PANDANGAN DAN PENDAPAT BERDASARKAN PENGALAMAN SENDIRI MENYOKONG YANG BENAR MENENTANG YANG SALAH DARI SUDUT PANDANGANKU
Monday, April 7, 2008
Maklumat Gunung-Gunung Di Kelantan
Separuh dari Negeri Kelantan adalah terdiri dari tanah Delta atau lembah. Disebabkan keadaan mukabuminya sebegini tidaklah banyak gunung atau tanah tinggi untuk didaki oleh penggemar rekreasi dan penggemar Alam Semula Jadi. Kalau ada pun hanya di bahagian Ulu Kelantan dan agak jauh dari bandar Kota Bharu dan tidaklah tinggi sangat bagi pencinta gunung.
Gunung-gunung yang agak popular di sini adalah Gunung Stong, Gunung Ayam dan Gunung Rabung. Laluan meredah hutan pula adalah dari Bukit Bakar ke Jeram Linang.
Bagaimana pun Gunung Rabung telah pun mengalami penerokaan balak begitu juga dengan laluan redah hutan Bukit Bakar - Jeram Linang. Banyak pemandangan yang tidak menyeronokkan di kedua-dua tempat ini. Kita akan bincangkan tentang lokasi dan apa yang ditawarkan oleh tempat-tempat dan kawasan-kawasan di atas kepada para penggemar rekreasi dan juga apakah hidangan yang menyakitkan hati dan mata sesiapa saja yang menjadi Pencinta Alam.
1. Gunung Stong
Terletak di Kompleks Stong, di Kampung Jelawang, di dalam Daerah Jeli, Kelantan. Ketinggian gunung ini adalah 4,224 kaki dari aras laut. Mempunyai puncak yang agak sempit daripada bongkah seketul batu. Mempunyai pemandangan yang menarik dari satu cerun yang menghijau dan bayu yang dingin. Amat menyegarkan. Di kaki gunung ini terdapat satu Air Terjun yang cantik dikatakan tertinggi di Asia Tenggara.
Kampung Jelawang, jaraknya dari Kota Bharu ialah 160km melalui Pekan Pasir Mas, Pekan Rantau Panjang , Penglima Bayu dan seterusnya ke Pekan Jeli. Dari Pekan Jeli menghala ke Pekan Dabong. Kampung Jelawang terletak di jalan Jeli - Dabong tetapi lebih kurang 5 - 6km sebelum Pekan Dabong. Kalau dengan kereta api dari Kuala Lumpur atau selatan boleh terus ke Pekan Dabong dan dari Pekan Dabong ke Kampong Jelawang boleh menumpang van yang disewakan sebagai teksi.
Keadaan flora dan faunanya masih lagi kurang terusik dengan pelbagai jenis dan spesis. Amat baik untuk sesiapa yang suka mengkaji dan menikmati kecantikan dan keunikannya.
Disebabkan puncaknya yang sempit dan tidak ada punca air, puncak gunung ini tidak sesuai untuk berkhemah dan bermalam. Keadaan angin juga kadang-kadang agak kencang dan merbahaya untuk berkhemah.
Treking dari Kampong Jelawang iaitu di kaki Gunung Stong ke Puncak Stong memakan masa selama lebih kurang 5 jam ke 6 jam dengan meyusur air terjun dan seterusnya ke Kem Baha, Jelawang Jungle yang terletak di permulaan bahagian atas air terjun.
Boleh bermalam di sini sekiranya mahu. Di sini terdapat anak sungai dengan airnya yang sejuk dan menyegarkan. Sungai inilah yang menerjah ke bawah menjadikan air terjun. Pemandangan dari sini juga amat menarik terutama di awal pagi ketika matahari sedang naik. Perjalanan dari kaki gunung ke sini memakan masa lebih kurang satu setengah jam ke dua jam setengah bergantung kepada ketahanan dan kelajuan trekkers.
Perjalanan dari kaki gunung ini menyusur air terjun dengan meniti di atas batu yang terhakis dek air agak licin dan ada kalanya curam, Trekkers perlu berhati-hati. Untuk melepasi tempat ini, perjalanan agak lambat dengan jarak lebih kurang lapan ratus meter. Dari batu-batu ini trekkers akan memanjat ke trek bahagian atas yang agak curam menuju ke Jelawang Jungle. Trek ini mencanak serta licin kalau berlaku hujan atau selepas hujan. Punca air terakhir pula adalah air terjun tadi. Jadi pastikan botol keperluan air diisi di situ.
Satu lagi lokasi perkhemahan adalah di Gua Stong atau ada orang panggil Gua Lahat. Panggilan Gua Lahat mungkin kerana gua ini berbentuk Liang Lahat. Di tepi gua ini terdapat anak sungai yang mengalir dari hulu melalui atas batu-batu yang menghampar dan amat manarik. Sungai inilah satu-satunya punca air untuk digunakan dan mandi manda. Gua ini agak sempit hanya boleh memuatkan sekadar 10 ke 15 orang saja. Jadi kalau lebih ramai terpaksa sediakan khemah. Perjalanan dari Jelawang Jungle ke gua ini mengambil masa lebih kurang 2 jam bergantung kepada ketahan dan kepantasan trekkers.
Perjalanan dari gua ini ke Puncak Stong pula hanya memakan masa satu ke satu jam setengah saja. Jadi Trekkers boleh merancang masa untuk berada di puncak dan berehat di dalam gua. Saya selalu gunakan gua ini untuk berehat sehingga dua malam. Gua ini nyaman dan sejuk ditambahkan pula dengan punca air yang bersih dan cukup hampir dengan gua yang dihuni.
Di sepanjang perjalanan di trek dan di lokasi perkhemahan, pemandangan yang menyakitkan mata dan hati adalah sampah yang tidak terurus dan selalunya dibuang bersepah. Kadang kala masih lagi baru dan berbau busuk.
- akan bersambung bab Gunung Ayam
Salam,
ReplyDeleteBoleh tumpang tanya. Dari Pekan Jeli ke Gunung Stong perjalanannya berapa lama kalau menaiki kereta?
Terima kasih.