Friday, February 15, 2013

Weii.....Rupanya Raja Ni Kasyaf!

Mabuk dan celaru
Sebelum ini sibuk para pemimpin UMNO merapu yang Pembangkang akan buat huru-hara kalau kalah

Hari ini pula lalutan siRaja tak bergelar ni nampak dalam kasyafnya yang kalau Pembangkang menang akan cetus kekecohan pula

Rupanya betullah kata orang tua-tua yang makhluk sedang nazak akan merapu dan meracau
Nong Chik: Pembangkang tak pernah pegang kuasa, cetus kekecohan selepas menang
February 15, 2013
SEGAMBUT, 15 Feb — Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menuduh pembangkang akan mencetuskan kekecohan dan keadaan tidak harmoni jika mengambil alih di Putrajaya memandangkan mereka tidak pernah berkuasa serta memberikan contoh  berlaku di negara Kemboja yang tidak aman hingga sekarang.

Raja Nong Chik sebelum ini melawat Kemboja dan menyifatkan negara jiran Asia Tenggara tersebut sebagai mundur dan tidak membangun akibat perubahan kerajaan semasa zaman pemerintahan Khmer Rouge berkuasa dahulu, serta mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak membuat kesilapan sama jika berhasrat untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya 2013 tidak lama lagi.

“Mereka (Pakatan Rakyat) tidak pernah memegang kuasa.

“Tapi jika sekali mereka memerintah saya yakin perubahan boleh berlaku serta-merta,  negara akan berpecah dan kekecohan akan berlaku dalam negara,” kata beliau.

Dalam ucapannya pada program turun padang di Segambut petang ini, Raja Nong Chik turut menggesa rakyat Malaysia tidak terpedaya dan mempercayai janji perubahan yang diwar-warkan oleh pembangkang.

“Jangan percaya mereka yang berjanji macam-macam, berbeza dengan kerajaan Barisan Nasional yang janjinya sentiasa ditunaikan.

“Bukan seperti pembangkang!” kata Raja Nong Chik lagi.

Di samping itu, Raja Nong Chik juga memberitahu pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama 50 tahun memerintah Malaysia sudah membuktikan kemampuan untuk mentadbir dengan baik dan membangunkan negara.

“Lihat selama 50 tahun kita memerintah Malaysia, kita semua tak kira Melayu, India dan Cina semua boleh bekerjasama.

“Saya juga berkahwin dengan orang Cina,” tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, beliau turut berkata Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak seorang yang mementingkan kebajikan dan mendengar suara rakyat dan salah satunya adalah menerusi polisi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia 2.0.

“Kerajaan bukan yang hanya pandai berjanji dan menipu, janji yang ditawarkan akan ditunaikan.

“Apa yang boleh bagi, kerajaan akan bagi,” kata beliau lagi.

Najib pada tahun lalu juga mengingatkan rakyat supaya tidak membuat ‘perubahan’ yang belum pasti menjamin kemakmuran dan kesejahteraan kepada mereka.

Bukan semua perubahan membawa kepada sesuatu yang baik, kata Najib sambil mengingatkan supaya rakyat tidak menukarkan sesuatu yang mereka boleh bergantung harapan daripada memberi kepada pihak lain yang ternyata belum terbukti rekod perkhidmatannya.

“Kita mestilah berpegang kepada sesuatu yang kita tahu, Insya-Allah kita (kerajaan BN) akan membawa kepada keadaan yang lebih baik pada masa akan datang,” kata Najib ketika berucap pada majlis rumah terbuka Aidilfitri tahun lalu.

Najib mengingatkan rakyat supaya jangan mudah termakan janji manis pembangkang yang ternyata gagal mentadbir empat buah negeri yang dimenangi selepas pilihan raya umum 2008.

Malahan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga menasihatkan supaya rakyat Malaysia supaya tidak terlalu taksub dan percaya bahawa hanya perubahan dalam pemerintahan negara akan dapat mengubah keadaan hidup mereka.

“Apa jua yang dikatakan oleh Barisan Nasional nampak tidak berkesan. Walaupun benar dan nyata tapi nampak tidak berkesan kerana mereka taksub dengan kepercayaan bahawa hanya perubahan pemerintahan akan membawa kepada perubahan dalam kehidupan mereka, sebab itu keadaan sekarang berbeza dengan suatu masa dulu,” kata beliau pada 13 Januari lalu.

PRU ke 13 yang perlu diadakan selewat-lewatnya Jun dianggap paling sengit dalam sejarah oleh kerana BN yang memerintah Malaysia semenjak 1957 dicabar hebat oleh PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS.

Dalam Pilihan Raya 2008, buat pertama kalinya penguasaan tradisi majoriti dua pertiga BN dinafikan oleh PR dan beberapa negeri BN seperti Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak jatuh ketangan PR.

Perak walaubagaimanapun kembali ketangan BN pada tahun 2009 apabila tiga ahli Dewan UndanganNegeri (ADUN) PR keluar dari gabungan tersebut dan menjadi ADUN bebas menyokong BN.

1 comment:

  1. Apa-apa hal kita tukar najib jadi ketua pembangkang sebelum menetap di sungai buluh

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa