Saturday, February 18, 2012

PRU13 : Menunggu Mimpi Najib Dan Tilikan Rosmah

Pilihanraya Umum 13 (PRU13) semakin hampir. Ada pihak menyatakan akan diadakan March ini. Namun bila melihatkan sidang dewan rakyat yang akan berlangsung pada 12 March depan menampakkan desas desus PRU13 pada March tidak akan diadakan.

Manakala fakta lain pula menyatakan mungkin akan diadakan pada Mei ini memandangkan bulan tersebut jatuh pada minggu cuti sekolah.

Berdasarkan fakta juga berkemungkinan besar Selangor tidak akan menyertai pilihanraya negeri sekiranya diadakan sebelum Jun ini.

Tan Sri Abdul Khalid ketika sidang Dun November tahun lalu menyatakan Selangor tidak akan membubarkan Dun sekiranya PRU13 dilaksanakan sebelum Jun 2012. Tindakan tersebut dianggap berpatutan bagi memastikan peruntukan RM1.9 bilion kerajaan negeri dapat dinikmati rakyat negeri itu.

Menurut Khalid, beliau tidak mahu berlaku sebagaimana PRU 2008 dimana peruntukan kerajaan negeri dibawah BN hilang entah kemana dalam masa tiga bulan berikutan PRU12 pada March 2008.

Sama ada rakyat atau pemimpin-pemimpin politik tahu bahawa tarikh pilihanraya di negara ini hanya di tentukan oleh Perdana Menteri (PM). Penetapan tarikh oleh PM ini telah menjadi kuasa mutlak dalam ritual Umno/BN sejak menguasai negara ini.

Sedangkan di negara-negara lain tarikh pilihanraya seterusnya telah ditentukan sejurus tamat pilihanraya atau setahun sebelum pilihanraya diadakan.

Ini bagi membolehkan parti-parti politik mengadakan persiapan dan strategi masing-masing bagi menghadapi pilihanraya akan datang. Tetapi malangnya di Malaysia, PRU ditentukan oleh 'ilham mimpi' PM.

Maka secara mutlaknya keputusan mengadakan PRU tersebut bergantung kepada keyakinan PM serta kesediaan BN untuk memenangi PRU tersebut.

Najib masih takut

Menurut teori R.A.H.M.A.N, Najib adalah pemimpin terakhir dalam hierarki penguasaan Umno/BN dinegara ini. Najib juga dikatakan percaya kepada 'ong' nombor 111111.

Berdasarkan maklumat internet pula, kalau nak cerita pasal tilikan bomoh setentunya isteri beliau, Rosmah Mansur boleh menyediakan maklumat tambahan berhubung 'alam ghaib' kepada suaminya.

Sebagai Perdana Menteri yang tidak pernah diuji dengan PRU, Najib amat bimbang dan takut. Jika tersilap langkah Umno/BN akan menjadi pembangkang.

Umno akan lumpuh jika menjadi pembangkang. Segala amalan rasuah, kronisme, salah guna kuasa, sogokan, ugutan, politik wang dan seribu satu amalan tidak bermoral yang dilakukan sejak 54 tahun berkuasa akan diheret ke mahkamah untuk di adili sekiranya PR menguasai Putrajaya.

Begitu juga sumber kewangan untuk membuat pelbagi program politik yang selama ini berselindung disebalik program bersama pemimpin. Apatah lagi sogokan-sogokan politik seperti membuat jalan, bantuan-bantuan yang semuanya bersifat 'mee segera' kepada pengundi.

Selama ini pemimpin-pemimpin Umno ini mempergunakan sewenang-wenangnya wang rakyat untuk di berikan kepada pemimpin-pemimpin Umno menjelang PRU.

Contohnya, peruntukan RM2.71 bilion untuk Umno Selangor bermatlamat untuk memastikan pelbagai 'onak' dilakukan untuk menjatuhkan pimpinan Khalid Ibrahim di negeri Jugra tersebut.

Dari segi isu semasa pula skandal 'lembah Daging' NFC yang membabitkan keluarga Shahrizat Jalil yang juga seorang menteri kabinet Najib dianggap sebagai beban paling berat yang terpaksa di pikul beliau.

Ini tidak termasuk kekangan ekonomi yang mencengkam negara sehingga semua harga barang terpaksa dibiarkan melambung disebabkan tidak mampu lagi dikawal.

Rakyat paling terasa bebanan ekoran kenaikan harga barang, kenaikan tarif letrik serta tol.

Begitu juga dengan sokongan masyarakat bukan melayu seperti orang Cina dan India yang tidak lagi memberi sokongan kepada BN.

Namun apa yang lebih penting adalah maklumat dari sumber polis Politik di Bukit Aman. Mimpi Najib tidak dapat menjadi nyata selagi SB-SB (Unit Tindakan Khas) di Bukit Aman tidak memberikan laporan positif berhubung sokongan rakyat.

Najib juga tidak percaya dengan maklumat retorik bertujuan untuk mengambil hati beliau dari ketua-ketua bahagian Umno.

Najib pernah mengalami pengalaman pahit bersandarkan sumber maklumat dari bahagian-bahagian Umno di Pekan dalam PRU10 dahulu. Najib hanya memenangi 204 undi di parlimen Pekan sedangkan 'pengampu-pengampu' beliau mengatakan 'ok datuk, semua ok datuk, jangan risau datuk'.

Dr Mahathir paling takut

Mimpi Najib berhubung tarikh PRU masih belum muncul disebabkan kelibat musuh politik beliau yang sering mengganggu laluan fikirannya.

Mungkin juga tilikan bomoh-bomoh Rosmah juga memberikan 'klu' yang sama.

Tapi nampaknya orang yang paling 'kalut' adalah bekas PM, Tun Dr Mahathir Mohamad. Semua orang tahu Dr M tidak akan duduk diam selagi Anwar Ibrahim masih berligar di pentas politik.

Mungkin beliau telah menduga apa yang akan berlaku kepada beliau serta kroni-kroni yang berhutang berbilion ringgit kepada rakyat. Anwar juga tahu jumlah sebenar yang Dr M gunakan untuk 'bail out' syarikat-syarikat anak-anak serta kroni-kroni beliau ketika krisis ekonomi 1998.

Malah paling di takuti Dr M adalah berhubung pengkhianatan yang telah beliau lakukan pada negara ekoran projek pemberian kad pengenalan kepada lebih 600,000 warga Filipina dan Indonesia untuk menjatuhkan kerajaan Pairin Kitingan pada era 1980'an dahulu.

Lantaran itu selama enam tahun selepas dibebas dari penjara Sungai Buluh, Anwar Ibrahim dihujani serangan bertali arus berhubung pelbagai isu liwat.

Isu Liwat dijadikan ikon serangan bertujuan untuk mengasak di minda rakyat berhubung persepsi rakyat ke atas ketua Pembangkang tersebut.

Lantaran itu apa sahaja kenyataan media Mahathir ketika ini semuanya berkisar kepada usaha mengaibkan Anwar.

Dr Mahathir pernah berkata sesuatu yang tidak benar itu sekiranya diulang berulang kali akan menjadikan pembohongan itu suatu kebenaran.

Itulah juga formula yang diguna pakai oleh Najib setelah melihat kejayaan taktik tersebut ketika era Dr Mahathir.

Calon Tikam Belakang

Masalah paling besar yang sedang dihadapi Najib setelah selesai segala 'sogokan' kepada rakyat melalui pelbagai bentuk pemberian adalah masalah pemilihan calon yang mewakili Umno/BN dalam PRU13 nanti.

Walaupun Najib cuba membawa pendekatan kesantunan 'Winable candidate' (calon boleh menang) dalam lawatan beliau kesetiap negeri namun hasilnya masih belum terbukti.

Pembuktian tersebut hanya diperoleh setelah PRU selesai dan selepas 'post-mortem' dilakukan. Situasi ini sememangnya telah terlewat.

Pengalaman PRU 2008 lalu telah dikenalpasti banyak kerusi BN tewas disebabkan tindakan calon yang tidak terpilih bertindak memberi sokongan kepada pembangkang untuk mengalahkan calon BN.

Ini adalah igauan paling ngeri buat Najib. Begitu juga sejak tiga tahun berturut-turut perhimpunan Agung Umno diadakan, Najib mengelak dari diadakan pemilihan kepimpinan baru kerana takut dan bimbang berlaku perpecahan dalam parti pimpinannya.

Apatah lagi akan tiba saat apabila membabitkan pemilihan calon untuk PRU13 nanti. Hanya Najib yang rasa bahananya walaupun Rosmah mungkin hanya mampu menghembuskan asap kemian pemulih semangat ke tubuh suaminya.

Media 'over kill' Anwar

Kegagalan mengheret Anwar untuk dijatuhkan hukuman bersalah pada 9 Januari (901) lalu memberi impak yang besar kepada 'kemaksuman' pemimpin-pemimpin Umno termasuk Najib-Rosmah.

Kesan paling ketara adalah persepsi rakyat terhadap Anwar telah berubah. Anwar telah dianggap sebagai orang yang sengaja di aniaya oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN sedangkan hakikatnya mahkamah membuktikan beliau tidak bersalah.

Persepsi rakyat juga akan beranggapan pelbagai deretan fitnah yang dibuat ke atas Anwar selama ini merupakan palsu dan tidak benar.

Simpati rakyat akan melihat Anwar sebagai pemimpin bersih yang difitnah oleh musuh-musuh politik beliau.

Pun begitu, tidak sempat Anwar memasuki rumah setelah berkunjung ke Mumbai selepas 901, media cetak dan eletronik milik Umno/BN yang terdiri dari 26 saluran Radio, 8 saluran tv dan hampir 10 media cetak kembali menghentam beliau.

Malah tidak ada satu hari pun selepas itu yang boleh di istihar sebagai 'detik bebas' bagi Anwar dari serangan media-media tersebut.

Sukar juga mempercayai bagaimana 'think tank' media-media tersebut gagal memikirkan kesan 'over kill' dari bahan berita yang dibawa ke minda rakyat berhubung Anwar.

Atau mungkin pemimpin-pemimpin Umno/BN tidak mempunyai pengalaman disebabkan selama 54 tahun media dikuasai oleh mereka.

Inilah juga amalan yang diamalkan sejak 12 kali PRU berlangsung dan mereka terus menerus memperoleh kemenangan. Justeru formula ini perlu diteruskan. Dan kaedah yang sama akan diguna pakai.

Apakah media dan pemimpin BN lupa memikirkan 70 peratus dari lebih 12 juta pengundi dalam PRU13 nanti adalah pengundi berusia 21 hingga 40 tahun.

Mereka yang di klas sebagai pengundi muda ini majoritinya adalah pengundi klas menengah yang berpendidikan sekurang-kurangnya pemegang Diploma dari pusat pengajian tinggi.

Golongan ini juga adalah celik sumber maklumat dan tidak terpengaruh dengan sentimen perjuangan pemimpin silam.

Golongan ini sebahagian besarnya terbelenggu dengan hutang PTTN disamping persekitaran kehidupan mereka terperangkap dengan ketiadaan pekerjaan dan kos sara hidup yang tinggi.

Sedangkan apa yang terhidang dihadapan mereka adalah pelbagai isu yang melibatkan kos kenaikan harga barang, amalan rasuah yang berleluasa, kronisme yang kronik, salah guna kuasa pemimpin Umno/BN, kekangan media yang tidak bebas, cengkaman AUKU dan pelbagai lagi.

Kemajuan dunia telekomunikasi membolehkan generasi muda ini menjadi pengundi yang bijak kerana memperoleh sumber maklumat dari pelbagai pihak.

Berdasarkan dari beberapa kajian mendapati golongan ini terdiri dari golongan atas pagar dan penyokong pembangkang. Malah generasi ini juga tidak mudah terpengaruh atau tunduk dengan pelbagai sogokan laporan dari media milik Umno/BN.

Pada Najib dan Rosmah mungkin masih boleh beraksi hebat didada media milik mereka. Hak mereka untuk 'syok sendiri'... dan mungkin ada yang terpesona.

Namun dalam kehebatan aksi-aksi tersebut masih belum terpacul dari mulut Najib berhubung PRU13 walaupun wisil penamatnya pada March tahun hadapan.

Atau Najib terpaksa merubah angka 'ong' 111111 (tarikh 11.11.11) yang tidak mungkin menjadi realiti itu kepada angka 121212 (12.12.12) setelah tilikan 'alam ghaib' Rosmah mendapati BN akan memperoleh kemenangan pada angka tersebut.

Sumber - Blog Batu vs Kayu

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa