Tuesday, October 21, 2008

Bertembung Gajah Di Tasik Kenyir

Pada suatu masa saya telah diminta oleh Jabatan Belia Dan Sukan Kelantan untuk mengendalikan satu kem bagi Kursus Penggerak Rekreasi Negeri di Tasik Kenyir yang melibatkan 20 orang peserta yang mewakili daerah masing-masing. Kursus ini adalah dikhaskan untuk lepasan Level I, Rekreasi. Ini bermakna semua peserta sudah ada pengalaman di bidang ini.

Seorang Pegawai Sukan di Jabatan Belia Dan sukan Kelantan, 2 oarang dari Jabatan Perhilitan Dan Taman Negara, 2 orang dari Jabatan Perikanan dan saya sendiri membawa 2 orang pembantu bersama mengendalikan kem berkenaan. Saya adalah Ketua Fasilitator dan Ahmad dari Pejabat Polis Kontingen Kelantan sebagai Kem Komandan. Saya juga bawa isteri dan seorang anak buah untuk memberi mereka bersama makan angin. Kursus ini dijadualkan selama lima hari dengan modul aktiviti darat, air dan teknikal - pengendalian tali.

Kami pilih Sungai Cancing sebagai tapak kem kira-kira lima jam dengan boat dari Pengkalan TNB di Tasik Kenyir, Ulu Terengganu. Agak Jauh dan terpencil.

Pada petang hari ke dua saya adakan program trekking dan mendaki. Saya mengepalai semua peserta mendaki sebuah bukit yang agak tinggi. Setelah bersusah payah meredah rimba dan semak kami sampai di puncak bukit itu. Dari puncak ini kami dijadualkan turun di sebelah sana dan seterusnya membawa peserta meredah hutan dalam jarak perjalanan 8km. Jangkaan kami akan tiba kembali ke kem sebelum jam 10.00 malam.

Apabila kami semua sedang menuruni bukit tadi, kami terserempak dengan sekawan gajah liar. Tidak silap saya 8 ekor dengan 3 ekor anak. Kawanan gajah ini dikepalai oleh seekor gajah jantan yang besar berwarna perang. Kawanan gajah ini sedang mendaki dan kami sedang menuruni bukit. Dalam jarak 30 meter dari gajah saya arahkan peserta berhenti dan saya bersuara kepada gajah jantan yang menjadi kepala kawanan gajah tadi " Hai gajah, kamu ke tepi dulu bagi laluan aku nak turun" . Gajah itu buat dek aje, dan saya bertempik dengan kuat mengulangi apa yang saya kata tadi. Gajah jantan tadi mendongak dan memandang saya dengan mata yang garang. Apabila saya tidak berganjak, gajah itu menunjukkan tingkah laku yang marah dengan merenung dengan tajam, mengangkat belalai tegak ke atas dan mengibaskan kedua-dua telinganya yang besar. Saya faham gajah itu sudah marah. Mungkin dirasakan saya mengancam anak-anaknya.

Saya toleh ke belakang dan berkata kepada Mad "Kita undur dulu, perlahan!". Bila saya sebut undur dulu, semua peserta bertempiaran lari dalam ketakutan tanpa menghiraukan pesanan saya supaya bertenang. Bila dah kelam kabut, gajah tadi meluru naik. Saya mengelak ke laluan lain dan kembali ke kem. Sayalah yang terkemudian sekali berundur selepas Mad.

Setiba di kem saya kira semua peserta dan didapati 2 orang sudah hilang. Yang lain semuanya selamat. Terpaksalah saya dan Mad keluar mencari sebelum hari gelap. Kami jumpa kedua-dua orang peserta tadi di sebelah bukit di seberang trek yang kami daki tadi. Mereka sudah salah laluan dan gagal mencari jalan pulang ke kem. Nasib baik mereka duduk dan menunggu bantuan tiba. Memang saya berikan arahan sebelum trekking, sesiapa yang tersesat jangan teruskan perjalanan sebaliknya tunggu di situ sehingga bantuan tiba. Itulah peristiwa yang agak merunsingkan saya kerana yang terlibat adalah peserta kursus dan keselamatan mereka adalah di bawah tanggung jawab saya dan Mad.

Sebenarnya gajah adalah binatang yang lemah lembut walau pun besar dan nampak ganas. Hidup berkumpulan dan biasanya yang jantan menjadi pelindung kepada kawanan. Bila tidur anak-anak gajah akan tidur di tengah-tengah dengan gajah dewasa akan tidur di sekeliling anak anak gajah tadi untuk melindungi sikecil dari sebarang ancaman. Boleh dikatakan hidup gajah adalah dalam satu keluarga yang erat dan saling melindungi.

Gajah makan umbut dan pucuk kayu. Rebung dan buluh muda adalah makanan lazim baginya. Satu lagi yang gajah amat gemar ialah garam. Tidak kira garam bukit atau garam di dapur kita. Kalau di belantara ada "salt lick". Biasanya gajah akan mengembara di dalam belantara untuk mencari makanan. Maknanya hidup gajah adalah nomad tetapi mempunyai territory yang kusus. Gajah menjelajah bukit ke bukit, gunung ke gunung, belantara ke belantara melalui trek yang sama berulang-ulang. Biasanya selepas 2 atau 3 bulan mereka akan kembali lagi ke tempat yang sudah mereka tinggalkan setelah makanan di situ habis sebelumnya. Maknanya perjalanan kita akan selamat sekiranya kita menemui najis gajah yang baru tetapi jika najis yang kita temui itu sudah berkulat atau berlumut (najis lama) maka kita perlu berhati-hati kerana kemungkinan besar kita akan bertembung dengan si tuan najis. Pusingan laluannya mungkin sudah tiba.

Gajah akan menyerang sekiranya dirasakan terancam. Atau keselematan kumpulannya terancam. Gajah tidak akan masuk kampung dan musnahkan tanaman sekiranya habitatnya tidak diganggu dan makanannya mencukupi. Bila habitatnya diganggu dan makanannya tidak mencukupi, gajah akan keluar ke ladang-ladang dan ada kemungkinan menceroboh rumah-rumah yang berdekatan dengan hutan. Kalau mereka menceroboh rumah, tempat utama yang mereka tuju adalah dapur. Gajah mencari garam dan abu di dapur!

Ingat, gajah adalah binatang cerdik. Sekali kena perangkap dia sudah tahu dan tidak akan kena lagi. Ladang yang berpagar letrik belum tentu selamat dari gajah. Sekali kena renjatan, gajah akan menumbangkan pokok ke atas pagar letrik tadi dan mereka akan meniti di atas batang kayu yang tumbang melepasi pagar letrik. Mereka meniti batang kayu itu bergilir-gilir sehingga semua ahli kawanan itu lepas.

Sekiranya diserang gajah, jangan panjat pokok. Kalau kita panjat pokok gajah akan menggoyang pokok tersebut. Sekiranya pokok itu gagal ditumbangkan, gajah akan tunggu. Cara yang terbaik ialah menyorok di lobang sempit pada batu yang besar yang gajah tidak terjangkau dengan belalainya. Walau pun gajah akan tunggu tetapi bila dia gagal dan lapar, gajah akan beredar.

Kalau kita hendak lari dengan berlari, kita hendaklah berlari mengelilingi bukit atau tanah tinggi. Tindakan ini akan melambatkan pergerakan gajah sebab masalah imbangan di tempat yang curam. Gajah akan lebih cepat dari kita sekiranya kita berlari secara terus sama ada mendaki bukit atau menuruni bukit. Maka kita tidak akan selamat.

Satu lagi, gajah adalah binatang pendendam. Kalau disakiti atau dikacau, gajah akan mencari sampai dapat kecuali kita sempat lari ke perkampungan. Gajah takut dengan bunyi bising. Untuk halau gajah hanyalah dengan cara buat bising atau letupan.

Tahi gajah boleh dicampur dengan air untuk dibuat penawar demam panas dengan melumurkan ke badan sementara mendapat rawatan doktor!

12 comments:

  1. Alhamdulilah..penantian untk membaca kisah sang gajah akhirnya berjaya juga..terlalu bayak ilmu saudara..terasa cetek dan dangkal pengalaman diri sendiri..terasa ruginya tidk dapat bersama2 saudara melalui segala pengalaman.Moga walaupun membaca dan menghadapinya sesuatu yang berbeza, ada ilmu yang dapat saya titipkan sebagai pelengkap dan bekalan hidup pada masa hadapan.Mana tahu saya tersesat di hutan dan berjumpa dgn sang gajah pada masa hadapan..Tuhan punya kuasa..tiada yang mustahil baginya..

    ReplyDelete
  2. pakcik..
    pengalaman menarik nih....

    petua pun menarik... hikhikhik..
    tapi tak sanggop!

    ReplyDelete
  3. uncle,

    seronok berkongsi pengalaman meski hanya melalui pembacaan. seumur hidup erisya cuma pernah hiking sekali saja iaitu di Gunung Jerai.lepas tu bila teman-teman ajak ke gunung kinabalu dan gunung fuji erisya tak berani!padahal masa di gunung jerai erisya cuma jumpa pacat XXL jer...bukannya gajah!

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum,

    Sungguh hebat cerita Gajah ini, cerita dari seorang yang berpengalaman sendiri dan bukan dari buku teks.

    Gajah haiwan yang lemah lembut. Memang pun nampaknya mereka lemah lembut walaupun begitu besar saiz mereka. Mereka juga cerdik dan yang menarik perhatian saya adalah mereka suka makan garam. Mengapa agaknya ya mereka suka makan garam? Hanya Allah swt yang tahu.

    Terima Kasih lagi sekali buat sebuah kisah benar Sang Gajah. Sambil membaca kisah sebenar Gajah ini membuat kita sedih kerana sekarang banyak habitat Gajah telah dicerobohi manusia kerana pembangunan.

    Kita mesti hormati habitat mereka. Mereka, haiwan haiwan juga ada hak pada bumi kita, tempat tinggal mereka. Kalau semua kita musnahkan ke manalah mereka hendak pergi? Dan bila mereka cerobohi tempat tinggal kita, kita marah pula.

    WaAllahuAlam.

    ReplyDelete
  5. Salam untuk semua.

    Sdr. mogen,

    Satu ancamannya bila sesat memanglah binatang buas tetapi ada tekniknya untuk mengelak dari bertembung. Keduanya teknik mencari jalan pulang atau setidak-tidaknya mencari tempat yang selamat dan senang ditemui oleh penyelamat. Inya Allah saya akan buatkan posting untuk itu. Kalau tidak sdr. perlu hadiri kursus yang khusus untuk outdoor.

    hanis,

    Tak sanggup di dalam keadaan biasa tetapi bila terpaksa atau terdesak akan kita relakan apa saja demi menyelamatkan nyawa. Contohnya bila dipatuk ular, kita akan sanggup nenoreh anggota sendiri dengan pisau walau pun di dalam keadaan normal tidak akan ada siapa pun yang sanggup berbuat begitu.

    erisya,

    Sebenarnya tidak akan ada apa yang yang lebih kita takutkan selain Allah. Tawakkal dan serahkan diri bulat-bulat kepada Allah. Itulah petua yang uncle pakai.

    Puan melayuangkat,

    Itulah gajah walau pun besar tetapi lemah lembut dan senang menurut perintah. Tengok di serkis duduk atas bola pun tidak pecah.

    Tentang garam, sebenarnya boleh katakan semua binatang suka. Rusa, badak kijang suka jilat abu. kekadang tu walau pun api masih belum padam sepenuhnya, badak akan datang dan pijak-pijak api untuk padamkan untuk makan abu. Begitu juga dengan pakaian basahan yang lenjun kena peluh, walau pun sudah kering, gajah akan mengunyahnya.

    Dari segi kejahatan, sebenarnya kita yang jahat dan rakus mengganggu habitatnya. Binatang hutan tidak akan mengamuk atau membahayakan nyawa manusia sekiranya habitatnya tidak diganggu dan makanan mereka mencukupi.

    ReplyDelete
  6. Salam,

    Bila kita nak kumpul team blogger gi panjat Stong-Ayam? Dari dulu dok teringin..

    Tahan dah 6 kali tapi Stong-Ayam tak sampai-sampai juga..takdak kaki berminat ke sana sekarang :(

    ReplyDelete
  7. Salam sdr. Pewaris Reformasi.

    Ini buat saya teruja nih!. Dah dapat ramai teman yang seiring sejalan.

    Kalau saudara berhajat boleh kontek saya melalui email dan insya Allah saya akan aturkan.

    Gunung Tahan pun sudah lama saya tidak kunjungi.

    ReplyDelete
  8. Assalamualaikum Pakcik Din..
    Betul ke gajah boleh mendengar dlm jarak yg jauh berbatu-batu..Lagi satu saya dengar,jangan sekali2 mencabar utk berjumpa/berniat jahat sebab seolah-olah dia mengerti akan niat kita itu..

    Takut juga sbb selalu balik kelate guna Lebuhraya timur barat ada lalu kawasan gajah melintas

    ReplyDelete
  9. Salam buat uxop.

    Pak Cik tak percaya yang gajah boleh mendengar. Pak Cik dan seorang kawan tu selalu juga memperolokkan tentang gajah ketika di belantara tapi tak ada apa-apa pun.

    Cuma seperkara mengikut orang tua, mungkin betul mungkin tidak. Gajah ni ada gembala dia berupa jin atau setan yang membawa khabar. Setan tu yang curi dengar apa yang kita kata. Tetapi kalau setan itu sendiri yang takut nak dekat dengan kita, dia khabarkan apa kat gajah. Itu cerita orang tua-tualah.

    Wallahu Aklam.

    ReplyDelete
  10. Salam saudara mountdweller,

    "Walau pun gajah akan tunggu tetapi bila dia gagal dan lapar, gajah akan beredar."

    .. Biasanya berapa lama gajah tu akan tunggu? Adake sampai 5-6 jam?

    ReplyDelete
  11. Mungkin lama, mungkin sebentar ajer kita menyorok di celah/lubang yang dia tidak nampak kita cuma dia raba dengan belalai. Bila dia tidak dapat kesan kita dia akan beredar. Lagi pun gajah sentiasa berjalan mencari daun muda atau umbut di dalam kawanan/kumpulan. Bila kumpulannya beredar dia akan beredar.

    Kalau kita di atas pokok dia akan nampak kita. Itu yang membuatnya tunggu lebih lama dan mungkin ada naluri geram.

    ReplyDelete
  12. I really like looking through an article that will
    make people think. Also, thanks for allowing for me to comment!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa