab dan boleh menguasai keadaan sekiranya berlaku kecemasan.

3. Semasa trekking orang yang membawa "Fisrt Aid Kit" hendaklah sentiasa berada di belakang sekali dan dilarang sama sekali memotong mana-mana kumpulan atau peserta. Ini kerana Pembawa fisrt aid kit inilah yang akan memberi rawatan kepada sesiapa saja dari ahli. Mana-mana ahli yang memerlukan rawatan hendaklah menunggu dihadapan dengan berteman. Pembawa first aid kit ini sudah tentulah orang yang tahu merawat.

4. Sweeper mestilah terdiri daripada orang kuat kerana sekiranya berlaku kecederaan atau mana-mana anggota ekspedisi bermasalah, tugas sweeperlah yang akan menjadi potter atau memapah anggota yang bermasalah. Oleh sebab itu Sweeper mestilah berada di belakang bersama-sama dengan pembawa first aid kit dan mereka juga dilarang memotong.

- akan bersambung






Trekking Dan Ekspedisi


Istilah trekking biasanya digunakan bagi aktiviti meredah hutan atau denai. Trekking di gunung-gunung atau bukit bagi penggemar aktiviti rekreasi di Malaysia biasanya menggunakan perkataan "Mendaki" walau pun pada hakikatnya perkataan mendaki adalah untuk aktiviti mendaki yang perlukan kaedah dan peralatan teknikal di dalam pendakian.

Walau bagaimana pun di sini saya ingin menjuruskan perbincangan tentang "Trekking dan Mengendalikan Ekspedisi" kerana aktiviti trekking merupakan salah satu cabang rekreasi yang digemari oleh sebilangan besar penggemar rekreasi di Malaysia.

Persiapan yang sempurna merupakan perkara penting menentukan berjaya atau gagalnya sesuatu aktiviti. Bagi memudahkan melakukan aktiviti trekking, anda perlu membahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama ialah Peringkat Persediaan dan peringkat kedua ialah Peringkat Pelaksanaan.

A. Bagi Peringkat Persediaan :

Persiapan setiap pemimpin ekspedisi atau yang akan melakukan aktiviti ini hendaklah bersedia pengetahuan dan peralatan dan persediaan asas seperti di bawah :

1. Kawasan yang dituju - Mesti tahu keadaan muka bumi, flora dan fauna, punca air serta cuaca dan tiupan angin

2. Bilangan Ahli Kumpulan

3. Mengkaji dan meneliti peta sekiranya tidak biasa dengan tempat yang akan dituju
dan tidak menggunakan guide - kemahiran membaca peta dan kompas adalah perlu

4. Menduga apakah ancaman atau halangan yang akan ditempuh

5. Kenal pasti peralatan yang perlu dibawa bersesuaian dengan keadaan tempat dan bekalan yang mencukupi bersesuaian dengan jangka masa aktiviti.

6. Tahap kesihatan, kemampuan dan ketahanan semua peserta

Peralatan :

1. Kompas dan Peta
2. Beg Galas yang sesuai dan selesa
3. Kasut yang sesuai - Canvas yang lembut dan berkusyen serta tapak yang memberi cekaman.
4. Khemah yang sesuai - Ringan dan Kalis Air
5. Peralatan memasak - ringan, ringkas dan mudah digunakan
6. Wisel, tali, pisau kecil dan botol air
7. Lampu suluh - Bulb simpanan, Bateri simpanan
8. Lampu
9. Lilin Kecemasan atau Light Stick
10. Kotak Kecemasan dengan Ubat yang perlu
11. Pakaian yang dan alat mencukupi - Tuala, Ubat dan berus gigi, pakaian tidur, sendal atau sleeper, Selimut atau Sleeping bag, Sleeping mate atau alas tidur dan baju penahan sejuk atau windbreaker
11. Survival Kit

- akan bersambung di peringkat pelaksanaan







Saturday, March 15, 2008

Asas Perkhemahan

Di kala banyak blog orang lain sibuk berbincang memerah idea tentang politik, baiklah saya menyimpang dari laluan mereka. Saya kira perkara yang akan saya kongsi bersama ini pun tidak kurang pentingnya pada anak bangsa Malaysia yang gemarkan kegiatan luar atau rekreasi. Jadi oleh kerana saya lama berkecimpung di dalam lapangan ini, saya fikir adalah baik untuk memberi sedikit tips untuk panduan para penggemar lapangan ini.

Perkara asas kepada rekreasi atau kegiatan luar adalah perkhemahan. Jadi untuk permulaan saya akan bincang dan kungsi pengalaman yang sedikit dan rasakan amat cetek ini di blog ini.

Khemah : Pengertian amnya adalah - Tempat perlindungan sementara yang selamat, selesa dan mempunyai kemudahan asas yang minima. Tidak kira apa bentuk dan jenis tempat berlindungan itu.

Maksud Tempat Perlindungan adalah sebarang bentuk tempat perlindungan tidak kira dari canves, nylon atau pun daun dan mungkin juga dari batu dan simen sepertimana yang didirikan oleh warga pelarian perang di tapak sementara di negeri orang . Yang pentingnya boleh memberi perlindungan dari hujan, panas, kesejukan dan juga angin.

Bagi warga rekreasi, khemah yang diperlukan adalah ringan, lasak dan senang dipasang dan dibuka semula. Yang paling sesuai adalah khemah dari bahan nylon dan jenis-jenis yang ringan. Ada tiga bentuk khemah yang sesuai dengan tiga bentuk cuaca dan persekitaran yang berbeza :

1. Khemah nylon berntuk "A" atau poncho (seperti digunkan oleh tentera) yang sesuai digunakan di kawasan tanah rendah atau pantai. Khemah jenis ini akan memberikan kitaran udara yang baik di tempat-tempat yang agak panas.

2. Khemah nylon berbentuk Dome adalah sesuai digunakan dipergunungan kerana boleh ditutup dan menghalang dari kesejukan. Khemah ini boleh memerangkap udara panas di dalam khemah dan menghalang angin sejuk dari menerobos ke dalam. Dengan ini memberi keselesaan kepada pengguna di persekitaran yang sejuk.

3. Khemah nylon berbentuk Igloo adalah sesuai digunakan di pergunungan air batu dan di tempat bersalji. Fungsinya sama dengan khemah bentuk Dome di atas, cuma ianya lebih memanaskan.

Keselamatan, ada beberapa perkara yang perlu diutamakan untuk dihindari dan dibuat

1. Jangan mendirikan khemah betul-betul di puncak gunung atau bukit, kerana ini akan menyebabkan kita menjadi "point of contact" sekiranya berlaku kilat atau petir, menjadi penampan sekiranya berlaku ribut atau angin yang kuat. Cara yang sesuai hendak dirikan khemah dalam jarak 4 ke 6 meter dari puncak. Lagi jauh lagi baik. Peristiwa dipanah petir pernah berlaku di sebuah gunung di Negeri Pahang satu ketika dahulu.

2. Jangan dirikan khemah di tepi tebing atau bawah tebing yang curam. Kerana tebing-tebing ini berpotensi untuk runtuh bila berlaku hujan atau sebagainya.

3. Jangan berkhemah terlalu hampir dengan tebing sungai. Banjir kilat di kawasan pendalaman akan berlaku tanpa disedari dan dalam beberapa saat saja air akan naik mendadak menghanyutkan khemah bila berlaku hujan di hulu sungai.

4. Hindari dari berkhemah di laluan binatang "Denai" kerana bila-bila masa saja binatang hutan akan melalui denai berkenaan. Yang paling bahaya adalah kumpulan gajah. Dalam sekelip mata saja khemah yang didirikan akan ranap kerana gajah akan berjalan berkumpulan. Jadi Jarakkan dari denai sekurang-kurangnya 4 ke 5 meter.

5. Sekiranya perlu buat unggun api hendaklah dalam jarak 4 meter dari khemah untuk mengelak percikan bunga api dan membakar khemah.

6. Jangan sekali-kali membawa masuk api ke dalam khemah seperti lampu gas atau minyak, dapur gas atau minyak, menghisap rokok dan sebagainya. Benda-benda ini bukan saja penyebab kebakaran tetapi juga sekiranya khemah bertutup rapat, ianya akan menghabiskan oksigen dan mengeluarkan karbon dioksida dan meracuni udara di dalam khemah. Ini telah berlaku kematian sebagaimana berlaku di Gunung Korbu, Ulu Kinta satu masa dulu.

7. Hindari berkhemah di padang-padang lalang atau resam kerana lalang atau resam kering mudah terbakar. Begitu juga di tengah-tengah padang lapang kerana kemungkinan disambar petir adalah besar.

8. Dilarang sama sekali mendirikan khemah di bawah pokok yang rimbun, kerana bila hujan atau berlaku ribut, dahan-dahan pokok ini dengan daun yang rimbun dan berat amat berpotensi untuk runtuh dan menimpa khemah.

9. Jangan mendirikan khemah di bawah pokok yang mati. Pokok yang mati memang mereput dan akan patah pada bila-bila masa saja. Kemungkinan besar akan menghempap khemah.

10. Pastikan pintu khemah bertutup (zip) bila meninggalkan khemah untuk mengelak dari sebarang binatang atau serangga berbisa memasuki khemah.

11. Bila mendirikan khemah hendaklah pintu khemah tersebut membelakangkan arah tiupan angin untuk mengelakkan dari angin kuat menerobos ke dalam khemah bila pintu khemah di buka dan berpotensi untuk menerbangkan khemah atau paling tidak merusakan khemah.

12. Apa-apa benda tajam parang pisau dan sebagainaya hendaklah bersarung atau disimpan ditempat yang selamat dari terpijak dan senang untuk diambil bila perlu

13. Hendaklah menanda satu tempat bertemu atau berkumpul kembali yang difikirkan selamat sekiranya berlaku apa-apa kecemasan dan semuanya ahli bertepiaran lari ke pelbagai arah. Dan apabila keadaan sudah pulih tempat yang ditanda tadilah semua akan berkumpul semula

14. Setiap ahli atau anggota hendaklah mempunyai wisel untuk digunakan semasa kecemasan. Setiap keperluan tiupan wisel hendaklah diberikan Kod Nada dan jangan ditiup sesuka hati.

Untuk keselesaan, carilah tapak khemah yang rata dan tidak berbatu. Elak dari tapak yang lecak, berlumpur atau bertunggul.

Untuk mendapat kemudahan asas hendaklah berkhemah dekat dengan punca air dan berhampiran denai atau trek.

Satu pesanan penting : Bawa keluar apa yang dibawa masuk, terutama tin dan bekas plastik. Jangan menebang pokok sekiranya tidak sangat-sangat diperlukan. Buang najis hendaklah di dalam lubang dan ditimbus bukan di dalam sungai.

Sekian, selamat berekreasi