Wednesday, September 7, 2011

Simpati Dalam Benci

Kesian... saya simpati dengannya tetapi benci kerana tidak mengenal antara Pejuang dan Pencari makan (penjilat terlalu kasar).

Kenyataan ini boleh pakaikah? "Kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutarbelitkan sejarah sehingga mengenepikan perjuangan anggota keselamatan sehingga ramai yang gugur ketika mempertahankan tanahair," katanya.

Ketika ini Malaya dijajah British. Jadi adakah mempertahankan Penjajah itu disifatkan mempertahankan tanah air? Sepatutnya senjata yang ada ditangan diarahkan kepada orang-orang British.

Ngok punya statements!

Bkt Kepong: Anak sedih pengorbanan bapa tak dihargai

Anak konstabel polis yang terkorban dalam peristiwa Bukit Kepong menyifatkan kenyataan Mohamad Sabu sebagai satu penghinaan terhadap perjuangan anggota polis yang terkorban dalam peristiwa berdarah pada tahun 1950 itu.

Bagi Azlas Jaafar, 62, anak Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan, salah seorang anggota polis yang terkorban dalam kejadian itu, tindakan tersebut amat menyedihkan.

"Saya merasa amat sedih dengan dakwaan Mat Sabu itu, satu kenyataan yang tidak sepatutnya keluar dari mulut pemimpin kanan PAS itu," ketika kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima kunjungan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said di kediamannya di Kampung Cendering di Kuala Terengganu hari ini.

"Kenyataan yang dikeluarkan itu cuba memutarbelitkan sejarah sehingga mengenepikan perjuangan anggota keselamatan sehingga ramai yang gugur ketika mempertahankan tanahair," katanya.

Azlas kini tinggal bersama ibu saudaranya Aminah Mohamad, 85, iaitu kakak kepada Konstabel Jaafar.

"Kalau komunis dikatakan pejuang sebenar untuk memerdekakan negara, jadi adakah anggota pasukan keselamatan itu pengkhianat?" katanya.

Sementara itu Ahmad menyelar sikap Mat Sabu yang dianggap sanggup memutarbelit fakta sejarah semata-mata kepentingan politik sempitnya.

"Janganlah memutar belit sejarah untuk mendapatkan sedikit laba politik dan saya merasa kecewa dengan dakwaan Mat Sabu itu yang merupakan satu kenyataan yang silap.

"Semasa peristiwa berdarah itu, ada anggota polis dibunuh kejam, dibakar hidup-hidup dalam usaha komunis untuk menegakkan sebuah negara komunis," katanya.

- Bernama - mk

Di bawah ini pula ada kenyataan/tuntutan keluarga Mat Indera

Keluarga tuntut kerajaan isytihar Mat Indera pejuang, bukan pengkhianat

KUALA LUMPUR, 7 Sept — Keluarga Ahmad Indera, individu yang dikaitkan dengan tragedi Bukit Kepong enam dekad lalu, hari ini menuntut agar kerajaan membersihkan namanya - tidak lagi dilabel sebagai pengkhianat negara, sebaliknya orang yang turut memainkan peranan dalam perjuangan kemerdekaan.
Adiknya, Baharom Shah berkata, Mat Indera adalah individu yang komited terhadap agama dan tegas terhadap pendiriannya untuk membebaskan negara daripada penjajahan.
“Maka, saya yakin beliau seorang pejuang kemerdekaan yang sebenar.
“Saya mohon pihak kerajaan dapat membersihkan Mat Indera daripada dilabel sebagai pengkhianat negara. Sejarah kemerdekaan negara perlu dikaji semula,” kata bekas jurutera elektrik dan jentera kor perkhidmatan Tentera Darat pada sidang media hari ini.
Bercakap kepada pemberita di ibu pejabat PAS di sini, katanya, “saya bagi pihak keluarga mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin membersihkan maruah dan nama baik keluarga saya.”
Sidang media turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat dan Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Isu Mat Indera dalam tragedi Bukit Kepong menjadi kontroversi selepas disentuh oleh Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu pada satu ceramah bulan lalu. Beliau mengatakan bahawa peranannya dilupakan dan dilabel sebagai pengkhianat negara.
Baharom yang berusia enam tahun ketika tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh keluarga mereka, Mat Indera datang lewat ke lokasi kejadian semasa kejadian dan bukannya terlibat dalam serangan sejak awal lagi.
Katanya, Mat Indera datang ke lokasi kejadian bukan untuk bertempur, sebaliknya “datang untuk menyelamatkan mangsa yang terlibat.”
“Antara yang diselamatkan daripada dibunuh adalah Yusof Rono, anggota polis dan Jamilah Abu Bakar, anak anggota Marin di Bukit Kepong. Saya difahamkan terdapat ramai lagi mangsa yang diselamatkan oleh Mat Indera,” katanya.
Ketika ditanya berapa ramai diselamatkan, “yang diselamatkan itulah yang diselamatkan... ramai.”
Baharom berkata, Yusof sendiri ada mengaku kepadanya yang Allahyarham telah diselamatkan oleh Mat Indera.
“Saya sendiri jumpa dia di rumahnya di Bukit Kepong kira-kira 10 tahun lalu sebelum Yusof meninggal dunia... dia ada memberitahu saya diselamatkan oleh Mat Indera,” kata Baharom yang bekerja sebagai anggota perkhidmatan tentera selama 10 tahun dan mengadakan bengkel sendiri selepas bersara pada 1980-an.
Baharom menambah, abangnya sangat komited dengan agama dan mengajar agama sama ada di dalam hutan atau di luar hutan semasa terlibat dalam gerakan kemerdekaan negara.
“Beliau sering mengadakan perjumpaan dalam keluarga dan mendidik keluarga untuk komited dengan ajaran agama Islam.
“Beliau selalu menafikan, beliau bukan seorang yang berfahaman komunis. Beliau berjuang untuk membebaskan negara daripada penjajahan British,” katanya lagi.
Kata Baharom, “sekarang negara sudah merdeka, kalau bukan kita yang membersihkan nama Mat Indera, siapa lagi yang boleh membersihkan nama beliau.”
“Saya berharap pihak kerajaan atau mana-mana pihak berkaitan akan mengambil usaha segera... lakukan sekarang, isytihar beliau bukan pengkhianat,” katanya ketika ditanya siapa yang wajar dan dalam berapa lama isu ini perlu diselesaikan.
“Kita sudah merdeka lebih 50 tahun, saya berharap kerajaan akan melakukan dengan segera,” kata beliau yang turut berpegang pada buku terbitan kerajaan negeri Johor yang berjudul “Pengukir Nama Johor”.
Dalam bab mengenai Mat Indera, penulisnya berkata, “pihak Inggeris telah berjaya mempengaruhi pemikiran rakyat Tanah Melayu bahawa seorang manusia Melayu beragama Islam yang kuat pegangan agamanya bernama Mat Indera itu adalah seorang penderhaka kepada negaera, membelakangkan ajaran Islam serta menjadi pengganas komunis yang kejam dan tidak berperikemanusiaan.”
Mat Indera merupakan salah satu daripada 12 adik-beradik, dengan dua ibu. Mat Indera merupakan anak kedua ibu pertama manakala Baharom merupakan anak ketiga sebelah ibu kedua.
Baharom berkata, beliau pernah menulis dua tiga artikel mengenai keperluan membersihkan nama abangnya di Utusan Malaysia pada 1978 atau 1979.
“Jadi ini harapan keluarga saya sekarang,” katanya dan menegaskan, pihaknya berpegang pada pendirian itu kerana “pegangan agamanya (Mat Indera) kuat dan seorang yang tegas dan tegar melawan British.”
“Saya serah kepada siapa yang hendak buat kajian, bersihkan nama dia,” tambah beliau.
Suhaizan juga berkata Mat Indera bukan seorang yang berideologikan komunis.
“Kalau dia seorang berideologikan komunis, sudah pasti dia tidak beragama,” katanya sambil menambah, “kemungkinan Mat Indera mempergunakan PKM untuk kemerdekaan negara.”
“Tetapi pada pandangan kami, dia tidak berideologikan komunis, dia hanya ahli PKMM dan API (Angkatan Pemuda Insaf,” katanya.
Mengenai laporan media bahawa Jamilah menafikan keluarganya diselamatkan oleh Mat Indera, Suhaizan berkata, “apa yang saya kata (dipetik Sinar Harian) adalah Mat Indera menyelamatkan Jamilah, bukannya menyelamatkan keluarga Jamilah.”
Jamilah dipetik berkata jika Mat Indera menghalang pihak komunis membunuh keluarganya ketika itu pasti ibu dan adik lelakinya tidak akan terkorban dalam serangan tersebut.
Kata Suhaizan, Naib Yang Dipertua PAS Pulai Zaba Ibrahim telah bertemu dengan Jamilah pada Ahad lalu, dan turut mengakui bahawa Mat Indera yang menyelamatkannya.
Ibu Jamilah dan adik lelakinya merupakan antara yang turut terbunuh dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950.
Suhaizan juga berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah sekretariat untuk mengkumpulkan maklumat dan bahan yang berkaitan.
“Dengan sekretariat itu, mana-mana keluarga yang hendak menuntut ganti rugi daripada British atas kecuaiannya sehingga ramai kakitangan polis dan anggota keluarga mereka terbunuh, akan dibantu dan diuruskan,” katanya.

Kita pergi lebih lama daripada kisah Mat Indera. Di zaman Dato' Bahaman.

Adakah nama-nama di bawah ini Pahlawan yang mempertahankan Tanah Air?

Dan Dato' Bahaman pula penderhaka dan Petualang?

Tengku Mahmud,
Tengku Ali, Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai Inggeris Pahang menyediakan tentera untuk melawan penentang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato’ Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak Inggeris dengan Dato’ Bahaman tetapi pihak Inggeris sekali lagi ditewaskan.

Pada Disember 1891, Tengku Mahmud bersama-sama dengan 200 orang pengikutnya, dan Hugh Clifford bersama-sama dengan 60 orang Sikh di bawah pimpinan Kapten Summer telah mengaturkan gerakan untuk menyerang dan menangkap Dato’ Bahaman dan orang-orangnya. Bagaimanapun gerakan ini menemui kegagalan setibanya di Kelubi kerana keengganan pasukan Melayu bekerjasama dengan pasukan polis Sikh. Pihak Inggeris yang diketuai Hugh Clifford mengalami kekalahan dan terpaksa berundur dan meminta bantuan dari Singapura.

Pada Januari 1892, pihak Inggeris telah memaksa Sultan Wan Ahmad untuk menamatkan kebangkitan Dato’ Bahaman di Pahang. Satu pasukan yang dinamakan “Gerakan Sultan” telah dilancarkan pada 22 Januari 1892 dengan kekuatan 800 orang. Seramai 140 daripadanya mempunyai senjat api yang dipimpin oleh Tengku Ali, Rodger (Residen Pahang), Panglima Garang Yusof, Saiyid Ali Badoh dan Abdullah dari Bera.

Gerakan ini juga menemui kegagalan kerana selain daripada hanya dapat memusnahkan 11 buah kubu kecil termasuk Kubu Batu Ampar, jejak Dato’ Bahaman tidak dapat dikesan dan tidak ada tanda-tanda yang memungkinkan Orang Kaya Semantan itu dan pengikut-pengikutnya yang terdekat akan tertangkap. Pada awal bulan Februari, 1892, keadaan tegang dianggap telah berakhir. Untuk sementara waktu, daerah Semantan telah diletakkan dibawah jagaan Abdullah Bera. - Baca sepenuhnya di sini

1 comment:

  1. Assalamualaikum Yob, apa2 pun Sejarah kita ni boleh di overhaul, nampak cam fiksyen jer!

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa