Sunday, January 12, 2014

Nampak Bodohnya Islam Melayu: Komen, Sindiran Melucukan Tetapi Tepat!

Aku terfikir macam mana nak berdakwah?
Bagaimana pula orang bukan Islam yang cuba mengenali Islam melalui buku?

Larang guna istilah Hindu
Uthaya Sankar SB | January 11, 2014
Surat terbuka yang ditujukan kepada MHS walaupun disedari tidak akan dibaca dan dilayan oleh pihak berkenaan.
Menemui presiden Malaysia Hindu Sangam (MHS) yang pasti sedang sibuk memastikan segala “fatwa” berkaitan Thaipusam dipatuhi sepenuhnya oleh para penganut Hindu di Malaysia.
Saya ingin menarik perhatian tuan terhadap suatu isu lain yang boleh juga dikaitkan dengan keimanan dan pegangan agama orang Hindu. Maka secara langsung berhubung-kait dengan tugas dan peranan MHS.
Sebagai manusia biasa dan pencinta perpaduan antara kaum dan agama, saya terkejut melihat suatu senarai istilah yang khabarnya tidak boleh digunakan oleh orang Bukan Islam (Tidak Islam).
Pada mulanya saya tersenyum, kemudian ketawa dan terbahak-bahak kerana senarai yang turut disebarkan menerusi laman rangkaian sosial dan portal berita dalam talian ternyata agak melucukan.
Apabila saya paparkan menerusi Facebook, ramai rakan tampil memberikan maklum balas dan komen ikhlas. Seorang rakan, misalnya, bertanya apakah nama yang wajar digunakan oleh orang Bukan Islam apabila merujuk kepada Taman Wahyu di Cheras.
Begitulah juga apabila ada orang bernama Sheikh atau ada gelaran Haji; bagaimana nama mereka boleh disebut oleh orang Bukan Islam – khususnya penganut Hindu – berikutan larangan yang nampaknya sudah dikuatkuasakan?
Beberapa persoalan lama juga kembali timbul; khususnya apabila “Allah” mendahului senarai larangan. Apakah orang Bukan Islam di beberapa negeri perlu berhenti menyanyikan lagu negeri memandangkan ada nama “Allah” dinyatakan di dalamnya?
Bercakap mengenai lagu-lagu negeri, seorang rakan bertanya pula mengenai istilah “dirgahayu” yang turut digunakan dalam lagu. Istilah itu secara terang-terangan adalah istilah Sanskrit yang ada kaitan dengan agama Hindu.
Mujurlah istilah yang digunakan dalam lagu “Negaraku” adalah “Tuhan”. Kalau tidak, entah-entah orang Bukan Islam yang mencintai negara ini akan diharamkan daripada menyanyikan lagu itu juga.
Elok buang semua istilah ‘larangan’ dari Kamus Dewan
Pada pandangan saya, selepas sudah ada senarai istilah “Islam” (Arab) yang tidak boleh digunakan orang Bukan Islam, tidak salah jika ada pula senarai istilah “Hindu” (Sanskrit) yang tidak boleh digunakan oleh orang Bukan Hindu.
Tentu sahaja senarai-senarai ini hanya untuk kegunaan di Malaysia yang hebat dengan gelaran “Bolehland”. Kalaulah segala senarai ini dibawa ke negara luar – termasuk tanah asal agama Islam dan agama Hindu – orang di sana akan ketawa terbahak-bahak.
Berbalik kepada istilah-istilah “Islam” yang mahu diharamkan kepada orang Bukan Islam, kita perlu perhatikan pula sama ada ia terdapat dalam Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sekiranya ada dalam Kamus Dewan, eloklah pihak berkenaan mengarahkan kesemua 34 istilah/frasa itu dibuang segera dan kamus berkenaan dicetak semula. Kemudian, barulah kita bincang soal pengharaman dan larangan bagi orang Bukan Islam.
Apa-apa pun, saya tidak akan terkejut jika MHS berpandangan bahawa semua istilah yang terdapat dalam kamus Bahasa Malaysia adalah milik orang Melayu-Islam, manakala hanya perkataan-perkataan yang terdapat dalam kamus Bahasa Tamil adalah milik orang Hindu.
Berbalik kepada isu tadi, selepas larangan dikuatkuasakan, jangan pula sesiapa marah jika orang Bukan Islam membuat kenyataan: “Orang Islam bersalat menghadap arah entah mana” kerana istilah “Kaabah” dan “qiblat” adalah dilarang penggunaannya. Malah, “bersalat” mungkin perlu ditukar kepada “menyembah entah apa”.
Hakikat yang perlu diakui adalah bahawa Nabi Muhammad bukan satu-satunya nabi. Maka, amat melucukan apabila orang Bukan Islam dilarang menggunakan istilah itu. Seolah-olah semua nabi yang diutus Tuhan adalah Melayu-Islam.
Orang Islam wajib percaya pada nabi-nabi. Jumlah sebenar/tepat nabi tidak diketahui, tetapi itu soal lain. Perkara penting adalah bahawa tiada sesiapa berhak membuat andaian bahawa hanya orang Islam berhak ke atas “nabi”.
Istilah “mubaligh” sering digunakan untuk merujuk kepada mubaligh Kristian. Mungkin selepas ini, kita hanya akan ada “mubaligh Islam”. Begitu juga dengan “Injil” yang kini sudah dijadikan milik orang Islam mengikut larangan terbaru.

Sejak bila orang Hindu menyembah kereta?
Kesemua 34 istilah/frasa yang tersenarai tidak dapat diterima akal rasional. Demikianlah kehebatan “Bolehland” di mana segala-galanya adalah mungkin. Saya tidak pasti sama ada MHS sudah berpeluang melihat dan meneliti senarai berkenaan supaya boleh menghantar “surat amaran dan peringatan” kepada para ahli berdaftar.
Memandangkan sudah ada senarai istilah yang terdapat dalam Kamus Dewan tetapi dilarang bagi orang Bukan Islam, kita lihat pula senarai istilah Hindu/Sanskrit yang juga ada dalam kamus dan wajar juga dikeluarkan sebelum kamus berkenaan dicetak semula. Tentulah “suara” MHS diperlukan dalam hal ini.
Tindakan larangan bagi orang Bukan Hindu menggunakan istilah Hindu/Sanskrit ini adalah wajar bagi memastikan penganut Hindu tidak terkeliru atau keimanan mereka tergugat. Itulah sebabnya saya tujukan surat ini kepada tuan.
Contoh paling mudah adalah apabila istilah “Iswara” yang merujuk kepada “Tuhan Yang Maha Esa” dalam Sanskrit/Hindu digunakan pada nama kereta. Mungkin ada kanak-kanak Hindu yang tertanya-tanya, “Sejak bila orang Hindu menyembah kereta?”
Maka, amatlah wajar penggunaan nama “Iswara” dilarang bagi orang Bukan Hindu, khususnya apabila tidak merujuk kepada Tuhan dalam konteks agama Hindu.
Apabila saya mengutarakan cadangan menerusi Facebook, reaksi positif diterima daripada rakan-rakan pelbagai kaum dan agama. Mereka segera mengemukakan pelbagai perkataan/frasa yang secara terang-terangan ada unsur Hindu/Sanskrit.
Misalnya istilah “dosa” dan “pahala” yang sering disebut orang-orang dalam agama Islam. Tahukah mereka bahawa kedua-dua istilah itu adalah milik Hindu/Sanskrit? Kalau mahu sangat Arab, gunakanlah istilah “sawaab” atau “ajr” bagi “pahala”.
Malah, istilah “agama” itu sendiri berasal daripada rujukan terhadap kitab-kitab Veda dan teks-teks lain dalam ajaran Hindu. Nah! Bukankah sudah secara terang-terangan bertentangan dengan Islam dan boleh “mengelirukan” penganut agama Hindu jika digunakan oleh orang Bukan Hindu?
Malah, istilah-istilah yang selalu digunakan orang Islam dalam pertuturan seharian seperti “dewa”, “dewi”, “suria”, “mantera”, “manusia”, “sastera”, “bahasa”, “pustaka”, “jiwa”, “syurga”, “neraka”, “duka”, “sengsara”, “nestapa”, “kurnia”, “derma” dan ratusan – malah ribuan – istilah berciri Hindu/Sanskrit wajar dihapuskan daripada Kamus Dewan supaya orang Islam tidak terkeliru.
Keberanian minoriti Sikh wajar dipuji
Frasa “Maha Esa” yang digunakan rata-rata orang Islam juga adalah ciplakan daripada “Maha Isa” yang digunakan penganut Hindu! Istilah “suci”, “puji” dan “puasa” juga daripada amalan Hindu. Tentu MHS boleh memberikan perakuan terhadap fakta ini.
Maka, daripada sibuk menghalang dan melarang orang Bukan Islam menggunakan 34 istilah yang kononnya “diwahyukan” Allah khusus bagi orang Islam di “Bolehland”, bukankah lebih afdal jika pihak berkenaan berusaha supaya istilah-istilah Hindu/Sanskrit dibuang daripada Kamus Dewan?
Lebih baik jika dikeluarkan fatwa melarang orang Islam menggunakan istilah-istilah berunsur dan berasaskan Hindu/Sanskrit itu. Haramkan juga kelompok penulis dan sasterawan Islam menggunakan istilah-istilah berkenaan dalam sebarang penulisan.
Berbalik kepada senarai larangan yang dikeluarkan bagi orang Bukan Islam, saya memuji pendirian, keberanian dan ketegasan penganut agama Sikh. Kumpulan minoriti tidak mudah digertak dan dihalang daripada menggunakan istilah “Allah” yang secara terang-terangan terkandung dalam kitab Guru Granth Sahib.
Sebagai seorang pengamal inter-faith, saya juga tidak akan merelakan hak saya dirampas oleh sesiapa dengan apa-apa cara. Saya tetap dengan pendirian sebegaimana saya tegaskan berkali-kali menerusi makalah, catatan di blog dan paparan di Facebook.
Memanglah pelbagai sekatan boleh dikenakan; tetapi apakah mungkin hubungan peribadi saya dengan “Allah Maha Isa” (Sanskrit) disekat oleh puak-puak tertentu yang boleh sahaja dipertikaikan tahap ketakwaan dan keimanan mereka?
Di pihak MHS pula, saya sedar bahawa tidak akan ada apa-apa tindakan segera. Selepas menyelesaikan segala isu berkaitan Thaipusam, mungkin perlu pula mencari keberanian diri – mencari telur, kata Ridhuan Tee Abdullah – untuk bertindak terhadap golongan “guruji” palsu yang semakin berleluasa tanpa sekatan pihak berkuasa.
Mungkin hanya selepas itu, salinan surat ini akan disampaikan kepada tuan oleh pegawai yang ditugaskan di ibu pejabat MHS untuk mengumpulkan segala surat dan aduan daripada orang Hindu.
Pada waktu itu, mungkin sudah pun ada larangan penggunaan istilah-istilah Sanskrit oleh orang Bukan Islam dengan alasan “boleh mengelirukan umat Islam di Malaysia”! Selamat datang ke “Bolehland”.
Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan kolumnis FMT.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa