Sunday, November 23, 2008

Terbuku Di hati

Tangan kanan yang memberi tangan kiri jangan tahu, prinsipnya begitulah sebenarnya. Tapi prinsip ini saya terpaksa langgar kerana terlalu lama menyimpan apa yang terbuku di hati. Jauh sekali diri ini untuk mengungkit atau menyatakan kepada sesiapa pun tentang kebaikan yang telah dicurahkan. Bukan juga hendak membangga diri. Harap saudara dan saudari yang membaca posting ini memaafkan saya dan tidak memandang serung terhadap saya.

Apa yang saya lakukan dulu memang ikhlas Lillahitaala. Namun kerana memendam perasaan yang terlalu lama membuatkan saya meluahkannya di sini.

Apa yang berlaku ini adalah semasa saya di alam persekolahan lagi, di tingkatan 6 rendah. Masa itu tidak ada Metrikulasi. Saya ada seorang junior pelajar lelaki di tingkatan 5 yang rapat dengan saya.

Setiap hari saya belanja dia makan baik di kantin atau warung di luar. Dia tidak tinggal di asrama tetapi menyewa sebuah bilik di luar kawasan sekolah. Kampungnya agak jauh untuk berulang alik setiap hari ke sekolah.

Pada satu hari saya ajak dia makan tetapi dia menolak. Saya tanya kenapa? Adakah dia sudah makan? Dia kata belum tetapi dia tidak mahu makan yang selalu saya yang belanja. Sekarang dia tidak ada duit nak balas saya belanja. Saya kata tak apa kali ini saya belanja, bila dia ada duit nanti bolehlah dia belanja saya pula. Dia jawab yang dia tidak akan ada duit. Jawapan dia menyebabkan saya hairan. Takkan ibubapa dia tidak berikan dia duit belanja langsung. Walau pun dalam hati saya kehairanan, tapi saya diamkan saja. Tidak mahu bertanya lebih lanjut.

Selepas makan, dia mengajak saya menemani dia ke Kota Bharu mencari ayahnya nak minta duit belanja. Dia kata ayahnya ada di satu tempat yang memang dia tahu (saya tidak mahu beritahu tempatnya di sini demi maruahnya sebab kalau orang lama di KB memang tahu tempat tu ). Saya ikut saja dia. Setelah sampai ke tempat ayahnya, saya menunggu di luar, hanya dia yang masuk sendirian jumpa ayahnya. Bila dia keluar, dia kata ayahnya hanya berikan dia RM2.00 kerana duit sudah tidak ada, habis kerana berjudi.

Ayahnya bekas tentera dan bekerja bawa teksi sapu. Tapi malangnya banyak masa digunakan untuk berjudi. Anak isteri tidak berapa dihiraukan sangat termasuklah kawan saya ini. Saya mententeramkan dia dengan mengatakan tak apa, saya akan belanja awak makan bila-bila pun selagi awak tidak berduit. Mula dari itu sayalah yang selalu bayar untuk dia makan.

Pada satu hari minggu dia ajak saya ke kampungnya. Sesampai di rumahnya saya lihat kehidupan keluarganya cukup daif dengan ada lagi adik-adik kecil yang bersekolah. Ayahnya sentiasa tiada di rumah. Saya tidak sampai hati untuk bermalam di situ. Saya ajak dia balik. Kalau saya bermalam, maknanya saya akan makan sebahagian dari makanan mereka. Entah mereka cukup atau pun tidak, kita tidak tahu.

Esoknya saya buka satu akaun di warung yang selalu kami makan untuk dia makan pada bila-bila masa. Cukup bulan saya bayarkan hutang akaun itu. Bilik sewa juga, kalau dia tidak ada duit saya bayarkan. Begitulah berterusan sehingga dia habiskan tingkatan 5. Bila lepas tingkatan lima semasa menunggu MCE masa itu, sekarang SPM, dia buat keputusan nak kawin dengan gurunya (selepas itu jadi pelakun, kalau saya cakap ramai orang akan kenal. Dia bukan berasal dari Kelantan) yang sememangnya saya juga rapat. Selepas itu mereka berhijrah ke Kuala Lumpur.

Semasa saya menunggu result HSC/STP, saya ke KL rumah kakak saya. Saya mencari mereka. Saya hanya menemui kawan saya, isterinya tiada. Kawan saya ini bekerja di kilang perabot. Rupanya mereka sudah bercerai dan kawan saya tadi kudung sedikit jari telunjuknya kerana kemalangan mesen pemotong papan semasa bekerja di kilang.

Saya ajak dia balik ke rumah kakak dan perkenalkan kepada abang ipar yang pada masa itu seorang anggota TUDM berpangkat Leftenan Kolonel. Kebetulan masa itu ada jawatan kosong di ATM untuk Pegawai Kedet. Saya minta abang ipar bawa balik borang permohonan untuk kawan saya tadi memohon. Abang bawa balik borang dan setelah dilengkapkan saya berikan pada abang ipar minta dia tolong kawan saya ini untuk jawatan itu. Setelah temu duga dia berjaya dan lapor diri untuk latihan. Bila hampir keputusan peperiksaan saya keluar, saya balik ke KB.

Apa yang saya kesalkan ialah saya menanti dia menghubungi saya atau sekurang-kurangnya hantar sekeping postcard memberikan khabar kepada saya. Tetapi hampa. Dari detik itu sehingga sekarang saya telah putus terus hubungan dengannya. Dia tahu di mana rumah orang tua saya sebelum saya berpindah ke rumah sendiri. Saya menunggu berita darinya hampir 30 tahun!.

Inilah satu insan yang saya anggap macam adik saya sendiri. Apa khabar dia sekarang saya tidak tahu, apa pangkat dia sekarang pun saya tidak tahu.

Itulah ceritanya.. maafkan saya.


28 comments:

  1. uncle, pada pandangan erisya itu bukan mengungkit cuma melahirkan perasaan terkilan terhadap teman tersayang. Jika tiada rasa sayang pasti uncle tak terkilan akan sikapnya itu, tak gitu? Harap lepas ni dia akan contact uncle semula..tak kiralah apapun keadaannya...tidak rendah diri atau malu andai dia hidup susah..juga tak tinggi diri andai dia dah hidup senang :)

    ReplyDelete
  2. Salam buat erisya,

    Memang pada mulanya uncle keberatan untuk menulis tentang perkara ini. Tapi uncle tersentuh bila baca blog azza.

    Yelah, kalau dia baca blog ini tentu dia akan teringat apa yang berlaku pada masa itu.

    ReplyDelete
  3. Waalaikumu ssalam sdr. moses,

    Panggilah apa saja dengan panggilan yang munasabah. Banyak panggilan saya sebenarnya. Pakcik Din bagi yang muda, Abg. Din bagi yang dekat sebaya. Anak buah yang di KB panggil Ayah Din. Anak buah yang di Ipoh panggil Pak Uda. Anak buah yang di KL panggil uncle Din. Penduduk kat kg. saya dia orang panggil encik Din dan di tempat kerja Abg. Din. Orang-orang parti pula baik dari UMNO atau PAS dia orang panggil Abg. Din.

    Itulah, sebenarnya berat hati juga nak tulis tentang ini. Tapi memandangkan boleh menjadikan tauladan untuk semua, saya tulis jugalah.

    ReplyDelete
  4. salam uncle..seperti kata mantan perdana menteri kita,Melayu mudah lupa..memang benar rasanya..rasanya dia tak lupa pada uncle,mana mungkin dia akan melupakan orang yg tolong dia,tapi sengaja tak mau beratkan fikiran untuk berterima kasih maupun membalas budi.biasalah tu uncle..dunia skang nie...jue harap Allah akan menggandakan pahala atas apa yg telah uncle lakukan terhadap dia dgn ikhlas..

    ReplyDelete
  5. w'salam jue,

    Uncle bukan nak dia berterima kasih atau membalas apa-apa. Uncle yang uncle nak ialah khabar berita saja.

    Memang apa yang uncle buat kerana Allah. Uncle tidak perlukan apa-apa balasan.

    ReplyDelete
  6. salam tuan,

    teman suka senang dicari, teman duka payah ditemui. saya faham maksud saudara apabila orang yang kita amat sayang dan lindungi tidak meninggalkan khabar berita..setelah dia kita anggap sebagai kawan akrab dan adik kandung, apa yang kita nantikan adalah bukan balasan budi ataupun ungkitan kisah lama. kita hanya mahukan satu perhubungan silaturahim yang terus terjalin. mungkin dia merasa segan atau malu dengan jasa baik saudara. kita tak dapat berteka teki dengan tindaakan anehnya yang menghentikan khabar diri dari saudara..apa yang saya lebih sedihkan jika ada insan yang memperlakuan ini juga keatas ayahanda dan ibunda sehingga akhir hayat orang tua..

    ReplyDelete
  7. salam Tuan Gunung:

    Apapun kita harap berbaik sangka, mungkin sidia menghadapai kesulitan untuk menghubung tuan. tapi kalu dia sendiri sedar dan tahu akan kedudukan tuan, kita harap 'dia seperti kacang lupakan kulitnya'. Wallhualam.

    ReplyDelete
  8. salam abg din..
    memang kita seboleh2nya tak nak ngungkit.dan abg din bukan ngungkit.sekadar ingin lepaskan,baru terasa lega kit..
    mungkin sengaja ditakdirkan begitu.jadi abg din sentiasa ingat akan teman ini.biarlah org tak ingatkan kita,asal org tak memusuhi kita.

    ReplyDelete
  9. kekeke~
    nak jadi anak angkat bleh...
    kekeke~

    ReplyDelete
  10. salam uncle..
    begini rupanya kisah yg uncle maksudkan..memang
    ermm...begitulah kita kan..selagi bernama manusia..kita tetap takkan sempurna..

    azza doakan uncle baik2 sj..tetap berprasangka baik sntiasa..mg uncle dan keluarga sentiasa terus menghulurkan tangan kepada sesiapa jua yang memerlukan..

    ReplyDelete
  11. Salam untuk En.Mountdweller

    Doakan yang terbaik untuk dia mudah-mudahan satu hari nanti dia akan menghubungi En. Din, mungkin ada sesuatu yang telah terjadi pada dia maklum 30 tahun adalah satu jangka masa yang lama.

    ReplyDelete
  12. Semoga kawan uncle contact uncle dan menerangkan keadaan sebenarnya. Singgah di sini menjenguk.

    ReplyDelete
  13. Assalamualaikum Saudara,

    Terharu saya baca cerita ini, boleh buat drama di tv. Terharu bukan kerana nasib 'kawan' saudara itu tetapi Terharu terhadap seorang insan yang begitu prihatin akan nasib yang menimpa insan lain walaupun tidak ada pertalian darah langsung antara saudara dengan dia. Saudara seIslam. Macam kita semua.

    Biarlah Saudara, lupakan sahaja dia. Tak perlulah diingatkan lagi. Inilah drama hidup kita yang sebenarnya. SEDIKIT sangat di antara kita yang tahu dan mahu BerSyukur terhadap pemberian dan pengorbanan orang lain!!

    Saya pun selalu kena macam ni, bila kita buat baik dia orang buat buat lupa, tapi kalau silap sikit mereka ingat sampai bila bila, sebut sampai bila bila. Kisah benar.

    Inilah hakikatnya. Cerita saudara membuka minda kami semua betapa terlalu ramai yang SUSAH sangat nak ucapkan TERIMA KASIH, tanda menghargai pemberian orang lain dan Mensyukuri Nikmat Allah swt!!

    Saya berdoa Agar Allah swt akan membalas segala kebaikan saudara, kalau pun tidak direct pada saudara InsyaAllah pada Along dan Adik dan InsyaAllah zuriat zuriat mereka. InsyaAllah.

    Satu dzarah kebaikan kita pun akan tetap dicatit Allah swt dan dia akan membalasnya, Ini Janji dia.
    Tak usah lagi Saudara ingat si dia itu. Mungkin dia akan datang, mungkin tidak. Biarkan dia..

    ReplyDelete
  14. W'salam che moq,

    Benar kata saudara. Kawan senang ramai tapi kawan susah jarang-jarang kata arwah P. Ramlee. Tapi sebenarnya saya tidak dalam keadaan susah cuma apa yang saya mahukan adalah khabarnya saja.

    Saya juga tertanya-tanya apakah yang terjadi pada keluarganya, ibu bapanya kerana selepas lebih kurang setahun daripada saya jumpa dia di KL, saya lalu di depan rumahnya yang kebetulan di tepi jalan tetapi rumahnya dah tak ada. Kena roboh. Tak ada masa pula saya dan nak singgah bertanyakan jiran-jiranya.

    ReplyDelete
  15. W'salam sdrku kulat,

    Memang saya harapkan dia di dalam keadaan dan kehidupan yang baik. Tentang ingatan dia kat saya tu, tak apalah mungkin dia pun mempunyai sebab. Manusia tidak siapa yang tahu hatinya.

    ReplyDelete
  16. hanis salam dari uncle,

    Tidak ada masalah, uncle sedia menerima siapa saja.

    w'salam azza,

    Ya itulah yang uncle katakan dan itulah menjadikan uncle berat untuk bercerita kerana melibatkan budi dan satu individu.

    Apa pun sudah menjadi sebahagian dari tabiat uncle, tidak boleh tengok orang susah begitu juga dengan aunty. Uncle syukur kerana Allah jodohkan dengan orang yang berperasaan yang sama.

    ReplyDelete
  17. W'salam opah,

    Ya. Saya pun berharap dia di dalam keadaan baik-baik saja. Tapi saya sudah tidak kisah sama ada dia hubungi saya atau pun tidak. Kalau dia panjang unur, maknanya kami sudah sama-sama mengharungi hari tua.

    sdri ujicham,

    Terima kasih kerana sudi singgah. Memang satu penghargaan bagi saya. Singgahlah lagi di lain waktu.

    Tentang kawan saya itu, saya tidak harapkan apa-apa lagi.

    ReplyDelete
  18. Wa alaikummu ssalam Puan melayuangkat.

    Betul puan. Memang saya sudah lupakan tetapi sekali sekala terkenang juga. Maklumlah kawan yang rapat dan pernah ditolong.

    Tentang kenang budi, saya tidak terlintas langsung sebab pertolongan saya pun kerana Allah. Dia tidak perlu balas jasa sebab jasa yang dihulur bukan ditagih balasan.

    Memang begitulah adat manusia. Silap dicaci, jasa diketepi.

    Walau apa pun segala pertolongan yang diperlukan bagi yang susah, perlu dihulurkan sekiranya mampu.

    ReplyDelete
  19. Salam saudaraku Fakhruddin,

    Semoga ALLAH melimpahi saudara, keluarga dan pembaca blog saudara dengan rezeki NYA yang halal dan berterusan.

    Semoga satu hari nanti ALLAH ketemukan saudara dengan sahabat tersebut.

    Salam persaudaraan.
    Sofi.

    ReplyDelete
  20. Wa alaikumussalam sdrku Mohd. Sofi,

    Begitulah juga doa saya untuk semua saudara/saudari semua.

    Bab kawan saya itu, saya tidak lagi mengharapkan dia menghubungi saya. Walau apa pun dia tetap kawan saya.

    ReplyDelete
  21. Saudara Fakhruddin,
    (maaf kalau tersilap nama)

    Mungkin resam manusia, tapi tak usahlah diungkit. Anggaplah itu sebagai tugas dan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan.

    Ada dua kemungkinan: Pertama, dia benar-benar lupa diri

    Kedua,dia mungkin malu dengan apa yang terjadi pada dirinya sekarang. Perkahwinan pertama gagal, dan dia tidak berjaya mengubah nasib diri. Berdoalah agar Allah masih memandunya jadi insan yang berpegang pada iman.

    ReplyDelete
  22. Tuan jemput ke blog sakura ada hadiah untuk Tuan Mountdweller

    ReplyDelete
  23. salam Tuan brahim,

    Terima kasih di atas nasihat.

    Memang saya sudah lupakan apa yang saya lakukan cuma maksud terkilan saya ialah khabar berita.

    Apa hal dengan keluarganya dan sebagainya. Itu saja yang saya nak tahu.

    ReplyDelete
  24. Terima kasih sakura.

    Sakura tidak usahlah bertuan. di sini kita sama taraf dan sama rata. Cuma kalau sakura rasa patut panggil uncle panggilah atau Pak Cik pun ok. Kalau di rasakan nak panggil sdra pun tak apa.

    Rasa-rasanya sakura masih lagi di peringkat yang menlayakkan panggil uncle kot!

    ReplyDelete
  25. sakura rasa lebih selesa nak panggil tuan, kalau tak keberatan di izinkan....

    ReplyDelete
  26. Salam Cik Sakura,

    Ok... tak apa bahasakanlah apa yang sakura suka. Tapi saya akan panggil sakura dengan Cik. Ok tak?

    ReplyDelete
  27. Tuan mountdweller,

    Terima kasih.panggil saja sakura, sudah cukup indah panggilan tu he he he

    ReplyDelete
  28. ok, selepas ini saya akan panggil saja sakura.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa