Monday, January 27, 2014

Nasib Baik Ditemui Insan Berhati Mulia

Merayau di Chow Kit tanpa arah
Oleh Mohd Fauzi Abdullah

Raub: Remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan melarikan diri dari rumah dengan ditemani bapa saudaranya berusia 16 tahun kerana takut dimarahi selepas mengetahui gurunya akan memaklumkan kesalahan disiplin yang dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya, didapati bersembunyi di sebuah bilik sewa seorang lelaki yang menumpangkan mereka sepanjang lima hari berada di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Muhammad Alif Nazmi Zalmi dan Muhammad Aidil Ahmad, yang juga pelajar tingkatan dua dan empat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gali, di sini, ditemui selamat selepas pemuda berusia 28 tahun itu menghantar mereka ke pondok polis di Chow Kit, Kuala Lumpur, pagi semalam.

Lelaki itu bertindak demikian selepas membaca berita mengenai kehilangan remaja terbabit yang disiarkan Harian Metro, kelmarin.

Difahamkan, sepanjang berada di Kuala Lumpur sejak melarikan diri dari rumah di Kampung Pintu Padang, di sini, Selasa lalu, dua bersaudara terbabit tidak keluar dari bilik sewa berkenaan dan memaklumkan kepada pemuda yang bekerja sebagai juruteknik itu bahawa mereka datang ke ibu kota untuk mencari pekerjaan.

Menceritakan kejadian itu, ibu kepada Muhammad Alif, Nor Hayazi Shahdan, 39, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada anggota polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam yang memaklumkan anak kedua dan sepupunya itu berada di pondok polis di Chow Kit.

Katanya, mendengarkan perkara itu, dia dan suaminya, Zalmi Bahudin, 42, bergegas ke Kuala Lumpur untuk mengambil remaja terbabit.

“Setibanya di sana, kami dimaklumkan seorang lelaki menghantar anak dan sepupu saya ke pondok polis Chow Kit apabila mengetahui remaja yang ditumpangkan itu sebenarnya lari dari rumah selepas dia terbaca berita itu di Harian Metro.

“Saya tidak sempat bertemu lelaki itu kerana difahamkan dia terus ke tempat kerja selepas menghantar Muhammad Alif dan Muhammad Aidil ke pondok polis pagi tadi (semalam).

“Saya berterima kasih atas keprihatinan dan budinya yang menumpangkan anak serta sepupu saya di bilik sewanya sepanjang berada di Kuala Lumpur dan jika tidak, saya tidak tahu apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, Muhammad Alif memberitahu dia melarikan diri kerana takut dimarahi akibat kesalahan yang dilakukannya di sekolah, namun kami sekeluarga ingin melupakan perkara itu.

Nor Hayazi berkata, anaknya itu juga memaklumkan ketika tiba di Kuala Lumpur pada Selasa lalu, mereka merayau-rayau di sekitar Chow Kit sehingga tengah malam tanpa arah tujuan sebelum terserempak dengan lelaki terbabit yang kemudian mempelawa mereka tinggal di bilik sewanya berhampiran Chow Kit.

“Namun, selepas terbaca laporan di Harian Metro kelmarin, baru dia tahu yang anak dan sepupu saya itu sebenarnya lari dari rumah menyebabkan pemuda itu mengambil keputusan menyerahkan mereka kepada polis,” katanya.

“Syukur, kini semuanya selamat dan saya berharap kejadian ini tidak akan berulang lagi,” katanya.

Sabtu lalu, akhbar ini melaporkan panik mengetahui guru akan memaklumkan kesalahan disiplin dilakukan di sekolah kepada ibu bapanya, seorang remaja berusia 14 tahun nekad melarikan diri dari rumah dengan memberikan alasan pergi bermain bola sepak bersama rakan dalam kejadian di Kampung Padang Pintu, pada Selasa lalu.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa