Monday, October 31, 2016

1MDB ternyata tak boleh disentuh!

Monday, 31 October 2016
IMDB TERNYATA LEBIH KEBAL BERBANDING IMUNITI AHLI2 PARLIMEN

Petang ini bekas Menteri Kewangan Kedua, Husni Hanadzlah diarahkan ke Bukit Aman untuk disiasat berhubung ucapan perbahasannya di Parlimen yang didakwa melanggar sumpah rahsia ketika menjadi anggota kabinet dahulu.

Selepas beliau, sudah tentu giliran Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal pula diambil keterangan atas kesalahan yang sama. Ketiga-tiga mereka akan disiasat di bawah Akta Rahsia Rasmi atau OSA kerana mendedahkan perkara-perkara berkaitan 1MDB yang didakwa pernah dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Muhyiddin dan Shafie, sebelumnya turut dipecat daripada kabinet dan UMNO kerana lantang mengkritik dan mempertikaikan  perjalanan serta hutang syarikat pelaburan kerajaan yang ditubuhkan oleh Najib Razak itu.

Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang pula dipenjarakan dibawah Sosma selepas membuat laporan ke beberapa negara, juga mengenai 1MDB setelah laporan-laporan yang mereka buat di negara sendiri tidak menghasilkan apa-apa tindakan.

Sebelum itu, beberapa perkara turut berlaku seperti pemecatan Gani Patail sebagai Peguam Negara, pertukaran dan kacau-ganggu terhadap pegawai-pegawai SPRM dan Bank Negara serta beberapa insiden lain yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Semuanya hanya kerana 1MDB dan mahu menyucikan syarikat pelaburan tersebut.

Dilihat daripada apa yang berlaku kepada tiga bekas menteri yang disiasat di bawah OSA,  tidak dinafikan bahawa 1MDB akan terus  merupakan sebuah "entiti yang hebat dan tidak boleh ditegur". 

Sesiapa saja yang menegur dan mengkritiknya, bersedialah menghadapi bahayanya, manakala yang sanggup mempertahan dan membelanya, melimpahlah pula ganjaran dan anugerah yang akan diterima.

1MDB bukan saja terlihat tidak lut daripada segala undang-undang yang ada, malah ia lebih kebal berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen ketika berucap di Dewan Rakyat. 

Sebelum ini, kita biasa mendengar apabila Ahli Parlimen menyentuh sesuatu yang sensitif ketika berucap di Parlimen, mereka selalunya akan dicabar supaya mengulanginya di luar Dewan Rakyat agar tindakan undang-undang dapat diambil.

Tetapi kali ini, tanpa sesiapa mencabar ketiga-tiga bekas menteri itu mengulanginya di luar Parlimen, sebaliknya hanya berdasarkan apa yang dibangkitkan oleh Speaker Dewan Rakyat dan kemudian disusuli dengan laporan polis oleh dua NGO pendedak, mereka terus disiasat dan diambil keterangan. 

Ia secara langsung dan tidak langsung menunjukkan 1MDB lebih gagah dan perkasa berbanding imuniti Ahli-Ahli Parlimen.

Dalam hal ini, seorang peguam berpengalaman dan bekas menteri, Zaid Ibrahim menyatakan, menyentuh sesuatu perkara  secara umum tidaklah boleh ditafsirkan sebagai mendedahkan rahsia kerajaan atau melanggar sumpah kerahsiaan, kecuali mendedahkan butiran minit mesyuarat kabinet secara khusus.

Jika diteliti ucapan perbahasan Muhyiddin, Shafie mahupun Husni, di mana dalam ucapan mereka terdapat hal-hal berkaitan minit mesyuarat kabinet yang didedahkan?

Jika seseorang bekas menteri yang bercakap secara umum mahu ditafsirkan sebagai melanggar sumpah rahsia, di zaman Tun Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu selepas pemilihan 1987 di mana ramai antaranya memilih untuk berbalah dan menyerangnya, termasuk menyentuh berkaitan berbagai syarikat kerajaan, mereka ketika itu tentunya lebih dianggap melanggar sumpah kerahsiaan.

Namun, pernah kita mendengar sesuatu tindakan diambil oleh Tun Mahathir kepada bekas-bekas menteri yang menentangnya?

Di sebalik ramai yang telah dan sedang diambil tindakan kerana menyentuh perkara berkaitan 1MDB, Jho Low yang sekarang entah di dunia mana sedang berhiburnya, tetap merupakan orang yang paling bertuah sekali di era Najib ini.

Beliau pasti akan tersenyum dan ketawa  menyaksikan satu demi satu insiden yang berlaku ini, meskipun segala-galanya berpunca daripada caturan yang dilakukannya. (SH 31/10/2016). - sumber

Apa nasib RUU355 agaknya?

Sunday, 30 October 2016
PAS BAKAL KECEWA LAGI...

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, Azalina Othman Said dilaporkan berkata, Dewan Rakyat sessi ini mungkin tidak cukup masa untuk pembentangan kali kedua usul persendirian Akta 355 oleh Presiden Pas, Hadi Awang.

Dalam satu wawancara dengan sebuah akhbar Cina, beliau memberitahu, Dewan Rakyat hanya mempunyai baki dua hari selepas perbahasan mengenai Bajet 2017 dijangka selesai, tetapi urusan berkaitan kerajaan perlu diutamakan terlebih dahulu.
Mengikut kalender, terdapat 2 atau 3 usul berkaitan kerajaan sedang menanti untuk diluluskan selepas perbahasan bajet itu. Saya tak tahu sama ada kita masa atau tidak kecuali jika semua sanggup bermalam di Parlimen, kata Azalina lagi.

Beliau juga menyebut antara yang menanti dalam agenda selepas selesai perbahasan Bajet 2017 ialah usul menggantung Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng selama enam bulan.

Dengan kenyataan Azalina ini, hampir pasti Pas akan kecewa lagi. Walaupun Azalina menggunakan perkataan "mungkin", ia sebenarnya sudah boleh dianggap mutlak bahawa memang tidak ada masa sama sekali untuk usul tersebut. Sebagai penjaga hal ehwal Parlimen, bicara Azalina adalah kata-kata Najib Razak.

Selepas Hadi Awang diberi ruang oleh kerajaan untuk membentangkan usul itu bagi bacaan kali pertama pada Jun lalu, malangnya sehingga kini ia seperti mahu dibiarkan tergantung begitu saja.

Pas pula sudah bergebang dan berjaja ke sana ini mengenai usul Akta 355 itu bagi sidang Parlimen kali ini. Mereka benar-benar yakin usul itu akan diberi masa untuk dibentangkan, malah pada 15 Oktober lalu, dua hari sebelum Parlimen bersidang, Pas turut mengadakan Himpunan Munajat dan Pidato Perdana di Melaka.

Dipetik dari laman Twitter Ketua Penerangan Pas, Nasruddin Hassan, beliau menggambarkan program tersebut sebagai "Himpunan Munajat dan Pidato Perdana Sokong Pinda Akta 355."

Jika pada hari pertama persidangan Parlimen, usul itu diletakkan dalam agenda keempat, di hari kedua menurun kepada agenda ketujuh, kemudian senyap begitu saja sehinggalah Bajet 2017 dibentangkan, jelas sekarang bahawa selepas perbahasan bajet selesai pun, masih lagi tidak terbuka ruang untuknya.

Speaker Parlimen, Pandikar Amin Haji Mulia sebelum ini ada menyebut, sama ada sesuatu usul persendirian itu dapat dibentangkan atau sebaliknya, adalah terserah kepada kerajaan memutuskannya.
Dalam maksud yang mudah, jika kerajaan mahu, maka terbukalah ruang seluas-luasnya untuk usul Hadi Awang itu. Sebaliknya, kalau kerajaan mahu berdolak-dalik, macam-macam alasan boleh dicipta untuk menidakkannya.

Soalnya, berapa lama Pas sanggup menunggu lagi untuk usul Hadi Awang itu?

Masihkah Pas tidak mahu percaya bahawa selagi MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti di Sabah serta Sarawak membuat bantahan, Najib yang mengetuai UMNO dan kerajaan tidak mungkin berani memberi ruang kepada usul tersebut?

Mungkinkah usul meminda Akta 355 ini bukan saja menjadi usul yang tersangkut untuk bacaan kali pertama saja, bahkan akan terus tergantung untuk selama-lamanya?

Dengan yang demikian, jika Pas masih sayang untuk meminggirkan Najib dan UMNO dalam percaturan politik semasa, walaupun disedari sedang terlibat dalam skandal kewangan terbesar di dunia,  apakah selepas ini parti itu perlu mengadakan lebih banyak program munajat dan solat hajat agar dibukakan pintu hati Najib terhadap usul Akta 355 itu? (SH 30/10/2016).

Thursday, 20 October 2016
SETELAH UCAPAN GST DIPUTAR-BELIT DAN AKTA 355 MUNGKIN TANGGUH LAGI, MASIHKAH PAS MAHU PERCAYA UMNO?

Apa sudah jadi dengan usul Akta 355 untuk bacaan kali kedua yang sepatutnya dibentangkan oleh Hadi Awang?

Esok, 21 Oktober adalah hari pembentangan Bajet 2017 oleh Najib Razak dan minggu-minggu seterusnya perbahasan di Parlimen akan dipenuhi dengan hal-hal  berkaitan dengan belanjawan saja.

Jika hari ini iaitu hari terakhir sebelum Bajet 2017 dibentangkan, usul Hadi Awang itu tidak juga diberi ruang oleh Speaker, kemungkinan ia tidak sempat langsung dibawa untuk sessi Parlimen tahun ini dan seterusnya dianjak lagi ke tahun hadapan.

Yang menariknya, pada hari pertama sessi Parlimen Isnin lalu, usul Hadi itu disenaraikan dalam aturan mesyuarat nombor empat, tetapi sehingga ke petang ia tidak juga dibentangkan.

Kemudian pada hari Selasa, usul tersebut menurun ke tempat ketujuh dan tidak juga dibentangkan. Semalam, hari Rabu, langsung tiada khabar berita mengenainya.

Kalau ikut logik, jika hari pertama sudah masuk agenda nombor empat,  usul tersebut sepatutnya diletakkan sebagai agenda nombor dua atau tiga pada hari berikutnya. Ia tidak seharusnya menurun kepada tempat nombor tujuh.

Hanya tinggal hari ini iaitu Khamis untuk peluang usul tersebut dibentangkan. Jika hingga petang nanti tiada juga usul Hadi itu, nasibnya semakin sukar diramalkan.

Seharusnya usul Hadi Awang ini tidak lagi ditangguhkan kerana bacaan kali pertamanya sudah dilakukan pada sessi Parlimen yang lalu. Kali ini ialah untuk bacaan kali kedua, dibahas dan seterusnya dijalankan undian.

Lagi pula, Najib Razak dan semua pemimpin UMNO bukan main lagi menyokong usul tersebut. Meskipun aturan Parlimen biasanya memberi laluan kepada usul kerajaan terlebih dahulu, tetapi jika Perdana Menteri menghendakinya, beliau boleh memberi arahan agar usul persendirian Hadi Awang itu didahulukan.

Apabila ditangguhkan begini dan seolah-olah Hadi Awang sedang dipermainkan, adakah bermakna Najib sendiri tidak mahu usul itu dibentangkan?

Sedarkah Najib bahawa Pas sudah mengadakan majlis munajat dan solat haiat pada 15 Oktober lalu untuk memohon keredaan Tuhan agar usul itu tidak mengalami banyak halangan dan seterusnya diluluskan?

Apakah Najib tidak mahu memberi laluan kerana belum bersedia menghadapi parti-parti komponen BN yang terang-terang menentang usul berkenaan?

Sampai bila ia mahu ditangguhkan lagi dan Najib akhirnya setuju memberi laluan?

Awal tahun depan, pertengahan tahun depan, akhir tahun depan atau sehingga tibanya tarikh pilihanraya?

Walaupun usul Akta 355 itu berkaitan memberi lebih kuasa kepada Mahkamah Syariah, tetapi parti-parti komponen BN melihatnya sebagai laluan awal kepada perlaksanaan hudud. Maka, MCA, MIC dan Gerakan, termasuk komponen BN di Sabah dan Sarawak juga menentangnya.

Di sebalik parti-parti komponen itu menentang, mereka juga menyatakan BN sudah ada konsensus jika ia dibentangkan. Tapi pemimpin-pemimpin UMNO tetap mengunci mulut, malah Zahid Hamidi sendiri mengatakan sama ada dari segi pembentangan, mahu pun sokongan, ia terpulang kepada Najib menentukannya.

Tetapi sokongan Najib secara luaran kepada usul berkenaan sehingga ia dapat dibawa untuk bacaan kali pertama oleh Hadi pada sessi Parlimen yang lalu, telah berjaya mendekatkan lagi hubungan Pas dengan UMNO.

Pas dan UMNO tidak lagi bermusuhan seperti selalu. Berbanding UMNO, walaupun ketika ini Najib berhadapan dengan skandal kewangan bertaraf mega dan diperkatakan di seluruh dunia, Pas lebih keras bermusuh dengan Amanah berbanding parti itu.

Persoalannya, jika usul Hadi itu tidak juga diberi laluan, sedarkah Pas bahawa mereka sedang dipermain dan diperalatkan oleh UMNO?

Apakah tidak mungkin usul Hadi itu akan terus ditangguhkan dan hanya dijadikan modal oleh Najib untuk memberi gambaran kepada pengundi Melayu seolah-olah beliau adalah pemimpin yang mencintai hukum Islam dan lebih bertujuan merapatkan hubungan dengan Pas, sekaligus merencatkan kesepakatan parti-parti pembangkang dalam PRU 14?

Setelah ucapan Hadi Awang mengenai GST yang diputar-belit oleh media-media utama kawalan UMNO Selasa lalu dan bersama usul Akta 355 yang mungkin terus ditangguhkan ini, apakah Pas masih mahu menaruh kepercayaan lagi kepada Najib dan UMNO? (SH 20/10/2016).

Anda mungkin juga meminati:

Yamen tuduh ini angkara Arab Saudi


Published on Oct 9, 2016

Sebuah misil menghantam gedung menewaskan sekitar 140 orang dan melukai 525 orang lainnya di kota Sana’a, Yaman.

Serangan ini terjadi pada Sabtu siang waktu setempat saat upacara pemakaman ayah dari Menteri Dalam Negeri Galal Al-Rawishan, pejabat yang terafiliasi dengan pemberontak Hutsi. 

Menteri Tawishan selamat dari serangan, sementara Wali Kota Sana’a, Abdulqader Hilal, tewas. 

Banyaknya korban jiwa mengharuskan Departemen Kesehatan Yaman memanggil semua petugas medis dan unit ambulans yang ada untuk membantu para korban. 

Para saksi mata menuturkan, banyak korban yang tewas mengenaskan hingga tidak bisa dikenali, beberapa di antaranya merupakan anak-anak.

Husni Hanadzlah dipanggil ke Bukit Aman pulak esok

Ahmad Husni dipanggil ke Bukit Aman esok
Aidila Razak  Hari ini, 30 Okt. 16 - 9:01 malam
Bekas menteri kewangan kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman esok kerana ucapan di Dewan Rakyat baru-baru.

Ini berikutan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata bekas menteri kabinet itu mungkin telah melanggar sumpah kerahsiaan kabinet ketika berucap di dalam Dewan.

Pembantu Husni memberitahu Malaysiakini bekas menteri itu dipanggil untuk disoal siasat pada pukul 2.30 petang esok.

Ahmad Husni dalam ucapannya meminta kerajaan menyatakan sebab 1MDB ditubuhkan dan sekiranya terdapat sebarang tindakan diambil kerana menyalurkan dana syarikat ke "tempat yang salah".

Beliau juga kesal serangan cybertrooper Umno berikutan peletakan jawatannya.

Husni meletak jawatan daripada Kabinet pada Julai lalu tetapi kekal sebagai Ahli Parlimen BN di parlimen Tambun.

Bagaimanapun, ucapannya menimbulkan spekulasi bahawa beliau mungkin dipecat daripada Umno seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jun lalu berikutan kelantangan mengkritik presiden parti Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB.

Shafie yang juga anggota parlimen Semporna turut meletak jawatan daripada parti itu selepas digantung kerana mengkritik Najib dan 1MDB.

Muhyiddin, yang juga Ahli Parlimen Pagoh kemudian menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) manakala Shafie mengasaskan Parti Warisan Sabah.

Sunday, October 30, 2016

Berani dan nekadnya puak-puak setan ni!

Lima lelaki warga Indonesia samun kediaman polis di Batu Pahat  
Oktober 29, 2016 07:52 MYT
Lima lelaki warga Indonesia samun kediaman polis di Batu Pahat
Menurut Abdul Wahib, ada kejadian pukul 3.30 pagi itu, kelima-lima suspek yang menutup muka mereka dengan topeng ski, menyamun dua rumah di kawasan berkenaan. - Foto Bernama
JOHOR BAHRU: Lima lelaki dipercayai warga Indonesia bersenjatakan sabit dan pisau bertindak menyamun rumah anggota polis di Kompleks Perumahan Polis Tanjung Labuh dekat Batu Pahat, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Abdul Wahib Musa berkata pada kejadian pukul 3.30 pagi itu, kelima-lima suspek yang menutup muka mereka dengan topeng ski, menyamun dua rumah di kawasan berkenaan.

Namun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan, katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Wahib berkata kedua-dua rumah yang terletak bersebelahan, masing-masing diduduki anggota berusia 34 dan 51 tahun.

Beliau berkata sejumlah barangan iaitu wang tunai kira-kira RM800, dua telefon bimbit, satu komputer riba, dan jam tangan dilarikan dari rumah pertama yang dihuni anggota berusia 51 tahun itu manakala suspek melarikan seutas rantai emas yang dipakai isteri mangsa kedua, wang tunai RM300 dan dua telefon bimbit.

Suspek turut mengikat tangan dan kaki mangsa kedua dan selepas suspek melarikan diri, mangsa menjerit meminta pertolongan jiran.

Beliau berkata siasatan mendapati suspek masuk melalui pintu belakang dan membuka sekeping tingkap dan tombol pintu menggunakan tangan.

"Pintu belakang kedua-dua rumah itu tidak menggunakan kunci tambahan dan suspek dipercayai turut keluar melalui jalan yang sama," katanya.

Abdul Wahib berkata satu operasi untuk menjejaki suspek dilancarkan dan setakat ini polis menahan 13 suspek warga Indonesia bagi membantu siasatan.
Kompleks perumahan polis itu didiami seramai 165 anggota lain-lain pangkat dan terletak kira-kira lima kilometer dari Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, kata Abdul Wahib. -- BERNAMA

Apa agaknya perasaan Hadi dan PAS?

Tak cukup masa untuk usul Hadi, kata menteri

  | October 30, 2016
Urusan kerajaan perlu didahulukan selepas perbahasan Bajet, kata Azalina Othman Said
PETALING JAYA: Dewan Rakyat mungkin tiada masa untuk tangani rang undang-undang (RUU) persendrian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kata menteri bagi hal ehwal Parlimen.
Datuk seri Azalina Othman Said dalam satu wawancara berkata Dewan hanya mempunyai baki 2 hari lagi selepas perbahasan Bajet 2017 selesai, tetapi urusan kerajaan perlu didahulukan.
“Mengikut kalendar, ada 2-3 usul menanti untuk diluluskan selepas perbahasan Bajet selesai,” katanya lapor Sin Chew Daily.
Turut berada dalam agenda adalah usul menggantung Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng selama 6 bulan.
“Kami hanya ada 2 hari untuk selesaikan semua urusan, saya tak tahu sama ada kita ada masa kecuali kita semua bermalam di Parlimen,” katanya.
Sidang Dewan Rakyat dijadualkan berlangsung sehingga 24 November. Sebanyak 6 hari diperuntukkan untuk rang undang-undang dan urusan kerajaan lain, manakala 23 November hingga 24 November diperuntukkan untuk urusan lain.
Hadi mengemukakan usul mendapatkan persetujuan ahli Dewan untuk membentangkan rang undang-undang memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah.
Usulnya perlu dibahas dan diundi ahli Dewan. Sekiranya usul diluluskan, RUU dianggap sudah dibentangkan tetapi menteri berkaitan perlu kemukakan ia untuk dibahaskan.
RUU itu mahu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membolehkan mahkamah syariah negeri melaksanakan sebarang hukuman yang diperuntukkan dibawah undang-undang Islam kecuali hukuman mati.

Akibat dari PAS pindah penduduk, Amanah bertunas di Kampung Laut

Penduduk Kampung Laut tubuh cawangan Amanah, tidak lagi percaya Pas
30 Oktober 2016 | ZIKRI ABDULLAH
Zakaria Yussuf menyerahkan borang keahlian Amanah kepada Ketua Amanah Tumpat Wan Johari.

Sekumpulan 20 penduduk Kampung Laut, Tumpat, Kelantan menubuhkan cawangan Parti Amanah Negara (Amanah) selepas tidak lagi yakin dengan pemerintahan Pas di negeri itu.

Penubuhan cawangan itu selepas penduduk kampung itu mengadakan himpunan membantah perpindahan mereka bagi memberi laluan kepada projek Kampung Warisan.

Wakil kumpulan berkenaan, Zakaria Yussuf bagaimanapun menafikan keputusan mereka itu ada hubung kait dengan bantahan di hadapan kompleks pentadbiran negeri dua hari lalu.

"Penubuhan cawangan Amanah ini telah kami rancang lama," katanya.

Dalam pertemuan pagi semalam mereka bersetuju membentuk jawatankuasa penaja Amanah cawangan Kampung Laut yang diketuai Nik Ghazi Nik Abdullah.

Menurut Zakaria, penduduk di situ telah lama memerhati tindak-tanduk Pas yang disifatkan sebagai hilang fokus untuk membantu rakyat setelah ketiadaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Nampak sangat kini keputusan-keputusan berkaitan orang ramai kurang dirunding dan hanya pihak atasan membuat keputusan.

"Kita melihat kerajaan Pas sekarang sudah hilang fokus untuk membantu rakyat. Projek dilihat lebih penting daripada jerit perih rakyat.

"Semasa tok guru dulu, rintihan rakyat selalu diambil berat. Sekarang sudah hilang. Ini yang menyebabkan kita sudah hilang kepercayaan kepada mereka," katanya.

Menurutnya, rasa pelik juga timbul apabila hubungan Pas dengan Umno yang dilihat semakin intim berbanding zaman pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz.

"Rakyat di bawah tidak faham apa hubungan dengan Umno hingga di media pemimpin Pas dan Umno kelihatan sokong-menyokong," katanya.

Zakaria berkata satu majlis ceramah besar-besaran akan diadakan di kampung Laut sebaik permohanan penubuhan cawangan diluluskan.

"Kita Akan jemput pemimpin-pemimpin kanan Amanah peringkat negeri dan nasional," katanya.
Penduduk Kg Laut membuat demo di perkarangan DUN Kelantan 27 Oktober lepas.

DEMO BANTAHAN

Berpuluh penduduk Kampung Laut, Tumpat, Kelantan berdemonstrasi di perkarangan kompleks pejabat kerajaan negeri, di Kota Bharu 27 Oktober lepas.

Mereka membantah tindakan kerajaan mengambil tapak rumah dan tanah mereka untuk dijadikan tapak projek Warisan.

"Kami mahu rumah bukan waye kulit," adalah antara sepanduk yang dinaikkan oleh mereka di depan pejabat SUK Kelantan yang turut menempatkan Dewan Undangan Negeri Kelantan yang kini sedang bersidang.

"Kami oghe Kampung Laut tolak projek Warisan, Jange hambat kami," juga antara sepanduk dan kain rentang yang dinaikkan.

Ketika Dewan berehat tengahari, Adun Salor Datuk Husam Musa telah menemui mereka bagi meredakan kemarahan.

Sidang DUN Kelantan : Pas sendiri tergugat?


sidang dun kelantan grafik2sidang dun kelantan grafik2
Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan telah berakhir tanpa membersihkan imej kerajaan Islam Pas Kelantan. Isu yang dibangkitkan oleh wakil tunggal Pan, Dato Husam Musa menimbulkan lebih banyak persoalan baru yang menggambarkan kerajaan sekarang pada kedudukan lemah dan tidak telus.
Pimpinan Pas bawahan hairan, kenapa begitu lemah pengurusan Kelab Penyokong (BBC) Kelantan untuk bangun mengganggu ucapan Datuk Husam yang sarat dengan tuduhan dan fakta yang boleh menghakis sokongan rakyat kepada kerajaan yang memerintah sekarang. Bahkan ada yang membuat andaian, masih ramai penyokong Datuk Husam dalam kalangan wakil rakyat sekarang.
Sidang Dun kali ini seolah-olah mengikut rentak gendang dan tari Datuk Husam, bukan menonjolkan imej dan gagasan imej kerajaan negeri yang membentangkan Bajet 2017 bertema 'Kelantan sejahtera untuk Islam'. Amat merugikan peluang pembentangan bajet negeri yang terbaik ini disia-siakan begitu sahaja.
Exco agama dilihat terlalu emosi dan bengkeng menghadapi aura Datuk Husam yang hanya perlu bangun memohon laluan untuk bertanya. Kenapa perlu bangkit perkara tidak sepatutnya iaitu soal pemecatan Datuk Husam yang disebut gagal hadir ke jawatankuasa tatatertib Pas Pusat setelah dihantar surat. Sekali lagi Datuk Husam membuktikan pembohongan telah dibuat ke atasnya dan menafikan ada surat sedemikian.Imej exco agama sekarang terlalu buruk pada pandangan rakyat kerana tersasar daripada kebenaran dan bawa imej bengis dan sombong yang tidak lagi sesuai berada dalam saf kepimpinan Ustaz Mad yang dilihat lemah lembut.
Ketidakhadiran Timbalan Menteri Besar untuk menggulung dan menjawab persoalan tentang Ladang Rakyat juga suatu yang mendukacitakan. Kalau MB sanggup hadir dan berani menjawab isu pengambilan tanah rakyat Kampung Laut tetapi TMB membiarkan isu Ladang Rakyat yang kontroversi tidak berjawab, maka imej kerajaan Islam Pas Kelantan akan terus tercalar.
Kesilapan terbesar Speaker Dewan apabila membenarkan laporan audit dalaman berkaitan dengan Kumpulan Perkayuan Kelantan (KPK) yang dibawa oleh Datuk Husam diedarkan. Laporan tersebut tidak lagi mampu ditarik balik kerana ia sarat dengan fakta dan bukti. Maka bagi mengembalikan imej bersih kerajaan negeri, maka individu yang bertanggungjawab ke atas kelemahan dan kehilangan aset KPK tersebut perlu diambil tindakan. Ini sahaja pilihan yang ada kepada Ustaz Mad MB sebelum akan terus dilabel lemah dan tenggelam dengan pengaruh TMB yang berkepentingan sekiranya tidak berbuat apa-apa.
Pujian seharusnya diberi kepada Datuk Anuar Tan yang berani bertekak melawan adiknya Datuk Husam. Namun kegagalan memberi laluan kepada Datuk Husam untuk bertanya soalan tidak sepatutnya berlaku dan dilihat sedikit penakut. Dilihat ketidakhadiran TMB pada sesi penggulungan, ramai pemerhati telah menjangkakan sudah ada tugasan diberikan oleh parti kepada Datuk Anuar Tan untuk menangkis serangan Datuk Husam tentang isu balak tebang habis ini.
Sangkaan Datuk Anuar Tan tidak akan disangkal oleh Datuk Husam tersasar kerana menggunakan pendekatan belas kasihan kepada al marhum Tok Guru Nik Aziz dan melesek segala kelemahan pengurusan hutan negeri kepada jawatankuasa yang dipengerusikan al marhum dan dianggotai oleh Datuk Husam sendiri. Ini tidak menghalang Datuk Husam dari terus bangkit mempertahankan maruahnya yang dikatakan tercalar kerana menjatuhkan imej al marhum yang telah meninggal dunia. Misi ini juga gagal kerana Datuk Anuar Tan tidak terus memanjangkan ucapannya setelah sesi bersambung setelah solat asar. Ini ada kemungkinan Ustaz Mad MB menasihati Datuk Anuar Tan untuk berbuat demikian bagi mengurangkan ketegangan dewan yang telah berlanjutan.
Apa yang pasti segala perjalanan sidang Dun ini telah disaksikan oleh semua pihak secara hadir maupun secara atas talian dan diviralkan secara meluas oleh pihak Pas atau pembangkang. Rakyat akan terus menilai dan sesuatu perlu dilakukan segera pihak pimpinan Pas atasan untuk membetulkan kelemahan yang ada sebelum PRU yang djangka pada pertengahan tahun 2017 akan datang. Kalau perlu pecat, maka pecatlah tapi memecat Datuk Husam dari Pas adalah kesilapan terbesar Pas.

Apa jadi agaknya seandainya Trump dipilih jadi Presiden

‘Saya lebih ‘American’ daripada Donald Trump’
SH - 30 OKTOBER 2016
Eva Longoria

NEW YORK - AMERIKA SYARIKAT. Pelakon, pengarah dan aktivis berketurunan Mexico Eva Longoria menyelar Trump berkenaan komen kesat beliau mengenai bangsa Latin.

Menurutnya, tindakan calon presiden Republikan itu menggambarkan pendatang tanpa izin sebagai penjenayah ganas datang dari sempadan Amerika-Mexico semasa debat presiden baru-baru ini adalah salah sama sekali.

“Hakikat bahawa Trump menggunakan perkataan ‘Latino’ menjadi sinonim dengan perkataan ‘haram’ adalah satu kesilapan yang besar.

“Saya merupakan generasi kesembilan di sini, jadi saya lebih ‘American’ daripada dia,” katanya kepada majalah Ocean Drive.

Beliau berkata demikian kerana salasilah keluarga Trump di mana ibunya berasal dari Scotland dan datang ke Amerika ketika berumur 18 tahun manakala ayah, datuk dan neneknya pula berhijrah dari German.

Sejak awal kempen Trump telah mendapat kritikan daripada masyarakat Latin berkenaan dengan komen penuh kebenciannya kepada komuniti itu.

“Tidak semua pendatang tanpa izin adalah dari Mexico atau Amerika Latin, dan juga warga yang dilahirkan di sini lebih cenderung untuk melakukan jenayah,” katanya lagi.

Beliau juga merupakan Ketua Yayasan Eva Longoria, sebuah badan amal bertujuan untuk menggalakkan pendidikan dan keusahawanan untuk warga Latin di Amerika Syarikat.

Longoria juga secara terang-terangan menyuarakan sokongannya terhadap calon presiden Demokratik, Hillary Clinton dan menyifatkan beliau sebagai seorang mudah untuk disukai.

“Saya mengenali Clinton secara peribadi dan dia adalah salah seorang manusia yang sangat disenangi , penyayang dan menakjubkan.

“Saya tidak faham mengapa rakyat tidak melihat calon Demokratik sebagai seorang yang disenangi. Bagaimanapun pengundi lebih melihat kepada kepimpinan kualiti dan bukannya jika seseorang itu disukai,” katanya lagi.

Ulama Politik pujaan......

ULAMA POLITIK PUJAAN...?
By Sahabat Shahpaskal
1. Teruk saya kena bahan bila saya tumpang akaun fb anak untuk komen gelagat politik seorang tok guru ternama. Siap anak bagi warning jangan buat lagi nanti orang kutuk dia macam-macam.
2. Agaknya tu pasal banyak kali orang tanya saya siapa ulama pilihan saya kat negara kita. Saya tak ada jawapan untuk itu. Cuma masa ni saya impress seorang ulama hikmah yang menetap di sebuah pulau di Sulawesi yang saya panggil kakek dan dia juga membahasakan saya sebagai cucunya.
3. Saya rasa selepas buat sikit social experiment pasal tok guru tu, saya dah dapat baca macamana majoriti orang kita berfikir. Saya je yang menongkah arus, macam spesis terpencil.
4. Sebenarnya macam orang lain, idola saya tak lain tak bukan adalah Rasullullah saw. Selain pada tu, mana-mana ulama yang ada ciri-ciri Baginda, itulah saya respek khususnya bertaraf ‘wali hidup’.
5. Gitu pun, saya bersikap neutral di mana ada ahli agama yang tinggi akademiknya tetapi belum sampai tahap wali, saya respek ilmunya tetapi tidak keseluruhan tingkahlakunya. Respek yang patut-patut.
6. Pasal sering bercerita dengan orang ghaib ni, saya diingatkan bila mengagumi seseorang ulama tu, haruslah juga saya memerhati apakah ada kurniaan ALLAH SWT yang istimewa ke atas orang berkenaan tu. Kurniaan ini lebih kepada keistimewaan berbentuk karomah serta kasyafan atau dalam bahasa mudahnya ‘laduni’.
7. Ada juga yang klaim dirinya ulama tetapi bersahabat dengan para jin. Dengan sahabat jinnya juga, si dia cuba mempamerkan ke’luarbiasaan’nya. Insha Allah, bagi yang ahli, kita dapat tahu penggunaan jin-jin ini dengan mudah sahaja. Malah ada kes-kesnya, jin dia juga dibelasah sama bila mula buat onar.
8. Saya tak salahkan ada ahli agama atau lebih mudah saya katakan lulusan agama sertai politik. Saya mudah, bila dah ceburi politik, maka dia bukan ulama lagi melainkan ahli politik yang beraliran agamA. Cuma saya sarankan diri saya untuk anggap si dia ahli politik, bukannya ahli agama, apatah lagi bertaraf wali besar.
9. Saya juga percaya kalau ahli politik lulusan agama ini bermunajat ke hadrat Illahi, pastinya apa yang dipinta ada lah ‘menang pilihanraya’ dan dapat undi semaksimumnya. Amat jarang rasanya dia munajat dan berdoa hal-hal yang tak bersangkutan.
10.Berbalik pada anugerah tadi, kalau seseorang ulama besar, sudah semestinya akan dianugerahi ALLAH SWT pelbagai keistimewaan dalam urusan sehariannya. Sebagai contoh, kalau nak melakukan perjalanan jauh. ALLAH SWT akan ilhamkan ke qalbunya apa-apa situasi bahaya menunggunya di perjalanan.
11.Ada kes ahli politik aliran agama ni terlibat kemalangan jalanraya. Jadi, macamana dengan doanya ketika memulakan perjalanan..? Apakah ALLAH SWT keberatan nak makbulkan..? Apakah itu kifarah..? Atau peringatan..? Kalau dah macam tarafnya wali besar, tak perlu lagilah ALLAH SWT bagi peringatan. Sebab ALLAH SWT pasti jaga sesiapa yang jaga agama-Nya.
12.Ada yang kata saya berdosa kerana mencerca ulama yang alim. Entahlah.. Saya dah jumpa ramai orang-orang alim yang malamnya tak tidur, sepanjang malam beribadah dan hal ni jadi rutin harian.
13.Masa kena bahan tu,ada yang doakan saya mati, kena balasan dan suruh mengucap balik. Apakah saya dah terkeluar Islam hanya sekadar tak setuju dengan ahli politik yang dianggap ulama..? Walhal hidup matinya kerjaya politik beliau hanyalah di tangan manusia bergelar para pengundi..?
14.Saranan saya, janganlah taksub sangat dengan individu-individu politik tertentu. Semua kita banyak masalah dan kekurangannya. Malah di mata orang berilmu dalam, hal-hal belakang tabir kita jelas di mata mereka.
15.Adakah yang kutuk-kutuk saya tu pernah bermunajat seperti bersholat hajat setiap hari memohon petunjuk dari ALLAH SWT apakah tepat sangkaan dan pendirian mereka..? Atau sekadar menyokong membuta-tuli..?
16.Maaf, saya tak menyertai mana-mana parti politik kerana saya letakkan diri saya di atas dari kepentingan politik. Kepentingan agama, rakyat dan negara melebihi segala-galanya…

Isteri mangsa dera pegawai SPRM bercerita

‘Dia bagaikan mimpi ngeri saya’
NUR ALINA HASSAN - 29 OKTOBER 2016
‘Dia bagaikan mimpi ngeri saya’ Ida ketika ditemui bersama anak sulungnya.

TANGKAK - “Sepanjang perkenalan, dia seorang lelaki yang baik, sehinggalah seminggu selepas perkahwinan, mimpi ngeri mulai menyelubungi saya,” itu luahan seorang suri rumah yang mendakwa menjadi mangsa dera suaminya.

Hanya mahu dikenali sebagai Ida, ibu berusia 22 tahun itu berkata, selepas seminggu berkahwin, dia seolah-olah tidak mengenali suaminya sendiri apabila perwatakan lelaki itu berubah cukup ketara.

Menurutnya, suaminya seorang kakitangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berusia 37 tahun adalah seorang duda yang mempunyai sikap panas baran.

“Saya tak pernah tahu sikapnya itu sehinggalah saya tinggal sebumbung dengannya. Sepanjang hampir dua tahun berkahwin ini, puas dia memukul, menyepak terajang dan memaki hamun saya meskipun saya sedang sarat mengandung anak kedua ketika itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Anggota SPRM dera isteri ditahan polis]

“Namun sebelum ini, pergaduhan kami tidak pernah melibatkan anak-anak sehinggalah suatu malam apabila saya bertindak menolak arahannya,” kata ibu kepada dua cahaya mata ini.

Ida berkata, pada 18 September lalu setelah dua hari tidak pulang ke rumah, seperti biasa dia akan pulang dalam keadaan marah.

Ketika pergaduhan itu, Ida telah dipukul teruk selain dipaksa menjilat habuk rokok di lantai sebelum dia menyembunyikan diri dan membuat laporan di balai polis berhampiran bagi melindungi keselamatan anak-anaknya.

“Selama hampir dua tahun perkahwinan saya cuba bersabar. Dia memang akan mengamuk selepas beberapa hari tidak pulang ke rumah. Namun keadaan akan pulih seperti sedia kala.

“Kerana itu saya yakin dia pasti akan berubah. Namun dengan tindakan yang dibuat bulan lalu, saya sudah hilang sabar dan kini dalam proses menuntut cerai,” katanya ketika ditemui, di sini.

Menurut Ida, dia hanya berharap suaminya itu dikenakan tindakan yang setimpal.

Saturday, October 29, 2016

Banyak juga duit Nuar Muso ni ek?

Annuar keluarkan cek sendiri untuk bayar gaji pemain
MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD - 29 OKTOBER 2016
ANNUAR

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengakui berdepan masalah untuk menyelesaikan tunggakan gaji melibatkan pemain dan pegawai The Red Warriors ketika saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini bakal melabuhkan tirainya, malam esok.

Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata, situasi tersebut disebabkan kantung persatuannya mengalami defisit setelah gagal mendapat sumber kewangan mencukupi daripada penaja berdasarkan bajet asal RM16 juta seperti ditetapkan, pada awal musim ini.

“Gaji bulan lalu, saya selesaikan dengan mengeluarkan cek sendiri RM420,000 sebelum perlawanan menentang Perak kerana ramai (pemain) merayu-rayu jadi jumlah (bayaran gaji) itu hanya (cukup) untuk 20 orang, ada lagi 15 (orang) memang tak dapat gaji dan sekarang masuk bulan baharu dan saya tidak nafikan perkara ini.

“Tetapi saya tak mampu langsaikan semua kerana kita perlu RM1 juta sebulan. Saya terbuka dan telus dalam soal pentadbiran Kafa. Itu sahaja kemampuan saya dan sekarang kena fikir cara lain, saya bukan menteri besar, bukan menteri, saya wakil rakyat biasa nak kutip derma sejuta sebulan kalau tak ada kuasa, memang payahlah,” katanya kepada pemberita di Kota Bharu, hari ini.

Jelas Annuar, masalah itulah yang sering dihadapinya setiap musim dalam menguruskan bola sepak Kelantan dan beliau sedia mempertimbangkan untuk memberi laluan kepada individu lain mengambil alih tampuk kepimpinan badan induk negeri itu.

“Mungkin saya kena beri orang lain masuk (pegang jawatan) dan memimpin Kafa supaya lebih gagah kerana kita hendak tengok pasukan kita lebih bagus. Mungkin saya fikir (boleh) jadi pembantu pula, malam ini saya akan umumkan sesuatu supaya ada pihak yang sedia ambil alih Kafa ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Di sebalik beban kewangan yang membelenggu persatuannya, Annuar bagaimanapun tetapi bersyukur apabila ketiga-ketiga pasukannya iaitu skuad Liga Super, bawah 19 dan 21 tahun masih mampu menamatkan saingan di tangga teratas, pada musim ini.  

Dalam perkembangan lain, Annuar memberitahu, pihak Kafa mencapai kata sepakat dengan penaja utama Kelantan, Vida Beauty untuk menangguhkan kontrak penajaan skuad pantai timur pada musim depan.

“Dr Vida (Datuk Seri Dr Hasmiza Othman) telah mengesyorkan supaya beliau dibenarkan menangguhkan tajaan, bukan membatalkannya. Beliau ada sedikit masalah perniagaan yang beliau sedang atasi dan saya memahami situasi tersebut.

“Setelah berunding, kita bersetuju (tangguhkan), segala obligasi dalam kontrak masih terpakai cuma untuk musim 2017 ia tidak dilaksanakan. Kalau keadaan (tahun) 2018 baik bagi beliau, kita mungkin boleh sambung atau kalau belum sedia lagi, tahun berikutnya kita boleh teruskan semula tajaan,” katanya.

Tiga bekas menteri ni akan dipanggil Polis

Polis akan panggil tiga bekas menteri beri keterangan  
Oktober 29, 2016 19:07 MYT
Polis akan panggil tiga bekas menteri beri keterangan
Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.
KUALA LUMPUR: Polis akan mengambil keterangan tiga bekas anggota kabinet dalam masa terdekat yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan baru-baru ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kita telah membuka kertas siasatan berhubung perkara ini dan kesemua individu terbabit akan dipanggil memberi keterangan dalam tempoh sehari dua lagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Siasatan dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan termasuk berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dua badan bukan kerajaan iaitu Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan sebelum ini membuat laporan polis mengenai perkara itu.
Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat. -- BERNAMA

Bagaimana pembalakan perkosa hutan Orang asli di Kelantan

Zulaikha Zulkifli   Hari ini, 29 Okt. 16 1:39 tengahari
 
 
 
 
LAPORAN KHAS l Menyedihkan. Itu perkataan yang terlintas ketika memasuki kawasan pembalakan di hutan simpan kekal (HSK) Gua Musang, Kelantan.

Di sebalik jaminan kerajaan negeri pimpinan PAS bahawa pembalakan di Kelantan adalah terkawal, hakikat sebaliknya nyata berbeza sama sekali.


Malaysiakini menyertai sekumpulan NGO awal bulan ini, meredah perjalanan kira-kira 520 kilometer, selama dua hari untuk melihat sendiri kesan pembalakan yang ditentang aktivis dan Orang Asli setempat.

Jauh di kawasan yang hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda, di sebalik keheningan belantara tebal, siapa sangka kemarahan Orang Asli meluap-luap.

Walaupun kerja-kerja pembalakan itu mendapat lesen kerajaan negeri, ia ditentang masyarakat Temiar yang telah turun temurun menetap di kawasan hutan di negeri Cik Siti Wan Kembang ini.

Ketika pembalakan di Kelantan turut berlaku di tempat lain, seperti di HSK Ulu Sat, Machang, penentangan suku Temiar kembali mendapat perhatian meluas setelah mereka nekad menghalang pembalak daripada memasuki perkampungan mereka.


Tinjauan Malaysiakini di Rondong, dalam Pos Gob, hutan simpan Kuala Balah – kira-kira tiga jam dari Gua Musang melalui off road– misalnya mendapati kemungkinan berlaku perlanggaran syarat Jabatan Perhutanan.

Pembalakan yang masih aktif itu menyaksikan penebangan berlaku dalam lingkungan 50 meter daripada Sungai Poyan.

'Ikan pun dah tak ada'

Pokok-pokok yang telah ditebang juga dilonggokkan di satu kawasan dan masih 'tidak disentuh'.
Kesan-kesan tebangan pokok juga jelas kelihatan di kawasan berkenaan.


Sedangkan, membalak di dalam rizab sungai adalah satu kesalahan mengikut Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA).

EIA adalah kaedah mengenal pasti dan meramal kesan sesebuah projek pembangunan terhadap persekitaran, kesihatan manusia, sosial dan ekonomi.

Orang Asli mendakwa “pembalakan melampau” menyebabkan sumber air bagi lebih 20 buah kampung di hutan berkenaan terjejas.

"Herba-herba ubatan tradisional ialah mata pencarian kami.

“Ikan pun dah tak ada sekarang di sungai,” kata Yusman Andok, 35 seorang penduduk di Pos Gob.


Bagaimanapun, bagi Yusman, tempat tinggal mereka itu bukan sekadar tempat berteduh tetapi lebih daripada itu bagi masyarakat setempat.

“Sebab tanah ini nenek moyang. Kami sudah puja gunung-gunung, ini tanah keramat,” kata Yusman, merujuk kepada amalan animisme masyarakatnya.

Bangkai gajah

Di kawasan Rondong juga, pembalakan 'halal' yang dijalankan turut didakwa memusnahkan kawasan perkuburan Orang Asli.

Mereka memberitahu, lokasi yang digondol itu sebelum ini adalah kawasan perkuburan.

Kini, kawasan itu umpama padang jarak padang tekukur apabila pokok-pokok licin ditebas.

Yang tinggal hanyalah, papan tanda bertulis “Tempat kubur Adik A/L Tengah. Kemusnahan syarikat pembalakan. Ayah - Tony bin Adik. Kawasan Rondong.”

Papan tanda itu dipercayai sebagai penanda bagi menunjukkan bahawa kawasan tersebut merupakan tanah perkuburan bagi dua individu berkenaan memandangkan tiada penanda atau batu nisan yang kelihatan di tempat tersebut.

"Bila balak masuk, kita hilang sumber air bersih, kubur ditolak. Hilang sumber pendapatan.


“Ini tak ada kaitan dengan siapa-siapa tapi Orang Asli sendiri,” kata Mustafa Along, yang mengetuai kumpulan Orang Asli yang membuat sekatan di Pos Tohoi.

Malaysiakini sedang mendapatkan reaksi daripada Jabatan Perhutanan negeri Kelantan berikutan kejadian di kawasan-kawasan berkaitan.

Penduduk setempat juga membawa Malaysiakini, rakan media lain serta NGO meninjau bagaimana pembalakan bukan sahaja menjejaskan alam sekitar, tetapi juga habitat haiwan liar.

Antara ditunjukkan adalah bangkai gajah dewasa yang telah reput dan berulat yang ditemui di belukar berhampiran Pos Bering.

Adalah dipercayai gajah itu dibunuh untuk gadingnya. Ini berdasarkan penemuan lima kelongsong peluru berdekatan bangkai mamalia yang terancam itu.

Gajah malang itu dipercayai ditembak mati dua minggu sebelum lawatan dibuat dua minggu lalu.

Kematian gajah itu terus menjadi misteri tentang siapa yang membunuhnya memandangkan ia bukan senjata yang digunakan oleh Orang Asli.

Kata pepatah Melayu, ‘bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru’ - apakah ini membuktikan tidak ada pihak yang prihatin dengan masalah Orang Asli ini dan juga usaha memelihara ekosistem di kawasan hutan simpan kekal semata-mata untuk mendapatkan hasil balak yang lumayan?