Friday, January 17, 2014

13 Komando Disiasat: Kenapa?

Mereka telah menerima pingat dan hampir kehilangan nyawa
Tiba-tiba mereka disiasat dan dipaksa menarik balik keterangan mereka?
Adakah pihak atasan merasa ditipu atau malu kerana sesuatu arahan yang dibuat itu melulu?

Kalau mereka ini memang menipu pastinya mereka tidak akan berani membuat laporan polis
Pastinya mereka merasakan yang meraka dizalimi oleh pihak atasan
Wajarkah mereka diperlakukan begitu?

Published: Jumaat Januari 17, 2014 MYT 8:42:00 AM
Updated: Jumaat Januari 17, 2014 MYT 11:04:59 AM

13 Komando Disiasat Berhubung Keterangan Hilang Di Laut
 
MELAKA: Pada Disember lalu, negara gempar dengan berita kehilangan 13 anggota komando ketika sedang menjalani latihan di laut. Mereka kemudiannya ditemui hidup selepas tiga hari hilang.
Ekoran kejadian itu Kerajaan Negeri Melaka mahu menganugerahkan pingat keberanian tertinggi di negeri ini kepada mereka, dan mereka bakal menerima anugerah itu tidak lama lagi.
Tetapi kemudian timbul berita bahawa pegawai atasan mereka tidak mempercayai kisah 11 pelatih dan dua tenaga pengajar itu.
Dan pada ketika pihak tentera memulakan siasatan mengenai apa yang sebenarnya berlaku, seorang wakil kumpulan itu membuat laporan polis dengan mendakwa bahawa mereka telah diseksa bagi menarik balik keterangan mereka berhubung kejadian yang berlaku di laut bulan lalu itu.
Seorang pegawai Kementerian Pertahanan mengesahkan bahawa siasatan sedang dijalankan berhubung kejadian 13 anggota komando yang hilang selama 29 jam di perairan Pulau Upeh pada 7 Disember lalu.
Beliau enggan mengulas lanjut tetapi satu sumber berkata, cara bot kumpulan itu "sesat" dari laluan biasa telah membangkitkan syak wasangka terhadap mereka.
Difahamkan pihak tentera sedang menyiasat mengenai dakwaan pelatih dan pengajar dari kumpulan komando yang hilang itu sebenarnya menghadiri kenduri pada malam yang sama tetapi mereka mengatakan mereka hilang dan hampir lemas di laut.
Ini dipercayai merupakan kali pertama bot pasukan komando dilaporkan hilang semasa latihan malam yang dikendalikan oleh Kem Komando Sungai Udang sejak beberapa dekad yang lalu.
Difahamkan juga bahawa siasatan tentera perlu melihat keterangan yang bercanggah daripada apa yang berlaku pada misi latihan.
Pelatih yang membuat laporan polis di Alor Gajah pada Ahad lepas memberikan keterangan versi mereka mengenai apa yang berlaku apabila lima bot yang digunakan dalam latihan tersebut dilanda ribut.
Selepas kejadian ribut itu, salah sebuah daripada lima bot itu telah didapati hilang.
Bot yang hilang itu dinaiki oleh 11 pelatih komando bersama dua tenaga pengajar.
Menurut seorang pelatih berusia 21 tahun dari Kuala Lumpur, ribut melanda bot mereka pada pukul 7.30 malam menyebabkan ia hanyut sehingga hampir mencapai sempadan maritim antarabangsa.
Beliau berkata, mereka melihat puluhan kapal komersial melintas di perairan itu pada petang 8 Disember dan cuba untuk menarik perhatian mereka tetapi gagal.
Kemudian menjelang pukul 6.30 petang, salah seorang pengajar berjaya membaiki enjin bot yang rosak dan mereka menuju ke pantai, tetapi mereka kehabisan minyak dan terpaksa mendayung sepanjang perjalanan, kata pelatih itu.
Beliau berkata, mereka tiba di Pantai Putri pada pukul 12.30 tengah malam pada 9 Disember dan sebaik sahaja mendarat sebahagian daripada mereka bergegas ke gerai makan kerana terlalu lapar.
Pengunjung di gerai berkenaan mengetahui bahawa mereka merupakan tentera yang dilaporkan hilang sebagaimana hang dilaporkan dalam media dan kemudian memberitahu pihak polis.
Tetapi kesemua 13 mereka bergegas kembali ke Kem Terendak sebelum mereka dimasukkan ke wad selama tiga hari kerana mengalami lelasan dan dehidrasi.
Dalam laporannya, pelatih itu mendakwa bahawa pegawai atasan mereka enggan untuk mempercayai cerita mereka, dan memaksa mereka pergi ke laut dan dihukum berdiri sehingga air pada paras leher bagi memaksa mereka menceritakan kisah sebenar.
Beliau mendakwa mereka kemudiannya dibawa ke sebuah kem tentera di Kuala Lumpur dan disoal siasat.
Menurutnya lagi malah salah seorang pelatih mempunyai jari dikepit di antara dua keping kayu untuk memaksa membuat pengakuan palsu.
Sementara itu, seorang pegawai Kementerian Pertahanan berkata, bahawa surat siasatan tentera telah dihantar kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron berhubung kejadian itu.
Idris, yang mengumumkan hasrat untuk menyampaikan anugerah pingat keberanian negeri iaitu Bintang Gagah Perkasa kepada kesemua mereka bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen berhubung versi terbaru insiden berkenaaan.

1 comment:

  1. Kegagalan melepasi latihan perairan tidaklah mengejutkan, tetapi apabila ianya pertama kali berlaku dan seperti kejadian lawak sahaja kepada mereka yang veteran dalam hal ini. Sepatutnya KM Melaka tidak terus mengumumkan mereka mendapat PGP tanpa mendapat butiran lengkap. Pemerintah tinggi komando dan veteran komando memikirkan perlunya ada board of inquiry kerana dikhuatiri berlaku kecuaian atau salahlaku semasa trajedi. Ketika ini terdapat pelbagai desas desus keluar dan anggota yang membuat laporan polis itu adalah bingai gen y yang tidak dapat menerima kesusahan atau pancaroba anggota tentera. Takut nanti PGP itu sah menjadi Pingat Gagal Perairan sekiranya betul terdapat salahlaku atau kecuaian semasa latihan maka tentera tidak dipersalahkan. Bekas ATM

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa