Setelah menerima kecaman pelbagai pihak, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen tampil menjelaskan bahawa beliau tidak bermaksud untuk menghina Islam dengan mengaitkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan penyebaran fahaman ekstrem.
Malah kata Paulsen, beliau merujuk kepada Jakim sebagai sebuah agensi kerajaan.
“Tweet saya merujuk kepada Jakim sebagai sebuah agensi kerajaan. Mengkritik Jakim tidak boleh dianggap sebagai menghina Islam,” katanya dalam Tweet terbaru pada Ahad.
Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempertahankan Jakim terhadap tuduhan Paulsen ini .
Khairy bertanya kepada Paulsen jika cara badan agama itu berdoa untuk kesejahteraan Malaysia merupakan satu bentuk ekstremisme.
“Setiap hari Jumaat, Jakim memberitahu masjid untuk berdoa untuk kesejahteraan Malaysia, yang merupakan negara anda @EricPaulsen101. Ya, itu ekstremisme,” kata Khairy dalam laman Tweetnya awal pagi Ahad.
Pada Jumaat lalu, Eric Paulsen mencetuskan kontroversi dalam laman Twitternya yang mengaitkan Jakim mempromosikan ekstremisme setiap hari Jumaat.
“Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap hari Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya, jika serius tentang ekstremisme di Msia,” tulis Paulsen.
Namun, tweet kontroversinya juga telah menarik perhatian Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Ini jenis kenyataan perlu disiasat di bawah Akta Hasutan. Polis akan menyiasat di bawah Akta ini,” kata Khalid dalam Tweetnya pada Sabtu. - sumber