Wednesday, March 19, 2008

Trekking Dan Ekspedisi - sambungan Pelaksanaan

Teknik

Memanaskan badan :

Sebelum memulakan perjalanan setiap anggota mesti melakukan renggangan otot dan memanaskan badan dengan kaedah yang betul.

Trekking di tanah rata :

Berjalan dalam jarak yang sesuai, jarak paling jauh adalah, kita mesti nampak orang di hadapan dan orang yang di belakang kita boleh nampak kita. Maknanya berjalan dalam jarak penglihatan. Ini adalah supaya kita tidak terpecah dari kumpulan dan hilang arah. Berjalanlah dengan rentak sendiri. memotong di dalam kumpulan dibenarkan.

Sekiranya ada halangan, kayu tumbang atau batu, hendaklah dilangkah untuk menjimatkan tenaga, Jangan melompat. Langkahlah dengan peka dan berhati-hati, mungkin ada ancaman di sebalik halangan tadi. Kemungkinan binatang bisa menunggu di sebalik kayu atau batu . Sekiranya perlu berpaut, pastikan dulu selamat. Tidak reput, tiada binatang menjalar atau penyengat. Sekiranya ada bahaya, beri amaran kepada anggota yang lain.

Jika terasa hendak buang air, elakkan dari trek. Beritahu rakan. Sekiranya berseorangan ketika itu, tinggalkan beg galas di atas trek supaya orang yang di belakang tahu yang kita ada di situ. Mereka kena tunggu sehingga kita selesai hajat. Jadi kita tidak akan tertinggal dari kumpulan.

Trekking di tempat curam :

Bila di tempat curam, sama ada mendaki atau menurun hendaklah berjalan dalam jarak yang selamat, berjalanlah dalam tiga meter atau lebih. Jarak ini perlu dikekalkan sepanjang pendakian atau menuruni kawasan curam. Dengan jarak sedemikian, Jika kita tergelincir atau jatuh kita tidak akan menghempap orang lain dan sebaliknya orang lain akan sempat membantu kita.

Mendakilah dengan langkah yang pendek dan jangan tergesa-gesa. Perhatikan laluan dengan teliti dan jalanlah dengan berhati-hati. Berikan amaran kepada anggota lain sekiranya ada bahaya, seperti batu jatuh atau dahan patah dan sebagainya. Minta pertolongan jika tidak mampu. Ukurlah kemampuan diri masing-masing. Seboleh-bolehnya elakkan dari menyusahkan orang lain.

Semasa menurun hendaklah juga mengikut peraturan di atas. Turun dengan membelakang sekiranya tempat terlalu curam dan bahaya. Cari tempat berpaut yang kukuh dan jangan cepat panik.

Trekking pada waktu malam :

Di waktu malam sekiranya boleh, elakkan trekking di kawasan yang curam dan bahaya. Pastikan setiap peserta membawa lampu suluh. Kalau malam terlalu gelap, berjalanlah dalam jarak yang boleh menyentuh orang yang di hadapan dan orang belakang boleh menyentuh kita. Jangan membisu, sentiasa berkomunikasi dengan orang yang di hadapan dan di belakang. Suluh di kaki sahaja, jangan suluh meliar sebab akan menarik perhatian binatang buas atau bisa, contohnya ada sejenis ular yang sukakan cahaya lampu. Pegang lampu hendaklah jauhkan sedikit dari pangkal.

Pakailah pakaian berwarna putih atau bersinar supaya senang dilihat. Sekiranya keletihan dan ingin berhenti rehat beritahu rakan yang lain supaya tidak bertembung antara satu sama lain dan kawan-kawan boleh menunggu. Sekira membuat unggun api semasa berehat, padamkan api sebelum meninggalkan tempat tersebut. Pastikan api betul-betul padam untuk mengelakkan berlaku kebakaran hutan.

Perkara Am

Semasa melakukan aktiviti trekking mestilah ada paling kurang seorang Trekker iaitu orang yang mengepalai dan mahir serta arif tentang selok belok setempat. Semasa berjalan Trekker tidak boleh dipotong. Tata cara dan kaedah trekking di atas hendaklah diamalkan pada setiap masa trekking. Berikan semangat kepada rakan yang bermasalah. Elakkan minum air terlalu banyak semasa trekking sebab akan membuat kita cepat letih.

Larangan :

1. Jagan berrmulut celupar atau bongkak.
2. Jangan menghina rakan
3. Jangan tergopoh gapah.
4. Jangan berehat di bawah pokok yang rimbun atau pokok mati
5. Jangan suluh meliar di waktu malam
6. Jangan bunag air di merata tempat atau di sarang serangga dan binatang
7. Jangan terlalu berani
8. Jangan ke punca air berseorangan
9. Jalan potong sebarang tumbuhan jika tidak perlu
10. Jangan buang sampah merata - "Bawa keluar apa yang dibawa masuk"

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa