Saturday, May 26, 2012

Rais Sebenarnya Dah Tua Nyanyuk!

Sepatutnya Najib dah lama humban dia dari kabinet
Rais buta antara aset kerajaan dan harta Umno
Ahmad Lutfi Othman,26 Mei 2012
Ketika PAS dimomokkan sebagai Parti Islam yang ghairah mengejar kuasa sehingga melupakan dasar perjuangan sucinya, namun dalam masa sama berbondong-bondong orang ramai memohon keahlian, termasuk tokoh-tokoh terkemuka dan selebriti terkenal.


Semasa aktivis dan penyokong Pakatan Rakyat -- tidak terkecuali PAS -- ditohmah sebagai perusuh dalam demonstrasi suku juta umat, Bersih 3.0, dengan pelbagai kempen propaganda, termasuk melalui siaran RTM pada waktu puncak, memaparkan peserta himpunan "mengganasi pihak keselamatan", kita dikejutkan dengan perisytiharan beberapa bekas pegawai kanan polis menyertai Parti Islam.


(Semasa mengunjungi Miri, lebih sebulan lalu, memenuhi jemputan program kewartawanan media baru, saya bertemu dengan bekas Timbalan Residen Miri -- jawatan hampir sama dengan Penolong Pegawai Daerah -- Johari Bujang, yang kemudiannya baru-baru ini dilaporkan telah menyertai PAS).


Berita itu sepatutnya menenggelamkan dakyah bekas Ketua-Ketua Polis Negara -- Hanif Omar, Rahim Noor dan Musa Hassan -- yang cuba memalitkan imej "kotor dan ganas", juga "berunsurkan komunis" terhadap perhimpunan menuntut pilihan raya adil dan bersih, 28 April lalu.


Pada 20 Mei lalu, di hadapan lebih 5,000 hadirin, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Dato' Fauzi Shafie (antara segelintir kecil nama-nama pegawai kanan polis yang diingati ramai), telah menyerahkan borang keahlian PAS kepada Tuan Guru Abdul Hadi Awang, di Ulu Sepetang, Larut, Perak.


Menerusi YouTube, saya agak teruja mendengar muqadimah ucapan Fauzi, yang dikira mantap dan sarat dengan peringatan agama, sekali gus menggambarkan sikap dan komitmen padunya terhadap perjuangan Islam yang dibawa PAS. Beliau seperti mahu memanfaatkan baki usianya untuk mendaulatkan agama Allah.


Sebelum itu, di Perak juga, bekas Ketua Polis Daerah (OCPD) Slim River, Abdullah Omar turut menyertai PAS. Dalam ceramahnya di Dungun, 24 Januari lalu, Abdullah berkata beliau masuk PAS kerana PAS adalah parti yang sah di sisi undang-undang,  berdaftar dengan pendaftar pertubuhan, dan lebih penting kerana dipimpin tokoh-tokoh yang ingin membawa negara kepada pemerintahan Islam, tidak sepertimana kebanyakan pemimpin Umno yang terlibat dengan pelbagai skandal.


Abdullah seolah-olah menjawab lebih awal siri serangan yang bakal dihadapi  Fauzi. Akhbar Berita Harian, 22 Mei lalu, memilih tajuk utama halaman lapan,  "Veteran polis rasa terguris", dengan tajuk kecil, "Keputusan bekas Pengarah JSJ sertai PAS dianggap khianati kerajaan".


Ia ekoran reaksi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri, dengan penyertaan Fauzi bersama PAS. Shafie berkata, pihaknya terkejut dan keliru dengan tindakan Fauzi itu.


"Saya pun tak tahu apa pertimbangan beliau (Fauzi) sedangkan ketika dalam PDRM, beliau memegang jawatan kanan selain mendapat gaji yang tinggi dan berpencen. Kini bila bersara, sertai pula pembangkang, agak ganjil tindakan beliau itu," kata Shafie, seperti dilaporkan Berita Harian.


Saya sendiri terkejut bagaimana Berita Harian memilih tajuk kecil "... dianggap khianati kerajaan" hanya kerana bekas pegawai tertinggi polis itu menyertai PAS. Usaha "pembodohan massa" (meminjam ungkapan Dr Siddiq Fadzil ini) dalam suasana rakyat semakin terbuka menilai amalan demokrasi dan celik politik itu cukup memalukan.


Sebelum ini, akhbar dalam kumpulan yang sama, New Straits Times (NST) telah melabelkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai "bapa kafir" dan tidak mahu memohon maaf walaupun selepas didesak berbuat demikian.


Segera saya mengirim SMS kepada Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu minta respons awal terhadap laporan Berita Harian itu. Tanpa perlu menunggu lama, Mat Sabu yang banyak menjalin hubungan dengan tokoh-tokoh kenamaan pesara tinggi kerajaan dan juga bekas pimpinan Umno, membalas: "Inilah doktrin yang melahirkan kebangangan polis dan bekas polis ...tak kenal antara kerajaan dengan Umno."


Rakan saya, seorang pegawai polis, turut membalas SMS sama: "Apakah Shafie faham erti dan amalan demokrasi yang sebenarnya?"


Menyedihkan sekali, jika hal-hal semudah itu, seperti kebebasan untuk memilih menyertai mana-mana parti politik berdaftar -- hatta proaktif untuk menjatuhkan kerajaan melalui saluran undang-undang -- dikaitkan dengan istilah-istilah yang langsung tidak relevan, misalnya "khianati kerajaan".


Mungkin kalau zaman dahulu (zaman Hanif Omar) akan mudah dilabelkan dengan  "anasir subversif", malah tidak mustahil dicap "prokomunis", atau  dikaitkan dengan "aliran Marxisme" (satu istilah yang cukup digemari Rahim Noor).


Kepada pertanyaan wartawan Harakahdaily, Fauzi berkata: "Memang kalau ikut keselesaan, dengan wang pencen dan hasil bulanan dari perniagaan saya dan keluarga, ia sudah cukup untuk saya. Saya boleh duduk rehat sahaja.  Tapi, semacam ada rasa satu tanggungjawab untuk saya bersama PAS kini."


Semasa menjadi Ketua Polis Dang Wangi, Fauzi terkenal dengan tindakannya membanteras maksiat di pusat bandaraya Kuala Lumpur. Tindakan beliau pernah dikecam oleh seorang menteri yang menyifatkan tindakan Fauzi akan "menghalau pelancong" dari negara ini.


Dalam pada itu, seorang rakan lama, juga bekas wartawan ekonomi, meminta Harakah memberi penekanan kepada berita Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim memperuntukkan RM200,000 kepada semua ahli veteran Umno dan Mubarak (Majlis Bekas Wakil Rakyat BN) di setiap negeri dengan menyediakan komputer riba  dan latihan pengurusan media baru, sebagai persiapan menghadapi PRU13.


Sekali lagi ungkapan paling sesuai untuk Rais, seperti dilafazkan Mohamad Sabu: "...tak kenal antara kerajaan dan Umno." Rais yang satu ketika dahulu prihatin dan komited dengan prinsip-prinsip asas demokrasi, kini seperti tidak dapat membedakan di antara wang kerajaan yang diperolehi daripada pembayar cukai dengan dana politik Umno.


Tindakan Rais itu membuatkan kenyataannya yang lebih penting kurang diperhatikan, iaitu "kertas kabinet berhubung permintaan mendapatkan akses sama rata terhadap media bagi parti-parti politik yang mahu membentangkan manifesto pilihan raya mereka kepada orang ramai" telah disiapkan.


Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) yang saya terajui cukup berminat dengan isu akses media sama rata sewaktu kempen PRU13, terutama membabitkan media yang dibiayai dana awam, seperti RTM dan Bernama. Sewaktu konvensyen KAMI, 12 Mei lalu, seperti disaran V Anbalagan, Setiausaha Agung NUJ, telah dirumuskan bahawa satu badan khas yang bebas perlu ditubuhkan bagi memantau perjalanan media berkenaan.


Bagaimanapun saya curiga kemampuan Rais untuk bertindak adil dalam menyiapkan kertas kabinet, terutama untuk menyambut saranan SPR agar diberikan airtime berkempen, yang munasabah untuk semua parti bertanding dalam PRU13 nanti.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa