Saturday, January 25, 2014

Kenyataan Najib Dan Aziz Bari - Ada Beza?

Penggunaan Kalimah Allah Tertakluk Enakmen Negeri - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Datuk Onn, Kuala Lumpur pada Jumaat, 24 Januari 2014. Gambar: AZHAR MAHFOF- The Star
KUALA LUMPUR: Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang agama negeri selaras dengan kandungan resolusi Penyelesaian 10 Perkara yang dipersetujui kerajaan sebelum ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tetap mengakui resolusi yang dipersetujui pada 2011 itu, namun menegaskan ia tertakluk dengan undang-undang sedia ada.
"Majlis Tertinggi (MT) tetap dengan pendirian kerajaan untuk mempertahankan kesucian dan kemuliaan agama Islam termasuk kalimah Allah.

"MT juga mengambil maklum penyelesaian 10 perkara yang dipersetujui Kerajaan Pusat, namun perjanjian itu tertakluk kepada undang-undang persekutuan dan negeri.

"Maknanya kalau negeri ada enakmen, ia adalah tertakluk kepada enakmen di peringkat negeri itu," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di Menara Datuk Onn di sini, Jumaat.

Selain itu Najib berkata, bagi negeri yang tidak mempunyai enakmen berkaitan agama Islam, rakyat boleh meneruskan amalan mereka seperti biasa.

"Negeri yang tak ada enakmen seperti Sabah dan Sarawak, amalan seperti biasa boleh diteruskan dan tiada mana-mana pihak boleh menakutkan-nakutkan mereka," katanya.

Sebelum ini banyak pihak menggesa supaya kerajaan mematuhi resolusi penyelesaian 10 perkara yang dicapai bersama kumpulan-kumpulan Kristian di negara ini pada April 2011.

Bagaimanapun tegas Najib, pendirian kerajaan berhubung penggunaan kalimah Allah adalah selari dengan perkara ke sembilan resolusi berkenaan.

Menurut perkara sembilan, jelas menyebut bahawa kerajaan komited untuk bekerjasama dengan kumpulan-kumpulan Kristian dan semua kumpulan agama yang berbeza untuk menangani isu-isu antara agama bersesuaian dengan perlembagaan dan undang-undang berkaitan dalam negara.

Isu penggunaan kalimah Allah kembali mencetuskan ketegangan apabila Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyerbu premis Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan merampas kira-kira 350 salinan bible dan penerbitan Kristian edisi Bahasa Melayu dan Iban baru-baru ini.

Pada 14 Disember lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa semua rakyat di negeri itu perlu mematuhi larangan penggunaan kalimah 'Allah' di kalangan bukan Islam di bawah Enakmen Agama Bukan Islam Selangor (Kawalan Penyebaran Kepada Umat Islam) 1988.

Namun pada 27 Disember lalu, Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew, berkata semua gereja di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya walaupun Jais telah menghantar surat peringatan berhubung perkara itu.

1 comment:

  1. Tengok gambar menunjuk Mat Sembab lagi nampak wibawa dari Mat Kangkung.

    Perhatikan saja....

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa