Saturday, February 11, 2012

RPK: Polis Minta Bukti

Polis minta Raja Petra kemuka bukti

Polis minta Raja Petra kemuka bukti KUALA LUMPUR . – Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta Raja Petra Kamarudin yang mendakwa bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM), Datuk Patrick Wong Kie Yik mungkin mati di tangan pembunuh upahan agar mengemukakan bukti bagi membantu siasatan polis.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, setakat ini pihaknya percaya kematian Patrick adalah berpunca daripada kes samun sebelum bertukar menjadi pembunuhan.

Beliau berkata, siasatan kes itu turut menolak kaitan kematian Patrick dengan penyelewengan pasir di Selangor seperti didakwa Raja Petra yang juga pengendali portal berita Malaysia Today, kelmarin.

Menurut beliau, polis sehingga kini telah menahan seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kematian Patrick dan memburu dua lagi.

“Lelaki itu sudah lama ditahan dan berada di Pusat Tahanan Simpang Renggam untuk siasatan lanjut, namun dia belum didakwa memandangkan polis masih mengesan dua lagi individu terbabit.

“Kita masih mempunyai masa untuk melakukan siasatan ke atas lelaki itu sama ada ia terlibat dalam kes bunuh atau lain-lain kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan Maulidur Rasul Tahun 1433 Hijrah Peringkat PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Kelmarin, Raja Petra mendakwa Patrick mati dibunuh bagi menutup kes penyelewengan pasir di Selangor sebelum muncul dengan pendedahan baharu, dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat, Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari terlibat dalam skandal rasuah pasir di negeri itu.

Dakwaan pembabitan Shuhaimi dalam skandal tersebut turut disertakan dengan transkrip perbualan telefon antara Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda itu dan wakil sebuah syarikat kontraktor pasir.

Ditanya sama ada akan menjalankan siasatan sekiranya Raja Petra tampil membuat laporan polis berhubung kes bunuh itu, Khalid berkata, pihaknya akan meneruskan siasatan sebaik sahaja menerima maklumat baru.

“Jika ada maklumat baru yang dapat menunjukkan bahawa kes itu berkaitan dengan isu pasir yang dinyatakan, berilah kepada kita dan kita akan teruskan siasatan.

“Sekiranya dia (Raja Petra) mengetahui apa jua maklumat berhubung kes itu sepatutnya dia membuat laporan polis. Kalau dia buat andaian itu andaian ini, ia hanya menyusahkan tugas polis,” katanya.

-Utusan

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa