Thursday, June 20, 2013

Di Negara Tercinta Ini: Tiadakah Lagi Tempat Selamat?

Disamun ketika cuci pakaian
WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Jun 2013


KAMPUNG RAJA - Seorang wanita warga emas rugi RM8,000 apabila barangan kemas miliknya disamun dua lelaki dalam kejadian di rumahnya Kampung Tembila, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika mangsa sedang mencuci pakaian di dalam bilik air, sebelum didatangi dua suspek tidak dikenali

Menurutnya, ketika kejadian, suami mangsa, berusia 70-an yang bekerja sebagai pemandu teksi keluar bekerja sejak jam 6.30 pagi dan mangsa hanya bersendirian di rumah.

“Mangsa sedang membasuh pakaian dalam bilik air dengan keadaan pintu tidak berkunci sebelum didatangi dua lelaki dianggarkan berusia 30-an.

“Suspek kemudian meminta mangsa menyerahkan barang kemas yang dipakai sebelum mengikat tangan mangsa menggunakan pita pelekat kuning dan kabel pelekat hitam,” katanya.

Kamaruddin berkata lagi, selepas merampas seutas rantai leher, sepasang subang dan seutas gelang tangan emas yang dianggarkan bernilai RM8,000, suspek kemudiannya melarikan diri.

Menurutnya, mangsa yang berjaya membuat ikatan itu segera menghubungi suaminya memaklumkan kejadian sebelum membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja kira-kira jam 10.20 pagi.

Kamaruddin berkata, mangsa memberitahu, suspek tidak bersenjata dan tidak menutup muka mereka.

Bagaimanapun, mangsa gagal mengenal pasti kenderaan yang digunakan dua suspek untuk melakukan jenayah berkenaan.
“Usaha memburu suspek sedang dijalankan dan disiasat di bawah Seksyen 394, Kanun Keseksaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa