Thursday, May 24, 2012

Bacalah Leteran Sinyanyuk Ini

Sebenarnya saya dah lama tak ambil pot apa yang ditulis atau dikatakan oleh manusia nyanyuk ini.
 
Tetapi dalam kes ini, oleh kerana diketengahkan oleh Sdr. Aspan orang politik, maka saya rasa perlu dipanjangkan untuk tatapan umum supaya rakyat boleh menilainya


Ahli sendiri pun UMNO tidak percaya

Kalau tidak silap saya pada hari Isnin yang lepas, Mahathir telah mengingatkan ahli-ahli UMNO di Kedah yang Melayu akan hilang segala-galanya jika UMNO ditewaskan dalam pilihanraya yang akan datang ini. Kata beliau yang Melayu akan hilang kuasa politik mereka jika UMNO tidak lagi memegang tampuk kuasa setelah ditolak oleh orang Melayu.

Tetapi Mahathir tidak langsung menyentuh kenapa orang Melayu sudah ramai yang menolak UMNO itu. Setiap perkara yang berlaku mesti bersebab dan perubahan kepada sikap orang Melayu terhadap UMNO itu pun bersebab. Perubahan tidak berlaku begitu sahaja tanpa sebab-sebab yang besar. Orang Melayu bukan mudah untuk berubah, tetapi kenapa mereka kini berubah? UMNO sepatutnya memandang ke dalam diri mereka untuk mencari masalah dan penyebabnya.

Kalau kali ini Mahathir berubah pun tentu bersebab. Kalau dalam pilihanraya yang lepas Mahathir membelakangkan UMNO dengan keluar dari parti itu, mesti ada sebab yang tersendiri. Semasa itu Mahathir menyeru rakyat memilih calon, jangan memilih parti. Kali ini beliau menyeru orang ramai memilih sesiapa juga yang diturunkan oleh parti.

Jadi kita berhak untuk memilih nasihat yang mana satu yang kita mahu ikut: nasihat beliau semasa pilihanraya yang lalu atau nasihat beliau yang sekarang ini? Jika rakyat tidak mahu mendengar nasihat beliau lagi pun semestinya ada sebab. Hanya Mahathir tidak sedar yang rakyat sudah terlalu keliru dengan sikap beliau yang sentiasa bertukar-tukar (flip-flop) arah pandangannya setiap kali piliharaya umum tiba. Tiada ‘consistency’ dan tiada perjuangan dan itu juga bersebab.

Ramai yang berjumpa dengan saya meminta saya memberikan komen tentang sikap Mahathir pada hari ini, tetapi saya hanya menjawab saya tidak faham kerana Mahathir hanya berjuang untuk apa yang beliau ingin untuk berlaku dan tidak ada kena mengena dengan perjuangan Melayu dan rakyat yang ramai.

Kalau beliau keluar dari UMNO dahulu kononnya untuk memprotes kepimpinan Abdullah Badawi kita tidak nampak sekarang ini kenapa beliau tidak keluar kerana kekalutan UMNO di bawah Najib sekarang adalah jauh lebih teruk daripada Abdullah Badawi.

Tetapi hakikatnya ramai yang tahu sebabnya. Mahathir akan mengamuk jika mana-mana PM selepasnya tidak melayan kehendak politik peribadi beliau. Beliau merasakan beliau adalah pemimpin yang mesti diikuti oleh pemimpin selepas beliau kerana beliau merasakan seorang yang hebat dan mampu ‘berjalan di atas air’ dan perlu disembah dan dipuja.

Oleh kerana Abdullah Badawi itu degil orangnya walaupun apabila berjalan pijak semut pun tidak mati. Beliau tidak melayan kehendak Mahathir…itu sebab Mahathir keluar dari UMNO dan terus mensabotaj UMNO dalam pilihanraya yang lalu. Beliau berkata, “jangan pilih parti, kita mesti pilih calon”.

Tetapi di Alor Setar Isnin lalu, beliau mahukan semua pemimpin dan ahli UMNO melakukan seperti ‘aku janji’ supaya jangan mensabotaj calon-calon UMNO dan beliau seolah-olah telah mengugut ahli-ahli UMNO dengan tekanan yang kuat ke atas ahli-ahli parti itu yang mereka akan menghadapi tindakan jika melakukan sabotaj terhadap parti.

Apa yang UMNO boleh lakukan jika ahli-ahlinya melakukan sabotaj terhadapnya dalam pilihanraya nanti? Jika UMNO ingin mengambil tindakan terhadap ahli-ahli UMNO yang mensabotaj parti dalam pilihanraya yang lalu ia terpaksa mengambil tindakan terhadap 1.5 juta ahlinya yang telah mengundi pembangkang di dalam pilihanraya itu. Inilah masalahnya jika sesebuah parti itu mengumpulkan keahlian yang berjuta-juta orang.

Seorang pemimpin UMNO selalu berkata kepada saya, “The huge number of memberships in UMNO will sink the party as it has to accept the scum and the useless members in it altogether.” Apabila keahlian begitu ramai maka ia mewujudkan banyak cawangan dan di cawangan-cawangan dan peti-peti undi yang banyak inilah bermulanya perpecahan parti. Di peti-peti undi inilah ahli-ahli UMNO keluar parti semasa memilih parti-parti alternatif yang menawarkan pencalonan mereka.

Jika Mahathir meminta ahli-ahli UMNO tidak mensabotaj parti itu merupakan nasihat yang sudah pasti tidak akan dituruti oleh mereka di peti-peti undi. Keluarga yang besar dan anak yang terlalu ramai selalunya akan menghadapi masalah mentadbir mereka kerana kehendak dan ragam anak-anak itu berbagai-bagai macam.

Kata-kata Mahathir di Kedah itu membayangkan yang UMNO sudah tidak percaya kepada ahli-ahlinya sendiri. Kalau dahulu mereka membesarkan keahlian parti kerana tidak yakin dengan sokongan orang ramai, sekarang UMNO sudah tidak yakin kepada ahli-ahlinya sendiri.

Nampaknya budaya bai’ah dan bersumpah sudah menjadi perkara biasa dalam UMNO kerana parti itu sedang menghadapi krisis keyakinan di antara pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli mereka. Jika perasaan curiga terhadap ahli mereka sendiri ini begitu tebal, bagaimanalah orang ramai hendak meningkatkan keyakinan terhadap UMNO yang sudah terlalu uzur dan tempang itu.

Saling tidak mempercayai di antara mereka itulah yang menjadi ‘immediate cause’ yang akan menjatuhkan parti itu dalam PRU yang akan datang. Saya agak hairan kenapa Mahathir tidak berdaya untuk menyatukan kembali orang Melayu sekarang ini. Lazimnya jika seseorang itu mahir memecahkan Melayu dalam sesuatu masa dia akan mampu menyatukannya kembali.

Kalau dahulu Mahathir boleh memecahkan ahli-ahli UMNO dan pada bila-bila masa sahaja beliau boleh menyatukan mereka kembali, kenapa sekarang beliau tidak lagi boleh melakukannya? Kenapa sekarang beliau terpaksa mengeluarkan kata-kata ugutan pula?

Pendeknya, UMNO tidak percaya yang ahli-ahlinya akan memberikan sokongan kepada parti itu. Oleh itu kita sekarang sedar bahawa keahlian yang ramai itu diharapkan akan mengundi UMNO kerana parti ini tidak percaya kepada pengundi yang bukan ahli. Tetapi sekarang Melayu telah sedar yang bukan ahli tidak diyakini oleh UMNO, tetapi yang lebih merunsingkan UMNO ialah ahli-ahlinya sendiri pun turut tidak dipercayai oleh pimpinan tertinggi mereka.

Mungkin jawapannya ialah Melayu sekarang sudah pandai berfikir dan tidak mahu lagi menjadi burung balam yang kerjanya hanyalah untuk menganggukkan kepala dan bertepuk tangan apabila Mahathir berucap.

Orang Melayu sedar bahawa ‘Melayu itu tidak akan hilang di dunia’ seperti sorakan pemimpin UMNO, tetapi yang mereka lupa ‘Melayu itu akan hilang dunianya’ jika UMNO terus menerus dalam keletihan dan tidak bermaya untuk melakukan perubahan minda dalam barisan kepimpinannya.

Tetapi memang ‘conclusive’, UMNO tidak akan berubah lagi. Maka UMNO itu akan diubah dari saat ini. Pemimpin-pemimpin mereka sendiri pun tidak berkeyakinan tentang sokongan orang Melayu.

Kalau tidak masakan UMNO telah memilih untuk menggunakan ‘gangster’ untuk mengganggu program-program anjuran Pakatan Rakyat di mana-mana.

1 comment:

  1. salam ayahnda
    biarkan la..orang tua ..jangan ambik pot sangat

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa