Wednesday, June 27, 2012

Pelik Dan Anih Bunyinya Bila Pecah Rumah Sendiri...

Jenayah Dalam Pejabat Air Kelantan?

Pagi tadi saya menerima satu panggilan telefon dari Kota Bharu Kelantan yang agak mengejutkan. Pemanggil itu bertanya apakah saya sudah tahu satu kejadian yang memalukan menimpa pejabat Syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd yang bertanggungjawab mengurus dan membekalkan air bersih untuk rakyat Kelantan.


Kening saya berkerut keruh mendengar berita itu kerana tidak terdengar apa-apa pula cerita pelik di Kota Bharu berhubung dengan mana-mana agensi atau syarikat berkaitan kerajaan negeri. Cerita hangat di Kota Bharu semalam hanya mengenai demo pre-royalti di perkarangan SUK, sebelum ini mengenai penyelewengan yang dikatakan berlaku dalam Kelantan Gold Trade (KGT) bersabit dinar dan dirham.

Menurut pemanggil itu kejadian itu berlaku enam hari lepas dan berita ini sudah mulai bergerak dan menjadi cakap-cakap di kalangan pegawai kerajaan amnya dan khasnya dari kalangan kakitangan syarikat Air Kelantan SB itu. Ertinya kejadian ini tidak boleh ditusuk selindungkan lagi. Apa lagi kejadian ini juga sudah sampai ke pengetahuan pihak polis, cuma belum terbau oleh media massa sahaja.

Tidak dapat dipastikan apaklah MB juga telah dimaklumkan dengan kejadian ini?

Kejadian dimaksudkan itu ialah mengenai bilik seorang pengawai di syarikat itu telah dipecah dan beberapa peralatan pejabat termasuk komputer serta dokumen penting dilarikan. Kejadian ini agak anih sedikit kerana orang terlibat dalam kejadian ini ialah kakitangan bertaraf pegawai syarikat air itu sendiri.

Pelik dikatakan kerana ia berlaku dalam rumah sendiri dan dilakukan orang rumah sendiri? Empat orang pegawai terlibat katanya sudah dikenal pasti. Nama dan IC mereka pun ada dalam simpanan saya. Polis juga sudah menyiasat dan keempat-empat pegawai itu sudah dipanggil polis. Pihak yang menjadi pengarah kepada kejadian itu juga telah mengakui apa yang berlaku.

Sukar untuk dianalisa kenapa dan mengapa kejadian ini terjadi? Apabila ia berlaku ke atas bilik sorang pegawai yang bertanggung jawab membuat semakan ke atas pembelian, tander, kontrak (oditor) dan sebagainya ia boleh diandaikan dengan bermacam-macam kejadian buruk dan jelek. Mungkin kejadian itu ada kaitan dengan usaha untuk melupuskan maklumat tertentu. Kalau maklumat apakah perkara itu?

Sebelum ini ada tuduhan mengatakan berlaku penyelwengan dalam syarikat berkenaan. Pihak musuh dan ada sekelompok 'jebong' di Kelantan juga telah membuat aduan kepada SPRM. Apakah jenayah yang berlaku di pejabat itu ada hubung kait dengan laporan ke SPRM itu?

Kita tunggu apa perkembangan selanjutnya. Pihak kerajaan negeri khasnya Exco yang bertanggungjawab mengawal dan menjaga hal ehwal air di Kelantan perlu memberi penjelasan apa sebenarnya yang berlaku. Penjelasan segera sangat perlu setidak-tidaknya kepada MB. Dan sekiranya kejadian itu melibatkan jenayah yang boleh merosakkan kerajaan negeri mereka perlu dikena tindakan tegas tanpa ampun maaf kerana ia melibatkan kepentingan rakyat.

Beberapa orang pegawai yang dikatan terlibat wajar digantung jawatan sementara siasatan kes itu selesai. Dalam pada itu jangan pula ada pihak yang cuba menyusuk punca kejadian ini atau pun mendiamkan dari pengetahuan kerajaan atas alasan kerana tidak mahu kerajaan menanggung malu.

Sesuatu yang busuk dan jelek itu perlu didedahkan demi nama baik kerajaan. Dalam hal ini sumpah dan ikrar Rasulullah s.a.w.yang berbunyi; sekiranya Fatimah mencuri aku akan potong tangannya hendaklah dihayati. [wm.kl.3:32 am 27/06/12]

1 comment:

  1. ermmm.. dugaan yg menarik!

    moga kerajaan negeri dapat menangani perkara ini dgn adil dan telus.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa