Wednesday, January 15, 2014

Fitnah Anwar: Utusan Malaysia Kerkincit Juga Di Mahkamah Rayuan!

Mahkamah Rayuan kekal keputusan Utusan Malaysia fitnah Anwar

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memutuskan bahawa dua artikel yang diterbitkan Utusan Malaysia (M) Sdn Bhd bersifat fitnah, berhubung temu bual pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan BBC, mengenai undang-undang homoseksual dua tahun lalu.
Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Zaharah Ibrahim dalam keputusannya berkata, tiada merit dalam rayuan perayu selepas meneliti asas penghakiman dan nota prosiding Mahkamah Tinggi.
Panel hakim itu memerintahkan kos sebanyak RM25,000 dibayar kepada responden.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk K Anantham.Mahkamah juga menolak permohonan Umno untuk mencelah dalam rayuan itu, bagaimanapun ia tidak menetapkan sebarang kos.
Peguam Abu Bakar As-Sidek memberitahu pemberita di luar mahkamah, bahawa Umno membuat permohonan itu berikutan isu sama ada parti itu mempengaruhi dasar editorial akhbar berkenaan.
Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan bahawa defendan Utusan Melayu (M) Bhd dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak, gagal mempertahankan semua pembelaan statutori merangkumi justifikasi, komen yang adil dan keistimewaan bersyarat.
Pada 10 Januari 2012, Anwar memfailkan saman fitnah dengan menuntut RM50 juta ganti rugi atas dakwaan defendan menerbitkan dua artikel dalam akhbar Utusan Malaysia pada 17 Januari 2012, berhubung temu bualnya dengan BBC.
Beliau berkata, kata-kata yang digunakan memberi gambaran beliau tidak layak memegang jawatan dan sebagai pemimpin Islam mempunyai pendapat yang berbeza dengan ajaran Islam.
Dalam rayuan hari ini, Anwar diwakili peguam R Sivarasa, sementara Utusan Malaysia diwakili Datuk Firuz Hussein Ahmad Jamaluddin. - Bernama, 15 Januari, 2014. - sumber

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa