Tuesday, December 24, 2013

Kalau Gagal Lagi PRU 14 MCA Boleh Tempah Keranda

MCA wajar dibubarkan kalau gagal lagi pada PRU 14?

Zabidi Saidi | December 23, 2013

Desas-desus parti menyatakan gandingan Gan dan Donald Lim sebagai pasukan pilihan Dr Chua, manakala Wee pula gandingan Liow dalam pasukan lain.






PETALING JAYA: Presiden baharu MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai semalam mengulangi kesediaannya untuk membawa perubahan dan pembaharuan secara inklusif dan kolektif kepada parti itu.
Beliau turut menggesa semua barisan kepimpinan tertinggi, perwakilan dan anggota parti agar kembali sebagai satu pasukan utuh, bagi menjayakan program transformasi serta mengembalikan era kegemilangan parti itu.
Perasaan dengki, iri hati dan dendam perlu dikikis, tegas Liow.
“Kita mesti buktikan bahawa MCA memang relevan dan mampu membawa perubahan yang besar dalam hidup kaum Cina dan masyarakat lain.
“Tiada lagi kem Chua (Datuk Seri Dr Chua Soi Lek) dan kem Liow selepas ini. Buanglah segala persepsi itu. Marilah kita bangkit dengan kuat dan kukuh sebagai satu pasukan yang bersatu-padu,” katanya ketika sesi penggulungan sempena Perhimpunan Agung MCA kali ke-60 di Wisma MCA.
Datuk Seri Liow Tiong Lai dipilih sebagai presiden MCA yang baharu manakala Datuk Dr Wee Ka Siong pula memenangi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu yang berlangsung hari Sabtu lalu.
Liow sebelum ini ialah timbalan presiden MCA, manakala Wee pula ketua Pemuda.
Dalam persaingan tiga penjuru, Liow memperoleh 1,186 undi mengatasi bekas naib presiden MCA Gan Ping Sieu (1,000 undi) dan bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat (160 undi).
Wee pula memperoleh 1,408 undi berbanding saingannya Datuk Donald Lim Siang Chai yang menerima 927 undi
Sebanyak 2,352 perwakilan mengundi dalam proses yang berlangsung dari 12.15 tengah hari hingga 2 petang, bagi memilih barisan kepimpinan baharu parti di ibu pejabat MCA di Jalan Ampang, di sini.

Desas-desus
Desas-desus parti menyatakan gandingan Gan dan Donald Lim sebagai pasukan pilihan Dr Chua, manakala Wee pula gandingan Liow dalam pasukan lain. Walaupun calon pilihan Dr Chua kalah jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, tetapi anaknya Chua Tee Yong menang jawatan Naib Presiden MCA.
Bagi empat jawatan naib presiden pula, mereka yang menang ialah Datuk Lee Chee Leong (1,642 undi), Dr Hou Kok Chung (1,475 undi), anak Dr Chua iaitu Datuk Chua Tee Yong (1,343 undi) dan Datin Paduka Chew Mei Fun (1,230 undi).
Nampaknya MCA lebih advance daripada Umno kerana perwakilan MCA memilih calon wanita, Chew Mei Fun sebagai Naib Presiden sedangkan wanita Umno tidak berani bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Ketua Wanita Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan pemilihan barisan kepimpinan baharu MCA menandakan bermulanya era positif bagi parti tersebut.
Katanya, pemilihan Chew Mei Fun sebagai Naib Presiden baharu turut membuktikan MCA terus membuka peluang dan ruang kepada pemimpin wanita menduduki jawatan tertinggi parti berkenaan.
“Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Presiden dan Timbalan Presiden serta barisan pucuk kepimpinan MCA yang baharu. Pemilihan ini merupakan satu era yang positif bagi parti tersebut.
“Sebagai Ketua Wanita Barisan BN, setinggi-tinggi tahniah saya ucapkan juga kepada Chew Mei Fun di atas pemilihan beliau sebagai Naib Presiden baharu. Kami amat berbangga di atas pencapaian yang telah ditunjukkan oleh beliau,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jawatan Naib Presiden MCA turut ditandingi oleh Setiausaha Agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha, Datuk Chong Itt Chew, Lee Wei Kiat, Anggota Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng dan Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun Dr Leong Yong Kong.
Untuk 25 slot anggota jawatankuasa pusat (CC), antara yang berjaya mempertahankan jawatan ialah Datuk Toh Chin Yaw, Datuk Gan Tian Loo, Datuk Seri Ong Ka Chuan, Datuk Hoh Khai Mun, Datuk Koh Nai Kwong, Dr Por Choo Chor, Datuk Paul Kong Sing Chu, Yoo Wei How, dan Datuk Ti Lian Ker.
Turut memenangi pemilihan CC ialah Datuk Mah Hang Soon, Datuk Ei Kim Hock dan Datuk Tan Chin Meng yang sebelum ini anggota CC secara lantikan.
Pertarungan
Sementara itu Ketua Biro Pendidikan MCA Chong Sin Woon dipilih sebagai Ketua Pemuda MCA bagi penggal 2013-2016 selepas mengalahkan Datuk Goh Gaik Meng dalam pertarungan satu lawan satu pada pemilihan sayap parti itu di sini Khamis lalu.
Chong menang dengan majoriti 93 undi dengan memperoleh 794 undi berbanding Goh yang meraih 701 undi. Goh merupakan Ketua Pemuda Bahagian Batu.
Seramai 1,515 perwakilan mengundi pada pemilihan sayap itu.
Jawatan Ketua Pemuda tidak dipertahankan Datuk Dr Wee Ka Siong, yang bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu.
Datuk Heng Seai Kie yang dipilih sebagai Ketua Wanita MCA yang baharu dianggap Shahrizat sebagai sungguh berwibawa.
“Sesungguhnya kewibawaan Seai Kie memang terserlah. Selama beberapa tahun menjadi Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, beliau telah menunjukkan ciri-ciri kepimpinan yang amat baik,” kata Shahrizat yang turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Wanita MCA yang baharu.
Masa depan dan kekuatan MCA bergantung sepenuhnya kepada komitmen, perpaduan serta pengorbanan daripada setiap anggota parti itu, kata Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
Beliau berkata para pemimpin dan anggota parti itu perlu lebih matang dan agresif untuk parti kekal relevan dalam kalangan masyarakat, khususnya kaum Cina.
“Masih banyak yang perlu kita lakukan demi masa depan parti ini, demi perpaduan dan penyatuan kita semua.
“Kita juga perlu menyusun semula organisasi kita selari dengan proses transformasi sebagai persediaan ke arah pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam ucapan dasar Presiden pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA ke-60 di Wisma MCA di sini Sabtu.

Menggali
Penganalisis politik Khoo Kay Peng berpendapat presiden baharu ini perlu mencari jalan untuk mengubah nasib MCA dengan menggali hingga ke dasar masalah yang menyebabkan parti itu kehilangan banyak sokongan daripada masyarakat Cina.
“Pemimpin baharu ini bersama barisan kepimpinannya mempunyai tugas untuk menyelamatkan imej MCA dan meyakinkan pengundi Cina tentang kedudukannya dalam BN,” katanya.
MCA perlu melakukan perubahan untuk memaksimumkan fungsinya serta mempunyai tadbir urus lebih baik bagi mengukuhkan kedudukannya seperti parti lain, kata Ketua Wanita MCA Datuk Yu Chok Tow.
Yu, yang tidak mempertahankan jawatannya, berkata jika MCA gagal melakukan perubahan kali ini, parti itu akan ditolak rakyat, terutama masyarakat Cina.
“Perubahan perlu dilakukan, walaupun ia sesuatu yang mungkin menyakitkan, kerana ia merupakan tugas yang sangat berat dan mencabar. MCA tidak ada pilihan, selain menerima saja hakikat ini. Kita perlu menghadapi cabaran ini dan MCA perlu berjaya.
“Sesungguhnya, kita tidak boleh mensia-siakan sahaja peluang ini untuk melakukan perubahan. Kalau kita tidak berubah, kita tidak akan diberi peluang sekali lagi oleh rakyat atau sejarah. Kita ada masa sekurang-kurangnya tiga tahun, paling lama pun lima tahun, untuk membuat perubahan terhadap parti,” katanya.
Ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan empat langkah yang perlu diambil MCA untuk mengembalikan kekuatan parti kedua paling kanan dalam Barisan Nasional (BN) itu.
Berhadapan dengan para perwakilan MCA ketika merasmikan perhimpunan agung parti berkenaan di Wisma MCA di sini hari ini, Najib menyentuh pendekatan ‘reunite’, ‘restrategies’, ‘reinvigorate’ dan ‘reestablish’ dalam ucapannya dalam usaha mengembalikan kekuatan parti itu.
Beliau berkata anggota MCA yang bakal memilih barisan kepimpinan utama mereka sempena Perhimpunan Agung Tahunan ke-60 MCA perlu ‘reunite’ (bersatu semula) bagi mengelakkan perbalahan dan perpecahan.
“Setiap kali ada pertandingan, asyik berpecah, jadi MCA sebagai sebuah parti akan jadi lebih kecil pengaruhnya sebab sudah berpecah dan terus berpecah.
Seruan
“Oleh itu, anggaplah ini sebagai mungkin seruan terakhir bagi MCA. Mungkin ini isyarat seruan terakhir daripada masyarakat Cina, bukan lagi satu panggilan untuk menyedarkan, ini adalah seruan terakhir bagi MCA oleh masyarakat Cina.
Perdana Menteri berkata MCA perlu memulihkan semangat dan mencergaskan semula jentera parti itu sebagai langkah ketiga iaitu ‘reinvigorate’.
“Anda sudahpun ada anggota dan pasukan, tapi ia bagaikan ada jasad namun semangatnya lemah. Kita perlukan viagra politik, kita minta Menteri Kesihatan buat (ubat) ini,” katanya sambil berseloroh
Langkah terakhir iaitu ‘reestablish’ pula bermakna anggota MCA perlu bekerja keras bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap parti itu, katanya.
“Anda perlu bekerja bertungkus-lumus dan Insya-Allah, MCA akan kembali menjadi pilihan kaum Cina dan tiada apa lagi yang lebih menggembirakan saya selaku pengerusi BN. Maka rayuan terakhir saya kepada anda, tolong laksanakan, sebagai rakan yang kuat bagi BN.
Benarkah MCA perlukan viagra untuk bertenaga semula? Sudah dua kali PRU 12 dan 13, masyarakat Cina menolak MCA. Mereka memilih DAP kerana sudah tidak yakin dengan MCA lagi.
Oleh itu sudah terlambat bagi MCA untuk ambil vigra kerana masyarakat Cina sudah lari kepada bini baharu (DAP). Justru itu jika Liow Tiong Lai gagal menangkan MCA pada PRU ke 14 ini, sudah sampai masanya bagi MCA dibubarkan dan ahli-ahli MCA perlulah menyertai DAP beramai-ramai dan desak BN menerima DAP sebagai parti komponen BN untuk mewakili masyarakat Cina.
Jika tidak masyarakat Cina tidak ada wakil dalam kabinet seperti hari ini yang merugikan masyarakat Cina sendiri.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa