Monday, February 24, 2014

Apakah Hak Singapura?

NAMPAKNYA hubungan Indonesia dengan Singapura kembali “tegang dan panas” mutakhir ini. Semuanya kerana Singapura tidak bersetuju dengan pemerintah Indonesia khususnya Tentera Nasional Indonesia (TNI) yang menamakan sebuah kapal perang Tentera Laut Indonesia dengan nama Usman Harun.
Nama ini diambil dari gabungan dua nama tentera marin Indonesia yang dihukum gantung oleh Singapura pada September 1968, kerana keduanya didapati bersalah melakukan peledakan  Mc Donald House di Singapura pada 10 Mac tahun 1965.
Usman Janatin (lahir 18 Mac 1943 di Purbalingga Jawa Tengah), masa itu berpangkat Sarjan menyeludup masuk ke Singapura bersama Tahir alias Harun  Said (lahir 4 April 1947 di Pulau Bawean Gresik Jawa Timur) yang berpangkat Kopral, melakukan sabotaj dengan membawa bahan peledak seberat 12.50 kg.
Setelah meledakkan bangunan itu, mereka sempat lari dengan menaiki bot, namun kerana enjin bot yang rosak mengakibatkan mereka berjaya ditangkap tentera Singapura.
Bagi Singapura,  keduanya dianggap tentera asing yang melakukan pencerobohan, namun bagi Indonesia keduanya dianggap hero atau pahlawan.
Singapura masa itu masih berada di bawah pakatan kerjasama keselamatan Asia Tenggara bersama Australia dan New Zealand (Seato). Tujuan Indonesia masa itu tidak lain untuk ‘mengajar’ Singapura kerana terlalu berkiblat ke negara penjajahnya iaitu Inggeris, yang dibantu satelitnya di belahan sini iaitu Australia dan New Zealand.
Berangkat ke Singapura bertiga bersama Gani Arup dengan menaiki perahu getah pada 8 Mac 1965 atas perintah Presiden Sukarno, sebagai sukarelawan mereka menerima perintah bagi menjayakan operasi Komando Operasi Tertinggi Indonesia (KOTI).
Tiga hari kemudian dua daripada mereka ditangkap sedangkan Gani Arup dapat melarikan diri dengan cara lain.
Akhirnya mahkamah Singapura menjatuhkan keduanya hukuman mati, tanpa mempedulikan rayuan berbagai pihak termasuk rayuan dari pemerintah Indonesia. Keduanya dihukum gantung pada 17 Oktober 1968 di Penjara Changi, Singapura.
Jenazahnya dibawa pulang ke Jakarta menggunakan kapal tentera udara Indonesia dan dimakamkan di Taman Makam Pahlawan Kalibata Jakarta, dengan upacara kebesaran tentera dan negara dan dinyatakan sebagai Pahlawan Nasional, berdasar Surat Ketetapan Presiden Republik Indonesia yang ditandatangani Presiden Jeneral Suharto.
Peristiwa ini berlaku ketika konflik antara Indonesia dengan Malaysia, yang bagi penulis disebut sebagai “tragedi dan kekeliruan sejarah”. Pada masa itu Singapura masih berada dibawah Malaysia.
Padahal fakta sejarah membuktikan kemerdekaan Singapura (waktu itu dibawah Malaysia) tidak dapat tidak saling membahu dengan Indonesia. Namun kini apabila Indonesia ingin mengingat nama-nama putera terbaiknya dengan meletakkan namanya di kapal perang tentera lautnya, ia dibantah Singapura.
Indonesia tidak bermaksud menyinggung perasaan negara jirannya kerana nama Usman Harun ini akan digandingkan dengan nama Bung Tomo alias Sutomo. Bung Tomo ialah tokoh muda yang memimpin tentangan penduduk Surabaya terhadap British pada 10 November 1945.
Surabaya yang disebut kota Pahlawan itu, mempunyai erti tersendiri bagi Indonesia dalam melakarkan tinta emas dalam episod sejarah, membela dan mempertahankan kemerdekaannya.
Kini semua pihak baik parlimen (DPR), NGO dan pertubuhan Islam di Indonesia mempertahankan sikap dan tindakan pemerintah Indonesia itu, dan malahan Indonesia tidak menerima sikap Singapura yang membatalkan jemputan kepada 100 tentera Indonesia untuk menghadiri Singapore Air Show.
Sebagai tindak balas, Panglima TNI, Jeneral Moeldoko membatalkan kehadirannya untuk memenuhi jemputan Singapura, kerana menganggap negara tetangga itu telah meperlecehkan anak buahnya.
Lebih hebat lagi apabila Perdana Menteri Singapura,  Lee Hsien Loong mebatalkan persahabatannya dengan Presiden Dr Sosilo Bambang Yudhoyono (SBY) dalam facebook. Padahal beberapa waktu lalu mantan Perdana Menteri Singapura, Lee Kwan Yew waktu berkunjung ke Jakarta, pernah menaburkan bunga di makam Usman dan Harun di pemakaman Pahlawan Kalibata Jakarta.
Sebagai sesama tetangga Asean, masalah ini boleh diselesaikan dengan baik dan penuh persahabatan, dengan tidak perlu mengungkit sejarah hitam atau luka lama.
Sejarahpun tahu bagaimana singkatnya pemerintahan Presiden Prof Dr Ir Burhanuddin Jusuf Habibie dari 21 Mei 1998 sampai 20 Oktober 1999. Negara manakah yang tidak berkenan dengan keberhasilan dan kehebatan BJ Habibie dalam membetulkan dan memperbaiki sistem yang sudah rosak di Indonesia (baik sistem ekonomi, politik, undang-undang, kebebasan media dan bersuara) jika bukan Singapura.
Sejarah hari ini juga mencatit bagaimana beberapa pulau kecil disekitar Pulau Batam, hilang dan tenggelam kerana pasirnya sudah habis diangkut ke seberang. Rakyat Pulau Batam atau yang pernah berkunjung ke Pulau Batam tahu bahawa dollar Singapura lebih terhormat dan lebih dihargai di pulau ini berbanding matawang rupiah.
Dunia tanpa sempadan hari ini tidak boleh saling menghalangi kerana masing-masing pihak mempunyai kepentingan, matlamat dan falsafah sendiri dalam melakar dan menulis sejarahnya. Hanya bagaimana kita untuk mampu saling menghormati dan menghargai. 

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa