Friday, May 4, 2012

Baru Ada Nada Bebas Tapi Kenapa Tidak SUHAKAM?

Ezam gesa siasatan segera insiden kekasaran
Ahli Dewan Negara Senator Mohamad Ezam Mohd Nor menggesa supaya siasatan rapi dan segera dilakukan berhubung insiden keganasan, termasuk wartawan pada perhimpunan BERSIH 3.0 yang berlangsung Sabtu lalu.

Malah, beliau menegaskan supaya tindakan diambil terhadap sesiapa sahaja yang didakwa membuat tindakan tersebut termasuk "perusuh" dan anggota polis.

"Walau apa pun, siapa yang melakukan keganasan, ada yang kata pihak polis, ada yang kata perusuh yang melakukan keganasan.

"Atas dasar apa sekalipun, siasatan perlu dilakukan dengan rapi dan segera. Tindakan perlu diambil (kepada yang bertanggungjawab)," kata ketika ditemui Malaysiakini di PWTC pagi ini.

Beliau yang juga bekas ketua Pemuda PKR menjawab soalan berhubung insiden keganasan polis terhadap wartawan dan peserta perhimpunan BERSIH 3.0, Sabtu lalu.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilapor berkata senarai anggota panel siasatan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat semua insiden yang berlaku pada perhimpunan itu dijangka akan diumum minggu depan.

Ezam bagaimanapun berpendapat insiden pada Sabtu lalu berpunca daripada provokasi "pemimpin tidak bertanggungjawab" yang mencetuskan provokasi dan ditambah "agenda tertentu perusuh".

"Pemimpin yang harus memastikan perkara itu tidak harus berlaku. Tapi apa yang saya lihat, apa yang berlaku di (perhimpunan) BERSIH, bukan sahaja pemimpin politik itu tidak bertanggungjawab, tetapi mereka menangguk di air keruh untuk kepentinga jangka pendek," katanya.  

Sementara itu, ditanya sama ada penubuhan Suruhanjaya Bebas dan Salah Laku Polis (IPCMC) perlu disegerakan, Ezam mengakui suruhanjaya tersebut perlu disegerakan.

Menegaskan ia perlu dianggotai tokoh yang dipercayai kredibilitinya dan adil, Ezam berkata penubuhan suruhanjaya dibuat dengan kadar segera kerana semua pihak saling menuding jari.

"Yang paling penting, apabila hasil siasatan siap, ia perlu diiktiraf," tegas Ezam yang juga bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Banyak masalah sekarang ini, suruhanjaya bebas ditubuhkan, tetapi ia tidak diiktiraf kerana ada agenda politik yang sengaja mahu merendahkan kredibiliti kerajaan termasuk suruhanjaya bebas lain (yang ditubuhkan)," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa