Mawilla 1 dalam kenyataan di sini hari ini berkata, nelayan berkenaan dipercayai mencuri khazanah dari dua buah kapal yang tenggelam itu iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales.
HMS Prince Of Wales
HMS Repulse

Kejayaan mematahkan kegiatan haram mencuri khazanah laut negara itu adalah hasil maklumat daripada Persatuan Nelayan Pahang yang dimaklumkan dalam satu program khas bersama pihaknya, minggu lalu, katanya.

"Aktiviti penyelaman haram oleh nelayan asing di perairan sekitar 60 batu nautika dari Tanjung Gelang itu dipatahkan oleh KD Perkasa yang dalam pelayaran pulang selepas tamat latihan Malindo Jaya, pada 6.45 pagi.

"KD Perkasa menahan sebuah bot nelayan diubah suai menjadi bot penyelaman dan sebanyak 17 kru rakyat Vietnam berada di atasnya dengan sebahagian daripada mereka sedang menyelam di dasar laut dipercayai untuk mengambil hasil tinggalan disyaki kapal perang yang tenggelam semasa Perang Dunia Kedua," katanya.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan mendapati kesemua kru kapal itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah kecuali tekong dan kesemua tahanan dibawa ke Pangkalan TLDM Tanjung Gelang serta diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan lanjut.

"Mengikut sumber, kawasan itu adalah lokasi dua buah kapal perang British tenggelam semasa Perang Dunia Kedua pada 10 Dis 1941 iaitu HMS Repulse dan HMS Prince Of Wales," katanya.

Kejayaan berkenaan membuktikan bahawa program mendekati masyarakat khususnya komuniti maritim mampu memberi kesan dan membantu pelaksanaan operasi Markas Wilayah Laut Satu TLDM, menurut kenyataan itu.

"Komuniti maritim seperti nelayan, pengusaha pusat peranginan dan penduduk di pulau boleh menjadi mata dan telinga kepada pasukan keselamatan khasnya TLDM.

"Mereka boleh melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan atau boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara," katanya. - sumber