Sunday, February 23, 2014

Diami Rumah Berhantu : Apa Pendapat Korang?

Sanggupkah anda mendiami rumah berhantu?
Ace EmersonFeb 23 2014
CERITA PILIHAN: Keadaan sekarang semakin mendesak. Dengan situasi ekonomi yang semakin meruncing dan kenaikkan harga barangan, ramai yang semakin tidak mampu memiliki rumah.
Tetapi apakah akan anda lakukan jika anda bertemu dengan rumah idaman anda dengan harga yang rendah? Contohnya anda terjumpa sebuah pangsapuri atau rumah dengan harga hanya separuh dari harga pasaran? Cuma masalahnya – rumah itu pernah menjadi lokasi kematian yang tragis. Sanggupkah anda membeli rumah ini?
Walaupun kajian menunjukkan ramai orang tidak percayakan hantu, ramai yang masih teragak-agak untuk membeli rumah yang dipercayai berhantu.
Sebuah kajiselidik yang dijalankan Realtor.com mendapati bahawa 38% dari 1,410 peserta tidak akan membeli rumah yang dipercayai berhantu. Dan mereka yang mempertimbangkan untuk membeli rumah ini, tiga suku daripada mereka mahukan harga yang rendah.
Kebiasaannya, kematian tragis yang berlaku dalam sebuah rumah akan menurunkan harganya, terutamanya jika kematian ini diketahui ramai. Rumah dengan reputasi sebegini juga sukar untuk dijual, dan harga jualannya terpaksa diturunkan lebih rendah berbanding rumah lain.
Sebagai contoh, sebuah kondominium di Fasa 1 Pantai Hillpark mengambil masa dua tahun untuk terjual dan diturunkan harga sebanyak RM100,000. Ini berkemungkinan disebabkan pemiliknya sebelum itu, seorang wanita, dibunuh oleh teman lelakinya di dalam unit ini.
Satu lagi contoh adalah pemilik sebuah rumah; Richard dan isterinya yang terpaksa berpindah keluar. Rumah itu dikatakan telah dibina di atas sebuah tapak perkuburan lama.
Pintu rumah itu dikatakan diketuk pada setiap waktu tengah malam, bunyi-bunyian menyeramkan juga didengari dari bilik tidur tetamu, seperti air paip yang terpasang dan terbuka dengan sendiri, dan perasaan seperti mereka sentiasa diperhatikan seseorang.
Mereka tidak dapat lagi menanggungnya dan membuat keputusan untuk menjual rumah teres dua tingkat lot tepi di Ampang ini dengan harga hanya RM450,000 berbanding harga belian dahulu, RM680,000. Walaupun berada dalam lokasi hartanah unggul, mereka masih gagal menjualnya biarpun lima tahun telah berlalu.
Rumah yang direka dengan cantik juga boleh kehilangan tarikannya disebabkan berlakunya kematian dalam rumah itu.
Ada pula pembeli yang percaya bahawa sesuatu rumah mempunyai ‘feng shui’ atau tenaga yang negatif, ataupun masih didiami roh pemilik lama.
Ini diburukkan pula kepercayaan terhadap pantang terhadap hartanah seperti ini, terutamanya di Asia. Ada yang mempercayai bahawa jika kematian berlaku di sesebuah premis, ia akan disumpah dan nasib buruk akan menimpa penghuni seterusnya.
Namun, ia sebenarnya bergantung kepada sama ada anda mempercayai hantu atau pun tidak. Jika tidak, anda tidak akan gusarkan bunyi-bunyian ganjil ataupun bayangan tidak pasti di tengah-tengah waktu malam. Juga terdapat faktor jenis kematian. Jika kematian itu disebabkan sakit tua atau penyakit, rumah itu masih akan dibeli. Namun jika kematian itu disebabkan pembunuhan kejam, bunuh diri, pembeli akan mengelakkan rumah ini.
Tetapi apa akan terjadi jika anda terbeli rumah ‘berhantu’ tanpa menyedarinya? David dan isterinya Susan terpaut dengan sebuah rumah di Segambut. Mereka membeli banglo dua tingkat lima bilik itu dengan hanya RM250,000 (harga pasaran dikatakan sekitar RM1.5 juta) dan berpindah masuk setahun kemudian. Mereka mengalami peristiwa ganjil, dan menyedari bahawa rumah impian mereka, menjadi igauan ngeri.
“Kadang-kadang kami mendengar sekumpulan ‘orang’ bercakap dan ketawa sebaik sahaja kami naik ke atas untuk tidur. Seolah-olah ada keramaian sedang berlangsung di ruang tamu kami,” jelas David.
Ada kalanya TV mereka akan terbuka dan tertutup dengan sendiri sewaktu mereka makan, pintu juga akan terbuka dan tertutup dan perabot akan berganjak.
Susan bagaimana pun berkata yang dia tidak kisah ‘berkongsi’ rumahnya dengan hantu selagi mereka tidak mengganggunya. Setakat ini, hidup mereka masih aman.
“Tidak semua penjual akan mendedahkan perkara seperti ini,” jelas Puan Wong, seorang perunding hartanah.
“Contohnya jika anda rasa rumah anda berhantu atau pembunuhan kejam pernah berlaku di situ, ia akan memberi kesan terhadap harga rumah ini,” tambahnya.

1 comment:

  1. 15:27. Dan Kami telah menciptakan jin sebelum (Adam) dari api yang sangat panas.

    jin ada didalam rumah kita tapi ada yang singgah saja ada yang nak tumpang duduk lama.sesungguhnya carilah orang yang ada ilmu untuk halau jin jin ni keluar.sebelum manusia diam dibumi ni jin lah yang jadi penghuni nya.
    Allahuakbar.

    ReplyDelete

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa