Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Friday, January 30, 2009

Kungsi Rumah Bersama Lembaga Ghaib

Saya membeli rumah ini (tempat kami tinggal sekarang) pada tahun 1986 tahun kelahiran anak saya yang kedua. Lokasinya ketika itu agak sunyi tetapi dikelilingi dengan sekolah-sekolah rendah dan menengah di dalam jarak yang agak dekat. Saya fikir di lokasi ini, anak saya tidak perlu dihantar untuk ke sekolah. Rupanya tidak begitu jadinya. Hanya semasa mereka di sekolah rendah sahaja mereka bersekolah di sekolah yang berhampiran. Bila masuk sekolah menengah terpaksa juga menghantar dan mengambil kerana ke dua-duanya ditempatkan di sekolah-sekolah yang terpilih. Jadi beban menghantar dan mengambil terpaksa dipikul juga. Tapi tak apa itu adalah sebahagian dari amanah Allah kepada Ibu dan Bapa.

Berbalik kepada tajuk di atas, saya beli rumah ini dari seorang kawan rapat yang sekarang sudah arwah. Rupanya tapak rumah ini di satu masa dahulu merupakan tempat orang-orang kampung membuang segala macam iblis/setan yang mengacau dan menghasut orang-orang di sini. Di sini juga tempatnya mereka menghantar Ancak/menjamu hantu. Tempat ini adalah jauh dari kawasan kampung yang agak terpencil dan berpaya di mana terdapat satu lubuk yang mengikut ceritanya tidak pernah airnya kering walau pun kemarau panjang.

Selepas saya pindah ke sini lebih kurang 3 bulan, semasa saya hendak ke kedai pada suatu malam, saya bertembung dengan satu lembaga yang tidak berkepala berjalan di dalam hujan renyai-renyai. Pada mulanya saya ingatkan orang, tetapi saya fikir manusia gila mana pulak yang berjalan dalam hujan tanpa payung dan tanpa lampu di hujung kampung? (masa itu belum ada lampu jalan di kampung ini) Saya tinggikan lampu kereta. Barulah saya nampak rupanya manusia berbadan besar tanpa kepala! Saya berkata sendirian " Kalau kau tidak lari aku langgar engkau, tengok siapa lebih kuat". Saya tukar gear dan saya pecut, bila hampir dilanggar tiba-tiba lembaga itu melompat ke dalam semak di tepi jalan dan hilang. Saya berhentikan kereta dan perhatikan semak di tempat lembaga itu menghilang tetapi saya dapati tidak ada langsung kesan dipijak atau dirempuh. Lepas itu saya terus ke kedai.

Di kedai saya ceritakan peristiwa tadi kepada seorang tua di situ. Dia gelak, dia kata di situ bukan saja terdapat makhluk yang tidak berkepala tetapi kalau nasib tidak baik akan bertemu dengan satu perempuan yang mendodoi anak kecil di dalam gerimis! "Wah.. manarik" kata saya. Dia tanya saya apa yang menarik? Saya kata saya memang nak tengok, cantik ke tidak ibu yang mendodoikan itu? Dengan muka heran dia berkata "Eh.. kamu ni betul ke tidak?" Saya gelak dan berlalu pulang.

Di dalam rumah pula kekadang di tengah malam ada sesuatu yang berkejaran di atas siling rumah. Melompat-lompat dan kekadang macam menggaru siling rumah. Tapi bila saya kata " Oii.. kamu yang kat atas tu diamlah, aku nak tidur" dia akan diam. Di satu peristiwa lain pula pada satu malam anak saya yang kedua baru nak tidur tiba-tiba radio di biliknya berbunyi. Dia ingatkan dia lupa tutup radio sebelum tidur, dia tutup dan balik ke katil. Tiba-tiba radio itu 'on' balik, dia 'off' dan bila nak tidur, radio berbunyi lagi. Dia cabut plug dari socket dan kembali ke katil tetapi lepas seketika radio itu 'on' balik. Akhirnya anak saya kata "Lantaklah kamu nak dengar radio kamu dengarlah, aku nak tidur". Dia terlena dengan radio masih berbunyi. Tapi esok paginya bila dia bangun, radio itu memang 'off'.

Di bahagian dapur pula kekadang ternampak kelibat orang berkulit hitam tidak berbaju keluar masuk dari dapur ke bilik anak sulung saya. Kekadang dari bilik mandi di bahagian dapur ke dapur. Yang membawa masalah bila ada orang lain datang bertandang dan bermalam. Adatnya kena ganggulah!.

Satu peristiwa lain pula, anak kedua dan pertama saya mengepung satu lembaga semacam orang di laman bahagian belakang rumah. Si Along keluar dari pintu belakang dan si Adik keluar dari pintu hadapan. Mereka cuba pintas lembaga itu, tetapi lembaga itu ghaib bila terkepung. Saya pun tidak sedar peristiwa malam itu. Saya hanya tahu bila kedua-dua anak saya masuk ke rumah dan bertanya mereka dari mana. Baru mereka ceritakan yang mereka kepung lembaga itu tetapi ghaib.

Saya tidak bercadang untuk menghalau lembaga ini kerana saya rasa dia wajar berada di sini kerana di sini memang tempat dia. Saya datang kemudian darinya. Jadi selagi dia tidak mendatangkan mudarat, saya benarkan dia di sini. Selalunya kalau kami ingin keluar rumah pulang ke Ipoh atau ke KL untuk beberapa hari, isteri saya akan berpesan kepadanya supaya menjaga rumah, jangan duduk jer tahu tapi nak jaga rumah tak tahu. Katanya "Sekarang aku nak keluar, kau jaga rumah ini". Sebenarnya saja nak berseloroh. Hakikatnya semuanya di bawah jagaan Allah. Dialah yang memberi dan Dialah yang berhak mengambil kembali sesuatu yang dikurniakan.

43 comments:

  1. uuuuiii, saspennyer
    saspennyer
    saspennyer
    saspennyer

    ReplyDelete
  2. Tuan Mountdweller..

    Kalau saya diletakkan dalam situasi macam ni..rasanya menggeletar seluruh badan..hehehe.. Tuan satu keluarga memang berani.

    ReplyDelete
  3. salam ayahanda,

    seramnya. adakah sekarang musim bercerita tentang jin dan syaitan? rata2 blog anakanda jelajah pasti ada cerita sebegini.
    berani juga along dan adik mengepung lembaga tu. ntah macam mana keadaan sy kalau betul2 terserempak dgn mahkluk Tuhan ni. sepanjang hayat ni belum pernah lagi terserempak. dan tak penah berharap nak terserempak. takot pengsan...tak larat pulak org nak angkat. hehehehe...

    ReplyDelete
  4. Berani giler mike ni yob. Kalu teman lama dah ca alif bot...

    ReplyDelete
  5. Mak Su,

    Tak ada sespen lagi sebab dah biasa.

    ReplyDelete
  6. Puan Tirana,

    Sebenarnya ketakutan itu datang kerana tidak biasa dengan keadaan itu. Tetapi kalau dah biasa, ketakutan akan hilang dengan sendirinya.

    ReplyDelete
  7. W'salam anakanda Rose.

    Mungkin secara kebetulan kot. Ayahanda terfikir nak share ceritanya tengahari tadi. Along dan adik mungkin jadi berani bila mereka selalu ikut ayahanda ke gunung dan meredah hutan. Jadi kerana biasa dengan situasi begitu mereka menjadi lebih berani.

    Walau apa pun sebenarnya ketakutan datang dari minda dan hati yang merasuk perasaan bimbang.

    ReplyDelete
  8. Salam sdr. Firdaus

    Sebenarnya perkara begini ada juga di rumah mak mertua saya di Manjoi. Jadi isteri saya biasa dengan perkara ini.

    ReplyDelete
  9. tuan mountdweller, saya tak suka sebut-sebut itu barang, sebab kadangkala the third eye can see.... so, saya memang tak suka ler nak sebut itu barang :(

    huishhh, saspenn, saspennn

    :D

    ReplyDelete
  10. Mak Su,

    Kalau kita sebut pun dia, kita tidak sebut pun dia tetap wujud. Cuma jangan dia menguasai minda dan hati kita.

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum Saudara,

    Memang semuanya makhluk dan ciptaan Allah swt, SEGALAnya di dunia yang fana ni.

    Tetapi rasanya, tidak ramai yang mahu 'berkongsi' tempat tinggal dengan makhluk dari alam ghaib ini. Bukan semua orang boleh menempuhnya.

    Pelik saya mereka 'faham' apa yang kita katakan..misteri juga..agaknya bahasa apa mereka berkomunikasi antara satu dengan lain..Hanya Allah swt yang Maha mengetahui rahsia makhluk ciptaanNYA.

    ReplyDelete
  12. wa alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Saya rasa tidak wajar untuk menghalaunya kerana dia lebih lama di tempat ini. Lagi pun dia tidak mengacau cuma mungkin bergurau pada masa-masa tertentu.

    Memang benda ni boleh faham bahasa setempat. Itu sebabnya di Amerika hantu cakap inggeris dan di Siam, hantu bercakap siam. Rupa bentuk pun berbeza kan?

    Sebenarnya mereka ini sama di segi kejadiannya cuma mereka akan sesuaikan rupa bentuk mengikut suasana setempat.

    ReplyDelete
  13. Salam Uncle,

    Sekarang ni masih di rumah yang sama ke? Dan masih ada lagi ke penghuni tersebut.

    Ini baru betul2 ada Wow....,

    Yang sebenarnya kita harus berani daripada makhluk tu, kalau kita berani, makhluk tu akan takut...

    Itu pesan Abah saya... setakat ni alhamdulillah.. walau kadang2 tu dada berdebar juga... ha..ha..ha..

    ReplyDelete
  14. have a great day my dear friend...

    ReplyDelete
  15. W'salam Isa.

    Ya anakanda Isa, uncle masih tinggal di sini.

    Betul kata Abah Isa tu, jangan takut. Sebenarnya benda ni tidak berupa wujudnya dalam bentuk api/cahaya yang bulat berjerubai. Macam mat salleh buat cerita khayal tentang ruh.

    ReplyDelete
  16. friendszone,

    Tq and hope you also enjoy a good day.

    ReplyDelete
  17. Tuan hanya orang2 yang kuat imannya yang boleh berada dalam situasi yang bergini... kalau sakura dalam situasi ini pastinya sakura belum lagi kuat imannya....

    ReplyDelete
  18. Sakura,

    Iman hanya boleh diukur melalu taqwa dan tahap tawakkalnya. Rasanya diri saya masih jauh dari tahap itu.

    ReplyDelete
  19. uncle setuju ngan uncle...hanya zionis jer yang halau tuan rumah yang asal :)

    tingat citer adik...kat rumah sewa ada gangguan tapi sorang temannya jenis gila2....saja2 minta no ekor bila nampak...hantu tu tak muncul sejak tuh...takut subahat agaknya!

    ReplyDelete
  20. Salam saudaraku Fakharuddin,

    Satu pelajaran yang baik telah saudara titipkan. Benar, selagi 'dia' tidak mendatangkan mudarat kepada kita jangan kita ganggu 'dia'.

    Andainya dia mendatangkan mudarat, jangankan yang 'halus', yang nyatapun perlu kita kibaskan.

    Salam takzim

    ReplyDelete
  21. erisya,

    Yang kat rumah uncle ni bukanya selalu muncul mungkin semasa dia rasa nak bergurau atau ada tamu baru yang bermalam di rumah uncle. Selalunya dia suka mengacau adik tapi adik tak layan.

    Dengan uncle hanyalah diperingkat dia buat bising tapi bila uncle marah surah diam, dia akan diam.

    Itulah sebabmnya uncle tak bercadang nak halau dia. Selagi dia boleh tahan dengan zikir dan semua amalan uncle, biarlah dia duduk.

    ReplyDelete
  22. W'salam sdrku Kerajaan Rakyat (Mohd. Sofi).

    Betul tu, kalau ganggu atau mengacau tak tentu pasal, bukan setakat halau. Rasanya akan dibakar atau dipasung.

    Tapi setakat ini dia masih ikut arahan, mungkin dia tahu dulu tidak ada rumah pun. Sekarang sudah ada rumah untuk tumpang. Kalau dia buat hal juga, dia akan naya.

    ReplyDelete
  23. Seriau betul. Saya kalau nampak makhluk tanpa kepala , memang patah balik.

    ReplyDelete
  24. Salam Pakcik Din..
    Sememangnya hantu iblis ni tidak dapat mendatangkan kemudaratan kepada manusia melainkan mendapat izin dr Allah..Selalunya yg mndatangkan mudarat ni adalah amalan sihir/pemujaan yg bersumpah setia dengan syaitan iblis angkara manusia yg dangkal iman..Sebagai manusia dan hamba Allah,kita juga harus menghormati makhluk2 lain ciptaan-Nya termasuk juga lah makhluk halus.Sebab itu kita ada pantang larang dr org tua yg harus diikuti supaya tidak menyinggung perasaan makhluk lain...

    ReplyDelete
  25. salam uncle, respek la ngan along dan adik.. beraninya diorang.. tapi rasanya ni jenis hantu baik kot sebab dia tak kacau sampai uncle ngan famili jatuh sakit kan.. mungkin sebab diorang sedar diorang ni dalam buangan.. macam kat rumah saya tu, memang dihantar untuk mengacau.. so, bila tengah malam, anak kecil saya akan menangis hampir setengah jam.. uncle ada tak ayat2 yang boleh dibuat pendinding?? selalunya saya baca ayat kursi tapi macam tak lut pulak..

    ReplyDelete
  26. Saya pernah alami nasih yang serupa. Yang menjadikan saya betul betul marah bila, makhluk halus yang numpang rumah, tak mau bayar sewa. Asyik asyik saya je yang kena bayar.

    ReplyDelete
  27. Salam Tok Harimau Menaip.

    Saya pun bukannya jumpa sangat, tapi bila terjumpa tu nak tengok betul-betul kalau boleh. Naluri nak tahu.

    ReplyDelete
  28. salam uncle,
    ermm begitu menarik sekali kisah benar yang penuh debaran dari uncle ini. Biasanya selalu baca & tengok kat majalah & tv jer. Tapi ini real berlaku.

    Saya yakin uncle & keluarga dah terlatih untuk menghadapi segala kemungkinan sebegitu. Pokok pangkalnya dari hati untuk menghadapinya.. dan sememangnya keluarga uncle ada darah pahlawan..

    ReplyDelete
  29. W'salam UXOP.

    Betul tu, mereka tidak ada apa-apa kuasa. Yang disihirkan pun kalau mendatangkan mudarat, itu juga atas kehendak Allah.

    Segi respek pun, Pak Cik tak rspek juga sebab dia digolongkan di dalam makhluk yang dilaknati Allah, maka kita tidak boleh respek atau minta pertolongannya.

    Cuma Pak Cik kata, kalau nak duduk kau duduklah tapi jangan kacau kami. Kalau kacau aku halau.

    UXOP duduk kat pulau panjang rupanya. Pak cik ada sekali ke situ mengurut badan tapi dah lupa nama tukang urut tu.

    ReplyDelete
  30. W'salam nurdaniella.

    Kalau benda tu dirikimkan orang untuk mengganggu itu masalah sikit. Tak ada ke di tempat nurdaniella tu orang yang boleh menghalau atau menangkap benda tu?

    Semasa Along dan Adik masih kecil, kalau mereka meragam uncle baca Bismillah 6. Di bawah ni uncle buat pautan.

    http://mountdweller.blogspot.com/2008/11/bismillah-67.html

    atau cari di N3 nov.6 2008, lebel agama.

    ReplyDelete
  31. Salam radenjowo.

    Rasa benda macam tu patut dihalau saja atau masukkan ke dalam guni, campakkan ke laut.

    Ini mesti jenis makhluk yang makan nasi dan berkepala hitam.

    ReplyDelete
  32. salam uncle, dulu saya dah buatkan tangkal untuk anak tapi, entah macamana boleh hilang ghaib macam tu jer.. puas cari tapi tak jumpa.. terima kasih untuk bismillah 6 tu..

    ReplyDelete
  33. W'salam Rashid.

    Sebenarnya semasa uncle duduk di rumah sewa pun ada gangguan juga. Yang tu dari kubur orang mati dibunuh yang kubur tu di belakang rumah. Macam gangguan, bunyi orang mengerang, cakar dinding dan anak (masa tu Along) susah nak tidur. Uncle panggil dia berhadapan dan tanya apa dia nak. Rupanya dia nak uncle ziarah kuburnya dan berdoa. Tapi semasa berjumpa tu bertempur dulu baru bincang. Lepas tu semuanya ok. Tidak ada gangguan lagi.

    Yang ini uncle biarkan sebab dia tidak mengganggu.

    ReplyDelete
  34. W'salam nurdaniella.

    Sebenarnya bagi uncle tangkal tu tak berapa elok dari segi akidah. Kalau dah hilang tak usahlah cari ganti.

    Bismillah 6 tu nurdaniella baca dan hembus kat anak tu sebanyak 7x. Kalau nak buat air penawar untuk dia minum dan mandi pun boleh. Juga baca 7x dan hembus kat air. Sebelum tu, bacalah selawat, Alfatihah dan 3 Qul dan barulah disambung dengan bacaan Bismillah 6.

    Seeloknya setiap kali lepas solat, bacalah 3x. Kalau tidak sempat, baca selepas solat subuh dan maghrib. Jadikan amalan harian. Insya Allah berkat.

    ReplyDelete
  35. Salam pak din...

    Huhuhu...macam2 pakdin boleh nampak hantu ekk...saya pun nak belajar dgn pakdin la cam ni...tapi kalau boleh saya nak tengok malaikat la...

    ReplyDelete
  36. W'salam moses.

    Apalah sangat taraf kita moses, tak sampai lagi kot taraf nak tengok malaikat. Taraf tengok hantu jer kot?

    ReplyDelete
  37. salam buat anakanda onyx.

    Terima kasih anakanda ke blog ini. Tolong email kat ayahanda siapa onix ni. fakhruddin_yusoff@yahoo.com.

    Ayahanda pun cukup rindu dengan geng-geng gunung yang dulu-dulu. Tapi bila masing-masing dah punya kerjaya maka tentulah membawa haluan masing-masing.

    Kenagan semasa trekking an memdaki membawa nostagia. Terutama arwah Cikgu Azizi.

    ReplyDelete
  38. Mungkin Pakcik Din maksudkan tkg urut tu namanya Awang Lah(Paksu Lah).Kalau betul telahan saya lah.Dia dh meninggal setahun lalu.rumah saya depan rumah dia saja kt musalla situ..

    ReplyDelete
  39. Salam UXOP,

    Oooh... sedah meninggal! Innalillahi wainna ilaihi rajiun.

    Memang Pakcik pun lupa lokasinya, maklumlah masa dah jam 10.00 malam ketika itu. Kawan yang bawa ke situ. Dia tinggal di batu 6.

    ReplyDelete
  40. tak nak campur alam jin dan syetan ... cuma lagi tn mempunyai kebaranian luar biasa .....

    ReplyDelete
  41. Salam Tuan jUNAIDI.

    Bagi saya sebagai manusia biasa tidak ada yang luar biasa. Cubalah tuan tengok, orang gila pun tahu takut. Cuma tinggal lagi bagaimana kita yang berakal dan berperasaan mengawal rasa takut.

    ReplyDelete
  42. salam tuan punyer blog.Ini kali pertama saya mengomen kat sini.
    Memang topik makhluk halus nie,tak semua orang ada pengalaman dan boleh bercerita.Apa yang telah dilakukan oleh tuan sekeluarga tu mmg wajarlah...mereka nie pon makhluk Tuhan gak,benda baru yang kena jadi..cam kita gak.
    Sedikit pengalaman saya,semasa menyewa rumah di Paroi sekitar tahun 2001 dahulu,rumah sewa nie memang kaw laluan makhluk nie..selalu nampak kelibat melintas ditepi tingkap,walaupun isteri jenis lemah semangat..saya cuma bagitahu makhluk nie cuma nak tumpang lalu jer..oklah setakat ini takder gangguan apa apa..
    Cuma sekali semasa dalam perjalanan balik dari Bahau ke Seremban melalui Jalan Sungai Dua,saya perasan ada 'benda'cuba nak masuk dlm kereta yang sedang dipandu oleh saya,kebetulan anak saya sedang tidur di kerusi belakang,saya cuma berkata baiklah kau turun sekarang...bukan apa,cuma taknak anak saya terkejut dan menangis kelak...isteri saya pon hairan...saya bercakap dengan siapa...saya katakan ada 'orang 'nak ikut balik Seremban...saya tak bagi ikut...,begitulah lebih kurang.
    Bila berpindah rumah baru sekarang,setakat ini belum ada lagilah perkara sebegitu terjadi..
    Tapi ada lagi pengalaman mistik yg dialami oleh saya secara individu..yang ini tak mahu ceritalah...mungkin dilain kesempatan.

    ReplyDelete
  43. W'salam IndukYati.

    Saya ucapkan terima kasih di atas kesudian sdr. ke blog ini dan tinggalkan komen.

    Alhamdulillah saudara diberikan kelebihan oleh Allah untuk nampak dan berkomunikasi dengan makhluk sedemikian.

    Keberanian saudara juga adalah calang-calang manusia yang ada. Apa pun syukur saudara dan keluarga tidak dapat diganggunya.

    Saya pun saja nak kungsi pengalaman dengan bloggers lain. Kita boleh bertukar-tukar pandangan.

    Pengalaman mistik tu mungkin kita boleh di paparkan di masa yang lain bila saudara rasa sudah bersedia untuk dikungsikan. Atau kalau nak dikungsikan dengan saya saudara boleh emailkan saya.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa