Pengumuman

Saya terpaksa update semula blog ini kerana saya dapati masih dikunjungi ramai walau pun dah hampir sebulan saya umumkan blog ini tidak akan diupdate .Saudara/saudari boleh juga ke - mountdweller88.blogspot.com (blog kedua)



Monday, February 2, 2015

Orang Asli Kelantan masih belum terima bantuan banjir kerajaan?

Mana bantuan kerajaan, soal mangsa banjir Orang Asli Kelantan
Published: 1 February 2015 11:11 AM
Hak Oi Angah dari Kampung Guling terpaksa berjalan kaki selama tiga jam ke pekan Kuala Betis mendapatkan barangan keperluan harian yang dijual 50% lebih mahal disebabkan banjir. - Gambar The Malaysian Insider oleh Mohd Farhan Darwis, 1 Februari 2015.

Sebulan selepas bencana banjir terburuk melanda pantai timur, masyarakat Orang Asli di Kelantan sehingga hari ini masih mempersoalkan ketiadaan bantuan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA), terutama di kawasan pedalaman.
Tinjauan The Malaysian Insider di beberapa lokasi pedalaman perkampungan Orang Asli dari suku Temiar di Kelantan minggu lalu mendapati, penduduk terputus bekalan makanan sehingga dua minggu tanpa sebarang bantuan apabila laluan utama dengan dunia luar terputus.
Sebahagian mereka terpaksa berjalan kaki meredah hutan belantara berjam-jam dalam usaha bantuan makanan daripada kampung berhampiran disebabkan penduduk di perkampungan mereka kelaparan.
Awir Awie, jurucakap penduduk Orang Asli Kampung Depak mendakwa mereka masih tidak pernah menerima sebarang sumbangan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli Malaysia (JAKOA) walaupun jabatan berkenaan dilaporkan membelanjakan lebih RM2 juta untuk bantuan makanan kepada komuniti berkenaan. – Gambar oleh Mohd Farhan Darwis, 1 Februari 2015
"Sejak banjir sehingga hari ini, JAKOA tidak pernah datang, kami tidak pernah merasa barang-barang sumbangan JAKOA," kata jurucakap penduduk Kampung Depak, Awir Awie, 28, kepada The Malaysian Insider.
"Kami kehabisan makanan dan terpaksa melarikan diri ke kawasan berbukit kerana rumah kami dinaiki air," katanya, ketika ditemui semasa misi bantuan pasca banjir kumpulan pertubuhan bukan kerajaan dan sukarelawan dari masyarakat sivil ke lebih 20 perkampungan Orang Asli di Gua Musang.
Terdapat juga sebahagian penduduk berjalan kaki selama tiga jam ke kedai runcit di pekan terdekat, Kuala Betis, bagi mendapatkan bekalan makanan.
"Kami terpaksa beli makanan walaupun harga mahal... beras yang selalunya RM18, pada masa itu dijual pada harga RM30, minyak petrol seliter dijual pada harga RM4," kata jurucakap penduduk bagi Kampung Guling, Hak Oi Angah, 45.
Hak Oi berkata, disebabkan kehabisan bekalan makanan serta kemusnahan tanaman akibat ditenggelami air, hampir separuh daripada penduduk di perkampungan tersebut terpaksa keluar berjalan kaki beramai-ramai ke kedai runcit terdekat itu.
"Baju dan peralatan persekolahan anak-anak kami terpaksa beli sendiri, tiada bantuan persekolahan yang kami terima," katanya.
Di Kelantan, seramai 7,995 penduduk Orang Asli daripada 67 perkampungan terjejas akibat banjir daripada keseluruhan 42,000 penduduk daripada 261 perkampungan Orang Asli dari seluruh negara.
Ketua Pengarah JAKOA Datuk Hasnan Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, jabatan berkenaan memperuntukkan lebih RM2 juta bagi bantuan makanan di 57 perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang sejak 28 Disember 2014 hingga 18 Januari 2015.
Seramai 1,364 ketua isi rumah dengan 6,820 isi rumah berdaftar dilaporkan menerima bantuan tersebut.
"Sehingga kini, JAKOA membelanjakan sejumlah RM2.1 juta nilai makanan bagi bantuan darurat untuk negeri Kelantan.
"Keseluruhan perbelanjaan darurat yang dibuat bagi penempatan Orang Asli yang terjejas dengan banjir di seluruh Semenanjung Malaysia ialah RM3.42 juta," kata Hasnan.
Bendahari Jawatankuasa Bertindak Kampung Orang Asli, Jaringan Orang Asal SeMalaysia, Jamali Ayau, 28, bagaimanapun mengakui, pihaknya mendapati masih terdapat kawasan perkampungan terpencil yang tidak dapat dilawati JAKOA.
"Ada kampung di pedalaman yang masih tidak menerima sebarang bantuan daripada JAKOA dan hanya bergantung kepada bantuan-bantuan yang diberikan NGO kerana jambatan dan jalan perhubungan darat mereka terputus," kata Jamali yang turut menyertai misi berkenaan.
Bekalan bantuan makanan dan perubatan dihantar menggunakan helikopter ke lokasi perkampungan penduduk Orang Asli yang masih tidak boleh dimasuki menggunakan jalan darat. – Gambar oleh Eliana Lee, sukarelawan konvoi, 1 Februari 2015.

JAKOA dalam kenyataan mereka dilaporkan berkata, bagi perkampungan di pedalaman seperti di Pos Simpor, Pos Gob, Pos Bihai, Pos Belatim, Pos Balar, Pos Hau, Pos Hendrop, Pos Tohoi dan Pos Pasik, penghantaran dibuat melalui pengangkutan udara, hasil kerjasama dengan pihak Bomba dan Penyelamat serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Bagaimanapun, bagi perkampungan Orang Asli yang tidak terputus hubungan tetapi terlibat dengan banjir iaitu sebanyak 33 buah, bekalan diedar kepada penghulu dan pengerusi JKKK Orang Asli kampung masing-masing."
Setiap aktiviti penghantaran makanan jabatan berkenaan turut dimuat naik ke laman sosial Facebook mereka.
Kumpulan NGO dan aktivis sosial yang diketuai peguam dari Majlis Peguam, Siti Zabedah Kasim, dalam misi tiga hari mereka bermula Jumaat lalu juga menggunakan lebih 10 kenderaan pacuan empat roda (4WD) sukarelawan bagi menghantar bekalan makanan tersebut.
Projek yang menelan belanja lebih RM200,000 itu dilaksanakan hasil sumbangan syarikat korporat seperti Allianz Malaysia dan Panasonic, serta sumbangan peribadi beberapa individu yang menggunakan perkhidmatan helikopter bagi menyalurkan sumbangan ke lokasi yang tidak boleh dimasuki menggunakan kenderaan darat.
Kumpulan berkenaan turut menyediakan perkhidmatan empat doktor yang ditugaskan secara berasingan bagi menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada lebih 20 lokasi perkampungan Orang Asli yang ditemui mereka.
Kebanyakan penduduk Orang Asli ditemui The Malaysian Insider turut melahirkan harapan agar JAKOA dapat menemui mereka dan memberikan bantuan sewajarnya kepada komuniti mereka.
"Sejak sebelum banjir, tidak pernah sekali pun JAKOA menjenguk kami, selepas banjir ini, nasib baiklah ada badan NGO yang menghulurkan bantuan," kata Uda, 50, yang merupakan jurucakap penduduk Kampung Ber. – 1 Februari, 2015.

3 comments:

  1. Pastinya JAKOA diterajui oleh orang melayu dan bukan orang asli. Jika orang asli yg menerajui JAKOA sudah tentu dirinya dapat merasakan kepayahan hidup orang asli, tambahan lagi mereka yg ditimpa musibah.

    ReplyDelete
  2. Saya cadangkan peneraju dan pekerja JAKOA ini digantikan dengan orang asal aje kerana ramai orang asal/asli dah mendapat pendidikan tinggi. selagi JAKOA ini dihuni oleh mereka yang hanya nak makan gaji, Orang asli tidak mendapat pembelaan. Masalah JAKOA tidak responsive ni dah lamaa dahh

    ReplyDelete
  3. Kerajaan Kelantan tak de duit , pak lebai saja banyak tapi pak lebai pun tak de duit.

    Orang orang Melayu nak hidup kaya ber gaya , mana dapat duit di buat rumah besar , bini muda dan Mercedes Bentley Range Rover...

    Bebudak Melayu tadi tanya lah Gomen , "Orang Asli jenama Kereta Baru ke , Datuk Seri ?"......

    Datuk Seri

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa