Sunday, August 18, 2013

Kerabat Diraja Terlibat Dalam Nahas

1 maut, 5 parah
Oleh RAMLI IBRAHIM
Gua Musang: “Saya melihat kereta dinaiki tiga beradik itu menuju ke arah saya di laluan bertentangan sebelum mengelak, namun bertembung dengan dua lagi kereta di belakang yang sama-sama menuju ke arah Kuala Krai,” kata Yusri Ismail, 31, yang terselamat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 7.30 pagi, seorang maut dan lima parah, termasuk tiga beradik kerabat diraja Kelantan, selepas kereta dinaiki bertembung di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Krai berhampiran Gua Sejuk.
Mangsa yang maut dikenali Mohd Saiful Bahri Awang, 41, dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A manakala isterinya Siti Nor Fazlina Mohamad, 34, yang juga jururawat Klinik Kesihatan Jeram Tekoh, cedera parah.

Tiga beradik terbabit itu turut mengalami cedera parah iaitu Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, adiknya Tengku Fatimah Ainura, 34, dan Tengku Farini Amelina, 26, selain penyelia Tanah Rancangan Felda Jengka 9, Mohd Faizal Mohd Sukri, 30, yang menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM).
SEORANG kerabat Diraja Kelantan terlantar di tengah jalan dalam keadaan cedera parah dalam kejadian itu.
Yusri dan isterinya Faradila Kadir, 30, terselamat kerana sempat mengelak
Berita yang sama dari Sinar Harian
Nahas 4 kereta, seorang maut
Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang sedang 
mengeluarkan mayat Mohd Saiful Bahri yang tersepit dalam kereta.
GUA MUSANG - Sehari sebelum tamat Ops Selamat musim perayaan Aidilfitri yang dijadualkan esok mencatat kemalangan paling buruk membabitkan empat kenderaan di Kilometer 25.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Gua Sejuk, dekat sini, pagi semalam.

Dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, menyebabkan seorang maut dan lima parah termasuk tiga beradik kerabat Diraja Kelantan manakala dua yang lain terselamat.

Mangsa maut di tempat kejadian dikenali Mohd Saiful Bahri Awang, 41, berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap A manakala isterinya, Siti Nor Fazlina Mohamad, 34, seorang jururawat Klinik Kesihatan Jeram Tekoh cedera parah.

Empat lagi yang parah dikejarkan ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk menerima rawatan tiga beradik kerabat Diraja Kelantan iaitu, Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissel, 38, adiknya Tengku Fatimah Ainura, 34 dan Tengku Farini Amelina, 26.

Penyelia Tanah Rancangan Felda Jengka 9, Mohd Faizal Mohf Sukri, 30 turut menerima rawatan di hospital sama manakala yang terselamat dalam kemalangan terbabit, Yusri Ismail, 31 dan isterinya, Faradila Kadir, 30.

Kejadian itu berlaku dipercayai kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang dipandu, Tengku Farini Amelina dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur terbabas memasuki laluan bertentangan sebelum bergesel dengan kereta Produa ALZA dipandu Yusri.

Selepas itu, kereta Proton Saga dipandu kerabat Diraja Kelantan itu pula bertembung dengan kenderaan dipandu Mohd Saiful Bahri yang dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu dan kenderaan Proton Persona dipandu Mohd Faizal.

Berikutan itu, seorang penumpang kerabat Diraja Kelantan itu tercampak keluar ke atas jalan  dalam keadaan cedera parah sebelum kenderaannya menjunam ke dalam cerun.

Yusri ketika ditemui di tempat kejadian berkata, dia sempat mengelak kenderaannya apabila melihat kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja itu terbabas memasuki lalu bertentangan.

Katanya, sebaik berlaku kejadian itu, dia terus memberhentikan kenderaan untuk melihat kenderaannya yang rosak dan melihat dua lagi kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan.

“Saya terus bergegas ke tempat kejadian kerana melihat kejadian kemalangan itu membabitkan banyak kenderaan hingga ada yang tercampak keluar dari kereta dinaikinya.

“Sayu saya mendengar suara meminta tolong termasuk dari kereta dinaiki mangsa dan kereta dinaiki tiga beradik kerabat Diraja Kelantan itu yang masing-masing berada dalam cerun di tempat berasingan,” katanya.

Ibu mangsa, Siti Zubaidah Yusoff, 63, berkata, anaknya itu dalam perjalanan ke Kota Bharu untuk menghantar menantu (isteri mangsa) yang ingin menyambung pelajaran dan perlu berada di bandar itu jam 9 pagi hari kejadian.

“Memang dia ada bagi tahu mak cik malam kelmarin yang dia akan ke Kota Bharu pagi esok (hari ini) untuk menghantar isterinya belajar dan mak cik terkejut menerima berita pagi ini (semalam) dia kemalangan.

“Rasa tidak percaya berlaku kemalangan meragut nyawa anak mak cik itu, tetapi apa pun mak cik terima takdir Tuhan dan tetap bersyukur menantu mak cik masih selamat,” katanya.

Adun Galas, Ab Aziz Yusof turut melawat tiga beradik kerabat Diraja Kelantan yang cedera dalam kemalangan itu di bilik rawatan kecemasan HGM
.
 Kereta dinaik tiga beradik kerabat Diraja Kelantan 
menjunam ke dalam cerun.

Ibu mangsa, Siti Zubaidah tidak dapat menahan sedih melihat
 jenazah anaknya yang tersepit dalam kenderaan

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa