Monday, December 16, 2013

Jangan Peduli ‘Cerita dongeng’

Teruskan perjuangan, jangan peduli ‘cerita dongeng’

Ikhwan Zulkaflee | December 16, 2013
Dari segi perundangan, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya. Dan beban untuk membuktikan kesalahan itu jatuh kepada penuduh, bukan orang yang dituduh perlu membuktikan dia tidak bersalah, kata Haris Ibrahim








PETALING JAYA: Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu disarankan untuk tidak mempedulikan ‘cerita dongeng’ yang mengaitkannya dengan fahaman syiah.
Sebaliknya, Pengasas NGO Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim menyarankan supaya pemimpin kedua tertinggi PAS itu yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu untuk meneruskan perjuangannya membela nasib rakyat dan negara.
Haris, yang merupakan seorang peguam berkata Mat Sabu tidak harus melayan tuduhan kepadanya kerana ia adalah tugas Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuktikan bahawa Mat Sabu mengamalkan fahaman Syiah.
“Dari segi perundangan, seseorang itu tidak bersalah selagi tidak dibuktikan sebaliknya. Dan beban untuk membuktikan kesalahan itu jatuh kepada penuduh, bukan orang yang dituduh perlu membuktikan dia tidak bersalah.
“Tapi ini Malaysia, jadi kita paham. Sistem perundangan kita memang terbalik,” katanya apabila dihubungi hari ini.
Menurutnya lagi, bukan susah untuk mencari mana-mana individu untuk bersumpah dan menjadi saksi untuk menuduh orang lain.
Beliau turut menggesa KDN untuk segera mengambil tindakan kepada Mat Sabu jika mempunyai bukti kukuh.
“Kalau KDN ada bukti kukuh, dakwa sahaja Mat Sabu,” tegasnya.
Beliau turut berkata beliau tidak tahu apa itu bukti gred A dan gred B yang dimaksudkan oleh KDN dalam menyatakan bukti yang dimiliki mereka mengenai pembabitan Mat Sabu dengan fahaman Syiah.
“Tak pernah dengar (bukti kelas A dan B), ini mungkin apa yang diamalkan oleh KDN sendiri,” katanya lagi.
Jumaat lalu, Pegawai Agama KDN Dr Zamihan Mat Zain Al Ghari berkata Mat Sabu perlu tampil memberi bukti bahawa beliau tidak mengamalkan fahaman Syiah ekoran pendedahan 10 bukti gred B yang mengaitkan beliau dengan fahaman Syiah oleh kementerian tersebut pada hari Khamis.
KDN juga, seperti yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia semalam mengakui memiliki bukti eksklusif gred A berupa pengakuan lebih 20 orang individu yang didakwa mampu ‘menceritakan’ kecenderungan Mat Sabu dengan fahaman Syiah.
Namun, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, seperti yang dilaporkan oleh The Star Online berkata bukti tersebut tidak akan didedahkan kepada umum sebaliknya kementeriannya akan berhenti dari membuat kenyataan setelah bukti tersebut diserahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Turut baca:

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa