Tuesday, August 27, 2013

Malaysiaku: Yang Haram Pun Dapat Anugerah!

Restoran terbaik tiada lesen
Oleh Ardyhansah Amat
Kuala Lumpur: Beberapa struktur sebuah restoran yang pernah mendapat anugerah restoran terbaik di Jalan Dungun, Bukit Damansara, di sini dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas didapati beroperasi tanpa lesen.
Timbalan Pengarah Jabatan Reka Bentuk Bandar dan Bangunan DBKL Norzaini Noordin berkata, selain tidak berlesen, tindakan itu diambil selepas mendapati restoran itu turut melakukan dua kesalahan iaitu perancangan dan aktiviti tanpa kebenaran serta binaan struktur tambahan tanpa kebenaran.
“Pemilik langsung tidak mendapat kebenaran untuk menukar premis miliknya dari kediaman kepada restoran, menyebabkan mereka beroperasi secara haram.
“Malah, mereka juga tidak mendapat kelulusan untuk binaan struktur baru di situ menyebabkan DBKL terpaksa merobohkannya dalam operasi kali ini,” katanya kepada media ketika mengetuai Op Roboh di sini semalam.
Katanya lagi, berdasarkan Undang-Undang Kecil Seksyen 72, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 akibat membina struktur tanpa izin, DBKL terpaksa meroboh struktur tambahan terbabit atas faktor keselamatan awam.
“Dalam hal ini, DBKL tidak boleh berkompromi kerana pembinaan di restoran itu tidak membabitkan kajian terperinci bagi memberi jaminan keselamatan kepada orang luar yang mengunjungi tempat itu.
KEDIAMAN diubah suai menjadi restoran dirobohkan, semalam.
“Selain itu, kami turut mendapat aduan dari penduduk setempat bahawa operasi restoran ini menyebabkan bunyi bising sehingga lewat malam, sekali gus mengganggu kejiranan selain menyebabkan halangan laluan jalan raya di sini.
“DBKL sudah menghantar beberapa notis dan kali terakhir pada 29 Jun lalu. Sebelum itu beberapa tindakan lain juga sudah diambil termasuk kompaun dan sita barang, tetapi pemilik premis masih lagi meneruskan operasi di situ,” katanya.
Berdasarkan laman web restoran itu, premis berkenaan mula beroperasi pada 10 Oktober 2010 dan pernah menerima beberapa anugerah.
Sementara itu, wakil pengurusan restoran yang enggan dikenali berkata, pihaknya dalam proses perpindahan ke lokasi baru di Petaling Jaya, tetapi memerlukan sedikit masa untuk melakukannya.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa