Wednesday, February 4, 2009

Trekking Tanpa Air Hampir 24 Jam

Pada suatu petang bulan Mac tahun 1993, saya bersama 7 orang termasuk seorang perempuan bermalam di sebuah kongsi tinggal berhampiran kaki Gunung Rabung. Misinya ialah meneroka trek ke Puncak Gunung Rabung yang berketinggian 4,999 kaki dari aras laut. Maknanya Gunung Rabung merupakan salah satu gunung tertinggi di Negeri Kelantan.

Hari pertama : Jam 8.30 pagi kami mulakan trekking dengan meredah belukar kecil dan lalang sehingga ke Sungai Milo. Kami tiba di Sungai Milo pada jam 10.00 pagi. Kami berehat seketika. Di sini apabila saya lihat kawan-kawan leka, saya curi-curi masukkan ketulan-ketulan batu sebesar lutut ke dalam beg dua orang dari kami. Mereka tidak sedar yang beban beg telah bertambah. Saja saya nak bergurau dan itulah salah satu gurauan orang-orang gunung. Kami namakan sungai ini Sungai Milo kerana pada musim hujan air sungai ini keruh macam milo akibat dari aktiviti pembalakan di hulunya. Dari sini kami mulakan pendakian di atas batu-batu yang licin dan curam yang dipenuhi oleh Pokok Resam yang tinggi dan tua. Memang sukar dan memenatkan.

Pada Jam 11.00 kami tiba di kaki sebuah bukit yang kami namakan Bukit Sarsi kerana di puncak bukit ini terdapat pokok-pokok sarsi. Di sini kami berehat sekejap minum air dan siram air di atas kepala untuk sejukkan badan. Oleh kerana perpandukan peta, terdapat banyak jejari air yang mengalir ke sungai di sepanjang pendakian, kami habiskan air bekalan kononnya tidak mahu membawa beban air.

Dari situ kami mendaki Bukit Sarsi dan menemui satu tanah tinggi yang lapang selepas meredah Resam yang tua dan kering selama 2 jam. Sebenarnya dari kaki Bukit Sarsi tadi, saya yang mengepalai dan parang di tangan saya. Kerana letih menebas, saya pijak saja resam dan kekadang saya meloloskan badan dengan menyelinap dan menyelit di celah-celah pokok resam. Jadi orang di belakang terpaksa berhempas pulas meloloskan diri. Saya dimarahi mereka. Mereka mengatakan saya macam Orang Asli malas menebas dan tahu menyelinap saja. Kami gelak besar kerana bila kita gelak dan gembira, keletihan akan hilang. Di masa ini masing sudah mula terasa dahaga dan mencari punca air. Malangnya semua punca air sudah kering. Kami teruskan pendakian, cari lagi punca air tapi bertambah malang kerana memang semua punca air sudah kering.

Jam 3.00 kami sampai ke satu kaki bukit dan berehat. Semuanya sudah lapar, dahaga jangan dikatalah. Nak memasak tidak ada air, kami tahan sajalah rasa lapar. Kami mula daki bukit ini dan baru kami tahu bukit ini cukup tinggi dengan laluan yang mencanak. Di laluan bukit inilah kami menemui banyak pokok-pokok Kol (Pokok jenis palma yang mempunyai daun lebar sebesar meja dan berbatang keras semacam Pokok Palas) dan kami dapati di bawah pokok ini terdapat kesan Harimau tidur. Kami teruskan perjalanan dengan mendaki bukit yang alang-alang mencanaknya. Maka bertambahlah lagi letihnya kerana sudahlah lapar, dahaga yang tak terhingga pula. Kami kehabisan tenaga menyebabkan pergerakan kami cukup perlahan.Dengan bersusah payah mendaki lagi sehinggalah jam 6.00 petang kami menemui satu Permatang yang sempit (slim) dan mendirikan khemah. Air masih tidak jumpa.

Malam itu kami tidur tanpa makan dan minum. Saya ada bawa Ubi keledek mentah, candangnya nak bakar semasa bermalam di mana-mana kem nanti. Ubi itu hanbis bukan kerana dibakar tetapi dimakan mentah untuk hilangkan lapar dan dahaga. Ubi mentah mengendungi air dan serat. Bolehlah nak hilangkan lapar tapi satu hal yang tidak menyenangkan pula berlaku. Kami sentiasa kentut kerana perut kembung akibat dari makan ubi mentah!

Hari kedua: Pagi ini, pagi-pagi lagi kami mula bergerak meredah dan merintis sehingga jam 10.30 pagi kami menemui satu tempat Gajah berkumpul yang telah ditinggalkan. Ada Pokok Pandan hutan dan ada kesan lopak air. Kami mula mencari air menghala ke satu kawasan rendah. Di sini kami menemui satu lopak air yang ada air tetapi tidaklah bersih sangat. Seorang kawan, Razak namanya terus ambil botol dan isikan air lantas terus minum kerana memang terlalu dahaga. Sedang kawan-kawan sibuk minum, saya terus turun ke kawasan rendah tadi dan selang 10 minit saya menemui satu anak air/jari sungai. Saya dapati airnya cukup bersih dan sejuk. Langsung saya minum dan mandi. Puas minum saya masukkan air ke dalam 2 botol air mineral besar dan bawa naik ke atas.

Si Razak yang mula-mula nampak air saya, dia terus minta. Katanya nampak sedap. Memang air tu sedap pun kerana bersih. Dia capai botol saya dan terus minum dengan lahapnya. Sambil itu saya minta kawan-kawan lain turun ke bawah dan ambil air untuk memasak sarapan. Bila mereka turun ke air, si Razak sudah kekenyangan dan bersandar di satu banir. Tidak berapa lama bersandar tiba-tiba, brrrub.... dia sendawa dan bingkas sambil berkata "Eh.. aku rasa tahi Gajah!" Rupanya air yang dia minum tadi adalah air tahi gajah. Saya gelak kuat dan saya tengok dia macam nak muntah. Tapi tidak boleh muntah. Mukanya merah menahan geli.

Sesudah makan sarapan kami teruskan pendakian sehingga kami menemui satu kawasan lapang yang cantik di penuhi pokok bonzai. Tanahnya diliputi sejenis lumut yang tebal dan lembut macam karpet. Suasan nyaman dan dingin dengan kabus berhamparan di celah-celah pokok bonzai. Sungguh cantik dan menyeronokkan. Yang anihnya kawasan ini sungguh bersih tanpa sehelai pun daun yang gugur. Saya nampak terdapat banyak Cendawan yang pelik dengan serumpun cendawan mengandungi pelbagai warna merah, kuning, kelabu, putih dan ungu. Semua gambar yang diambil tidak menjadi. Gambar kami pun hilang! tak nampak. Kami namakan taman ini "Taman Bunian"

Pada jam 4.00 petang kami sudah melewati "Taman" ini dan mendaki satu bukit kecil. Di bawah bukit ini kami dapati satu kawasan yang rata dan di bahagian lembahnya pula terdapat anak sungai yang jernih. Tempat ini sesuai untuk mendirikan Kem. Dan Kem ini kami namakan "Kem Taman". Jadi kami bermalamlah di sini dengan selesa.

Hari ketiga: Jam 9.00 pagi kami mula mendaki dan tidak lama kemudian kami menemui sebuah bukit kecil yang dipenuhi oleh pokok-pokok herba. Tongkat Ali ada, Kacip Fatimah ada, Senduduk Putih ada dan Akar Cawat Pangan pun ada . Macam-macam herba ada. Saya berpesan jangan siapa pun usik apa-apa. Selepas "Bukit Herba" kami menemui pula satu tebing yang tinggi. Saya panjat dengan bergayut pada akar dan bila tiba di atas, saya pasang tali untuk memudahkan kawan-kawan yang lain memanjat dengan menggunakan tali.

Di atas tebing ini pula saya menemui berimbun-rimbun akar "Ular Citamani". Selepas mendaki tebing tadi tidak berapa lama kami memasuki kawasan pokok bonzai dan pada jam 11.30 pagi kami berjaya sampai ke puncak. Kami berehat dan makan tengahari di puncak dengan bekalan yang kami bawa dari Kem Taman.

Di perjalanan turun semula ke Kem Taman, saya ambil sedikit pokok Ular Citamani untuk di bawa pulang.

16 comments:

  1. salam uncle,
    pasti seronok kan dapat menghirup udara segar dan menikmati air bersih dari sungai.. sungguh semulajadi..

    p/s: boleh tak kalau saya nak panggil uncle, ayahanda.. rasa rindu pulak pada ayah yang dah 26 tahun pergi bila tengok uncle ni..

    ReplyDelete
  2. W.salam nurdaniella.

    Takziah ayahanda ucapkan, Alftihah ayahanda iringkan buat anakanda dan Roh arwah.

    Panggillah apa saja yang anakanda suka. Ramai daripada yang ikut ayahanda memanggil ayahanda, pakcik dan ada juga yang panggil papa.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum Saudara,

    Semasa membaca entry ini saya terbayang betapa kita selalu tidak menghargai apa apa nikmat yang ada disekeliling kita.

    We take things for granted.

    Tak terfikir kita betapa berharganya air sehingga kita betul betul kehausan tanpanya dan sanggup minum air apa pun.

    Bermacam-macam jenis tumbuhan dikurniakan Illahi dalam hutan kita di Malaysia ini. Hanya perlu kepada pengetahuan tentang mereka dan khasiat masing masing.

    Tanda kebesaran Illahi, macam macam RAHSIA yang terdapat dalam hutan rimbanya dan juga makhluk makluk berbagai jenis miliknya.

    Terima Kasih selagi lagi atas perkongsian kisah ini. Yang pasti tidak semua kami sanggup melalui apa yang telah saudara dan kawan kawan lalui.

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam Puan melayuangkat.

    Betul puan, benda yang berharga tidak akan dihargai selagi ada bersama kita. Kita hanya hargai setelah kehilangannya.

    We take things for granted, dalam erti kata lain mengharap tanpa bersyukur. Itulah satu kenangan yang pahit tetapi selepas melaluinya menjadi manis pula. Satu pengajaran yang baik melalui pengalam yang pahit.

    ReplyDelete
  5. wahhh uncle...memang pakar herbal! ada apa2 khasiat ke akar cintamani tuh?

    ReplyDelete
  6. Erisya,

    Akar Ular Citamani ni mengikut orang tua boleh menawarkan racun dengan cara diasah dan minum air asahannya. Dan satu lagi boleh dijadikan tangkal supaya ular tidak masuk ke rumah.

    Itu mengikut kata orang tua-tualah. Uncle sendiri tidak pernah mencubanya. Akar yang dibawa balik pun semuanya habis bila orang-orang minta sedikit seorang.

    ReplyDelete
  7. kalu nak tahan lama..boleh dibuat batu cincin Abe Din..benda payah nak cari,bukan senang nak dapat..bila bertemu pada yang mengetahui,tiada nilai yang setara..

    ReplyDelete
  8. IndukYati.

    Sebenarnya benda tu banyak, tapi 3 bulan selepas itu ada kawan yang bersama pada hari tu pergi dan abe din pesan suruh ambil. Bila dia balik dia kata tak ada pun pokok tu.

    Yang peliknya selepas beberapa bulan abe din pegi lagi dan didapati pokok tu memang banyak. Anih bin ajaib. Kawan abe din tak nampak, abe nampak dan boleh bawa balik lagi.

    ReplyDelete
  9. salam ayahanda,
    terima kasih sebab sudi membenarkan saya panggil ayahanda.. terasa sayu tiba2..

    ReplyDelete
  10. W'salam nurdaniella.

    Prinsip ayahanda senang saja. Kita menyenangkan insan lain, Allah akan menyenangkan kita. Insya Allah

    ReplyDelete
  11. uncle...(jeles kak nurdaniella panggil ayahanda!)

    wahhh baguslah gitu...harap boleh jumpa akar tuh di sini!erisya pun nak buat cam uncle nanti...buat taman herba di belakang rumah.

    ReplyDelete
  12. Erisya,

    Uncle memang ada taman herba sikit-sikit di tepi rumah. Dulu ada cuba tanam kacik fatimah tetapi mungkin tak sesuai, mati.

    ReplyDelete
  13. aMWW GURU:

    Dinginnya terasa. Relax dari kekalutan politik murahan yang celaru.

    Salam jengah.

    ReplyDelete
  14. Wa alaikumussalam wbt. luaskanmata

    Betul di sana memang cukup damai, tenang dan sesungguhnya menyejukkan mata. Kalau ada masa nak ikut, boleh!

    Terima kasih kerana menjengok dan titipkan sesuatu yang bermakna.

    ReplyDelete
  15. Ppelawaan yang memang diharapkan.

    Semoga bersua kembali.

    ReplyDelete
  16. luaskanmata,

    Ok, nanti ada program saya akan nyatakan di ruangan komen blog saudara.

    Insya Allah.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa