Saturday, February 23, 2013

NGO: Mengapa rakyat Sulu mudah masuk Sabah?

Muda Mohd. Noor February 23, 2013

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Umno Semporna, Datuk Nasir Sakaran berkata, rakyat Sulu yang berada di Tawau serta Lahad Datu merupakan warga negara Malaysia

PETALING JAYA: Presiden Gabungan NGO Sabah, Androd Sadian berkata, rakyat Sabah tidak gembira dengan pencerobohan `tentera’ Sulu ke atas wilayah negeri itu.

Rakyat Sabah, katanya mahu pihak berkuasa menyiasat mengapa pengikut Raja Kesultanan Sulu begitu mudah masuk ke Lahad Datu serta beberapa kawasan lain di sekitarnya.

“Apa yang menyebabkan mereka berani masuk ke Sabah dengan jumlah yang besar dan dari mana mereka mendapat senjata api.

“Adakah mereka itu tentera Sulu atau pihak lain. Rakyat Sabah tidak puas hati dengan situasi ini…mereka mahukan keselamatan,” katanya.

Menurut Androd, masalah rakyat Sulu di Sabah rumit kerana jumlah mereka ramai dan berada di negeri itu sejak berpuluh tahun lalu.

Lebih rumit, tambahnya ramai sangat pihak yang mengaku Raja Sulu.

Katanya, kerajaan perlu membuat penapisan untuk memberi taraf warga negara kepada rakyat asing yang ada di Sabah.

Lahad Datu kini menjadi tumpuan berikutan `askar-askar’- yang didakwa dari Kesultanan Sulu  diketuai Raja Muda Sulu, Raja Muda Azzimudie Kiram datang ke Sabah dan berkampung di Tawau.

Rundingan pihak berkuasa Malaysia dengan kumpulan berkenaan supaya mereka pulang ke Mindanao masih menemui jalan buntu.

Kumpulan berkenaan memasuki Lahad Datu sejak lebih dua minggu lalu atas alasan Sabah negeri mereka.

Warganegara Malaysia

Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Semporna, Datuk Nasir Sakaran berkata, ramai masyarakat Sulu yang berada di Tawau serta Lahad Datu merupakan warga negara Malaysia.

Katanya, kebanyakan masyarakat Sulu itu memang dilahirkan di Sabah termasuk di Tawau ataupun Semporna dan Lahad Datu.

“Mereka berketurunan Sulu tetapi sudah menjadi warganegara Malaysia, bagaimanakah hendak membezakannya dengan rakyat Sulu dari Mindanao?

“Tetapi mereka boleh hidup dengan baik di kalangan masyarakat tempatan di sini (Semporna dan Tawau).

“Orang ramai dapat mencari makan macam biasa…orang tidak risau. Mereka tidak bimbang apa-apa.

“Saya yakin ia akan diselesaikan tidak lama lagi,” katanya yang juga Adun Senallang dalam parlimen Semporna.

Bagaimanapun, Nasir enggan mengulas lebih panjang kerana menurutnya tidak mahu bertindih dengan kenyataan pemimpin atasan lain.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa