Tuesday, February 14, 2012

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran negeri Pulau Pinang untuk Islam

Apa yang dilakukan oleh pentadbiran negeri Pulau Pinang untuk Islam

– Oleh Kuda Ranggi (Syed Imran)

14 February 2012

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

Saya menghabiskan lapan hari di Pulau Pinang dan dalam tempoh tersebut dapat melihat dan meneliti beberapa perkara yang sering dijadikan ‘berita sensasi’ mengenai untung nasib Melayu/Islam. Jika mempercayai sepenuhnya laporan-laporan yang dimuat dalam akhbar dan media elektronik ‘arus perdana’, kita pasti akan marah dan melemparkan 1001 tuduhan kepada pentadbiran negeri.

Sebagai anak jati Pulau Pinang, saya sedar dan tahu akan kedudukan sebenar atau apa yang berlaku dan dilakukan sebelum pilihan raya 2008. Banyak masalah berkaitan orang Melayu/Islam bermula sebelum 2008 dan berterusan hingga ke hari ini.

Banyak perkampungan Melayu dalam kawasan bandar raya dan pinggirnya wujud atas tanah milik bukan Melayu termasuk golongan pemberi hutang yang digelar ‘Ceti’ dan apabila tuan tanah jual harta mereka itu, maka orang Melayu yang ‘menumpang’ di situ terpaksa berpindah. Akibat daripada perpindahan itu, berkuranglah jumlah atau bilangan orang Melayu dalam kawasan bandar raya atau pinggir bandar.

Dalam kawasan bandar raya, kampung Melayu/Islam yang masih kekal adalah atas tanah wakaf seperti di Lebuh Aceh (Acheen Street – wakaf Syed Hussein Idid) walaupun hanya tinggal beberapa buah rumah sahaja, Kampung Makam di Jalan Dato’ Keramat (wakaf Sheikh Kassim) dan Kampung Syed di Jalan Burma (wakaf Kupima Ku Zainal Abidin/Syed Mohamad Alhabshee).

Ketiga-tiga buah kampung itu kini bernilai tinggi dan dilihat sebagai ‘lombong emas’ yang mengundang banyak pihak menaruh minat tetapi oleh kerana tarafnya sebagai harta wakaf, maka pihak tertentu tidak boleh menyentuhnya. Bayangkan apa akan berlaku jika ketiga-tiga kawasan atau hartanah itu bukan harta wakaf?

Sekitar tahun 1970-an ada pihak yang ingin membangunkan Kampung Makam selaras dengan kehendak dan wasiat pewakif untuk memastikan ia selari dengan kemajuan dan pembangunan sekitarnya. Malangnya, usaha tersebut dibantah oleh segelintir penduduk dan akibatnya Kampung Makam kekal seperti sedia kala hingga sekarang.

Kebelakangan ini, pentadbiran negeri sering dijadikan sasaran dan kecaman oleh pihak-pihak tertentu yang antara lain menuduhnya menganaktiri dan menzalimi orang Melayu dan orang Islam. Mereka melempar tuduhan dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai “kerajaan DAP” sedangkan ia adalah sebuah kerajaan campuran tiga buah parti politik yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat. Mungkin dengan merujuk kepada pentadbiran negeri sebagai “kerajaan DAP” pihak berkenaan berharap ia dapat membakar semangat marah di kalangan orang Melayu dan Islam.

Banyak masalah yang dibangkitkan oleh mereka sebenarnya bukan perkara baru. Ia mula berlaku semasa pentadbiran Barisan Nasional/Perikatan dan diwarisi oleh pentadbiran Pakatan Rakyat. Kebanyakan daripada masalah yang bersangkut-paut dengan isu tanah dan perumahan membabitkan soal undang-undang dan pentadbiran yang mengambil alih selepas pilihan raya umum 2008 tidak seharusnya dipersalahkan.

Pentadbiran Pakatan Rakyat yang berkuasa di Pulau Pinang, walaupun dicemuh oleh pihak tertentu, telah membuktikan kecemerlangan khususnya dalam aspek pentadbiran kewangan dan memelihara kebajikan rakyat.

Belanjawan atau Bajet 2012 Kerajaan Negeri Pulau Pinang berjaya mengukuhkan kesihatan dana negeri dengan mengurangkan hutang yang ditinggalkan kerajaan terdahulu daripada RM630.13 juta kepada RM29.66 juta dalam tempoh tiga setengah tahun sahaja.

Pengurangan hutang sebanyak RM600.47 juta atau 95.29 peratus adalah kadar yang paling cemerlang di antara semua negeri di Malaysia. Hasil daripada pengukuhan kewangan, penjimatan dan perbelanjaan berhemah yang diperolehi melalui prinsip tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) telah disalurkan untuk keperluan pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

Antara program yang dilancarkan atau diperkenalkan sejak 2008 – Program Membasmi Kemiskinan Tegar, Program Penghargaan Warga Emas, bantuan kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan ibu tunggal serta Penghargaan Anak Emas yang bermul pada 2011.

Mulai tahun ini, kerajaan negeri bertekad untuk membantu 743 Ketua Isi Rumah (KIR) yang majoritinya orang Melayu, memperolehi pendapatan sekurang-kurangnya RM600 sebulan yang membabitkan bantuan sebanyak RM4.0 juta setahun. Kerajaan negeri mensasarkan sebelum 2015, Pulau Pinang menjadi negeri pertama di Malaysia yang berjaya menghapuskan miskin tegar sepenuhnya.

Sudah tentu ada pihak yang kurang senang dengan apa yang saya nyatakan tetapi itulah hakikatnya dan itulah kenyataan. Saya tidak memihak kepada sesiapa tetapi sebagai anak Pulau Pinang, saya kena akui dan terima kenyataan tanpa mengira siapa atau parti politik mana yang berkuasa.

Saya perturunkan fakta kewangan berkaitan Hal Ehwal Agama Islam yang dilaksana oleh Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sejak ia mentadbir negeri pada 2008. Ia adalah fakta, bukan sesuatu yang direka-reka untuk menyedap hati atau sebagai hiasan jendela. BN merujuk kepada pentadbiran Barisan Nasional pimpinan Parti Gerakan dan PR merujuk kepada pentadbiran Pakatan Rakyat pimpinan DAP.

1. PERUNTUKAN BERKAITAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM

Tahun 2008 (BN) …………..RM25.7 juta

Tahun 2009 (PR)……………RM33.2 juta

Tahun 2010 (PR)……………RM38.9 juta

Tahun 2011 (PR)……………RM45.7 juta

Tahun 2012 (PR)……………RM64.03 juta

2. SAGUHATI TAHUNAN GURU KAFA

Tahun 2008 (BN)…………..RM659,000.00

Tahun 2009 (PR)……………RM879,000.00

Tahun 2010 (PR)……………RM913,200.00

Tahun 2011 (PR)……………RM900,000.00

Tahun 2012 (PR)……………RM900,000.00

3. PERUNTUKAN TAMBAHAN TAHUNAN UNTUK SEKOLAH AGAMA RAKYAT (SAR)

Tahun 2008 (BN)………….TIADA

Tahun 2009 (PR)…………..RM1.50 juta

Tahun 2010 (PR)…………..RM1.75 juta

Tahun 2011 (PR)…………..RM1.75 juta

4. SUMBANGAN DAN PENGIKTIRAFAN AL-HUFFAZ

Tahun 2008 (BN)…………TIADA

Tahun 2009 (PR)………….RM75,000.00

Tahun 2010 (PR)………….RM100,000.00

Tahun 2011 (PR)………….RM130,000.00

5. SUMBANGAN EKYA’ RAMADAN (KEPADA SELURUH MASJID)

Tahun 2008 (BN)…………TIADA

Tahun 2009 (PR)………….RM213,000.00 setahun bermula tahun 2008 selepas ambil alih pentadbiran negeri

6. PROGRAM BULANAN AL-QURAN

Tahun 2008 (BN)……….TIADA

Tahun 2009 (PR)………..RM100,000.00 setahun

*FAKTA ADALAH DARIPADA JABATAN HAL EHWAL AGAMA ISLAM PULAU PINANG

Saya tidak pasti sama ada berita ini mendapat tempat dalam media arus perdana tetapi percaya ianya tidak dilaporkan. Apa yang dilaporkan lebih merupakan laporan negatif yang mencemuh dan memberi gambaran buruk terhadap pentadbiran negeri semata-mata kerana ia diterajui oleh DAP.

Rencana ini telah disiarkan dalam blog http://kudaranggi.blogspot.com/2012/02/apa-yang-dilakukan-oleh-pentadbiran.html

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa