PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Thursday, March 20, 2008
Perkhemahan Statik Berkumpulan
Perkhemahan statik berkumpulan adalah khemah-khemah didirikan di tapak yang ditetapkan untuk beberapa waktu secara baramai-ramai. Contohnya kemping semasa mengikuti sesuatu kursus di tempat yang sama yang telah ditentukan penganjur kursus terlebih dahulu. Berkhemah sebegini anda perlukan beberapa perkara asas untuk keselesaan dan keselamatan (sila rujuk pada topik asas perkhemahan). Walau pun disebut perkhemahan, tetapi perkara pokok mestilah diambil kira iaitu "Keselesaan dan Keselamatan"
Setiap perkhemahan berkumpulan, ahli-ahli kumpulan hendaklah melantik/memilih seorang Ketua Perkhemahan. Dan Ketua Perkhemahan yang dipilih tadi hendaklah membahagikan ahli-ahli tadi kepada beberapa kumpulan kecil dan seterusnya setiap kumpulan kecil tadi melantik seorang Ketua Kumpulan.
Pada hirakinya adalah, Ketua Kumpulan akan bertanggung jawab terhadap kumpulan masing-masing dan Ketua Perkhemahan akan bertanggung jawab terhadap semua Ketua Kumpulan. Segala arahan dari Ketua Perkhemahan kepada ahli perkhemahan akan disalurkan melalui Ketua Kumpulan dan seterusnya Ketua Kumpulan akan menyampaikan arahan tadi kepada ahli kumpulannya. Ini akan memudah dan memberi keberkesanan komunikasi.
Bagi perkhemahan atau apa-apa saja aktivti luar, Peti Pertolongan Cemas mestilah disediakan dengan lengkap dan bekalan ubat dan peralatan kecemasan mencukupi.
Keselamatan :
Ketua Perkhemahan mesti kenal pasti tapak berada di dalam keadaan persekitaran yang selamat daripada ancaman binatang atau pun ancaman semula jadi contohnya banjir kilat, tanah runtuh, pokok tumbang atau dahan runtuh. Lokasi pertemuan selepas waktu kecemasan juga hendaklah ditetapkan oleh Ketua Perkhemahan (sila rujuk artikal sebelum ini)
Ketua Perkhemahan akan berbincang dengan semua Ketua Kumpulan untuk memilih dan merancang Jadual Kawalan Malam. Kawalan Malam/Sentri perlu dilakukan bagi memantau dan menjaga keselamatan anggota perkhemahan dan juga harta yang ada. Kawalan biasanya dilakukan sekurang-kurang oleh dua orang pada setiap masa/sesi. Masa/sesi akan dibahagikan kepada dua jam setiap sesi bermula pada jam 12.00 malam sehingga 5.00 atau 6.00 pagi.
Keselesaan :
Ketua Perkhemahan hendaklah memilih tapak yang rata, tidak digenangi air, tidak bertunggul dan berbatu serta tidak terlalu terdedah kepada terik matahari.
Kemudahan:
Tapak perkhemahan mestilah tidak terlalu jauh dari jalan atau denai, dekat dengan punca air. Tandas hendaklah digali pada tempat yang sesuai, tidak terlalu jauh dari punca air/sungai dan juga tidak terlalu hampir dengan kawasan perkhemahan. Pastikan juga kawasan tandas selamat dari ancaman. Sediakan juga lubang sampah tetapi sampah yang susah untuk lupus hendaklah dibawa balik
Mendirikan khemah :
Sebelum mendirikan khemah, periksa dulu peralatan khemah dan kerusakan sekira ada. Kenal pasti talinya cukup atau tidak, pemacang cukup atau tidak. Sekiranya ada apa-apa yang berkurangan ambil tindakan untuk mengatasinya supaya khemah boleh didirikan dengan tegap dan kuat supaya bila berlaku hujan atau ribut, khemah tidak akan roboh.
Khemah-khemah hendaklah didirikan dalam bentuk bulatan atau barisan yang tersusun. Pintu khemah hendaklah menghadap antara satu sama lain. Pastikan tali khemah tidak menghalang laluan supaya bila berlaku kecemasan, dalam keadaan kelam kabut tali-tali khemah tidak dirempuh atau terlanggar. Pintu khemah hendaklah sentiasa bertutup dan zip untuk mengelak daripada binatang merayap dan penyengat memasuki khemah..
Setelah khemah dipasang, ruang untuk memasak dan makan hendaklah ditentukan pada tempat yang sesuai dan yang tidak terlalu hampir dengan khemah supaya percikan api dan sebagainya tidak merusakkan khemah.
Ampaian dan Gejet :
Seterusnya buat ampaian untuk menjemur kain dan baju. Seboleh-bolehnya jangan potong akar atau rotan. Gunakan tali yang dibawa. Jangan jemur kain atau baju di atas khemah. Kalau perlukan gejet buatlah dari kayu mati. Elakkan dari momotong pokok.
Sempadan dan Laluan ke punca air :
Setelah semuanya siap, buatlah tanda sempadan bagi tapak perkhemahan tadi dengan menggunakan tali. Rentangkan tali mengelilingi tapak perkhemahan. Sekiranya ada orang lain yang berkhemah di kawasan yang sama, mereka akan tahu kawasan masing-masing. Tali hendaklah direntang menghala ke punca air/sungai untuk kemudahan pada waktu malam.
Peringatan :
Jangan pergi ke punca air/sungai berseorangan pada waktu senja dan malam. Bawalah teman sekurang-kurang seorang, dua orang adalah lebih baik.
Cara menggunakan Punca Air :
Sekiranya Punca Air adalah sungai atau alur hendaklah dibahagikan kepada tiga bahagian.
Bahagian Satu :
Adalah bahagian yang paling Hulu. Bahagian ini hendaklah dikhaskan untuk tempat mengambil air minuman dan memasak sahaja.
Bahagian kedua :
Iaitu bahagian tengah. Bahagian ini adalah bahagian yang ke bawah sedikit dari bahagian hulu tadi. Bahagian ini hendaklah dikhaskan untuk mandi sahaja.
Bahagian ketiga :
Bahagian ini adalah bahagian paling Hilir dari kedua-dua bahagian tadi. Bahagian ini dikhaskan untuk membasuh pinggan mangkuk dan pakaian. Untuk membasuh kasut seboleh-bolehnya hendaklah di tempat yang paling hilir di bahagian ketiga ini.
Sekian.
No comments:
Post a Comment
Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa