Friday, January 17, 2014

Kesihan Najib : Beliau Dikelilingi Kangkung Layu!

Kangkung-gate: Pegawai media PM tidur?
January 16, 2014
Jika mengambil kira laporan portal berita Asia Sentinel bahawa Pentadbiran Najib Tun Razak berdepan dengan kebencian merentasi semua lapisan masyarakat maka tidak salah untuk kita ungkapkan bahawa Perdana Menteri pertama dalam sejarah negara yang di sumpah seranah, dimarahi dan tidak kurang juga dimaki setiap hari oleh rakyat marhaen. Saya tidak tahu hendak kategorikan ini sebagai satu pencapaian seumur hidup seorang Perdana Menteri ataupun harus dilihat sebagai satu kegagalan serius para pegawai media beliau dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan berkesan.
Lihat sahaja komen-komen para pengguna Facebook dalam laman Facebook Najib ini. Jika terdapat seribu komen, majoriti komen-komen di situ nyata berbentuk sindirian, cacian, makian malah melepaskan kemarahan akibat kesialan yang dibawa oleh regim Barisan Nasional ini. Bangga dengan dua juta pengikut tapi apa guna jika komen-komen semua bersifat negatif?
Kini soal utamanya ialah, apa sudah jadi dengan kumpulan penasihat atau pegawai –pegawai media yang sepatutnya bertanggungjawab untuk membentuk imej positif Perdana Menteri ini? Semacam lembik bak kangkung. Malah, ketika isu kangkung yang turut mendapat liputan BBC ini pun hanya kelihatan Menteri Belia dan Sukan sahaja yang mempertahankan bos beliau sedangkan unit media pejabat Perdana Menteri semacam tidur kelenaan. Bukankah ini merupakan tugas penting mereka dalam menjelaskan isu sebenar “kangkung-gate” ini kepada rakyat melalui media.
Saya sebagai seorang rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti perkembangan politik di Putrajaya khususnya, amat simpati terhadap Perdana Menteri ini. Sudahlah dikelilingi dengan barisan menteri yang terkenal dengan kenyataan kurang waras lalu ditambah pula dengan bayangan Isteri beliau yang setakat ini sudah dua kali “berjasa” kepada rakyat kemudian keadaan bertambah nazak apabila pegawai-pegawai media pejabat Perdana Menteri yang gagal tampil dengan satu mekanisma untuk mendekati rakyat demi mempertahankan maruah dan imej Perdana Menteri yang saban hari menjadi mangsa cemuhan rakyat.
Tulisan ini tiada niat untuk merendahkan peranan para pegawai media di Pejabat Perdana Menteri namun harus diakui bahawa kegagalan penasihat dan para pegawai media ini adalah malapetaka buat Najib dan tidak mungkin sama sekali zaman kegemilangan beliau seawal diangkat menjadi Perdana Menteri dahulu menggantikan Abdullah Ahmad Badawi dapat dikembalikan semula. Kangkung sudah menjadi layu!

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa