Sunday, June 30, 2013

Bukan Drama Tak Menjadi Tetapi Lawak Bodoh!

Isu dakwat, skrip BN tidak menjadi
Idris Hj Ahmad,28 Jun 2013

Walaupun PRU 13 sudah berlangsung hampir dua bulan. Isu perjalanan pilihan raya tidak terhenti setakat itu sahaja. Ahli Parlimen BN cuba mempertahankan SPR,  jika PRU tidak telus macam mana 89 ahli parlimen boleh menang dan tiga negeri diperintah oleh Pakatan Rakyat. Jawapan spontan, fasal tipu kami hanya menang tiga negeri. Jika tidak tipu, PR menang 13 negeri.

Isu dakwat kekal adalah bukti terbaru, bagaimana jawapan pemimpin BN yang flip flop. Seolah-olah skrip drama tidak menjadi, kerana pengarah mati menyebabkan pelakon hilang arah. Kenapa? Ini yang menjadi tanda tanya.

Memang  daripada  mula lagi, soal penggunaan  dakwat ini SPR berdolak dalik. Mula-mula hendak kena tanya Majlis Fatwa, boleh atau tidak, apabila Majlis Fatwa kata boleh. Pihak SPR kata tahan tujuh hari. Apabila terbukti dakwat tidak kekal dan boleh dihilangkan dengan mudah pada hari mengundi awal. Maka SPR mengatakan, sepatutnya dakwat perlu digoncang 30 saat setiap dua jam.

Semua pengundi terkejut apabila dakwat yang digunakan tidak kekal. Maka, mulalah  pemimpin BN  berpantun, mengatakan  dakwat kekal ada Silver Nitrat yang boleh merbahaya kesihatan. Oleh itu kandungannya dikurangkan, inilah yang menyebabkan dakwat tidak kekal seperti  kenyataan Datuk Ahmad Maslan Ketua Penerangan Umno.

Rakyat lagi pening  dengan jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim mendedahkan bahawa dakwat kekal yang digunakan hanya mengandungi pewarna makanan dan bukannya bahan kimia silver nitrat.

Tengku Adnan pula mengatakan dakwat kekal tidak perlu kerana Malaysia bukan negara dunia ketiga. Ertinya negara sudah  maju. Maju apa? Maju penipu?

Sebanyak RM7.1 juta dibelanjakan untuk dakwat kekal, malangnya nama syarikat yang membekal tidak diberi tahu apabila disoal di dalam Parlimen. Atas alasan keselamatan, Rakyat tidak kisah walau pun habis RM1 bilion untuk dakwat asalkan buat kerja dengan betul. 

Jika macam ini punya keadaan, RM1 pun rakyat tidak redha untuk dibelanja membeli dakwat yang tidak kekal. Rakyat Malaysia bernasib malang kerana mendapat pemimpin yang sering menipu. Terbaru dakwat yang dibeli dengan harga yang begitu mahal, tiba-tiba tidak mencapai hajat rakyat.

1 comment:

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa