Friday, September 9, 2011

Entahlah. Baca Dan Fikirlah Sendiri

Mat Indera: Respons MB Johor tidak wajar, jejas kredibiliti sendiri

Oleh G Manimaran September 09, 2011


KUALA LUMPUR, 9 Sept — Pakar perlembagaan Prof Abdul Aziz Bari menyifatkan kenyataan Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, yang menegaskan Ahmad Indera atau lebih dikenali sebagai “Mat Indera” bukan seorang pejuang mendapatkan kemerdekaan tetapi komunis, sebagai “tindakan tidak jujur” selaku ketua kerajaan negeri.

“Kenyataan Menteri Besar (Ghani), sebagai seorang bekas ahli akademik, dapat mengatakan begitu... ia tidak wajar memandangkan buku (Pengukir Nama Johor) dikeluarkan oleh kerajaan negeri (pada 2004),” kata beliau (gambar) kepada The Malaysian Insider.

Ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa ini menambah, “lebih parah kerajaan negeri tidak tahu apa yang dia lakukan. Beliau sebagai Menteri Besar sewajarnya ambil tahu kandungan dalam buku kerana ia diterbitkan oleh kerajaan negeri. Ia memperlihatkan satu kebodohan dan memalukan.”

Menteri Besar itu ada menyediakan prakata dalam buku itu yang menyenaraikan sejumlah pejuang kemerdekaan dan tokoh negeri Johor.

Sebelum ini, Yayasan Warisan Johor (YWJ) berkata walaupun nama Mat Indera disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam Pengukir Nama Johor namun dia tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara.

Sebaliknya jelas YWJ, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang.

Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, buku itu juga memaparkan penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon Dirhan bertajuk Bajuri Siraj, yang mendedahkan Mat Indera pemimpin komunis Melayu melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri.

Hasil kajian dan penulisan mereka dibukukan untuk tatapan masyarakat, termasuk buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan pada 2004.

Aziz menambah, sepatutnya Ghani hanya mengatakan kandungan dalam buku itu hanya pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian kerajaan negeri.

“Cukup setakat itu, selamat... tidak mengatakan sehingga bahawa Mat Indera itu pengganas, bukan pejuang kemerdekaan dan ahli komunis.

“Ini (kenyataan Ghani) satu perkara yang menjatuhkan kredibiliti Umno, negeri Johor dan juga Putrajaya,” kata beliau lagi.

Dalam pandangannya, Aziz juga menekankan bahawa sejarah yang sedia ada tidak perlu ditulis semula dan bagaimana ia ditafsir, ia bergantung pada persepsi seseorang.

“Sejarah itu ada sejarah, tak perlu, tak guna kita menulis semula sejarah... ini kerana tafsirannya bergantung pada persepsi seseorang.

“Jadi, kalau hendak menulis, ia sia-sia sahaja. Jadi lebih baik kita berikan kebebasan dan ruang kepada orang ramai membincangkan dan memberi pandangan... tak perlu ditulis semula,” katanya lagi.

Dalam pendiriannya dikeluarkan semalam, Ghani berkata, Mat Indera telah merancang serangan ke atas Bukit Kepong pada 1950 selain mendakwa beliau berusaha keras mempengaruhi orang Melayu menyertai “kegiatan haramnya” dalam Parti Komunis Malaya (PKM).

Menteri Besar juga mendakwa berdasarkan fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong, Mat Indera dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Rejimen Ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.
Kelmarin, keluarga Mat Indera mempertahankan beliau bukan merupakan komunis dan mahu kerajaan membersihkan namanya.

“Dia bukan seorang ‘pejuang’ untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun,” kata Ghani lagi.

Ghani menulis, apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan darurat pada 19 Jun 1948 semua parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) dan PKM diharamkan dan ramai ahlinya mengambil tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Umno.

“Perjuangan melalui parti dan gerakan Umno yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan membabitkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pascamerdeka di negara ini.

“Bagaimanapun, Mat Indera memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British,” kata Ghani dalam rencananya.

Tulisan ini diterbitkan sehari selepas Ghani berkata, Mat Indera yang terlibat dengan gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British, bukan seorang pejuang kemerdekaan sebaliknya pengganas yang kejam dan zalim.

Ghani menulis, sebagai seorang daripada pemimpin Rejimen Ke-10 PKM, Mat Indera bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan berkenaan.

Malah kata beliau, Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk daripada Malayan Union British sebelum itu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa