Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Sunday, January 18, 2009

Samseng Kampung Lari Ketika Sesi Burung Hantu

Garang tidak semestinya berani, berani tidak semestinya garang.

Alkisah satu peristiwa ketika saya dan tiga rakan diminta oleh sebuah persatuan kampung dengan kerjasama Jabatan Belia Dan Sukan mengendalikan satu kem Motivasi Rekreasi dengan disertai oleh para pemuda dari tiga buah kampung yang berdekatan. Persatuan ini memilih sebuah pulau yang agak besar di tengah-tengah Sungai Kelantan berhampiran dengan Pasir Mas. Pulau ini dipilih kerana kedudukannya dekat dengan tiga kampung yang diwakili oleh peserta-peserta kem berkenaan seramai 30 orang yang kesemuanya lelaki.

Saya anggarkan pulau ini berkeluasan lebih kurang 6 ke 8 hektar dipenuhi hutan dan buluh. Sungai yang memisahkan pulau ini dengan tanah besar selebar lebih kurang 50 meter. Dari maklumat yang saya terima, pulau ini agak keras dan memang sunyi. Kami akan berada di pulau ini selama 3 malam dan 4 hari.

Di pulau ini, setelah selesai semua modul yang sepatutnya maka tibalah masa untuk sesi Burung Hantu pada malam akhir iaitu malam ke tiga. Pada petangnya saya dan Tuan Saharizam membuat tinjauan lokasi bagi menempatkan semua peserta pada malam nanti. Kami pilih tempat yang selamat tetapi menakutkan pada waktu malam. Kami akan atur para peserta jauh dari kem di dalam hutan sehingga ke hujung pulau. Lidah tanah! Jarak antara peserta lebih kurang 100 meter tetapi semua peserta tidak akan tahu kedudukan masing-masing.

Dari kalangan 30 orang peserta ini ada dua tiga orang yang agak kasar dan angkuh. Saya diberitahu salah seorang dari geng ini adalah agak samseng di kampung. Semua orang takut kepadanya. Jadi saya fikir saya nak uji keberaniannya pada malam nanti.

Selepas isyak dan makan malam, saya panggil semua peserta berkumpul. Saya mulakan sesi bercerita. Saya bercerita apa yang seram dan menakutkan yang telah saya hadapi dan lalui termasuklah cerita berkenaan hantu, puaka dan binatang buas. Pada mulanya saya bercerita tentang binatang buas. Mereka nampak biasa saja. Duduk pun jauh-jauh antara satu sama lain. Banyak juga soalan dari mereka. Tetapi bila dah agak tengah malam, saya mula bercerita tentang puaka, hantu dan iblis di gunung. Masa ini mereka sudah duduk dekat-dekat dan seakan terkumpul di tengah-tengah bulatan. Tidak kedengaran mereka mengemukakan soalan lagi. Saya terus bercerita sehinggalah jam 1 pagi. Sesi seterusnya memang mereka tidak tahu.

Jam 1.30 pagi saya arahkan mereka berbaris di dalam satu barisan dan saya mengambil semua lampu suluh dan pemetik api serta h/phone dari mereka. Mereka diarahkan mula berjalan mengikut ke mana saja saya pergi, jangan toleh berlakang. Peserta yang dikatakan samseng tadi saya letakkan di hadapan sekali, bermakna dia betul-betul di belakang saya. Jadi sambil berjalan, bila tiba di lokasi yang telah kami tetapkan pada siang tadi, seorang demi seorang dari mereka yang paling belakang akan ditarik oleh Tuan Saharizam dan mengarahkan peserta tadi diam di situ tidak kira berapa lama sekali pun sehinggalah mendengar 3 bunyi wisel panjang-panjang berturut, barulah mereka boleh pulang ke kem.

Bila tiba di satu pokok besar di hujung pulau, yang tinggal hanya saya dan peserta yang dikatakan samseng tadi. Yang lain semua sudah diletakkan di lokasi masing-masing. Saya suruh peserta ini duduk di bawah pokok besar tu sambil berkata " Hah, kau duduk dan tidurlah di bawah pokok ni sampai pagi. Kau tunggulah pokok besar ni bersama Hantu Raya yang ada di sini". Dia tergamam dan tanpa berkata apa-apa seterusnya, saya tinggalkan dia. Saya jalan terus dan bila terlindung di sebalik hutan tebal, saya melincung ke dalam hutan dan berpatah balik berhampiran perserta tadi. Jarak antara saya dan dia lebih kurang 15 meter saja tapi dia tidak tahu. Dia ingat saya sudah pulang ke kem. Sebenarnya ramai pembantu yang bersembunyi berhampiran lokasi-lokasi peserta yang ditinggalkan tadi, berjaga-jaga sekiranya ada berlaku sebarang kecemasan.

Saya perhatikan dia. Mula-mula dia duduk, lepas tu dia bangun berdiri dan duduk balik. Tiba-tiba saya dengar dia menangis. Saya dah mula gelisah kesihan tapi saya tahan hati saya dari perasaan itu. Selepas menangis dia meraung dan terus berlari kencang menuju ke lokasi perkhemahan. Saya risau takut dia kena histeria kerana terlalu takut. Saya ikut dia sehinggalah ke kem. Di kem dia masih menangis dan sedang dipujuk oleh Setiausaha persatuan penganjur. Nasib baik raungan dia tu tidak menjejaskan orang lain. Jam 2.45 pagi wisel panjang-panjang ditiup 3 kali dan semua peserta serta urusetia yang berjaga-jaga tadi pun pulang ke kem berderet-deret dengan senyum. Ada yang bertanya apa yang bunyi macam orang meraung tadi. Saya kata nanti akan saya ceritakan di sesi posmotem nanti.

25 comments:

  1. Salam Uncle,

    Maaf, sambil menaip ni saya sedang ketawa sorang2 hingga isteri saya pun hairan, dan saya minta dia baca posting uncle ni, dan dia pun hentam ketawa...

    Samseng konon... Samseng taik kucing...

    Satu pengajaran dan iktibar yang baik... jadi sikap merendah diri dan bersederhana adalah yang terbaik bagi setiap manusia..

    ReplyDelete
  2. W'salam anakanda Isa.

    Pada mulanya memang uncle kesihan tengok dia menangis meraung tapi bila uncle tengok muka dia di campsite uncle ketawa sampai keluar air mata.

    ReplyDelete
  3. Salam uncle,

    Menarik cerita ni, memang ramai org yg berlagak samseng akan kecut perut bila berhadapan situasi genting...

    ReplyDelete
  4. Salam tuan,

    Membaca kisah tuan ni teringat pengalaman yg sama ketika mengendalikan kursus2 belia. Samseng kampung macam ni memang ramai. Gah di kampung saja, bila di hutan merekalah raja segala penakut. Pernah satu ketika sorg samseng kampung ni terus tumbang pengsan depan saya bila kononnya saya nak tinggalkan dia dlm hutan sebelah kubur org bunuh diri. Belum masuk hutan dah pengsan. Ish..ish..ish! Harap badan je besar.

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum Saudara,

    Memang patut kalau boleh semua yang 'samseng samseng dan yang sejenis dengan mereka' diajar begini.

    Saya ingin tahu dari Saudara, jika tak keberatan boleh tak jelaskan perbezaan atau persamaan Hantu dengan Puaka. Adakah nama sahaja berbeza?

    Terima Kasih.

    ReplyDelete
  6. W'salam buah kiwi.

    Manusia macam ni memang di luar sana samseng bagai jin tapi bila di hutan atau gunung pengecut macam ayam.

    Uncle sudah beberapa kali menghadapi orang yang begini tetapi di situasi dan tempat yang berlainan.

    Terima kasih di atas kunjungan kiwi ke blog uncle

    ReplyDelete
  7. Galuh,

    Kawan uncle gelak sampai terkentut!

    ReplyDelete
  8. W'salam sdr. paneh,

    Cerita saudara tu ok juga sebab ramai yang takutkan kubur tapi ada satu peristiwa, saya nak berak pun berbaris nak ikut. Masa tu kat Lahat di Gunung Stong.

    ReplyDelete
  9. Wa alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Dari apa yang saya tahu, Puaka adalah jenis jin/setan yang bertapak di sesuatu tempat. Kononnya tempat tu 'keras'. Jadi dikatakan kalau sesiapa ke situ atau buat tak tentu hal di tempat dia bertapak akan dirasuk dan diganggu. Macam dalam n3 saya dulu peristiwa di Gunung tebu.

    Hantu pula biasanya tidak bertempat. Sesiapa yang penakut biasanya mainan dialah. Ada juga yang dibela manusia seperti hantu raya yang saya ceritakan di n3 saya yang lepas 'Tumbuk Hantu Kena Tiang" tu.

    Tapi walau apa nama yang diberikan, mereka adalah terdiri dari makhluk syaitan atau jin.

    Untuk melawan mereka hanyalah dengan ayat-ayat alqur'an dan kekuatan iman. Sejauh mana kita tawakkal kepada Allah.

    ReplyDelete
  10. Pagi2 tuan dah buat sakura tersenyum sendiri di depan komputer ini...

    ReplyDelete
  11. salam uncle, bila nak buat sambungannya?? tak sabar nak menunggu ni.. hehe.. mungkin orang kita ni memang layak jadi jaguh kampung jer, kot..

    ReplyDelete
  12. Sakura,

    Itulah realiti manusia. Saya pun tidak faham mengapa dia ni berani dengan manusia tetapi takut kepada perkara yang dia sendiri tidak pernah tengok. Ada pendapat yang menyatakan "Hantu sebenarnya dari dalam diri sendiri" maknanya kita sendiri yang mencipta hantu. Wallahu aklam.

    ReplyDelete
  13. W'salam nurdaniella.

    Setelah semua selamat balik ke campsite, berehat sekejap uncle minta semua peserta berkumpul untuk sesi posmotem. Di dalam sesi inilah uncle balun dia cukup-cukup supaya lebih menghormati dan berhemah dengan orang lain. Dia adalah samseng yang pengecut. Uncle tanya semua peserta siapa yang menangis dan meraung tadi. Semuanya diam dan toleh menoleh di antara satu sama lain kecuali si samseng tu. Dia diam membatu tidak berani bertentang mata dengan uncle atau pun orang lain.

    Uncle kata kalau nak tahu siapa yang terjerit melolong tu adalah seorang manusia yang kamu semua anggap dia "Gedebe" atau samseng. Dan dia pula menganggap dirinya lebih berani dari orang lain. Uncle sebut nama dia.

    Bila uncle balun dia berjela-jela, dia hanya diam tunduk memandang tanah. Tidak berani angkat muka kerana malu.

    Uncle mendengar cerita selepas dari kem itu, dia berubah menjadi baik dan tidak menunjuk-nunjuk lagi.

    ReplyDelete
  14. Salam kembali Saudara,

    Terima Kasih atas penjelasan. Kita kena kuatkan "dalaman' untuk menepis gangguan jin dan syaitan dan nampaknya kita tiada jalan pilihan.

    ReplyDelete
  15. W'salam Puan melayuangkat.

    Perkara pokok di dalam agama kita ialah bina kekuatan iman dengan menyerah diri ke hadrat Allah.

    Dengan kekuatan iman, kita tidak akan takut kepada makhluk. Tanamkan kepercayaan yang teguh bahawasanya hanya Allah yang paling rapat dengan kita dan hanya Allah yang berkuasa keatas segalanya.

    ReplyDelete
  16. Hanis,

    Lawak, memang lawak. Rupanya bukan uncle sorang yang jumpa orang macam ni. Cuba tengok komen Paneh, dia jumpa gak orang macam ni.

    ReplyDelete
  17. hahahaha nasib baik tak basah seluar!

    ReplyDelete
  18. Erisya,

    Kalau basah pun tak siapa yang tahu, malam kan gelap!

    ReplyDelete
  19. salam uncle, padan muka dia kan.. mujurlah dia berubah, kalau tak, boleh ajak masuk hutan lagi..

    ReplyDelete
  20. W'salam nurdaniella.

    Memang dia berubah. Apa tidaknya dia dah malu dah tu uncle taji dia cukup-cukup beri dia insaf.

    Uncle kata dia rasa dia berani, dia hero, dia keras kepala tapi berhadapan dengan kegelapan malam pun dah lari. Belum lagi nampak hantu betul-betul. Itu baru uncle bercerita dan uncle sakat sikit ajer, dah berterabur lari meraung-meraung. Tak malu ke? Cuba kamu pandang diri kamu dan kamu renung kedalam sanubari kamu. Apa lebihnya kamu dari orang lain dan apa kurangnya orang lain dari kamu?

    Itulah perkara ucnle fokoskan kepada dia.

    ReplyDelete
  21. Tuan,

    Adakah pulau yang dimaksudkan itu adalah Pulau Raya, antara Pasir Mas dan Tanah Merah ?

    Rasanya itu sahaja pulau yang terbesar yang selayaknya bagi aktiviti sedemikian di tengah Sungai Kelantan selain pulau-pulau delta di muara Sungai Kelantan.

    ReplyDelete
  22. saudara _ .

    Pulau yang dimaksudkan itu adalah kalau tidak silap saya yang diberitahu ialah Pulau Buih. Daratannya bertentangan dengan simpang ke Tok Uban. Kangkong.

    ReplyDelete
  23. Excellent blog!

    To be continued on my website Bishopscourt

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa