Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, August 24, 2009

Terkurung Di Hutan Ketika Memburu Pelanduk

Imbau kenangan lalu ketika berburu Pelanduk bersama arwah Abang Ya (Abang Ngah) yang telah dikelirukan oleh entah apa jenis Jembalang sehingga gagal keluar dari hutan. Sebenarnya tempat dan hutan itu amat biasa bagi Abang Ya. Bukanya jauh sangat dari perkampungan pun.

Kami tersedar yang kami dipermainkan bila Pelanduk yang memang tepat kena tembakan dan nampak macam melambung dan hilang. Malam itu memang gelap pekat. Di langit tidak ada walau pun sebutir bintang. Bulan juga nampaknya tidak akan muncul sebab ketika ini adalah awal bulan. Kami masuk semakin jauh ke dalam. Tiba-tiba arwah abang berkata "Din tengok tu, suluhkan tepat ke mukanya senang abang nak bidik di antara dua matanya". Saya ikut arahannya dan "Daam" bunyi tembakan memecah sunyi malam. "Eh abang, kenalah. gerenti punya" memang saya yakin tembakan tepat pada sasaran dan nampak Pelanduk itu tercampak ke perdu pokok.. Saya berkejar ke perdu pokok itu diikuti oleh abang dengan pisau sembelihnya. Namun apa yang kami lihat bukannya Pelanduk tetapi sehelai daun kering yang besar tembus terkena peluru.

Begitulah seterusnya tiga lagi Pelanduk di tembak tetapi apa yang kami dapat lihat hanya daun kering yang besar atau pokok kecil yang tercabut. Semua tembakannya saya pasti tepat mengena sasaran. Tapi hasilnya habuk pun tak ada. Sepatutnya kami boleh membawa pulang sekurang-kurang tiga ekor Pelanduk. Kami kehairanan. Memang kami sedar kami dipermainkan. Abang ajak saya ke kawasan lain pula. Katanya memang orang di sini tidak mahu melepaskan habuan kita.

Sedang kami merayau-rayau dengan mata melilau kami terhidu bau yang cukup busuk macam bau taik atau Kilang Getah diselang seli dengan bau harum semerbak. Dengan spontan abang berkata kepada saya “ Din, ini hantu Pari atau Jembalang Hutan” Saya gelak dan pandang abang dengan berkata “Hantu ni bodohlah, tak kanlah dengan membuat bauan busuk dan harum kita boleh pengsan kerana takut!” Lalu abang membalas dengan berkata “Tak menjelma tak apa. Kalau menjelma aku tembak berterabur macam aku tembak Pelanduk tadi. Nak terburai tali perut cubalah menjelma kalau berani”. Saya hanya sengih sebab kalau tembak pun bukannya kena. Saya tahu abang hanya mengugut.

Kami cuba melangkah keluar dari situ tetapi kami kehilangan denai/trek. Kami dapati dilingkungi oleh hutan dan semak yang tebal. Abang sudah mula marah sebab tempat itu memang tempat dia dan sudah biasa. Lagi pun bukannya jauh sangat ke dalam. Sedang kami mencari trek di puncak bukit kecil itu, saya terjumpa satu Pokok Ara yang buahnya lebat dan muda. Saya petik setangkai untuk dibuat ulam. Apabila kami tinggalkan pokok itu, barulah saya perasan kepelikannya. Ada ke Pokok Ara tumbuh di puncak bukit? Selalunya pokok Ara akan tumbuh di tebing sungai atau berdekatan dengan sumber air.

Abang pula berkata “Sepatutnya kita takek pokok tadi atau abang tembak saja. Mungkin itulah Jembalannya yang menjelma menjadi pokok. Itulah penyakat kita!” Saya hanya sengih sebab kami sudah jauh tinggalkan pokok itu. Setelah sekian lama merayau di puncak bukit itu, kami cuba turun sedikit dan kami terjumpa denai menurun dan akhirnya kami tiba ke bawah bukit. Kami menemui pula satu trek yang agak besar yang boleh di lalui Jeep.

Dari situ kami masuk pula ke kawasan lain cuba mencari habuan. Setelah puas merayau dan mengesan Pelanduk, namun kami hampa. Seekor Pelanduk pun tidak melintas dan ditemui. Kami keluar balik ke jalan besar tadi dan berjalan ke kereta. Apabila tiba di satu anak sungai ketika saya nak menyeberangi satu titi, tiba-tiba muncul seekor Tenggiling yang besar menyerbu ke kaki saya. Dengan pantas saya mencabut Pisau Belati di pinggang saya, saya ketuk kepala Tenggiling itu dengan hulu pisau dengan kuat. Nak tikam pun tak guna sebab Tenggiling diselaputi dengan sisik yang keras dan tebal.

Apabila terkena ketukan saya, Tenggiling itu terus melarikan diri ke dalam semak. Satu lagi kepelikannya, selalunya Tenggiling akan melarikan diri dari manusia tetapi yang ini menyerang kita pula. Pada pendapat saya itu bukanlah sebenarnya Tenggiling tetapi Jembalang. Padan mukanya sudah merasa penagan hulu pisau saya. Jadi malam itu kami pulang dengan tangan kosong. Kami tiba di rumah jam sudah hampir 2.30 pagi.

23 comments:

  1. Salam uncle.
    Mesti seronok kenangan camtu kan.

    ReplyDelete
  2. W'salam Blogger ~0~

    Memang menjadi nostalgia kerana Abang pun pergi. Satu kenangan lucu tapi meletihkan.

    ReplyDelete
  3. Suka baca entri pasal makhluk halus kat sini...gerun pun ada,hakikatnya kita memang berkongsi dunia dengan mereka,cuma saya tak dianugerahkan kebolehan melihat mereka...tapi tak nak pun...

    ReplyDelete
  4. Salam IbuNurin

    Sudah pastinya begitu. Al qur'an pun ada menyebutnya. Kita tidak nampak mereka juga ada hikmahnya. Bukan semua manusia sanggup melihat keadaan dan rupa bentuk mereka. Allah anugerahkan kepada hanya segelintir saja dari kita kemampuan dan sanggup melihatnya.

    ReplyDelete
  5. berani sungguh ya...
    saya lalu tepi hutan pun dah kecut perut, apatah lagi nak masuk hutan ...bayar seribu ringgit pun tak naklah saya

    ReplyDelete
  6. Alfatihah untuk arwah Abang Ya. Tentu banyak suka duka bersama arwah.

    Pakdin kehilangan seseorang yang pandai dalam ilmu hutan, malah berdasarkan entry ni, mungkin juga arwah tahu ilmu mengawal 'makhluk halus'...

    Bukan senang berburu di hutan tebal. Salah langkah, jadi mangsa tembakan peluru sesat.

    Makaseh berkongsi kisah pelik dan misteri ni..

    ReplyDelete
  7. a kl citizen

    Nak kata berani tu, hutan bagi saya dan abang bukanlah menakutkan sangat. Kebetulan saya sukakan hutan dan gunung dan abang memang suka berburu. Tentu berburu kena masuk hutan.

    ReplyDelete
  8. Sdr. Barahim

    Arwah abang memang tahu serba sedikit kerana dia pernah masuk pertapaan selama 55 hari di tempat yang belum pernah di jejak manusia ketika berumur 35 tahun dan saya juga di ajar serba sedikit oleh arwah guru. Jadi sekiranya kami berpadu tenaga, kami yakin tidak akan berjaya di permainkan. Mengikut cerita kawan-kawan abang, abang Ya juga kebal tapi saya tidak pernah saksikan.

    Tentang berburu ni, kalau abang nak masuk ke mana-mana kawasan yang dikatakan keras, sayalah yang diajaknya. Kami berdua saja.

    ReplyDelete
  9. suka baca kisah seram uncle ni. hehe.. jalan cerita yg menarik. tapi kalo saya sendiri yang alaminya, erm..tak tahu la ape jadi. haha

    ReplyDelete
  10. yg penting, selamat balik ke rumah :)

    ReplyDelete
  11. kenangan terindah bersama abang Ngah..
    selalunyer bila Abe Din sebelum msuk ke hutan apa persediaan yang akan dibuat..brg2 yang biasa dibawa dsbgnya..

    ReplyDelete
  12. n a r d indie winkie.

    Biasalah. Ada orang yang suka baca kisahnya saja. Ada juga manusia yang suka untuk alami sendiri macam kumpulan seekers tu kan?

    Apa pun uncle bukan mencari, tetapi terpaksa hadapi bila berlaku begitu.

    ReplyDelete
  13. Mak Su

    Betul tu Mak Su. Alhamdulillah kami sampai juga ke rumah walaupun dengan tangan kosong

    ReplyDelete
  14. IndukYati

    Segala kenangan tetap akan diingati yang manis maupun yang pahit.

    Sebenarnya Abe Din bawa peralatan dan bekalan mengikut keperluan berapa lama masa di hutan/gunung. Sebelum bertolak ambil wudhuk dan berdoa serahkan segala urusan kepada Allah. Hanyalah Dia Pengurus yang Maha Menguruskan.

    ReplyDelete
  15. salam...

    tuan, terima kasih atas perkongsian ilmu dan pengalaman tuan...hari nie baru habis saya baca kisah jin/syaitan nie...

    saya mmg minat dgn pengalaman2 sebegini.

    Namun, ibu dan ayah saya di kampung ader masalah dengan makhluk halis nie yang mula2..agak nakal...
    lama2...melebih2 plak...
    bleh tolong ikhtiarkan X saudara?

    pisangemas81

    ReplyDelete
  16. pisangemas81

    Apa yang saya paparkan adalah pengalaman saya yang lalu. Kadang-kadang terasa seronok pula.

    Apakah masalah sebenar yang Ibu dan Ayah sdr. alami.

    Sebenarnya saya tidak belajar untuk menghalau tetapi untuk pertahankan diri saja, namun saya tidak menolak sekiranya ada dukun atau bomoh mahukan saya membantu dengan cara zikir bukannya mentera. Saya menolak bomoh yang menggunaka mentera

    ReplyDelete
  17. Salam 13 Ramadan.(pisangemas81)

    Tuan,

    Saya juga amat meminati pengalaman sebegini namun tidak pernah berpeluang mempelajarinya....
    kerana bg saya kita dpt lihat lebih jelas kebesaran allah itu dari sudut yg berlainan sekali.

    Begini masalahnya ibu dan ayah saya...


    mereka selalu mengalami kehilangan wang....amat selalu...pelbagai usaha telah dibuat...namun..sekejap sahaja reda....lepastu...kena balik...hilang lagi....

    pernah 1 ketika...bukan takat $...tapi dgn handbeg ghaib skali....

    pernah $ ambil dari koperasi nak masuk autoteller pun hilang sebahagian...kan pelik tu....

    mcm mana ya tuan.....boleh bantu ker?

    ReplyDelete
  18. W'salam pisangemas81

    Nampaknya makhluk ini sasarkan kepada hanya keluarga sdr. sahaja. Duit di rumah hilang bolehlah percayakan Toyol tetapi kalau di bank maka pihak banklah yang membuat onar.

    Tolong sertakan email dan insya Allah saya akan beritahu cara berikhtiar nanti

    ReplyDelete
  19. pisangemas81@yahoo.com.my

    ReplyDelete
  20. pisangemas81

    Insya Allah saya akan terangkan melalui email.

    ReplyDelete
  21. Complex Post. This transmit helped me in my college assignment. Thanks Alot

    ReplyDelete
  22. ASSALAMUALAIKUM...saya selalu juga mengikut ayah saya pergi memburu kancil di hutan tetapi sehingga kini saya tidak pernah lagi melalui pengalaman-pengalaman yang menakutkan cuma kadang-kadang adewla x jumpa jalan tp pas 2 jmpe blk..pengalaman memburu ni sangat seronok lbh2 lg bile mndapat haiwan buruan..plg byk prnh dpt kancil 4 ekor..adew gak pulang dgn tgn kosong ttp biasanye akan dapat wlpn sekor..

    ReplyDelete
  23. Salam.
    Tembak 3 kali 3 ekor pelanduk, satu pun tak mati, mungkin tak baca bismillah masa picit picu agaknya.Bergurau aje.Tak mustahil pokok ara tumbuh di bukit, dan tenggiling 'gila' menyerang kita. Bila saya ke hutan atau memancing di tempat2 sunyi, saya tak mahu pikirkan perkara yang bukan2, walaupun saya pernah mengalami pelbagai kejadian pelik di dalam hutan atau di sungai.Pernah saya berburu 3 orang dengan tiga senapang, di Sabah,tahun 80an, lebih 30 butir peluru habis kami tembak namun sasaran rusa yg nampak 4 ekor,hanya 30 meter dari kami (waktu malam), tidak beredar selama 1 minit, juga tidak tumbang.Kemudian rusa2 tadi hilang begitu sahaja.Cari dan gelidah keliling tak kami temui, 3 hari kemudian orang kampung jumpa bangkai rusa seekor di kawasan kami tembak tadi. Di kuala Sg Johor pula, 90an,saya dan biras saya ketika memancing, kami keluar dari Sg Tiram, dengan bot fibre, tak sampai 10 minit berjumpa ular sawa besar timbul menampakkan kepalanya dari permukaan air,hanya 5 meter dari bot kami yg berhenti seketika utk kami membuang air kecil.Nelayan amatur di Sg Tiran kata mereka juga sering ternampak ular sawa serupa di tempat yg sama.Sebelah senjanya pula, kami mengalami perkara pelik iaitu bidai laut yg mengangkat bot kami, namun kami tak diapa-apakan, tempatnya di pertemuan Sg Tiram dgn Sg Johor.Memburu pelanduk waktu malam di hutan Kulai,90an juga, saya dan seorang ustaz 'dikencing' oleh hantu raya (mungkin), sebab air yg disiram seperti menggunakan baldi besar dari atas pokok besar.Mujur tak mengenai kami berdua. Kata orang tua2 boleh kena sopak.Saya juga tidak belajar ilmu mengubat atau mempertahankan diri dari makhluk halus, cuma berbekal ilmu agama yg terlalu sedikit sahaja.Saya setuju dgn saudara Mountdweller, saya juga tak berkenan dengan bomoh yg menggunakan mentera atau amalan yg syirik, jika zikir pada saya ok.Alhamdulillah, 14 tahun dalam tentera dan selalu masuk hutan belantara, masih sihat dan 'still in one piece', kata orang kampung kawe,dan masih meneruskan hobi 'outdoor', memancing dan menembak.Sekian , jumpa lagi,insya Allah,wassalam. Wan, Australia Barat.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa