Wednesday, July 24, 2013

Ugutan 'Komando Militan': Tikus Acah Kucing?

Polis masih siasat surat gelombang ke-2 pengganas
24 Julai 2013
KOTA KINABALU - Polis Sabah masih menyiasat sumber surat yang mendakwa akan berlaku gelombang kedua kemasukan pengganas ke negeri itu, namun pada masa yang sama percaya surat berkenaan tiada kaitan dengan pengganas Sulu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata ini kerana bahasa yang diguna tidak menunjukkan surat itu ditulis oleh pengganas dari negara jiran berkenaan.
"Polis percaya mereka cuba untuk menakutkan dan cuba mengganggu perbicaraan 30 orang yang kini ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2011," katanya kepada media selepas majlis berbuka puasa bersama pegawai dan anggota polis di sini malam tadi.
Bagaimanapun kata Hamza pihak keselamatan tidak mengambil mudah khabar angin itu dan telah mengambil tindakan perlu bagi memperkukuh kawalan keselamatan di Sabah.
"Dengan kerjasama daripada Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur (Esscom), semua laluan laut terutamanya di kawasan pantai timur diperkuatkan dengan melibatkan semua agensi seperti tentera laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan angkatan tentera yang kita tempatkan secara bergilir," katanya.
Surat bertarikh 3 Julai itu yang ditandatangani oleh 'Komando Militan' bagi pihak Kesultanan Sulu dan keluarga Kiram telah dihantar kepada pegawai daerah Tambunan, pegawai polis dan masyarakat Tambunan, memberi amaran mereka mahu memulakan perang di daerah itu pada Ogos ini sebagai membalas dendam terhadap pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Mac lepas.
Mengulas perkara lain, Hamza berkata polis Sabah kini mengadakan pra-Ops Selamat bagi mengingatkan orang ramai berkenaan Ops Selamat yang akan dilancarkan di seluruh negara sempena sambutan Aidilfitri bulan depan.
Katanya sepanjang Ops Selamat kelak, polis Sabah akan bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan keselamatan masyarakat terjamin.
Beliau turut memberi amaran kepada masyarakat agar tidak terbabit dalam aktiviti membakar mercun dan bunga api yang dilarang, atau berdepan tindakan tegas polis.
"Saban tahun Sabah belum ada rekod yang cedera disebabkan mercun, jadi kita berharap rekod ini dapat dikekalkan," katanya. - SH

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa