Thursday, January 24, 2013

Entah Kepada Siapa Lagi Rakyat Boleh Letakkan Kepercayaan

9 bayi selamat, doktor dan staf JPN ditahan
GOKINA MORGANAN
24 Januari 2013
GEORGETOWN - Polis menumpaskan satu sindiket menjual bayi dan kanak-kanak yang bergiat aktif di Pulau Pinang sejak 2009 berikutan penahanan 33 suspek termasuk seorang doktor klinik swasta dan seorang kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Mereka juga berjaya menyelamatkan sembilan bayi dan kanak-kanak berusia antara dua bulan sehingga lapan tahun, yang dipercayai dijual oleh sindiket berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, susulan aduan yang diterima, pihaknya menubuhkan pasukan khas "Aktif Som" di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang untuk menjalankan risikan dan melancarkan ops dalam usaha mengesan sindiket menjual bayi.

Ia dilakukan setelah menerima laporan bahawa seorang wanita warga asing menjaul bayi berusia 40 hari dengan harga RM4,300 pada awal Disember lalu.

"Tiga bayi lelaki dan enam bayi perempuan diselamatkan dengan kerjasama IPK Pulau Pinang, Kedah dan Perak, di tempat, masa dan hari yang berlainan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, bayi dan kanak-kanak diselamatkan itu terdiri daripada tujuh warga Thai, satu warga Bangladesh dan satu bayi tempatan.

Menurutnya, pasukan itu dianggotai 25 pegawai dan anggota berjaya menahan 33 suspek termasuk tiga warga Indonesia dan seorang warga Thai.

"Polis turut merampas 19 telefon bimbit pelbagai jenama, dua kereta, lima mykid yang sah, 14 sijil kelahiran yang sah, 18 kad perubatan dan wang tunai RM15,000 daripada semua suspek berusia lingkungan 23  hingga 62 tahun," katanya.

Abdul Rahim berkata, sindiket itu diketuai seorang wanita tempatan dengan menyasarkan wanita warga Indonesia dan Thai yang mengandung anak luar nikah dan berkesempitan wang sebagai sumber untuk mengaut keuntungan.

"Bayi dilahirkan oleh warga asing itu dijual mengikut pakej antara RM18,000 hingga RM30,000 berdasarkan rupa paras dan jantina atau kanak-kanak kepada pasangan suami isteri yang tidak mempunyai anak.

"Siasatan awal mendapati sindiket ini hanya membayar RM2,500 hingga RM4,500 kepada ibu yang mengandung," katanya.

Beliau berkata, kesemua bayi dan kanak-kanak yang diselamatkan itu berada di satu tempat yang selamat, sehingga menunggu perintah mahkamah untuk tindakan susulan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda," katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa