Thursday, December 13, 2012

Satu Fenomena Yang Memberangsangkan

Inilah golongan yang bijak berfikir dan pandai menilai
Diharapkan mereka juga bijak memilih dan waras bertindak...
Masa depan negara di tangan mereka

Belia cenderung memilih parti berbilang kaum, tinjauan penyelidik
December 13, 2012

KUALA LUMPUR, 13 Dis — Hasil kaji selidik oleh badan bukan kerajaan The Asia Foundation (TAF) mendapati majoriti belia di Malaysia lebih cenderung memilih parti berbilang kaum berbanding parti berteraskan kaum ataupun agama.

Dalam pembentangan laporan "The Youth Factor 2012" hari ini, panel penyelidik membentangkan hasil kajian yang telah dijalankan dari 13 April hingga 9 Jun 2012 tersebut dan melibatkan seramai 2,105 belia di seluruh negara secara bersemuka.

Kajian bersama Taylor Nelson Sofres Malaysia (TNS) itu dijalankan ke atas rakyat Malaysia berumur lingkungan 17 tahun hingga 35 tahun.

Dalam laporan tersebut, sebanyak 71 peratus belia di Malaysia memilih parti politik yang mewakil kepentingan semua kaum tanpa memilih agama, manakala 11 peratus belia memilih parti berasaskan kaum dan 14 peratus lagi memilih parti agama yang mereka anuti.

"Perkara ini sesuatu yang positif, ia memperlihatkan rakyat Malaysia khususnya belia telah bergerak ke arah perpaduan negara," kata Nur Azrina Azhar,35, salah seorang penyelidik apabila ditanya oleh The Malaysian Insider.

"Saya rasa kesedaran dikalangan belia ini semakin meningkat terutamanya tentang isu demokrasi.


Kaji selidik yang diperoleh oleh The Asian Foundation ke atas belia di Malaysia terhadap kecenderungan memilih parti parti politik.
"Malahan, saya tidak tolak kempen oleh pergerakan seperti Bersih dan lain-lain badan bukan kerajaan memberikan kesedaran daripada pelbagai segi," tambah penyelidik senior program TAF itu.

Menurut Azrina lagi hasil penemuan kajian ini mungkin relevan dan mampu memberikan kesan kepada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

"Ya, penemuan ini mungkin relevan menjelang pilihan raya tidak lama lagi.
"Malahan ahli politik mula membincangkan tentang kehendak belia dan bukannya lagi meminta belia yang mengikut kehendak ahli politik," terang beliau lagi.

Dalam pada itu, belia di Sabah dan Sarawak paling tinggi memilih parti berbilang kaum dengan sebanyak 93 peratus daripada keseluruhan responden yang ditemui.

Selain itu, kajian yang dijalankan turut mendapati belia di Sabah banyak merungut terhadap isu penggangguran.

Bagi belia di Sabah, isu pekerjaan paling mendapat perhatian apabila sebanyak 26 peratus malahan angka penggangguran juga meningkat ke 5.6 peratus pada 2011 berbanding 4.9 peratus pada 2008.

Seorang lagi panel penyelidik, Khaldun Malek, 39 pula mengakui penemuan tersebut agak menarik tetapi berpendapat aspek agama adalah lebih penting yang akan menjadi pilihan pengundi berbanding kaum.

"Penemuan ini menarik, tapi bagi saya apa yang lebih utama adalah aspek agama.
"Sebagai contoh golongan belia muslim akan bergaul dengan muslim, belia Cina akan bergaul dengan Cina dan lain-lain," kata felo penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Daripada laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), golongan muda yang berusia antara 21 hingga 39 tahun yang mendaftar kini mencecah 5,175,096 atau 40 peratus daripada jumlah keseluruhan 12,912,590 pengundi baru.

BN memperolehi 4.08 juta undi pada tahun 2008 berbanding dengan PR 3.79 juta undi - perbezaan sebanyak 290,000 undi - manakala PR pula berharap pengundi baru pada PRU akan datang boleh membantu menambahkan sokongan kepada mereka.

Selain itu, Najib tampak begitu bersungguh untuk mendapatkan sokongan belia kepada BN menjelang PRU kali ini terutama selepas kemenangan besar Proaspirasi dalam pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2012/2013 di institut pengajian tinggi.

TAF sudah beradadi Malaysia hampir lebih 50 tahun dan berperanan untuk menyokong negara dalam pembangunan sosial dan ekonomi masa depan.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa