Sunday, February 16, 2014

Menyayat hati: Kanak-kanak maut, ibu parah diserang gajah liar

MI - FEBRUARY 15, 2014
Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun maut manakala ibunya cedera parah selepas diserang seekor gajah liar di sebuah kebun getah di Bukit Perawas, Ayer Lanas di Jeli, pagi ini.
Ketua Polis Daerah Jeli, DSP Sheik Azhar Sheik Omar berkata dalam kejadian 10 pagi itu, Wan Aidid Nasrullah Wan Mahmud yang berada dalam raga motosikal, maut selepas tercampak keluar selepas motosikal dirempuh gajah liar itu.
"Kanak-kanak itu berada dalam raga motosikal menunggu ibu bapanya yang sedang menoreh getah, gajah itu dilaporkan menyerang ibu mangsa terlebih dahulu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata penduduk kampung kemudiannya membawa kedua-dua beranak itu ke Hospital Jeli namun kanak-kanak itu dilaporkan meninggal dunia dalam perjalanan.Ibu mangsa, Rezamawati Che Mat, 37, mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan badan, manakala bapa mangsa, Wan Mahmud Wan Omar, 33, yang berada berhampiran bagaimanapun terselamat sebelum gajah berkenaan beredar dari tempat kejadian.
Beliau berkata pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah berjaya mengesan gajah terbabit dan sedang berusaha menangkap dan memindahkan gajah berkenaan.
Sementara itu Rezamawati yang ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Perawas berkata ketika kejadian itu dia dan suaminya sedang menoreh getah manakala anak bongsu daripada lima beradik itu berada di dalam raga motosikal.
"Tiba-tiba datang seekor gajah menyerang saya dahulu dan kemudiannya saya rebah sebelum gajah itu memijak belakang badan dan bahagian kaki kanan saya sehingga patah," katanya.
Beliau berkata gajah berkenaan kemudian merempuh motosikal sehingga anaknya tercampak dan tidak sedarkan diri.
"Saya dan suami hanya mampu melaungkan kalimah Allahuakbar berulang kali sehingga gajah berkenaan beredar.
"Anak saya bagaimanapun gagal diselamatkan dan saya diberikan rawatan dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya. - Bernama, 15 Februari, 2014.

No comments:

Post a Comment

Cakaplah apa saja yang benar asalkan tidak menghina sesiapa