Tuesday, June 18, 2013

Tarik Balik Mykad: Aku Sokong Wilfred Dan Nak Tengok Direalitikan!

Perkara ini dicadangkan oleh MP BN Sabah sendiri
Adakah ianya akan dipersetujui dan dilaksanakan?
Kalau cadangan dari MP Pembangkang, tentu sah tidak akan dilayan....

Satu lagi yang penting dan rakyat ingin lihat ialah Dalang dan Perancangnya dihukum!

Tarik balik kad pengenalan pendatang, usul ahli Parlimen BN kepada RCI
OLEH MOHD FARHAN DARWIS
JUNE 18, 2013
Panel Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan pendatang haram di Sabah hari ini dicadangkan supaya menarik semula kesemua kad pengenalan yang telah dikeluarkan kepada pendatang asing, kata ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Datuk Wilfred Madius Tangau.
Ahli Parlimen Tuaran yang juga saksi ke 117 dipanggil untuk RCI berkata kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, masalah pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing juga tidak akan pernah selesai, melainkan rombakan keseluruhan sistem pemberian kad pengenalan dilaksanakan.
"Ini isu integriti ... kita perlu 'reset' semuanya untuk kembali ke 'ground zero', katanya yang juga merupakan Setiausaha Agung Parti Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) kepada lima panel RCI di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, di sini.
"Jika kita tidak melakukan perkara itu, bagaimana kita mahu menyelesaikan masalah kad pengenalan meragukan seperti ini," soalnya lagi, dan menambah kes pemberian kad pengenalan meragukan itu tidak akan pernah berhenti, sebaliknya akan berterusan.Beliau kemudiannya mencadangkan agar mereka yang telah diambil kad pengenalannya dalam proses tersebut untuk memohon kembali menggunakan sijil kelahiran.
"Pada mereka yang rasa mereka benar-benar warganegara, tiada apa nak ditakutkan," tambahnya yang juga merupakan saksi pertama dalam kalangan ahli politik yang dipanggil memberi keterangan kepada RCI. 
UPKO jelas Wilfred telah melakukan kaji selidik bagi menyiasat kegiatan pemberian kad pengenalan kepada warga asing sebaik sahaja RCI dibentuk, dan mendapati pemberian kerakyatan kepada warganegara asing berkenaan bukan setakat berlaku pada 1980an, tetapi juga awal tahun 90an.
"Pembuatan kad pengenalan palsu perkara yang berterusan," katanya, dan menambah, "10 peratus daripada penerima kad pengenalan tersebut tanpa perlu memohonnya."
"Manakala 90 peratus daripada mereka membeli kad pengenalan tersebut," katanya, dan menerangkan laporan kaji selidik tersebut akan didedahkan oleh Presiden UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok pada Jumaat ini kepada RCI.
RCI sebelum ini pada Mei diberitahu Sabah mengeluarkan kad pengenalan 12 kali lebih banyak berbanding Sarawak, dengan sekitar 66,000 pendatang haram di negeri Borneo tersebut telah diberi kad pengenalan  biru sejak 1963.
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak Datuk Abu Bakar Mat sebelum ini memberi keterangan  seramai 5,373 pendatang di Sarawak telah diberi IC biru daripada 1963 hingga 2012.
Beribu pelarian Filipina melarikan diri ke Sabah pada tahun 1970-an untuk menyelamatkan diri daripada perang saudara Sulu di selatan.
Sempadan laut Sabah juga telah diceroboh pada Februari lalu apabila sekumpulan lelaki bersenjata daripada Sulu menyerang Lahad Datu yang terletak di pantai timur negeri tersebut, dimana masuk disana kurang satu jam menerusi bot dari selatan Filipina. Sarawak, bagaimanapun, bersempadan dengan wilayah Kalimantan, Indonesia.
Kira-kira 28 peratus daripada 3.2 juta penduduk yang besar di Sabah adalah warga asing, sejumlah besar 889,000 orang.
Kemasukan pendatang asing tanpa izin telah menimbulkan kemarahan masyarakat pribumi Sabah seperti Kadazandusun dan Murut (KDM), ramai daripada mereka merasakan kedaulatan negeri Borneo tersebut  telah dirompak ekoran kebanjiran warga asing dari Filipina dan Indonesia.
Bernard Dompok tewas di kerusi Parlimen Penampang, kawasan majoriti KDM, pada pilihan raya 5 Mei baru-baru ini.
Beberapa warga asing Pakistan dan India juga pernah memberi keterangan di RCI bagaimana mereka mendapat kad pengenalan biru dalam tempoh beberapa tahun selepas tiba di Sabah dan kemudiaannya mengundi dalam pilihan raya.
RCI akan disambung esok pada jam 9.30 pagi. - 18 Jun, 2013

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa