Thursday, January 15, 2015

QZ8501: Berlaku kecuaian pentadbiran pada penerbangan

AirAsia Indonesia akui berlaku kecuaian pentadbiran pada penerbangan QZ8501
Agensi |Kemas kini:Januari 14, 2015
(Diterbitkan pada: Januari 14, 2015 17:46 MYT)

AirAsia Indonesia akui berlaku kecuaian pentadbiran pada penerbangan QZ8501
AirAsia pernah memfailkan permohonan penjadualan semula bagi pelepasan penerbangan Surabaya-Singapura.
KUALA LUMPUR: Pesawat QZ8501 tidak mempunyai permit penerbangan ketika ia meninggalkan Surabaya untuk ke Singapura.

Ketua Pengarah Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko dilaporkan berkata demikian kepada portal beritaTempo.co sebentar tadi.

“Kami mengakui berlaku kecuaian administrasi,” katanya merujuk kepada Pesawat AirAsia QZ8501 yang sebenarnya mempunyai permit untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda di Surabaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Namun begitu, AirAsia dilaporkan pernah memfailkan permohonan penjadualan semula bagi pelepasan penerbangan pada hari Isnin, Rabu, Jumaat dan Ahad.

"Dalam proses tersebut, penjadualan semula itu telah disampaikan secara lisan kepada Ketua Direktorat Pengangkutan Udara. Kecuaian ini harus kami perbetulkan secara dalaman," kata Sunu dalam laporan itu.

Sebelum ini, Kementerian Pengangkutan Indonesia telah menjalankan siasatan berhubung permit penerbangan AirAsia susulan musibah yang menimpa pesawat QZ8501 pada Disember 28 lalu.

Siasatan tersebut merupakan lanjutan dakwaan bahawa AirAsia telah melanggar permit penerbangan dengan melakukan penerbangan pada hari Ahad.

Kementerian Pengangkutan kemudian mengambil keputusan untuk menggantung permit penerbangan AirAsia bagi laluan Surabaya-Singapura bermula 2 Januari 2015.

Minggu lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia,Tony Fernandes berkata beliau tidak pernah mengaku bahawa syarikat itu tidak mempunyai kebenaran untuk terbang di  laluan Surabaya-Singapura.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa