Sunday, January 29, 2012

Apakah Maksud Kenyataan Ini?

Anggota Umno Jangan Melobi Pecah Belahkan Parti - Awang Adek

BACHOK, 29 Jan (Bernama) -- Badan Perhubungan Umno Kelantan memberi amaran mana-mana anggota Umno yang melobi untuk menjadi calon pilihan raya di Kelantan sehingga memecah belahkan parti boleh diambil tindakan Jawatankuasa Disiplin Parti yang digerakkan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata mereka yang sedang rancak melobi di peringkat cawangan mestilah berhati-hati jangan sampai merosakkan perpaduan sesama sendiri.

"Fitnah-memfitnah dan sangka buruk menjelang pilihan raya umum ke-13, mesti dielakkan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi DUN Perupuk di sini.

Awang Adek mengulas pengumuman Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak yang antara lain berkata Jawatankuasa Disiplin parti akan digerakkan awal bagi memantau dan bertindak terhadap anggota parti yang melakukan perbuatan khianat terhadap parti.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tepat pada masanya bagi mengekang perbuatan anggota melakukan kegiatan yang melampau batas.

Beliau berkata tujuannya bagi menjamin usaha Barisan Nasional merampas tampuk pemerintahan negeri Kelantan daripada parti pembangkang pada pilihan raya umum kelak.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa