Wednesday, September 21, 2011

'Merdeka?' Bila Pulak Negara Kita Dijajah?

Mari mengisytiharkan “Merdeka!” Dalam Setiap Situasi

SDR PENGARANG,

LIMA puluh empat tahun lalu, kita menerima kemerdekaan daripada British. Ia adalah satu saat yang membanggakan apabila Perdana Menteri kita yang pertama Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengisytiharkan: “Merdeka! Merdeka! Merdeka!” di hadapan rakyat pelbagai kaum, agama dan budaya.

Saya pasti, waktu itu sudah tentu imbasan masa depan yang cerah memancar di mata nenek moyang kita.

Pasti mereka merasakan bahawa impian untuk hidup dalam kemerdekaan sepenuhnya akhirnya telah tercapai dan mungkin satu impian baru untuk hidup dalam keharmonian dan pembangunan progresif ke arah kejayaan telah ‘mengandung’ dalam fikiran mereka pada saat yang berharga itu.

Bangsa Melayu, Cina, India dan kaum-kaum lain pada ketika itu mula bekerjasama sebagai sebuah gabungan untuk memastikan negara kita terus menikmati kebebasan, perpaduan, ketahanan dan meneruskan usaha untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.

Kini sudah tentulah renungan masa lampau ini akan memberikan harapan baru bagi kita untuk manghadapi masa depan yang lebih cerah, lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang membuat persediaan untuk memperingati ulang tahun Hari Kemerdekaan negara kita sekarang.

Beberapa soalan lazim yang masih berlarutan dalam fikiran beribu-ribu rakyat negara kita ialah: "Adakah kita benar-benar bebas –masih adakah kebebasan bersuara, akhbar dan agama? Masih adakah hak asasi manusia di tanah air ini? Adakah kita masih percaya kepada perpaduan atau ini hanya satu propaganda? Adakah terdapat kesamaan? Apa yang sedang berlaku kepada sistem pendidikan kita? Mengapa terdapat penghijrahan cendekiawan? Mengapa terdapat keunggulan sesuatu kaum dan polarisasi? Berapa lama atau sejauh mana isu-isu perkauman dan agama akan berterusan?”

Rakan-rakan yang disayangi, senarai boleh berterusan tetapi kita mesti membuat satu pendirian dan berganding tangan untuk membawa transformasi yang lebih besar dalam negara kita.

Ya, saya percaya, kita pasti memerlukan campur tangan Tuhan untuk perpaduan nasional dan keamanan.

Lihatlah Great Britain – sebuah negara yang teratur, maju, bertamadun, berbilang kaum dan demokrasi - yang merupakan empayar global pada satu masa dahulu dan pernah memerintah sebahagian besar dunia termasuk negara kita, kini telah menjadi mangsa rusuhan baru-baru ini.

Kegagahan sesebuah negara tidak bermakna jika tiada persefahaman dan perpaduan dalam sesebuah masyarakat majmuk. Ia benar-benar satu pengajaran yang baik untuk dipelajari.

Oleh yang demikian, jangan ambil isu perpaduan dan keamanan dengan sewenang-wenangnya! Ia amat berharga. Apabila Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak beberapa kali mengingatkan rakyat untuk bergerak dari bersikap toleransi semata-mata ke tahap penerimaan bagi mencapai perpaduan yang lebih besar di kalangan masyarakat berbilang agama, kaum dan budaya, kita harus mengambil ikhtibar untuk membawa perubahan.

Berhenti menuding jari, melemparkan tuduhan, menodai kesucian tempat ibadat, menerbitkan artikel, gambar atau iklan-iklan yang kontroversi melalui media massa atau saling mengutuk kepercayaan orang lain dan mempolitikkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Sebagai warganegara yang setia, kita mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan semangat patriotik terhadap negara kita yang disayangi juga terhadap rakyat jelata walaupun kita berbeza bangsa, agama, budaya dan bahasa.

Sikap menghormati antara satu sama lain adalah amat diperlukan oleh sebuah negara seperti Malaysia.

Kerajaan perlu memberi perhatian yang lebih serius dan sentiasa mengingati rakyat dengan pelbagai cara tanpa mengenepikan lima prinsip Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang; Kesopanan dan Kesusilaan.

Semua pihak - kerajaan, pembangkang mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) - perlu terus memerangi pelbagai gejala sosial dan berusaha untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan kepada yang menganggur dan jawatan yang lebih baik bagi mereka yang berkebolehan dan berhak tanpa melihat kepercayaan atau warna kulit seseorang.

Selain itu, kita juga mesti menggalakkan anak-anak muda untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi dan mengambil kursus-kursus pembangunan diri sementara kerajaan terus mencipta peluang pendidikan yang lebih baik untuk membendung kadar pengangguran, gangsterisme, penagihan dadah dan penyeludupan, peningkatan masalah anak luar nikah dan keluarga pincang.

Untuk memastikan kejayaan projek-projek pembinaan bangsa, kita tidak harus lupa pendekatan baik untuk membantu semua bangsa terutama orang miskin dan yang kurang kemampuan dalam apa jua cara yang munasabah.

Jika kita bersatu hati untuk membawa perubahan yang drastik, kita boleh jadi satu rahmat kepada tanahair tercinta ini.

Bayangkan betapa indahnya untuk terus melihat semua bangsa dijemput makan bersama di majlis berbuka puasa, menghadiri majlis keramaian dan perkahwinan pelbagai kaum, duduk bersama menonton acara sukan pada skrin besar, mengambil bahagian dalam program-program melibatkan masyarakat majmuk, pergi berkhemah atau makan angin, duduk dan bersembang di kedai kopi serta warung makan atau makan durian bersama seperti apa yang dipraktikkan oleh segelintir masyarakat dan juga sepertimana kita sering melihat dalam iklan TV.

Jangan salah faham, saya tidak menuduh bahawa kerajaan atau ahli politik, NGO dan warganegara yang lain tidak melakukan apa-apa tetapi saya hanya mengatakan bahawa sudah tiba masanya untuk kita semua belajar dari masa lalu serta daripada situasi yang berlaku di sekeliling kita dan segera melakukan sesuatu yang drastik dan lebih munasabah untuk memperbaiki kehidupan kita.

Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat Melayu selama bertahun-tahun dan kebanyakan kawan-kawan saya adalah beragama Islam.

Kami menikmati masa kami bersama-sama, saya sering menyertai mereka dalam acara berbuka puasa di pejabat atau di rumah mereka dan juga menghadiri majlis yang dianjurkan oleh pihak masjid. Kami juga membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan agama dengan rasa hormat yang sewajarnya.

Saya percaya, semua akan baik jika kita mengamalkan pendekatan yang sederhana, penerimaan dan sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain. Jadi mari kita mengisytiharkan “Merdeka!” atas situasi-situasi yang kita hadapi setiap hari dalam hidup dan masyarakat kita sehingga ia tercapai.

Terus doakan untuk perpaduan dan keamanan. Bersama kita boleh menjadikan Malaysia sebuah tempat yang lebih baik untuk hidup.

Kumarathevan Balakrishnan

Jalan KJ5, Taman Kesedar Jaya,

Gua Musang, Kelantan.

sumber - mStar

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa