Tuesday, February 28, 2017

‘Wayang’ memorandum mufaraqah: Siapa pengarahnya?

Kit Siang dakwa Nasrudin Tantawi dalang ‘wayang’ memorandum mufaraqah
Pada 27 Februari 2017
KUALA LUMPUR, 27 FEB: Tindakan penyokong PAS Selangor menghantar memorandum mendesak PAS memutuskan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai hubungan dengan DAP dan Amanah adalah satu tindakan terancang.

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, beliau percaya tindakan itu jelas dirancang sendiri oleh Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasarudin Hassan Tantawi untuk memburuk-burukkan pimpinan Pakatan Harapan.

“Ini adalah sesuatu yang tidak akan terjadi dalam PAS versi Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana tidak akan ada ketua penerangan PAS yang berani mengatur dan menjalankan aksi politik nakal sedemikian, kerana dia pastinya akan mengundang kemarahan Nik Aziz,” katanya.

Memorandum yang diserahkan PAS Selangor kepada Ketua Penerangan PAS, Nasarudin Tantawi Sabtu lalu itu turut diiringi dengan kain rentang yang tertera kata-kata fitnah ‘Musuh Melayu/Islam (Rasis)’ dengan gambar Kit Siang jelas terpampang di atasnya.

Menurut Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah, jika DAP dan pemimpinnya dituduh anti Melayu dan Islam, mengapa PAS sanggup bekerjasama dengan DAP dalam Pakatan Rakyat dan memperolehi undi popular dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum ini.

“Malah, kalau DAP dan pemimpin DAP anti-Melayu dan anti-Islam, adakah Nik Aziz akan menziarahi mantan Pengerusi Kebangsaan DAP Karpal Singh, di kediamannya di Pulau Pinang semasa perayaan Thaipusam pada Januari 2013, di mana hari jadi Nik Aziz yang ke 82 turut disambut dengan kek ‘Pakatan Rakyat’?,” jelas Kit Siang.

Katanya, PAS di bawah kepimpinan Allahyarham Nik Aziz amat jauh berbeza dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menerajui parti Islam itu ketika ini.

Ini kerana, Allahyarham Nik Aziz tidak akan membenarkan partinya bermain dengan politik kebencian perkauman seperti yang dilakukan kepimpinan PAS ketika ini dan akan memberi tumpuan kepada penyelesaian masalah kepada kemelut yang dihadapi negara.

Malah, jika Allahyarham Nik Aziz masih hidup, katanya, sudah tentu beliau (Nik Aziz) tanpa ragu-ragu akan menyertai usaha pihak pembangkang dan NGO dalam menyelamatkan negara daripada terus dihina dengan gelaran ‘kleptokrasi global’.

“PAS akan menjadi barisan hadapan menuntut ketelusan dan kebertanggungjawapan dalam skandal penyelewengan berbilion ringgit dana milik 1MDB.

“Dan sudah tentu tidak akan melakukan seperti yang dilakukan Presiden PAS ketika ini yang bermesra-mesraan dengan Presiden UMNO dengan pendirian bahawa tidak mengapa Malaysia digelar sebagai ‘kleptokrasi global’ asalkan perdana menteri itu seorang beragama Islam,” ujarnya

*Baca kenyataan penuh Lim Kit Siang di sini

- sumber

Siapa yang takut dengan DAP?

Pada 27 Februari 2017
oleh Wan Hamidi Hamid
Mengapa orang sertai parti politik? Ada yang memberi alasan demi perjuangan, demi Malaysia yang lebih baik, demi anak cucu, dan sebagainya. Jarang orang mengaku bahawa dia mahu kedudukan dan pangkat, dia mahu jadi ketua, dia mahu jadi wakil rakyat, dan macam-macam lagi.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya sertai parti politik. Mungkin pada asalnya kerana idealisme mahu mengubah dunia. Kemudian sedar diri sedikit dan mengecilkan skop untuk mengubah negara. Namun, sehingga hari ini masih sukar mencapai impian ini. Adakah kerana saya sudah dewasa, dan dengan itu perlu sinis dengan keadaan sekeliling?

Apa pun, saya berminat dengan politik perjuangan rakyat atas dasar keadilan sosial, hak saksama, kesetaraan gender, kebebasan bersuara dan berekspresi,  dan bukannya hal-hal perkauman atau agama. Minat ini dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Ditambah pula dengan pengalaman sebagai wartawan selama lebih 25 tahun membolehkan saya menyelami harapan dan impian dengan realiti masyarakat yang saya lihat sebagai sang pemerhati.

DAP sebagai pilihan

Atas gerak hati yang seperti itu, saya memilih DAP sebagai wadah politik. Namun, sebelum itu saya terlibat dengan usaha menubuhkan sebuah parti sosialis. Gagasan itu berjaya walaupun saya tidak lagi bersama rakan-rakan seperjuangan. Ada sedikit-sebanyak garis pemisahan kami, tentang ideologi, tentang strategi.

Selain asas idealisme yang saya sebutkan tadi, DAP menjadi pilihan saya kerana ia adalah sebuah wadah yang skema. Menurut definisi rakan-rakan saya yang lebih muda, skema mengingatkan saya kepada “mat belia” di zaman remaja saya. Ia mencerminkan sikap lurus, ikut peraturan dan jarang melencong. Tidak semestinya positif kerana kadang-kadang ia membawa maksud betul bendul atau naive.

Mungkin ada orang DAP tidak selesa dengan alasan saya. Bagi mereka DAP yang didaftarkan sebagai parti pelbagai kaum pada 18 Mac 1966 berjuang atas dasar Malaysia milik rakyat Malaysia. Tidak kisahlah, itu pandangan peribadi, dan saya juga menyokong asas perjuangan DAP itu. Impian yang kami kongsi bersama berasaskan prinsip kesaksamaan dalam kepelbagaian kaum serta tuntutan hak setara. Kami juga sedar kerana pendirian inilah DAP telah difitnah dengan teruk hingga ke hari ini.

Mengapa begitu? Jika majoriti rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, tidak lagi dimomokkan dengan perkauman, dengan “takut hilang kuasa” dan “takut diperintah oleh Cina”, sudah tentu ramai pemimpin politik akan menumpukan masa berdebat tentang bagaimana mahu memulihkan ekonomi negara, menambah pendapatan diri, meningkatkan ekonomi keluarga. Tak perlu bising lagi tentang kaum itu baik, kaum ini jahat, agama itu bagus, agama ini buruk.

Tetapi fitnah tetap dihamburkan. Kerana itulah ramai orang Melayu serta Bumiputera Sabah dan Sarawak masih ragu-ragu untuk bersama dengan DAP. Kononnya takut dengan Cina dan keCinaan dalam parti, tanpa mempedulikan konteks dan hujah. Bagi Melayu pula, masih ada yang menganggap menyertai DAP adalah satu dosa besar.

Dari segi amalan politiknya, pimpinan UMNO-BN telah menconteng wajah DAP kononnya ia ekstrem sedangkan pihak pemerintahlah yang semakin hilang kesederhanaannya – semakin tertutup ruang kebebasan, ruang bersuara; atas nama agama dan kaum.

Sebaliknya, realitinya menunjukkan DAP adalah antara parti yang sangat sederhana amalan dan perjuangannya. Ia memilih ideologi sosial demokrasi, iaitu fahaman yang berevolusi daripada sosialisme demokratik, iaitu sosialisme yang menolak komunisme kepada jalan Parlimen – menerima pasaran bebas tetapi membolehkan campur tangan kerajaan bagi memastikan hak pekerja dan pengguna serta warga sentiasa dilindungi dan diutamakan.

DAP juga menolak amalan yang mengutamakan sesuatu kaum, agama atau gender kerana menganggapnya sebagai diskriminasi. Itu yang dinamakan Malaysian Malaysia atau Malaysia milik rakyat Malaysia – bukan milik sekumpulan elit kleptokrat, bukan segelintir pemuka agama, bukan segolongan demagog kaum.

Melayu dan DAP

Sebagai penduduk majoriti Malaysia, penyertaan atau sokongan orang Melayu kepada mana-mana parti atau dasar politik memang penting. Mana-mana pihak yang mahu mendapat undi, perlu memperolehi sokongan orang Melayu, atas dasar jumlah mereka sebagai pengundi majoriti.  Itu hakikat politik Malaysia.

Tetapi penyertaan mengikut kaum dalam parti, tidak begitu penting sangat dalam mana-mana pertubuhan politik. Yang penting adalah komitmen dan kesungguhan memberi suara, tenaga dan kepakaran.

Sesiapa sahaja yang ingin bersama parti politik, termasuk DAP, perlu berada di atas landasan yang sama. Tidak kira apa gender, kaum, agama atau wilayahnya, selagi seseorang individu itu berpegang kepada prinsip-prinsip sosial demokrasi, pintu DAP sentiasa terbuka. Yang diperlukan adalah komitmen, bukannya warna kulit atau kepercayaan agama.

Hegemoni kaum dan agama menyebabkan masyarakat Malaysia menghadapi masalah bersolidariti, berkomunikasi, mempercayai antara satu sama lain. Hegemoni tersebut menyebabkan kita melihat banyak perkara melalui kanta kaum. Jarang kita lihat dari segi kelas seperti kelas pekerja, pertengahan, atasan/pemerintah. Seperti yang biasa kita dengar, ada orang marah kaum lain apabila melihat kaum itu kaya tetapi membisu apabila orang kaya dari kaum sendiri menindas sesama kaum.

Bagi saya, sama ada DAP mempunyai 100 ahli Melayu atau 1000,000 ahli Melayu, bukan warna kulit atau agamanya menjadi penentu kepada perubahan. Yang penting adalah komitmen setiap individu yang mempunyai kesanggupan, kecekalan, dan kerelaan berjuang demi keadilan sosial dan hak setara, demi Malaysia milik rakyat Malaysia.

Demi prinsip

Semua pemimpin politik akan mengaku diri mereka berprinsip. Hanya kita sebagai rakyat menjadi penentu sama ada benar atau tidak apa yang mereka canangkan. Namun untuk bersikap sinis terhadap prinsip juga tidak ke mana kerana ia seperti membiarkan regim yang bobrok kekal berkuasa. Oleh itu perlu ada satu keseimbangan di antara impian dan amalan.

Sebagai mangsa fitnah, DAP turut diancam dan ditekan oleh kuasa pemerintah. Sudah ramai pemimpin DAP ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dan mungkin ada lagi yang akan dikenakan lagi tindakan di bawah undang-undang baru yang zalim dan tidak demokratik. Semua ini semata-mata prinsip DAP yang dianggap sebagai ancaman kepada status quo pemerintahan dan amalan politik yang berasaskan ketuanan kaum.

Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, sering diungkapkan bahawa DAP hanya mahu kepada prinsip yang berasaskan kepada kebebasan, hak asasi, keadilan sosial, hak serta peluang saksama tanpa mengira kaum, gender dan agama.

Ia hanya berminat dalam hal-hal duniawi seperti memastikan semua rakyat menikmati pendidikan bermutu tinggi, peluang dan agihan ekonomi yang lebih adil, gaji minimum yang munasabah, menentang korupsi, rasuah dan salahguna kuasa, dan menegakkan kedaulatan undang-undang yang adil. Agama dan kepercayaan adalah hak individu yang dijamin oleh undang-undang tertinggi negara – Perlembagaan Persekutuan yang dipegang oleh DAP.

Tentunya jika idea DAP menjadi amalan, rakyat akan menolak politik kaum dan perkauman yang jelas tempang, tidak adil serta bersifat diskriminasi. Dan ini bermakna parti-parti berasaskan kaum menjadi tidak relevan lagi. Memanglah Malaysia tidak akan tiba-tiba menjadi bersih daripada segala keburukan, tetapi sekurang-kurangnya itu merupakan langkah pertama ke arah reformasi yang sebenar.

Kepada orang yang masih membenci DAP kerana menelan fitnah, saya hanya mampu berharap agar mereka dapat berfikir sendiri, menolak segala fitnah dan pembohongan terhadap DAP, dan mula menilai DAP dari kacamata yang neutral. Tidak perlu takut dengan dakyah daripada suara-suara bengis perkauman. Dan kaedah ini juga menjadi satu daripada asas penentuan untuk saya menyertai DAP.

Monday, February 27, 2017

Tak yakin nak ke Mahkamah ke: Setelah mereka tangkap, mereka pula mahu ‘settle’?

Jabatan perhutanan mahu ‘settle’, wartawan tak mahu

  | February 27, 2017
Jules Rahman Ong mendakwa jabatan perhutanan mencadangkan mereka mengaku bersalah dan bayar denda
PETALING JAYA: Wartawan bebas Jules Rahman Ong tidak akan menyelesaikan kesnya dengan Jabatan Perhutanan Kelantan yang mendakwa beliau memasuki kawasan hutan tanpa permit.
“Kita tak mahu ‘settle’ kerana mengaku bersalah akan beri hak kepada kerajaan negeri sekat hak kami.
“Sebagai wartawan, kami cuma melaksanakan tugas melaporkan fakta,” katanya, merujuk kepada beliau dan dan jurukamera Too Chee Hung.
Jules dan Chee Hung ditangkap pada 24 Januari oleh jabatan kerana merakam tindakan pihak berkuasa merobohkan sekatan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Mereka kemudian dilepaskan dengan ikat jamin.
Mereka mendakwa pegawai jabatan perhutanan menakut-nakutkan mereka dengan menjerit dan merampas peralatan semasa ditahan,
Menurt Jules, mereka dipujuk oleh salah seorang pegawai supaya menyelesaikan kes di luar mahkamah apabila mereka kembali ke jabatan untuk melapor diri, 2 hari lepas.
“Pegawai itu beritahu kami dia belum menyerahkan kertas siasatan ke Jabatan Peguam Negara.
“Dia beri tawaran iaitu mengaku bersalah di bawah Seksyen 47(1) Akta Perhutanan Negara dan bayar denda,” kata Jules, yang tidak menjawab cadangan pegawai itu.
“Kami akan tunggu keputusan Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Jules menambah beliau perlu bersedia dari segi mental dan kewangan sekiranya Peguam Negara ambil keputusan untuk mendakwa mereka.
“Melaporkan kebenaran perkara yang berbahaya di Malaysia,” katanya.
Jules berkata dokumentari Orang Asli, bertajuk “Get Real: Fighting for My Home” akan pertama kali disiarkan malam esok (28 Februari) di Channel NewsAsia (CNA).

Biar betoi: TMB Kelantan merasmikan Skim menipu?

Mangsa terpengaruh skim cepat kaya dirasmi TMB Kelantan
27 Februari 2017 | KHAULAH MUHAMMAD
Peguam Mohd Ridzuan Muhammad hadir memberi penerangan kepada mangsa penipuan skim cepat kaya

Beratus-ratus mangsa skim cepat kaya yang mendakwa mereka tertipu dan kehilangan wang mencecah jutaan ringgit berkumpul malam tadi untuk mendengar pandangan dan mendapat nasihat pihak peguam.

Peguam Mohd Ridzuan Muhammad yang hadir dan meneliti aduan mangsa-mangsa berkenaan berkata perkara utama yang perlu diberi fokus ialah usaha mendapatkan semula wang yang telah mereka laburkan itu.

"Kebanyakan mangsa yang terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan sedang tertekan dengan kesukaran ekonomi sekarang perlu mendapat pembelaan kerana jelas mereka tertipu dengan satu kaedah perniagaan yang begini licik," katanya selepas dialog dengan sekumpulan mangsa di Wisma Tok Guru, Salor malam tadi.

Menceritakan bagaimana mereka terpedaya dengan skim itu, seorang mangsa berkata beliau menjadi yakin kepada skim itu kerana majlis perasmian dilakukan oleh timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

"Skim ini menarik kerana apa yang diberi tahu ialah program membantu orang ramai bekerja dari rumah.

"Seorang yang mahu mengikuti program ini perlu membayar RM100 untuk melayakkan peserta menjadi pekerja am," katanya.

Menurutnya seorang pekerja am yang sudah diterima bekerja dijanjikan gaji bulanan sebanyak RM800 sebulan.

"Bagaimanapun pihak syarikat hanya membayar gaji RM200 pada bulan pertama.

"Kenaikan gaji akan berlaku setiap bulan sebanyak RM100 sehingga mencapai RM800," katanya.

Pekerjaan yang diberi katanya, adalah membuat pembungkusan barang-barang di rumah sendiri.

"Barang-barang itu akan dihantar ke rumah dan bila siap akan diambil oleh pihak syarikat.

"Apa yang mengejutkan para pekerja am ini hanya menerima satu paket kacang tidak sampai 1 kilogram untuk dibuat pembungkusan," katanya.

Menurutnya, mangsa menjadi curiga apabila selepas sebulan berlalu tidak ada barang baru dihantar untuk dibuat pembungkusan dan gaji yang dijanjikan juga tidak dibayar.

Seorang pekerja yang dilantik di bahagian pengurusan memberi tahu satu lagi produk syarikat ini ialah pinjaman kewangan.

"Pinjaman yang dijanjikan syarikat ini mencecah RM100 ribu.

"Syarat untuk mendapat pinjaman ini ialah mesti berdaftar sebagai pekerja am syarikat yang menjalankan kerja di rumah masing-masing.

"Bagi mereka yang ingin memohon, mereka perlu membayar 10 peratus dari jumlah pinjaman yang mereka pohon sebagai yuran pemprosesan.

"Sebagai contoh jika pekerja am ingin memohon pinjaman sebanyak RM10 ribu, mereka perlu membayar RM1 ribu," katanya.

Kesempitan wang

Seorang mangsa wanita yang terpedaya dengan skim ini berkata beliau dalam keadaan kesempitan untuk mendapatkan wang sejumlah RM6 ribu untuk menanggung kos pembedahan anaknya yang mengalami hernia.

"Saya terpaksa berhutang dengan beberapa orang kawan untuk mendapatkan wang RM600 kerana perlukan pinjaman berjumlah RM6000 dari syarikat ini.

"Sekarang saya bukan sahaja tidak dapat menampung kos perubatan anak saya tetapi terpaksa menanggung hutang keliling pinggang," katanya dengan nada penuh kesal.

Dalam perjumpaan itu, atas nasihat peguam satu jawatankuasa bertindak turut ditubuhkan bagi mengambil tindakan segera.

Menurut Mohd Ridzuan, jawatankuasa itu perlu segera menghubungi pihak-pihak tertentu seperti menyelaras laporan polis, mengumpul dokumen-dokumen pembayaran dan bersedia membuat tuntutan di mahkamah.

"Saya berterima kasih kepada pihak pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang mengambil inisiatif untuk membantu mangsa-mangsa.

"Sungguh sedih dalam keadaan orang ramai yang menghadapi kesukaran luar biasa dengan kenaikan harga barang dan kesukaran mencari sumber pendapatan, ada pihak yang tidak berperikemanusiaan seperti ini sanggup memperdayakan golongan daif dengan cara yang begitu licik dan kotor," katanya.

Mengapa Korea Utara mahu Jong-nam mati?

FAIRUZ JUMAIN, RIDUAN ASHAHA, JANATUL FIRDAUS, ZUBAIDAH ISA, HAFIZ ISMAIL
27 FEBRUARI 2017
Kim Jong Il bersama anaknya Jong-nam (duduk).

SEHINGGA ke hari ini, misteri kematian Kim Jong-nam, anak lelaki sulung bekas pemimpin utama Korea Utara, mendiang Kim Jong-il, masih diselubungi misteri.

Selepas kematiannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), 13 Februari lalu, polis mengenal pasti dan memburu empat suspek lelaki warga Korea Utara yang disyaki dalang kepada pembunuhan abang tiri pemimpin utama negara berkenaan, Kim Jong-un.

Korea Selatan yang sekian lama bermusuhan dengan negara itu, menyelar pembunuhan tersebut dengan mengatakan ia satu bentuk tindakan keganasan daripada Kerajaan Korea Utara.

[ARTIKEL BERKAITAN: Korea Utara negara paling asing]

Persoalan di sini, mengapa Pyongyang sanggup membunuh ahli keluarga dinasti pemerintah mereka?

Penganalisis mahupun pakar sukar untuk mengenal pasti punca sebenar, namun perbezaan dengan sekutu dan negara jiran, China serta persaingan antara adik-beradik dalam merebut takhta antara punca yang berkait rapat.

Hubungan dengan China?

Pada 2001, Jong-nam ditangkap selepas cuba memasuki Jepun dengan menggunakan pasport palsu untuk berhibur di Disneyland Tokyo.

Perbuatannya itu menjatuhkan maruah Korea Utara lantas harapannya untuk menjadi orang nombor satu negaranya, menggantikan Jong-il, musnah.

Bermula 2003, Jong-nam menetap di Macau dan diberi perlindungan oleh China.

Sejak itu, Jong-nam kerap berkunjung ke China dan mengukuhkan kedudukan bersama Beijing terutama menerusi bapa saudaranya, Jang Song-thaek, iaitu individu nombor dua berkuasa di Korea Utara selepas Jong-il.

“Song-thaek merupakan lelaki China di Pyongyang. Dia adalah sumber Jong-nam dan disebabkan itu, China memberi perlindungan kepadanya,” kata Pengarah Program East Asia Non-Proliferation, Dr Jeffrey Lewis kepada CNN.

Pada 2013, di bawah pimpinan Jong-un, Korea Utara melakukan ‘pembersihan’ dalam kalangan pemimpin mereka dan Song-thaek antara individu yang menjadi mangsa.

Dilaporkan bahawa Song-thaek dijatuhkan hukuman bunuh selepas didakwa sebagai pengkhianat Korea Utara.

Kematian Song-thaek merupakan kehilangan yang besar buat Jong-nam.

Kerap mengkritik Korea Utara secara terbuka

Ketika melanjutkan pengajian di Switzerland, Jong-nam kerap bercanggah pendapat dengan bapanya terutamanya berkaitan dengan soal negara.

Itu adalah permulaan di mana hubungan dua beranak itu dingin. Jong-il merasakan bahawa anaknya itu sudah dipengaruhi pemikiran Barat.

Kemuncak hubungan mereka terhapus selepas cubaan Jong-nam memasuki Jepun yang dilihat sebagai satu penghinaan.

Rentetan itu, paling ketara, Jong-nam lantang memberikan kenyataan terhadap Korea Utara menerusi media Jepun, Asahi TV.

Jong-nam menyatakan tidak bersetuju dengan sistem peralihan kuasa di Korea Utara dengan mewariskan kepada generasi seterusnya.

Tetapi, beliau tidak menentang atau tertarik untuk menyertai arena politik di dalam negaranya.

“Saya tidak tertarik untuk ikut menjadi pewaris kerajaan (Korea Utara). Maaf, kerana saya tidak tertarik dengan politik. Tetapi, apa pun keputusan ayah, saya pasti akan saya sokong,” kata Jong-nam.

Perebutan kuasa antara Jong-nam, Jong-un?

Melalui buku tulisan Yoji Gomi, My Father, Kim Jong-il, and Me, Jong-nam juga menggunakan medium itu untuk menghentam Korea Utara.

Melalui buku itu, Jong-nam menegaskan bahawa Korea Utara tidak akan maju jika tidak melakukan pembaharuan ekonomi.

Paling memberi kesan terhadap pimpinan Jong-un, Jong-nam menjelaskan bahawa adik tirinya itu tidak akan berjaya sebagai seorang pemimpin.

Gomi juga mendedahkan, bahawa dua beradik itu tidak pernah bersemuka.

Biarpun Jong-nam menegaskan dirinya tidak berminat untuk memimpin negara kelahirannya, namun Jong-un tetap merasakan kedudukan bakal tergugat.

Pada 2012, Jong-nam dilaporkan cuba dibunuh oleh perisik Korea Utara namun gagal.

Ahli Jawatankuasa Perisikan Parlimen Korea Selatan, Kim Byung-kee mendedahkan, Jong-nam pernah menghantar surat kepada Jong-un supaya mereka sekeluarga tidak dibunuh.

Surat itu berbunyi; ‘Tolong jangan ganggu saya dan keluarga. Kami tidak mempunyai tempat untuk dituju. Kami tahu satu-satunya jalan untuk melepaskan diri ialah dengan membunuh diri’.

Surat itu dihantar pada April 2012 selepas cubaan membunuhnya pada tahun yang sama.

Sedikit berkenaan Bajau Laut

Bajau Laut: Kumpulan manusia tanpa negara
Februari 22, 2017 13:24 MYT
Bajau Laut: Kumpulan manusia tanpa negara
Sebahagian kanak-kanak suku kaum Bajau Laut mencari kerang mati dan tapak sulaiman untuk dijual kepada pelancong asing yang berkunjung ke Sipadan Mabul Dive Lodge di Semporna. fotoBERNAMA
SEMPORNA: Bajau Laut, sering dipanggil "gipsi laut", merupakan satu-satunya kumpulan manusia di rantau ini yang tidak bernegara.

Kumpulan etnik ini yang juga dikenali sebagai Pala'u tinggal di dalam bot atau di pondok yang dibina di atas air, dan sering berpindah randah di perairan Filipina dan Indonesia.

Kehidupan mereka jauh ketinggalan zaman.

Mereka tidak tahu menggunakan jam, dan mengetahui waktu hanya berpandukan kedudukan matahari.

"Kedudukan matahari di timur, bererti pagi bagi mereka. Jika matahari berada di atas kepala, tandanya telah masuk waktu tengah hari.

"Bila matahari bergerak ke barat tandanya telah masuk waktu petang dan seterusnya malam," kata Jaafar Janntul, 41, seorang anggota kumpulan etnik Bajau dari Semporna.

Dalam temu bual dengan Bernama, beliau berkata, anak-anak kumpulan etnik ini tidak bersekolah, kerana itu mereka tidak mahir untuk bertutur atau memahami bahasa Melayu.

Tinjauan baru-baru ini ke atas kehidupan mereka mendedahkan pelbagai perkara yang dilihat agak luar biasa.

"Oleh kerana kebanyakan masa mereka tinggal di laut, malah sejak bayi lagi, maka mereka tidak tahan berada di daratan untuk tempoh yang lama.

"Mereka merasa pening dan mabuk darat," kata Jaafar.

"Mereka juga takutkan haiwan tertentu di daratan seperti anjing," katanya.

Beliau berkata Bajau Laut akan hanya naik ke darat bila ada keperluan seperti untuk membuat bot atau mengebumikan kaum keluarga yang meninggal dunia.

Kumpulan etnik ini merupakan antara perenang dan penyelam paling mahir di dunia tanpa menggunakan alat pernafasan atau kemudahan skuba.

"Mereka mampu menyelam hingga kedalaman 20 meter tanpa menggunakan tangki oksigen, dan mampu menahan nafas di dalam air selama 10 minit," katanya.

Beliau berkata penyelam profesional bersama kelengkapan menyelam hanya boleh menyelam sekali dalam setiap satu jam, tetapi bagi Bajau Laut mereka mampu menyelam berkali-kali ke dasar laut tanpa memudaratkan kesihatan mereka.

Menurutnya, kemahiran menyelam ini menjadikan kumpulan etnik itu pemburu yang mahir di lautan dengan hanya menggunakan lembing untuk menangkap ikan dan udang kara, di samping mencari mutiara dan gamat.

Semua ini terhasil dari amalan kehidupan tradisional mereka di laut.

Jaafar berkata, sejak kecil bayi-bayi Bajau Laut akan direndam ke dalam laut untuk membiasakan mereka dengan air laut serta "sebagai tanda keserasian dan keberanian di laut."
Temuni bayi-bayi itu akan ditanam di dasar laut kerana kumpulan etnik ini percaya roh laut akan menjaga mereka, dan mereka tidak akan mati di laut.

Mengenai bekalan makanan, Jaafar berkata antara makanan asas Gipsi Laut adalah kima iaitu sejenis kerang atau landak laut, dalam bahasa Bajau disebut tehe-tehe.

"Bahan ini mereka makan secara mentah selepas dibersihkan atau boleh juga dimasak," katanya. - sumber
 
 
 
 
 
 
 
- sumber gambar

Adakah orag-orang PAS nampak dan mampu berfikir cara rasional?

Monday, 27 February 2017

TUAN IBRAHIM PENYELAMAT PAS?

Dalam barisan kepimpinan Pas sekarang, Tuan Ibrahim Tuan Man dilihat paling konsisten dan masih boleh diharap sebagai seorang pejuang yang memahami derita rakyat.

Bukan saja dalam hal 1MDB, SRC International, Felda dan segala isu lain yang muncul, suaranya yang memihak kepada kehendak rakyat jarang benar tidak kedengaran.

Berbanding pemimpin-pemimpin Pas lain, mereka bukan saja jarang bersuara atau hanya bercakap dalam isu-isu terpilih, kadangkala hadir ke Parlimen pun tidak lagi menjadi keutamaan.
Ketika rakyat terus terbeban dengan kos sara hidup di samping inflasi yang kian meningkat, Tuan Ibrahim sekali lagi meminta agar kerajaan membatalkan "cukai pukat harimau" GST atau setidak-tidak menurunkan kadarnya kerana ia jelas mendatangkan derita berganda kepada rakyat.

Mana suara pemimpin Pas yang lain?

Apa pula kata Hadi Awang mengenai GST?

Tidak lama sebelum ini, Presiden Pas itu, meskipun sedar ahli, pengikut dan penyokong parti itu kebanyakannya terdiri daripada orang-orang kampung dan golongan susah, masih lagi tergamak mengatakan GST adalah penggerak serta paling berkesan meningkatkan ekonomi negara.

Hadi membela rakyat atau mempertahankan Najib?
Apa pula kata Najib Razak tentang GST?

Kata Najib, GST adalah penyelamat kepada ekonomi dan kewangan negara.

Ehh...ehh...sama pulak fikiran Hadi dengan Najib yerr?

Nampaknya, menyokong Hadi sudah sama dan tidak ubah seperti menyokong Najib saja layaknya.

Dalam hal ini, alangkah beruntungnya Pas jika dalam Muktamarnya di Kedah 28 April ini, mereka dapat menjadikan Tuan Ibrahim sebagai Presiden Pas yang baru menggantikan Hadi.
Harus diakui, berdasarkan beberapa petunjuk dalam setahun dua ini, Hadi sudah tidak relevan lagi, bukan saja untuk terus memimpin Pas, tetapi juga dengan perjuangan semasa mewakili kepentingan rakyat.

Hadi seolah-olah ada kecenderungan lain dalam hala tujunya dan keklanya beliau lagi hanya menjadikan Pas semakin terpinggir serta tersisih daripada politik arus perdana.

Dalam keadaan ini, tidak syak lagi Tuan Ibrahim adalah satu-satunya yang dapat memulih dan mengangkat semula martabat perjuangan Pas kepada kedudukan yang sebenarnya.

Susahkah untuk  ahli-ahli Pas  berfikir mengenainya? (SH 27/02/2017)

Posted by Shahbudin Husin at 08:44 

Sunday, February 26, 2017

Hah.....dok tunggu apa lagi?

Pas didesak putus hubungan dengan PKR
WARTAWAN SINAR HARIAN - 26 FEBRUARI 2017
Pas didesak putus hubungan dengan PKR Nasrudin (kiri) menerima memorandum yang diserahkan Nasiruddin

KUALA LUMPUR - Sekumpulan penyokong menyerahkan memorandum kepada kepimpinan tertinggi Pas mendesak parti itu memutuskan hubungan dengan mana-mana parti yang ada kaitan dengan DAP dan Amanah.

Pada masa sama, mereka menyatakan sokongan penuh kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Wakilnya, Nasiruddin Mohamed berkata, Pas perlu mengambil perhatian terhadap hubungan antara parti itu dengan PKR yang kini disifatkan bagai 'duri dalam daging' serta 'gunting dalam lipatan'.

“Kami agak kurang selesa dengan PKR kini. Kebencian telah mulai dirasai,” katanya selepas menyerahkan memorandum itu kepada  Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, mereka menyerahkan memorandum itu agar suara didengar di dalam mesyuarat Dewan Harian.

Sebagai petugas Pas, Nasiruddin berkata, mereka berasakan sudah sampai masanya parti itu berdiri sendiri  tanpa diganggu mana-mana parti lain yang sarat dengan masalah.

"Kami berasakan sudah sampai masanya Pas tidak diganggu  parti lain yang sarat dengan masalah keperibadian serta ketamakan kuasa yang agak melampau," katanya.

Hanya Mad Yaacob dan geng 'paranoia' saja yang percaya fitnah karut ni

Saya tak percaya ada komplot UMNO-Amanah tumbang PAS Kelantan - Azmin 
Rahimah AbdullahAstro Awani |  Februari 25, 2017 17:12 MYT
Saya tak percaya ada komplot UMNO-Amanah tumbang PAS Kelantan - Azmin
AZMIN: Saya tidak percaya sama sekali bahawa ada komplot seumpama itu. -Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan dakwaan UMNO Kelantan dan Amanah Kelantan berkomplot bagi menumbangkan kerajaan PAS di negeri itu sebagai fitnah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14.

Tegasnya, beliau tidak percaya dengan dakwaan berkenaan yang disifatkan bertujuan memecahbelahkan parti-parti pembangkang.

"Saya tidak percaya sama sekali bahawa ada komplot seumpama itu kerana sama ada PAS atau Amanah, walaupun mereka ada perbezaan pendekatan masing-masing, tetapi matlamat mereka adalah untuk melawan kemungkaran dan kezaliman yang berlaku dalam UMNO dan Barisan Nasional," katanya dalam sidang media selepas melancarkan buku pertamanya bertajuk "Membangun Bangsa" di Pusat Membeli Belah Pavilion di sini hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua anggota parti pembangkang agar tidak terpedaya dengan cubaan sesetengah pihak untuk menggugat perpaduan ahli parti.

"Saya ingatkan supaya berhati-hati dengan fitnah seperti ini menjelang pilihan raya. Ini hanya untuk memecahkan perpaduan parti-parti pembangkang sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun Pakatan Harapan.

"Kita harus ingat bahawa semua parti pembangkang telah bertekad sedari awal untuk melakukan reformasi secara menyeluruh dan kita menerima agenda reformasi ini sebagai teras perjuangan semua parti politik," tambahnya lagi.

Katanya lagi, PKR sentiasa berbincang dengan Amanah dan PAS berhubung isu-isu yang berbangkit antara parti-parti pembangkang.

"Saya sendiri berbincang dengan Datuk Mustafa Ali pada minggu lalu, kemudian berbincang dengan PAS Selangor, ia positif.

"Semalam, saya juga telah melaporkan perkembangan ini kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mesej beliau jelas, bahawa Keadilan mesti menjalin kerjasama dengan PAS untuk menjamin prinsip satu lawan satu itu dipertahankan," ujarnya.

Azmin mengulas mengenai artikel dari sebuah blog yang mendakwa terdapat pakatan sulit di antara Amanah Kelantan dan UMNO Kelantan untuk menumbangkan kerajaan PAS Kelantan pada pilihan raya akan datang.
Artikel yang dikatakan ditulis oleh penganalisis politik Kelantan itu tersebar dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob bagaimanapun berkata, parti itu berwaspada dengan dakwaan komplot tersebut kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik.

Riuh rendah menghukum seantero negara.....ini rupanya Akta 355 ni!

Usul Hadi langgar syariah, kata bekas pakar Jakim

  | February 25, 2017
Pindaan yang dibentangkan Hadi di Dewan Rakyat jelas bertentangan dengan tema kerahmatan yang menjadi matlamat utama syarak, katanya.
PETALING JAYA: Seorang pakar syariah yang pernah berkhidmat sebagai penyemak penerbitan Islam dan penulis fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertikaikan cadangan PAS mengenakan hukuman lebih berat ke atas pesalah syariah, menyifatkan ia “produk politik” untuk meraih sokongan umat Islam.
Nurul Haq Shahrir, kini sebahagian panel Transformasi Undang-Undang Islam di bawah Majlis Dakwah Negara, menepis dakwaan kononnya cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai Akta 355, bertujuan menegakkan syiar Islam.
“Malah, ia bertentangan dengan Islam dan tidak ada kena mengena dengan syariah,” kata pakar fiqh Islam yang juga menguasai bidang perbandingan antara agama.
Hakikatnya, kata Nurul, usul Hadi yang bertujuan membenarkan mahkamah syariah menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas pesalah Islam bertentangan dengan roh syarak seperti yang termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah.
Nurul menyokong hujahnya berpandukan pelbagai kitab turath sarjana fiqh muktabar, dan menjelaskan hukuman tidak pernah menjadi matlamat perundangan Islam, sebaliknya nilai belas kasihan adalah tema utama dalam Syariah Islam.
Meskipun sesuatu undang-undang Islam digubal berdasarkan tafsiran Al-Quran dan Sunnah, Nurul berkata pelaksanaannya tidak boleh mengenepikan aspek “manfaat, keadilan, rahmah dan kebijaksanaan”.
Beliau memetik gambaran Al-Quran mengenai Nabi Muhammad sebagai “rahmat kepada seluruh alam”.
“Berdasarkan gambaran itu, dan banyak sumber kitab yang lain, boleh diandaikan bahawa rahmah merupakan matlamat keseluruhan syariah. Atas sebab itulah, pakar undang-undang Islam, untuk semua tujuan dan maksud, meletakkan syariah seiring dengan maslahah awam.
“Oleh kerana rahmah merupakan pemicu kepada hukum syarak, jelas ia tidak akan tercapai jika orang Islam yang menguatkuasakannya tidak disemaikan dengan sifat penting itu,” kata Nurul.
Beliau menambah, pindaan yang dibentangkan Hadi di Dewan Rakyat jelas bertentangan dengan tuntutan syarak tersebut.
Katanya, sikap tergesa-gesa mengenakan dan meningkatkan hukuman tidak selari dengan “rahmat Tuhan”.
“Oleh itu, pindaan kepada Akta 355 yang mahu mengenakan hukuman yang lebih berat adalah bertentangan dengan roh syarak.”
Beliau berkata, sekiranya syariah diperakui sebagai manifestasi rahmah dan keadilan, cadangan Hadi untuk menghadkan skop undang-undang kepada orang Islam menunjukkan sikap hipokrit.
“PAS dan Hadi mahu menjadikan orang Islam mangsa demi kepentingan politik mereka.
“Mereka tidak telus dengan kepercayaan mereka. Ini kerana skop syariah, yang berdasarkan kepada ‘keadilan’, tidak mengecualikan orang bukan Islam dan tidak pernah terhad kepada orang Islam sahaja.”
Beliau berkata ciri utama undang-undang Islam yang sering diperkatakan – mengutamakan kepentingan awam – menunjukkan syariah bukan sekadar berdasarkan keimanan Islam tetapi juga nilai murni yang diamalkan bukan Islam.
“Ini bermakna undang-undang digubal berdasarkan kepada maslahah awam dan nilai sejagat yang tidak khusus kepada Islam sahaja, kerana maslahah awam diketahui secara rasional dan uruf dan juga dikecapi oleh orang bukan Islam.
“Semuanya menjurus kepada matlamat utama syariah, iaitu belas kasihan,” kata Nurul, yang mempelajari bidang perbandingan agama dan menguasai 7 bahasa termasuk bahasa Arab, Yunani, Ibrani dan Latin.
Pimpinan PAS sebelum ini membidas mereka yang mengkritik usul Hadi, dengan alasan orang Islam berhak mengamalkan agama mereka berdasarkan apa yang didakwa sebagai undang-undang diwahyukan Tuhan.
Usul Hadi boleh diluluskan jika ia mendapat sokongan ahli Parlimen beragama Islam di Dewan Rakyat, walaupun ramai wakil rakyat Islam di kedua belah pihak mempunyai kesangsian yang kuat.
Usul Hadi pertama kali dibentangkan pada Mei tahun lepas, dan sekali lagi dibentangkan pada November, mencadangkan hukuman lebih keras daripada sedia ada.
Pindaan itu mahu meningkatkan hukuman penjara ke atas pesalah syariah daripada 3 tahun kepada 30 tahun, denda RM5,000 kepada RM100,000, dan daripada maksima 6 kepada 100 sebatan rotan.
Pada 18 Februari, ribuan penyokong PAS berhimpun di ibu negara sepanjang hari bagi menyatakan sokongan kepada usul Hadi. Pimpinan PAS berkata ia merupakan petanda sokongan kuat umat Islam negara ini terhadap syariah.
Penjelasan penuh Nurul dalam Bahasa Inggeris boleh dibaca di sini

Saturday, February 25, 2017

PAS dah terhumban dari kapal PH-Bersatu untuk harungi PRU 14?

Rundingan agihan kerusi Pakatan Harapan, Bersatu berjalan baik
25 Februari 2017 | ARIF ATAN
Saifuddin Nasution Ismail

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memberitahu perbincangan mengenai agihan kerusi bertanding antara Pakatan Harapan dan Bersatu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berjalan secara baik.

Beliau yang mewakili partinya dalam jawatankuasa perundingan berkenaan berkata, soal pembahagian kerusi pada pilihan raya yang semakin suntuk itu akan dapat diselesaikan pada kadar segera.

"Saya mewakili PKR dalam jawatankuasa perundingan kerusi, Datuk Seri Mukhriz mewakili Bersatu, Salahuddin mewakili Amanah dan Anthony Loke mewakili DAP.

"Kami menghadapi suasana (rundingan) yang cukup mesra dalam melihat 222 kerusi parlimen ini kita nak agih pada parti mana. Insya-Allah, sebelum pilihan raya, kita dapat selesaikan agihan kerusi dengan baik," ujarnya pada ceramah perdana anjuran Amanah Parlimen Pokok Sena semalam.

Tanpa menyebut tentang Pas, Saifuddin yakin kerjasama dalam Pakatan Harapan dan Bersatu akan memperoleh kemenangan pada PRU-14.

"Saya punya keyakinan yang kuat menjelang pilihan raya umum akan datang dengan izin Allah, dulang kemenangan akan jadi milik kita," ujarnya.

Beliau yang dilantik sebagai Penasihat Strategik Ketua Menteri Pulau Pinang pada 4 Januari lalu juga berkongsi tentang rutin mingguannya dalam program yang turut dihadiri Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu.

"Saya tadi (semalam) memandu dari pejabat di Komtar Pulau Pinang. Khamis dan Jumaat saya bertugas dengan kerajaan negeri Pulau Pinang. Isnin, Selasa, Rabu saya di ibu pejabat PKR. Hari Sabtu, Ahad saya memenuhi undangan (program) di seluruh negara.

"Begitulah jadual kami, di celah-celah itu kami harus selesaikan tugas penting parti. Sebelum saya masuk pun tata kelola kerajaan negeri Pulau Pinang cukup baik. Program untuk rakyat setiap tahun RM200 juta diagih pada rakyat dari penarik beca, ibu tunggal, suri rumah, para huffaz pun kerajaan negeri bagi sumbangan," jelasnya.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, rakyat akan memperoleh banyak faedah jika memberi mandat kepada parti pembangkang yang terbukti melaksanakan urus tadbir lebih baik seperti dinikmati di Pulau Pinang dan Selangor.

"Kadar jenayah indeks di Pulau Pinang, kes denggi berkurang. Sedikit hari lagi, Pulau Pinang bebas malaria. Semua rekod yang 'real' ini wujud apabila rakyat bagi mandat kepda kerajaan yang bukan Umno-BN, ternyata kita boleh buat lebih baik.

"Di Selangor, simpanan kerajaan negeri terus meningkat. Prestasi kerajaan tempatan meningkat sangat baik. Air percuma kurang 20 liter padu iaitu bersamaan RM 11.80. Di Pulau Pinang pasangan yang berkahwin, lahir anak terus duit masuk akaun," tambahnya lagi.