Thursday, August 21, 2008

Lembaga Huduh Di Kem Mengkuang

Sebelum ini saya berjanji akan muatkan posting saya dengan gambar dan cerita berkenaan saya dan kawan-kawan yang ghairah memburu perkara-perkara yang bersabit dengan paranormal. Walau bagaimana pun saya mohon maaf kerana gambar-gambar yang dirakam oleh Sdr. Mohd. Azmi masih belum saya perolehi. Saya berjanji bila gambar-gambar tersebut sudah ada di tangan saya, saya akan muatkan di blog ini. Insya Allah.

Sekarang ini (malam ini) saya rasa bosan, tengok tv3 dan tv kerajaan lagilah buat saya biul. Mengarut mengalahkan senario. Bodoh lagi membodohkan. Baca surat khabar arus perdana pun serupa macam jugak, sama biul. Nak tengok pesta sukan olimpik di astro pun dah tak ada mood.

Jadi untuk mengelak diri saya jadi biul macam segala jenis wartawan di segala media kerajaan dan pro kerajaan, saya fikir lebih baik saya ceritakan sedikit pengalaman saya semasa mendaki Gunung Tahan pada tahun 1994 dalam bulan Julai. Perjalanan kami ialah ke puncak Gunung Tahan melalui Pekan Merapuh-Sungai Relai-Kuala Juram-Puncak Tahan dan turun melalui Gunung Gedong-Kuala teku-Melantai- Kuala Tahan(Taman Negara)-Kuala Tembeling. Ekspedisi ini memakan masa selama seminggu.

Anggota ekspedisi kami tiba di Kem Kol sekitar jam 5.30 petang setelah bertolak dari Kuala Juram pada jam 8.30 pagi. Saya sebagai Ketua Ekspedisi meminta semua anggota berhenti rehat dan dirikan khemah serta memasak untuk makan malam. Kami berkhemah dengan khemah anggota perempuan di tengah-tengah dan anggota lelaki mendirikan khemah mengelilingi khemah perempuan. Sebenarnya anggota ekspedisi kali ini lebih ramai perempuan dari lelaki. Dari 24 orang semuanya, hanya 8 orang lelaki.

Selepas selesai makan malam dan solat jamak, saya menyendiri di satu sudut gelap di bawah pokok yang agak rimbun sambil memerhatikan keadaan keliling. Di dalam mata saya melilau-lilau sekeliling kem, saya terpandang satu lembaga yang agak besar. Agak saya setinggi lebih kurang 2 meter melintasi dari penjuru kanan kem, menyeberangi sungai kecil di hadapan kawasan perkhemahan dan meluru masuk hutan menyerung ke sebelah kiri kem dan menghilang di dalam semak. Saya cuba mengejar tetapi gagal kerana gelap dan dia mungkin terlalu pantas . Saya berpatah balik ke khemah tetapi saya rahsiakan dari anggota-anggota lain bimbang mereka akan ketakutan. Saya juga yang akan susah!

Saya tidak dapat pastikan bagaimana rupa makhluk itu kerana keadaan samar. Yang saya sempat lihat hanyalah susuk tubuh yang besar dan berbulu macam beruk tetapi lebih tebal dengan warna merah kehitaman. Mukanya saya tidak nampak jelas. Dia berjalan menegak dengan pantas dan sedikit bongkok. Saya tidak pasti dari jenis beruk besar, big foot atau mawas. Itulah kali pertama saya nampak binatang sebegitu sepanjang saya bergiat di dalam bidang rekreasi dan mendaki selama hampir 10 tahun pada ketika itu.

Esoknya dari Kem Kol kami tiba di Kem Pandan lebih kurang jam 5.00 petang. Seperti biasa kami rehat, mendirikan khemah, mandi dan memasak. Semasa anggota lain turun mandi beramai-ramai mengikut arahan saya, saya berehat bersama seorang kawan sambil menjaga kem.

Apabila semua anggota sudah balik dari mandian dan ambil air, saya menanggalkan pakaian. Waktu itu sudah jam 7.00 malam, sudah hampir gelap. Dengan bertuala saya berjalan turun bukit ke arah anak air untuk mandi. Sebenarnya maaf cakap, saya suka mandi telanjang. Sudah menjadi kebiasaan saya kerana rasa lebih selesa dan senang nak bersihkan badan. Sebaik saja saya nak menuruni bukit, saya dipanggil oleh Cik Gu Ali. Dia nak ikut sama untuk mandi. Tidak boleh bertelanjanglah saya nampaknya.

Sebaik tiba di Anak Air tempat mandian, saya minta Cik Gu Ali mandi dulu kerana saya hendak buang air besar. Saya turun ke bawah lagi mencari tempat sesuai untuk saya gali lubang dan membuang. Setelah puas membuang, saya dapati tidak ada tempat di sepanjang aliran air itu yang sesuai mengikut syarak untuk membersihkan diri. Saya turun lagi ke bawah dan terjumpa satu kolam kecil anggaran 2x2 meter besar dan bila saya turun airnya di paras bawah lutut dengan aliran air mengalir dari tanah tinggi di atasnya ke dalam kolam dan melimpah ke bawah. Saya kira sesuai untuk membersihkan diri. Jadi saya bersihkan diri di dalam kolam itu dengan selamkan punggung dan basuh. Bila dah bersih saya naik semula ke tempat mandian yang saya tinggalkan Cik Gu Ali tadi. Cik Gu Ali dah balik ke kem, hari pun dah gelap. Saya mandi, berwudhuk dan balik ke kem.

Sebaik saya selesai solat maghrib dengan jamak isyak, saya nampak satu lembaga berdiri di muka lorong untuk turun ke anak air tempat mandian tadi dalam jarak 10 meter dari saya. Saya boleh nampak dengan jelas sebab saya arahkan anggota memasang satu lampu di hadapan lorong itu, dan lembaga itu berdiri hampir dengan lampu. Saiznya sama dengan saiz kita, hanya bercawat tanpa baju dengan rambut gonderong yang panjang tetapi kelihatan amat kotor dengan berpintal-pintal (bukan dipintal). Giginya basar sebab kerana giginya menjadikan bibirnya terbuka tidak rapat. Matanya yang merah meliar macam mencari sesuatu.

Ketika itu saya sudah boleh menduganya yang memang dia mencari saya. Sebabnya ialah mungkin saya telah menceroboh dan mencemari kolamnya tadi. Atau mungkin juga saya terpijak anaknya. Saya perhatikan orang lain tidak mempedulikannya. Maknanya orang lain tidak nampak kecuali saya. Di sebabkan bimbang dia buat hal kepada orang lain, lebih-lebih lagi di antara kami ramai perempuan, saya nekad mendekati dan berhadapan dengannya.

Saya bangun dengan tetapkan hati kepada Allah merapati lembaga itu. Dalam jarak 3 meter saya lihat kulitnya hitam dan kasar. Lantas saya mencabarnya. Saya kata "Aku tahu kau marahkan aku seorang saja. Kalau kau nak sangat, aku cabar kau. Kita bertarung lain kali. Malam ini tak boleh sebab ramai orang lain, nanti orang lain akan kecuh. Kau setan bukan boleh percaya. Lain kali aku datang sorang dan kau tunggu aku di sini. Kau kena percaya aku akan tepati janji" Selepas saya berkata-kata kami bertentang mata. Matanya merah dan kelihatan amat marah. Saya pagar diri saya dengan kalimah Zat Allah. Saya tentang matanya dengan berzikir tanpa berkelip. Lepas seketika dia ghaib.

Saya berpatah balik ke khemah dan arahkan buat posisi khemah sebagaimana di Kem Kol. Malam itu saya tidur dalam berhati-hati. Kejadian itu saya tidak ceritakan kepada sesiapa pun bimbang anggota perempuan akan menggelabah. Bila pagi baru saya tahu, bila lembaga itu gagal kenakan saya dia kenakan Cik Gu Ali sebab Cik Gu Ali bersama saya turun ke tempat mandian. Cik Gu Ali disumbat telinganya dengan seekor lipas. Kami gagal keluarkan lipas tersebut. Jadi kami terpaksa mematikan lipas itu supaya tidak menggelupur di dalam telinga yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat. Bila balik lipas itu yang tinggal kerangka berjaya dikeluarkan di HUSM Kubang Kerian.

Esoknya jam 8.30 pagi kami meneruskan perjalan ke Puncak Gunung Tahan dan selamat tiba di puncak bila hari dah hampir malam. Rupanya syaitan itu juga ikut kami ke puncak!.

Saya akan teruskan cerita ini bagaimana syaitan itu cuba kenakan saya di Gunung Berapit di dalam perjalanan turun dari puncak Gunung Tahan untuk bermalam di Kem Padang di dalam posting saya yang akan datang. Kalau berminat tungguuu...

5 comments:

  1. Assalamualaikum Saudara,

    Dahsyat cerita syaitan mengekori Saudara ni...bukan calang calang cerita..pada pendapata saya ia amat patut dibukukan supaya dapat dikongsi dengan kami semua. Terutama pada mereka yang 'tak percaya' pada mahluk ghaib..

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete
  2. puan,

    saya agak sibuk untuk bukukan apa yang saya alami di sepanjang keterlibatan saya di bidang pengembaraan dan pendakian. rudah ramai teman2 yang mencadangkan saya berbuat demikian. TKP saya pun pernah cadangkan, tetapi masalah yang menghalang saya.

    walau bagaimana pun saya amat berterima kasih di atas cadangan puna itu.

    sekarang saya masih di Ipoh kerana ibu mertua saya telah pulang ke rahmatullah pada sabtu lepas. termasuk hari ini saya sudah seminggu di sini dan inilah saya berpeluang jengok blog sendiri dan teman-teman.

    jumpa lagi.

    ReplyDelete
  3. InnalillahiWaInnalillahirojiun,

    Takziah dari saya buat Saudara seisi keluarga terutama pada Suri Saudara.

    Takziah sekali lagi. Bersabarlah...

    Salam.

    ReplyDelete
  4. Salam,
    Mmm...seram saya baca blog saudara ni, tak sabar rasanya untuk mengikuti perkembangan cerita yang seterusnya

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa