Sunday, June 23, 2013

Kenapa Akta Dharurat Dibenci?

Pokoknya di sini benci pada Akta itu atau benci ada cara ianya dilaksanakan?

Pada aku yang bukan Pengamal Undang-Undang dan bukan juga Anggota Penguatkuasaan EO tidak disukai adalah kerana penyalahguanaan akta tersebut sebelum ini oleh Sang Penguasa

EO tidak akan memberi masalah sekiranya digunakan pada tempat dan keadaan yang betul.....

Selepas dua tahun Akta Darurat dimansuhkan, perdebatan muncul kembali
Dua tahun selepas pemansuhan Akta Darurat (EO) penggubal undang-undang masih lagi belum pasti sama ada ianya langkah tepat dalam usaha untuk memerangi jenayah.
Pemansuhan dianggap sebagai baik atau buruk, bergantung kepada siapa anda bertanya.
Seorang peguam jenayah mengatakan sebagai seorang profesional, beliau bersetuju undang-undang pencegahan itu tidak diperlukan kerana menentang penahanan tanpa bicara.
Akan tetapi, sebagai seorang rakyat biasa, beliau bersimpati dengan polis yang telah mengatakan secara terbuka mereka bergantung kepada Akta Darurat apabila gagal untuk mendapatkan cukup bukti bagi mendakwa penjenayah tegar dan ketua sindiket.
Ini adalah pendirian seimbang diambil oleh peguam M. Athimulan apabila diminta memberikan komen terhadap laporan The Malaysian Insider di mana beberapa pegawai polis kanan menyalahkan peningkatan jenayah ganas disebabkan pemansuhan Akta Darurat pada tahun 2011.
Penasihat Yayasan Pencegahan Jenayah Selangor Tan Sri Ramon Navaratnam pada Julai tahun lepas mengatakan pemansuhan Akta Darurat menyebabkan seramai 2,000 bekas tahanan di Selangor bergerak bebas.
“Sebagai seorang rakyat saya akan kata EO mungkin diperlukan, akan tetapi perlu ada semak dan imbang untuk memastikan tiada penyalahgunaan oleh polis,” katanya.
Seorang lagi peguam terkemuka Amer Hamzah Arshad bagaimanapun merasakan EO digunakan oleh polis sebagai alasan mudah untuk “melepaskan diri.”
“Bagaimana mereka boleh kaitkan pemansuhan EO dengan peningkatan dalam kadar jenayah?
“Bagaimanapun, mereka tidak boleh membuat keputusan tanpa kajian terperici sebelum bercakap tentang ini?” soal beliau.
Beliau mengatakan polis seharusnya menyelesaikan kes jenayah dengan menyiasat kes dan menahan suspek hanya apabila mereka mempunyai bukti.
Amer mengatakan di bawah EO, polis akan menahan suspek di bawah EO.
“Dua tahun selepas itu mereka dibebaskan. Lepas tu apa? Soal beliau.
Beliau menambah walaupun ia memberikan persepsi baik polis membuat kerja mereka, akan tetapi tidak menyatakan punca sebenar isu itu.
Menurut Amer, seorang hakim Mahkamah Tinggi pernah mengatakan pasukan polis Malaysia bertaraf dunia jadi, EO tidak diperlukan.
Ahli kriminologi Dr P. Sundramoorthy bagaimanapun, percaya undang-undang pencegahan masih lagi diperlukan di Malaysia untuk menghapuskan kongsi gelap dan aktiviti samseng.
“Undang-undang pencegahan bukan untuk membuat kerja polis lebih mudah akan tetapi untuk mengawal kongsi gelap dan sindiket jenayah,” katanya.
Beliau bersetuju dengan polis yang mendakwa peningkatan jenayah baru-baru ini disebabkan oleh pemansuhan undang-undang itu.
“Sudah pasti, mereka yang ditahan telah kembali kepada cara lama mereka dengan jaringan lebih baik dalam dunia jenayah,” katanya.
Prof Madya kriminologi di Universiti Sains Malaysia itu mengatakan akibat daripada desakan kumpulan hak asasi manusia untuk memansuhkan undang-undang pencegahan, pasukan kriminologinya menghantar satu laporan dengan cadangan kepada kerajaan.
“Kita menasihatkan kerajaan untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad akan tetapi menyemak semula EO.
“Kita seharusnya mempunyai undang-undang sama dengan EO akan tetapi perlu ada semak dan imbang supaya tiada penyalahgunaan,” tambah beliau.
Beliau menegaskan jenayah berkaitan dengan kongsi gelap dan kumpulan samseng tidak dapat dihapuskan dengan undang-undang biasa kerana kebanyakkan daripada kes-kes, saksi takut untuk ke hadapan memberikan keterangan.
“Ia adalah sukar dan EO berjaya tahun kebelakangan ini dengan sedikit kesilapan,” katanya.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua mengatakan pasukan polis tidak wajar memberikan alasan pemansuhan Akta Darurat pada 2011 sebagai alasan peningkatan jenayah di dalam negara.
"Jika polis telah mendapat 'maklumat dan kenyataan daripada saksi serta disahkan mereka', jadi mengapakah mereka tidak dapat  mendakwa penjenayah di mahkamah dan heret mereka ke penjara," soal Pua. – 23 Jun, 2013

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa